Thursday, August 18, 2011

Gengster: Kementerian tunggu laporan

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Kementerian Pelajaran sedang menunggu laporan daripada pihak polis mengenai kejadian sekumpulan 20 pelajar menyerang dan mencederakan beberapa pelajar sebuah sekolah di Jalan Bukit Nanas semalam, sebelum tindakan yang sesuai dikenakan terhadap mereka.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, antara laporan yang perlu diteliti adalah sama ada 20 pelajar itu benar-benar bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melawati dan SMK Padang Tembak, Jalan Semarak seperti yang didakwa mangsa.

"Jika didapati memang pelajar sekolah itu terlibat, maka kementerian tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan terhadap mereka. Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelajar yang terlibat dalam masalah gangsterisme.

"Pelajar yang terlibat dengan gangsterisme akan diberi amaran, digantung atau buang sekolah. Ia bergantung kepada berapa serius tindakan mereka. Jika serius, pelajar terlibat boleh dibuang sekolah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sekumpulan 20 pelajar dari dua buah sekolah di ibu negara bertindak seperti gengster dengan menyerang dan mencederakan beberapa pelajar sebuah sekolah di Jalan Bukit Nanas dekat sini, semalam.

Mangsa antaranya diserang menggunakan pemegang kunci motosikal dan besi panjang.

BERKONGSI PENGALAMAN DENGAN PELAJAR SMK SUNGAI CHOH

Alhamdulillah dengan izin-Nya jua hari ini aku menunaikan jemputan daripada Pengurusan Pra-U SMK Sungai Choh, Hulu Selangor. Seramai 57 orang pelajar Pra-U (Atas) mengikuti program perkongsian maklumat dan pengalaman berkaitan dengan mata pelajaran Pengajian Am. Sesungguhnya ia merupakan satu pengalaman yang menarik kerana selama ini aku belum pernah menerima jemputan merentasi sempadan daerah Batang Padang.

Para pelajar juga begitu aktif bertanya menjadikan program yang sepatutnya berakhir pada pukul 12.00 tengah hari terpaksa dilanjutkan sehingga mencecah 12.45 tengah hari. Semoga kalian akan beroleh kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan STPM 2011...

Foto: Ehsan daripada MPP SMK Sungai Choh
http://mppsmksc.blogspot.com/2011/08/seminar-teknik-menjawab-pengajian-am.html

Sunday, August 14, 2011

Gay kahwin: Halang sebelum parah

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Kerajaan digesa menghalang cadangan paderi gay warganegara Malaysia, Pastor Ou Yang Wen Feng untuk berkahwin dengan 'kekasihnya' di negara ini.

Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli berkata, jika perkahwinan itu dibiarkan berlaku, nescaya keruntuhan akhlak yang dahsyat bakal tercetus dalam kalangan rakyat negara ini.

"Jika perkahwinan itu dibiar berlangsung, ia akan memperlihatkan bahawa kita membenarkan perkahwinan seumpama itu di negara ini.

"Seterusnya, dia (Wen Feng) akan dijadikan idola oleh minoriti gay atau lesbian yang pada ketika itu berasa diri mereka diiktiraf dan dihargai.

"Akhirnya, komuniti ini akan menubuhkan NGO mereka sendiri dan bertambah berpengaruh sehingga mampu mengikis identiti agama dan bangsa semua orang," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan Wen Feng yang membuat pengakuan terbuka untuk melangsungkan perkahwinan dengan 'kekasihnya' seorang lelaki warga Afrika-Amerika pada hujung bulan ini atau awal bulan depan dengan majlis itu bakal diadakan di New York, Amerika Syarikat dan juga di negara ini.

Jelas Mohd. Jurit, berdasarkan pemerhatiannya, budaya songsang itu sebenarnya semakin menular dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mungkin disebabkan pengaruh media Barat yang gemar 'menghalalkan' watak gay pada cerita-cerita popularnya.

"Pencegahan awal seperti menghalang perkahwinan sebegini adalah amat penting bagi menjamin akhlak rakyat tidak runtuh. NGO juga perlu bersatu tanpa mengira fahaman politik dalam menentang perkembangan negatif ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, perkahwinan sejenis adalah bertentangan dari segi moral serta budaya dan tidak diterima di negara ini.

"Malaysia tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis. Saya pasti masyarakat mengetahui hal ini, tetapi mengapa dia (Wen Feng) masih berdegil mahu melakukan majlis perkahwinan di sini.

"Jika dia masih mahu melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya di sini bulan depan, bererti dia sudah melanggar Perlembagaan negara," tambahnya.

Oleh MOHAMMED SOFIAN BAHAROM dan NORMAIRAH JAMALUDDIN
pengarang@utusan.com.my

Fatwa tiada perkenan Agong?

PULAU PINANG 13 Ogos - Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri melarang bacaan al-Quran dengan menggunakan pembesar suara di masjid dan surau dipersoalkan sama ada mengikut prosedur betul atau sebaliknya.

Ini berikutan pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bertarikh 3 Ogos lalu mengenai larangan itu tidak dinyatakan bahawa fatwa dikeluarkan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama Pulau Pinang.

Persoalan itu dilontarkan di laman blog http://novandri.blogspot.com.

Menurut blog berkenaan, mengikut Seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004, sebelum sesuatu fatwa diwartakan, Jawatankuasa Fatwa Negeri mesti mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

"Bagaimanapun, jika kita merujuk surat pekeliling dan enakmen itu, ternyata keputusan JHEAIPP tidak ikut prosedur betul.

"Persoalannya, apakah Jawatankuasa Fatwa Negeri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum mewartakan fatwa kontroversi ini?

"Jika merujuk surat pekeliling, tiada klausa yang mengatakan bahawa pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong," jelas blog itu.

Kata blog itu lagi, jika mendapat perkenan baginda, Majlis Fatwa Negeri hendaklah memaklumkan kepada kerajaan negeri sebelum disiarkan dalam warta.

Bagaimanapun, ujarnya, Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Kassim menafikan tahu tentang fatwa tersebut.

"Malah, yang menghairankan adalah Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa pembacaan tidak dilarang untuk memasang pita rakaman bacaan ayat suci al-Quran selagi tidak mengganggu orang yang sedang melakukan ibadah," katanya.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bermesyuarat 7 April lalu memutuskan, membaca al-Quran dengan pembesar suara di masjid dan surau adalah dilarang mengikut hukum syarak.

Oleh ZABRY MOHAMAD
zabrymohamad.madzlan@utusangroup.com.my

Thursday, August 11, 2011

Projek sekolah dalam hospital dapat sambutan memberangsangkan

SERDANG: Projek Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Hospital Serdang mendapat sambutan memberangsangkan meskipun baru tiga minggu beroperasi dengan kehadiran 89 pesakit untuk mengikuti sesi pembelajaran.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, berkata ini hasil daripada kerjasama dan sokongan erat daripada Yayasan Nurul Yaqeen, pihak Hospital Serdang, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan.
Bercakap kepada pemberita selepas melawat SDH di Hospital Serdang di sini hari ini, beliau berkata, terdapat banyak permintaan daripada hospital lain supaya menyediakan SDH di tempat mereka antaranya Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia dan Hospital Universiti Sains Malaysia.
"Mereka memang minta sangat adakan sekolah di sana kerana persediaan semua sudah ada. Cuma perlukan guru sahaja. Itu saya tak dapat (beri keputusan). Ini bidang kuasa Kementerian Pelajaran," katanya.

Katanya, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan memberikan masa selama enam bulan untuk melihat kejayaan projek ini, sebelum diperluaskan ke hospital-hospital lain.

Projek SDH adalah ilham Norainee yang juga penaung projek Hati Nurani untuk membantu menyediakan pendidikan secara formal dan berstruktur kepada pelajar dan kanak-kanak yang menerima rawatan di hospital.

Ia adalah program pendidikan yang menggunakan pendekatan yang agak berbeza daripada sekolah biasa iaitu berasaskan "fun learning" yang menekankan pembelajaran secara santai dan menyeronokkan.
Setakat ini, hanya tiga hospital dipilih melaksanakan projek berkenaan iaitu Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang dan Hospital Serdang.

Dalam pada itu, Norainee yang melawat sekolah itu selama kira-kira dua jam, turut beramah mesra dan memberikan duit raya kepada beberapa pesakit sambil menasihatkan mereka memanfaatkan peluang yang ada untuk mengulang kaji pelajaran meskipun berada di hospital.

"Ada kanak-kanak yang akan menduduki peperiksaan penting seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Guru-guru di sini sentiasa sedia membantu para pelajar mengulangkaji.

"Peluang seperti ini (belajar semasa di hospital) tidak semua dapat. Daripada mereka tidak buat apa-apa, lebih baik belajar. Kalau sudah letih boleh bermain di taman," katanya.

Sementara itu, Penyelia SDH Hospital Serdang Azizah Abdul Aziz pada sesi taklimat sebelum itu berkata, SDH mempunyai empat guru termasuk beliau, yang akan mengajar subjek utama seperti Bahasa Melayu, Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris serta seorang pembantu pengurusan murid.

"Kaedah pengajaran dan pembelajaran selama empat jam setiap hari memang fleksibel dan menyeronokkan termasuk menggunakan komputer riba dan perisian interaktif. Pembelajaran di sini sama ada secara berkumpulan di kelas atau secara individu di wad," katanya.

Terdapat dua ruang pembelajaran di tingkat yang sama disediakan untuk murid sekolah rendah dan menengah dengan kemudahan komputer, ruang santai untuk pelajar serta ruang menunggu untuk ibu bapa.

Hari ini, Chempaka International School yang diwakili Pengetua Aimi Masdiana Mukhtar serta pelajarnya turut menyumbangkan 500 naskhah buku pelbagai jenis termasuk buku cerita dan novel untuk kegunaan para pelajar di sini. - BERNAMA

Polis buka kertas siasatan kes remaja dibaling topi keledar

ALOR SETAR: Polis membuka kertas siasatan bagi kes membabitkan seorang remaja lelaki, Muhammad Solihin Che Kassim, 14, yang dikatakan koma selepas dibaling topi keledar anggota polis yang sedang melakukan rondaan di FELCRA Lubuk Sireh, Perlis kira-kira 9.40 malam Sabtu lalu.

Pemangku Ketua Polis Perlis, Superintendan Mohd Nashir Ya, berkata pihaknya menerima tiga laporan iaitu masing-masing yang dibuat oleh bapa mangsa, Che Kassim Darus, 41, anggota polis yang terbabit dan juga bahagian trafik.
"Kami akan mengambil keterangan dua anggota polis yang bertugas dan saksi yang berada di tempat kejadian. Apabila mangsa sedar sepenuhnya dan sudah boleh beri keterangan, kami akan mengambil keterangannya.
"Kami akan meneliti semua keterangan yang dibuat dan jika ada anggota bertindak di luar bidang kuasa, mereka akan dikenakan tindakan. Itu semua bergantung kepada hasil siasatan," katanya selepas melawat Muhammad Solohin di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

Lawatan itu turut disertai oleh pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis dan wakil Persatuan Pegawai Pangkat Rendah Kontinjen Perlis.

Mohd Nashir berkata, berdasarkan laporan anggota polis terbabit, kejadian itu berlaku apabila dua anggota polis berkenaan yang sedang melakukan rondaan di kawasan itu mendapati mangsa bersama seorang rakannya menunggang motosikal (secara berasingan) tanpa memakai topi keledar.

"Kedua-dua motosikal yang ditunggangi oleh mangsa dan rakannya dalam keadaan laju dan apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dikatakan terlanggar topi keledar yang dipegang oleh seorang anggota polis yang berada di situ menyebabkan dia hilang kawalan dan terbabas," katanya.
Beliau berkata, selepas kejadian, mangsa yang sudah tidak bersekolah itu masih dalam keadaan sedar dan boleh bercakap.

Kes itu, katanya, mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Semalam, akhbar melaporkan seorang remaja lelaki berada dalam keadaan koma di ICU HSB selepas dikatakan dibaling topi keleder oleh anggota polis yang sedang membuat rondaan di FELDA Lubuk Sireh, Chuping, Perlis kerana tidak memakai topi keledar. - BERNAMA

Wednesday, August 10, 2011

Terima hakikat Islam agama rasmi - PUM

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Semua pihak termasuk orang bukan Islam diminta menerima hakikat serta akur bahawa agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, sehubungan itu, tidak sepatutnya ada pihak yang tampil mempertikaikan perkara tersebut ataupun cuba mengganggu-gugat agama Islam di negara ini.

"PUM amat bertegas dalam isu-isu terutamanya yang melibatkan umat Islam demi untuk mempertahankan akidah umat Islam," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu pemeriksaan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja Methodist di Damansara Utama yang dikatakan menjalankan kegiatan menyebarkan agama Kristian kepada orang Islam, baru-baru ini.

Mohd. Roslan berkata, kepercayaan penuh harus diberikan kepada JAIS selaku pihak berkuasa agama untuk menjalankan tugas mereka khususnya dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan hal ehwal Islam di Selangor.

"PUM berpandangan adalah menjadi tanggungjawab JAIS untuk menjaga hal ehwal Islam di Selangor, lebih-lebih lagi dalam isu-isu akidah yang merupakan perkara teras dalam Islam," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (Accin), Datuk Sheikh Abdul Halim Abd. Kadir berkata, semua pihak perlu menghormati sensitiviti agama dan budaya rakyat negara ini.

Sehubungan itu, katanya, rumah ibadat merupakan institusi kedua terbesar di dunia yang perlu mengambil peranan mempromosikan hubungan positif antara agama selepas institusi pendidikan.

"Bagi memastikan ia berjaya, Accin meminta usaha memurtadkan penganut Islam dihentikan dengan segera.

"Ini bersesuaian dengan semangat hubungan antara agama dan peruntukan Perlembagaan di mana Islam adalah agama Persekutuan, agama lain boleh diamalkan dengan menghormati agama Islam dan sensitiviti umatnya," ujar beliau lagi.

Tuesday, August 9, 2011

Wujudkan Akta Jenayah Akidah kekang murtad

BATU PAHAT 8 Ogos - Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi mencadangkan agar Akta Jenayah Akidah diwujudkan bagi memastikan tiada usaha memurtadkan umat Islam berlaku di negara ini.

Beliau berkata, akta itu amat perlu kerana masalah umat Islam murtad semakin berleluasa, malah usaha memesongkan akidah umat Islam itu seolah-olah bukan lagi menjadi suatu rahsia.

"Sebab itu, saya dari dulu lagi mencadangkan supaya diwujudkan atau kalau boleh supaya Akta Jenayah Akidah ini dibawa ke Parlimen untuk memastikan tidak ada usaha memurtadkan umat Islam di negara kita.

"Ini bagi menjamin gejala ini tidak berleluasa sebab sekarang ini ia dah jadi open secret," katanya kepada pemberita pada Majlis Sivik Ramadan di Parit Lapis, di sini, semalam.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan membaiki rumah penduduk yang rosak, sumbangan kepada anak-anak yatim, orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan golongan kurang berkemampuan.

Sebelum ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dilaporkan membuat pendedahan mengejutkan mengenai kenyataan Persatuan Paderi Malaysia yang mendakwa bahawa lebih 230,000 umat Islam memeluk Kristian pada 2008.

Bagaimanapun, Mohd. Puad berkata, isu murtad itu tidak hanya terletak pada bahu kerajaan untuk mewujudkan akta baru atau memperkemas akta sedia, tetapi turut melibatkan banyak pihak termasuk agensi dakwah.

Sementara itu, Mohd. Puad berkata, isu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) me lakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama yang dikatakan menjalankan kegiatan dakwah kepada umat Islam ba ru-baru ini perlu dilihat dari sudut Perlembagaan negara.

"JAIS sewajarnya dibenarkan melengkapkan siasatan berdasarkan Perlembagaan yang menetapkan orang bukan Islam tidak boleh mendakwahkan ajaran agama mereka kepada umat Islam.

"Kita mesti kembali kepada Per- lembagaan negara kita yang mem- beri kebebasan kepada setiap kaum untuk mengamalkan agama dan bu- daya masing-masing.

"Tetapi cukup jelas juga dalam Perlembagaan bahawa orang bukan Islam tidak boleh mendakwahkan ajaran mereka kepada orang Islam iaitu dalam kata lain orang bukan Islam tidak boleh melakukan apa sahaja untuk memesongkan akidah orang Islam," katanya kepada pem berita pada Majlis Sivik Ramadan di Parit Lapis di sini semalam.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, semua pihak perlu menghormati Perlembagaan negara yang dengan jelas menyatakan orang bukan Islam tidak boleh mendakwahkan ajaran mereka kepada umat Islam.

"Dalam kata lain, orang bukan Islam mesti mematuhi Perlembagaan ini iaitu mereka tidak boleh melakukan apa sahaja untuk memesongkan akidah orang Islam," katanya.

Mohd. Puad berkata, semua pihak tidak boleh berselindung dengan menggunakan aspek kebajikan atau sebarang bentuk bantuan untuk memancing umat Islam menukar agama mereka.

Terima kasih PM - CUEPACS

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di atas pengumuman pemberian bonus setengah bulan gaji kepada semua kakitangan awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya menerima baik pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 pada pertengahan bulan ini.

Monday, August 8, 2011

Ramadan: 95% perokok mampu hentikan tabiat merokok


PUTRAJAYA 8 Ogos – Kajian mendapati 95 peratus daripada perokok beragama Islam menyatakan lebih mudah untuk berhenti merokok dalam bulan Ramadan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkata, berpuasa 14 jam sehari secara tidak langsung membantu perokok untuk lebih mudah berhenti kerana sepanjang tempoh itu mereka berupaya mengawal diri daripada merokok.

Justeru itu, Kementerian Kesihatan setiap tahun mempergiatkan kempen berhenti merokok menerusi program Nafas Baru Bermula Ramadan dengan slogan ”Ramadan titik permulaan untuk berhenti merokok”.

"Jadi gunakanlah kesempatan Ramadan ini kerana ia peluang terbaik bagi perokok berazam dan seterusnya meninggalkan tabiat merokok,” katanya pada Seminar Pendidikan Fatwa: Merokok Adalah Haram di sini, baru-baru ini.

Dr Hasan berkata, ia secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan yang mencecah RM3 bilion setahun, untuk merawat tiga penyakit akibat merokok seperti jantung, kanser paru-paru dan penyakit paru-paru kronik. – Bernama

Mahkamah halang penghantaran pencari suaka ke Malaysia

MELBOURNE 8 Ogos – Penghantaran pencari suaka ke Malaysia yang dijadualkan bermula pada hari ini tertangguh sekurang-kurangnya dua minggu lagi apabila Mahkamah Tinggi melanjutkan perintahnya menghalang kerajaan Australia daripada berbuat demikian.

Rancangan kerajaan menerbangkan 16 pencari suaka ke Kuala Lumpur pada tarikh itu tergendala apabila Hakim Kenneth Hayne mengeluarkan injunksi sementara lewat semalam yang dipohon Pusat Orang Pelarian dan Undang-undang Imigresen, lapor Australian Associated Press.

Hakim Hayne pada hari ini melanjutkan tempoh injunksi itu sehingga mahkamah penuh membuat keputusan tentang kedudukan dasar kerajaan itu di sisi undang-undang, kemungkinan besar pada sidang khas yang bermula 22 Ogos ini.

Permohonan bagi mendapat perintah mahkamah itu dibuat oleh peguam David Manne — yang mengetuai Pusat Orang Pelarian dan Undang-undang Imigresen — bagi pihak 42 pencari suaka, termasuk enam kanak-kanak.

Dalam hujahnya, peguam itu berkata, persoalan yang perlu dijawab ialah sama ada penyingkiran anak guamnya ke Malaysia adalah sah di sisi undang-undang. – Bernama

Sunday, August 7, 2011

Tambah keluasan santuari penyu

KEMAMAN 6 Ogos - WWF-Malaysia meminta kerajaan Terengganu supaya menambah keluasan kawasan santuari penyu di Ma"Daerah Kerteh dalam usaha menambah keberkesanan kawasan itu sebagai pusat pemuliharaan penyu.

Ketua Program Pemuliharaan Penyu dan Tuntung Laut Terengganu, WWF-Malaysia, Rahayu Zulkifli berkata, pada masa kini hanya 23.65 hektar yang diwartakan dan ia perlu diperluaskan sehingga 70 hektar mencakupi tanah rendah di kawasan pantai serta pinggir Bukit Labohan Kecil dan Labohan Besar.

Beliau berkata, kedua-dua Bukit Labohan Besar dan Kecil ini bertindak sebagai penampan kritikal bagi pusat santuari penyu dengan melindungi kawasan itu daripada cahaya, bunyi bising dan gangguan lain.

Katanya, pewartaan kedua-dua bukit ini mengikut Enakmen Taman Negeri Terengganu 1986 akan dapat membantu memastikan zon penampan ini kekal terpelihara.

"Ini sekaligus memastikan Ma"daerah kekal dilindungi sebagai pusat santuari penyu yang terpenting di Malaysia," katanya ketika ditemui di Pusat Santuari Penyu Ma"Daerah di sini, hari ini. - Bernama

Kejatuhan saham Asia tidak jejas ekonomi Malaysia

KEPALA BATAS 6 Ogos - Kejatuhan pasaran saham Asia yang disebabkan krisis hutang Eropah dan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS) tidak akan memberi kesan buruk kepada kestabilan ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, perkembangan tersebut hanya bersifat sementara dan belum ada petunjuk kemungkinan berlaku kemelesetan ekonomi dunia dalam masa terdekat.

''Saya fikir keadaan ini tidak akan menjejaskan kita kerana ekonomi negara tidak terdedah secara terus dengan krisis yang sedang berlaku di AS dan Eropah," katanya selepas menyampaikan bantuan kepada ibu tunggal bagi Parlimen Tasek Gelugor di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kejatuhan pasaran saham Asia berikutan keadaan ekonomi di AS dan Eropah sekali gus mencetuskan kebimbangan fenomena kemelesetan ekonomi dunia akan berulang.

Semalam, Dow Jones mencatatkan kejatuhan paling teruk iaitu 4.3 peratus dalam tempoh sehari sejak 2008.

Nor Mohamed berkata, senario tersebut banyak dipengaruhi kebimbangan terhadap cara AS mengurus perbelanjaannya selain pertumbuhan ekonomi yang sangat perlahan.

Beliau bagaimanapun berkata, perkembangan itu hanya bersifat sementara dan proses pemulihan ekonomi dunia yang menjadi perlahan banyak bergantung kepada pertumbuhan ekonomi di China dan India.

''Dalam hal ini, kita mempunyai asas ekonomi yang kukuh untuk berdepan apa juga kemungkinan ekoran ketidaktentuan yang sedang berlaku.

''Kita juga bernasib baik kerana mempunyai hubungan dagang dengan China dan India yang merupakan gergasi ekonomi dunia dan pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara ini juga merupakan faktor penting kepada pemulihan ekonomi dunia," jelasnya.

Raja Berperlembagaan: Sistem unggul bagi Malaysia

SISTEM Raja Berperlembagaan merupakan salah satu dari tiga teras asas pemerintahan Malaysia selain sistem Demokrasi Berparlimen dan sistem Persekutuan.

Ketiga-ketiga teras asas kenegaraan ini telah dimaktubkan ke dalam peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mengikut Perkara 4 Fasal 1 merupakan undang-undang tertinggi negara semenjak merdeka hampir lima puluh empat tahun yang lalu.

Malaysia amat bertuah kerana apabila kemerdekaan diperoleh dari United Kingdom pada tahun 1957 bapa-bapa pengasas negara kita (our founding fathers) telah membuat keputusan yang berpandangan jauh dengan mengekalkan sistem pemerintahan beraja sebagai teras utama sistem pemerintahan. Kebijaksanaan bapa-bapa kita ini semakin terserlah apabila sistem beraja yang diterimapakai adalah sistem Raja Berperlembagaan dan bukannya sistem monarki mutlak.

Untuk lebih lima dekad sistem Raja Berperlembagaan telah memberikan kestabilan dan keamanan yang diperlukan kepada sebuah negara yang mempunyai kemajmukan yang kompleks, berbilang bukan sahaja etnik tetapi juga bahasa, budaya dan agama untuk merancang serta melaksanakan inisiatif-inisiatif pembangunan yang diperlukan bagi meningkatkan taraf hidup warganya.

Berubah

Hasilnya dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah yang bergantung kepada komoditi getah dan bijih timah dan di mana lebih separuh penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan telah berubah menjadi sebuah negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi dan mempunyai ekonomi yang pelbagai dalam masa satu generasi.

Sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia diinstitusikan melalui jawatan Yang di-Pertuan Agung yang bertindak sebagai Kepala Utama Negara melalui peruntukan Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan. Berbeza dengan konsep “ Divine Right of Kings” doktrin yang dikembangkan dan diguna-pakai di benua Eropah semasa zaman pertengahan di mana mengikut doktrin ini raja dipilih oleh Tuhan dan hanya bertanggungjawab kepadanya dan mana-mana manusia yang tidak mematuhi perintah Raja adalah berdosa, kedudukan, peranan dan kuasa yang Di Pertuan Agung yang merupakan raja berperlembagaan telah di tinta dan diperincikan oleh perkara-perkara, fasal-fasal dan seksyen dalam Perlembagaan Persekutuan serta Akta Parlimen.

Terang lagi bersuluh sebagai Raja Berperlembagaan Yang di-Pertuan Agung tidak boleh melunaskan kuasa dan tanggungjawab baginda secara berwewenang tetapi berdasarkan kepada apa yang tersurat dan tersirat dalam undang-undang negara. Di United Kingdom prinsip ini dinukilkan sebagai “ratu/raja bertakhta tetapi tidak memerintah” kerana yang menjalankan pemerintahan atas nama Baginda adalah kerajaan yang dipilih rakyat melalui pilihan raya umum.

Dalam perlembagaan prinsip dan konsep Raja Berperlembagaan dilakar melalui Perkara 39 dan Perkara 40. Perkara 39 menyatakan “Kuasa Pemerintah bagi persekutuan adalah terletak pada Yang di-Pertuan Agung dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan jadual kedua, kuasa itu boleh dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi parlimen boleh dengan undang-undang memberi tugas-tugas pemerintah kepada orang-orang lain.

Peruntukan

Perkara 40 pula adalah peruntukan yang memperjelaskan konsep kedaulatan rakyat dan raja berperlembagaan serta hubungan di antara kedua-duanya. Yang di-Pertuan Agung bukan sahaja perlu melaksanakan tanggungjawab baginda berasaskan undang-undang mengikut Perkara 39 tetapi juga berdasarkan nasihat mengikut Perkara 40; Fasal 1 berbunyi “Pada menjalankan tugas-tugasnya di bawah perlembagaan ini atau di bawah undang-undang persekutuan, Yang Di Pertuan Agung hendaklah bertindak mengikut nasihat jemaah menteri atau nasihat seorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am jemaah menteri, kecuali sebagaimana diperuntukkan selainnya oleh perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agung adalah berhak, atas permintaannya, mendapat apa-apa maklumat mengenai pemerintahan persekutuan yang boleh didapati oleh jemaah menteri.”

Fasal 1 diperjelas dan perincikan lagi melalui Fasal (1A) iaitu “Pada menjalankan fungsi-fungsinya di bawah perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agung dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat , Yang di-Pertuan Agung hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.”

Lebih memperjelaskan prinsip Raja Berperlembagaan di Malaysia adalah apabila dalam Perlembagaan Persekutuan diperincikan perkara-perkara yang boleh dilakukan mengikut budi-bicara Baginda sepertimana Fasal 2 Perkara 40;

“Yang di-Pertuan Agung boleh bertindak menurut budi-bicaranya pada melaksanakan tugas-tugas yang berikut, iaitu:

(a) melantik seorang Perdana Menteri

(b) tidak mempersetujui permintaan membubar Parlimen;

(c) meminta supaya diadakan suatu mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan mengambil apa-apa tindakan dalam mesyuarat itu, dan dalam apa-apa hal lain yang tersebut dalam perlembagaan ini”.

Di dalam menjalankan kuasa budi bicaranya juga baginda dibatasi oleh peruntukan perlembagaan. Contohnya dalam melantik seorang Perdana Menteri beliau terbatas pilihannya kepada seorang ahli Dewan Rakyat yang pada pendapat Baginda akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan itu. Dari segi realitinya baginda akan melantik pemimpin parti yang menguasai majoriti kerusi dalam Dewan tersebut.

Era monarki mutlak di semenanjung Tanah Melayu sebenarnya tidak tamat dan digantikan oleh sistem Raja Berperlembagaan dengan berolehnya kemerdekaan pada tahun 1957, sebaliknya ia berakhir dan negara telah memulakan perjalanan ke arah sistem Raja Berperlembagaan lebih awal lagi apabila Perjanjian Pangkor di tandatangani pada 20 September 1874 di antara Inggeris yang diwakili ketika itu oleh Gabenor Negeri- Negeri Selat dan Sultan serta Pembesar Negeri Perak (Bendahara, Temenggung, Menteri, Syahbandar, Raja Mahkota, Laksamana dan Dato’ Sagor Perak).

Mengikut Artikel Enam perjanjian itu;-

“Bahawa Sultan menerima dan menyediakan sebuah kediaman yang sesuai untuk seorang Pegawai British yang dinamakan Residen, yang akan ditauliahkan ke istana baginda, dan nasihatnya mestilah diminta dan diambil tindakan atas semua persoalan selain yang menyentuh agama Islam

Saturday, August 6, 2011

Makin serius?

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Ekonomi di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah kini semakin membimbangkan, sekali gus memerlukan Malaysia memantau perkembangan negara-negara itu secara serius.

Para penganalisis ekonomi tempatan berkata, meskipun pada dasarnya ekonomi kukuh tetapi setiap kali negara-negara itu 'bersin', satu dunia akan mendapat tempiasnya.

Ketua Ekonomi Bank Islam (M) Bhd., Azrul Azwa Ahmad Tajudin berkata, situasi di negara-negara tersebut sudah pasti akan memberi kesan bukan sahaja kepada eksport tetapi juga kemasukan pelaburan langsung asing (FDI).

Menurut beliau, sebagai antara negara dagangan terbesar negara, kegawatan ekonomi AS akan menjejaskan kuasa beli di kalangan rakyat negara itu kerana jumlah pengangguran meningkat.

''Apabila ini berlaku, maka eksport negara secara tidak langsung juga terjejas.

''Begitu dengan FDI, dalam keadaan begitu kita boleh menjangkakan jumlah kemasukan pelabur asing dari AS mahupun Eropah terjejas,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejatuhan pasaran saham Asia berikutan kebimbangan keadaan ekonomi di AS dan Eropah.

Semalam, Dow Jones mencatatkan kejatuhan paling teruk iaitu 4.3 peratus dalam tempoh sehari sejak 2008.

Pada penutup urus niaga pada pukul 5 petang tadi, FTSE Bursa Malaysia Indeks Komposit Kuala Lumpur (FBM-KLCI) jatuh 22.43 mata kepada 1,524.43 mata.

Korea Selatan turut merekodkan kejatuhan terbesar dalam tempoh sehari sejak November 2009 apabila merudum 74.72 mata kepada 1,943.75, penurunan terendah dalam tempoh lima bulan.

Pasaran saham Hang Seng juga merosot 4.29 peratus kepada 20,946.14 mata manakala Shanghai jatuh 1.68 peratus dan Mumbai 2.71 peratus dalam dagangan sepanjang hari ini.

Menurut Pengarah Eksekutif Jupiter Sdn. Bhd., Nazarry Rosly, berdasarkan pandangan pasaran, sekiranya Dow Jones Industrial Index jatuh di bawah paras 12,000 mata, ia menunjukkan tanda-tanda kemelesetan ekonomi mungkin akan berlaku.

Malah sentimen pelabur yang mula menjual saham masing-masing menunjukkan rasa bimbang terhadap ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.

"Ini bukan bersifat sementara tetapi mungkin mengambil masa untuk pulih semula," katanya.

Bagaimanapun kata Nazarry, kekukuhan asas ekonomi Malaysia yang didorong oleh permintaan domestik dan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) akan menjadi penampan bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan ekonomi global.

"Namun ia bukan sesuatu yang mutlak kerana AS adalah rakan dagang terbesar Malaysia dan sebarang perkembangan di negara itu memberikan kesan kepada Malaysia.

"Kita bernasib baik kerana memulakan perdagangan dengan China dan India yang merupakan gergasi ekonomi dunia," katanya.

Pakar Ekonomi Kanan AmInvestment Bank Bhd., Manokaran Mottain berkata, keadaan ekonomi di AS dan Eropah telah menjadikan keadaan ekonomi dunia semakin sukar diramalkan.

Bagaimanapun, Malaysia dijangka mampu berhadapan dengan situasi semasa kerana tidak mempunyai pendedahan terus.

Friday, August 5, 2011

Siasatan segera elak eksploitasi

NUSAJAYA 4 Ogos – Polis akan menyegerakan siasatan berhubung dakwaan pelajar sekolah didera secara fizikal semasa menyertai kursus motivasi di Penjara Kluang bagi mengelakkan kes itu dieksploitasi oleh mana-mana pihak.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff (gambar) berkata, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Fawzi Arshad telah diarahkan untuk mengetuai siasatan kes berkenaan.

“Kita juga telah merekodkan beberapa kenyataan daripada pihak terbabit dan mahu perkara itu diselesaikan segera kerana tidak mahu ia dipolitikkan pihak-pihak tertentu.

“Setelah meneliti laporan awal, saya berpuas hati dengan perkembangan semasa kes itu,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Nusajaya di Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya, di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan media baru-baru ini mengenai dakwaan 33 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda dibotakkan, dipukul di perut, digari, dicengkam di tengkuk dan dipaksa menggunakan pakaian banduan semasa menghadiri kursus motivasi di Penjara Kluang, minggu lalu.

Para pelajar terlibat juga mendakwa sepanjang tempoh berada di situ mereka dilayan tidak ubah seperti banduan.

Pada majlis tersebut, Deputi Supritendan Razak Md. Said dilantik memangku jawatan Ketua Polis Daerah bagi menggantikan Asisten Komisioner Abdul Aziz Ahmad yang kini bertugas sebagai Ketua Jabatan Pengurusan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Turut hadir Pemangku Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Ramli Hassan; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Amer Awal dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Kamarudin A. Aziz.

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
pengarang@utusan.com.my

Perabot kita kesembilan di dunia

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Perabot Malaysia menduduki tempat kesembilan dalam kalangan pengeluar industri itu yang mendapat perhatian di seluruh dunia.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, industri perabot negara semakin berkembang kerana lebih berteraskan reka bentuk dan gaya hidup.

"Jika bercakap tentang perabot, yang menjadi sebutan adalah IKEA. Malaysia juga boleh mempunyai gedung perabot seperti itu, mungkin Mikea iaitu Ikea Malaysia asalkan ada usaha bersepadu untuk meningkatkan industri perabot tempatan," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pameran Perabot dan Kelengkapan Malaysia 2011 (MF3) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Persatuan Usahawan Perabot Kuala Lumpur dan Selangor (KLSFEA), Edmond Chew.

Pameran yang akan berlangsung sehingga Ahad ini mempamerkan pelbagai reka bentuk perabot di 207 gerai jualan yang disertai lebih 100 pengusaha perabot tempatan.

Sementara itu Edmond berkata, pihaknya menyasarkan 100,000 pengunjung menyaksikan pameran tersebut dengan perolehan sebanyak RM55 juta berbanding 70,000 pengunjung dengan jumlah perolehan RM50 juta tahun lalu.

Kementerian, polis tangani isu peralat anak yatim

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menggunakan sepenuhnya peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 bagi menangani isu eksploitasi golongan itu dalam aktiviti mengutip dana awam.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, satu perbincangan dengan PDRM termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diadakan Selasa lalu bagi tujuan tersebut.

"Kita juga telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi menangani isu ini," katanya pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat wakil khas Amerika Syarikat (AS) ke negara-negara Islam, Farah Anwar Pandith di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan berhubung penggunaan kanak-kanak dalam menjalankan aktiviti meminta sedekah yang berselindung di sebalik nama institusi atau rumah anak-anak yatim yang didapati kembali aktif sejak kebelakangan ini.

Malah dalam tinjauan yang dilakukan Utusan Malaysia di sekitar Lembah Klang turut mendapati sebuah pusat tahfiz anak-anak yatim di Kedah yang pernah diarah menghentikan operasi serta-merta oleh pihak berkuasa masih menjalankan aktiviti itu.

Shahrizat berkata, antara persetujuan yang dicapai dalam perbincangan dengan beberapa agensi itu termasuklah mengadakan operasi bersepadu bagi membolehkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyelamatkan kanak-kanak yang didapati digunakan bagi aktiviti mengutip derma.

"PDRM pula akan menahan, menyiasat dan mendakwa pihak yang dikesan mengeksploitasi kanak-kanak," katanya.

Tambahnya, ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang diselamatkan pula boleh dikenakan bon oleh pihak mahkamah di bawah Seksyen 30 Akta Kanak-Kanak 2001 bagi memastikan mereka tidak mengabaikan kebajikan dan kesejahteraan golongan itu.

Menurutnya, seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali terhadap sesiapa yang didapati bersalah mengeksploitasi kanak-kanak untuk mendapatkan dana
-----------------------------------------------------------------

Pusat tahfiz nafi pelajar minta sedekah

ALOR SETAR 4 Ogos - Sebuah pusat tahfiz anak-anak yatim di Kuala Kedah, dekat sini menafikan menggunakan penghuninya untuk menjalankan kegiatan 'meminta sedekah' sebaliknya mereka menganggap pelajar-pelajarnya melakukan aktiviti jualan amal.

Pengetua pusat tahfiz terbabit, Muslim Ab. Karim berkata, pusat itu terpaksa berbuat demikian bagi mengisi dana ekoran sumber kewangan yang terhad.

Menurutnya, ia juga merupakan salah satu aktiviti kokurikulum pelajar-pelajar tersebut selain bertujuan melatih mereka berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.

"Kanak-kanak ini bukan meminta sedekah tetapi mereka menjual produk tertentu yang dibekalkan namun sesetengah orang salah anggap dengan mengatakan mereka meminta sedekah," katanya ketika ditemui di pusat tersebut di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini dalam laporan khasnya mendedahkan terdapat anak-anak yatim dari sebuah pusat tahfiz di Kuala Kedah di sini yang menjalankan aktiviti meminta sedekah di Lembah Klang.

Laporan muka depan tersebut memberitahu, aktiviti itu didapati berselindung di sebalik nama institusi itu untuk mengumpul dana manakala para pelajarnya meminta simpati menjual cekera padat (CD), madu, buku agama dan barangan lain.

Mengulas lanjut, Muslim berkata, pusat tersebut memerlukan dana RM40,000 sebulan untuk menampung aktiviti penghuni di situ, termasuk gaji tenaga pengajarnya.

"Jualan amal ini sedikit sebanyak dapat menampung membiayai kos tersebut. Lagipun aktiviti ini mendapat kebenaran daripada waris kanak-kanak terbabit dan bukan dipaksa," katanya.

Katanya, beroperasi lebih 15 tahun lalu, pusat tersebut menempatkan lebih 105 penghuni berusia daripada tujuh hingga 12 tahun yang datang dari seluruh negara.

----------------------------------------------------------------------------

3 murid sekolah tahfiz ditahan

SUNGAI PETANI 4 Ogos – Polis menahan tiga murid sekolah maahad tahfiz berusia 12 tahun selepas didakwa terlibat melakukan aktiviti luar tabii terhadap pelajar baru di asrama sekolah terbabit di Kuala Pegang, Baling dekat sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Mat Daud Mat Hassan berkata, suspek yang merupakan pelajar senior sekolah itu ditahan di rumah masing-masing sekitar Baling, semalam.

“Siasatan kes itu dilakukan di bawah Seksyen 377A iaitu persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii. Polis akan mengambil keterangan mangsa-mangsa dan juga pengurusan sekolah terlibat bagi melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, seorang murid tahfiz berusia sembilan tahun terlantar di hospital sejak beberapa hari lalu dipercayai diliwat, dipaksa melakukan seks oral dan didera oleh murid senior berusia 12 tahun mereka di sebuah sekolah agama tahfiz swasta di Kuala Pegang, Baling.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku semasa mangsa terbabit mengikuti sesi orientasi dan suai kenal selama 40 hari bermula Jun lalu.

Berikutan kejadian itu, ibu bapa kepada tiga daripada mangsa terlibat membuat laporan di Balai Polis Baling pada 30 Julai lalu.

Mat Daud berkata, kesemua suspek itu kini dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu siasatan.

“Polis akan menjalankan siasatan lengkap termasuk mengenal pasti kemungkinan terdapat mangsa lain dalam kes berkenaan,” katanya.

Beliau juga menasihatkan media supaya tidak mensensasikan laporan kes itu memandangkan ia melibatkan pesalah juvenil.

Sementara itu, seorang murid yang ditemui pemberita memberitahu, kejadian tersebut berlaku kira-kira dua minggu selepas mereka mendaftar sesi orientasi pada 26 Jun lalu.

Katanya, semasa berada di asrama, dia dan dua lagi rakan masing-masing berusia lapan dan sembilan tahun, tidur di asrama sekolah berkenaan.

“Kami ditangkap oleh tiga senior dan dipaksa tidur meniarap. Saya tidak dapat bertindak kerana badan ditindih dari belakang,” katanya.

Murid itu berkata, dia dan rakan-rakan tidak berani melaporkan kejadian itu kerana diugut selain dipukul oleh suspek.

Bayar zakat fitrah online akan dipertimbang

KUALA LUMPUR 5 Ogos — Kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan supaya pembayaran zakat fitrah dapat dibuat secara dalam talian menerusi portal Pusat Pungutan Zakat (PPZ), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata proses itu boleh dilaksanakan sepertimana pembayaran zakat pendapatan dan zakat perniagaan.

"Jika sistem pembayaran itu dilaksanakan, umat Islam tidak perlu gusar kerana pembayaran zakat seumpama itu dikira sah dari segi akadnya walaupun dibuat secara online.

"Kebiasaannya pembayaran zakat firtah dibuat melalui amil-amil yang telah dilantik tetapi Insya-Allah cadangan ini akan kita pertimbangkan di masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan penjenamaan semula portal PPZ Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), di sini malam tadi.

Jamil Khir berkata cadangan sebegitu mempunyai kebaikan memandangkan pembayaran zakat perniagaan dan zakat pendapatan yang diadakan melalui online sejak tahun lepas mendapat sambutan hebat khasnya daripada mereka yang berumur bawah 40 tahun. - Bernama

Thursday, August 4, 2011

Taktik terbaru seludup dadah

SHAH ALAM 3 Ogos – Polis memberkas seorang lelaki warga Iran yang membawa masuk replika kepala harimau seberat 8.4 kilogram diperbuat daripada dadah jenis syabu bernilai RM1.6 juta yang dikeraskan dalam acuan sebelum dibentuk dan diwarnakan.

Suspek berusia 26 tahun ditahan sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, ini merupakan kali pertama pihaknya merampas syabu yang telah dibentuk dan diwarnakan menjadi replika kepala harimau.

Beliau berkata, replika itu kemudian dimasukkan ke dalam kotak agar nampak seperti cenderahati bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Namun hasil penelitian dan siasatan, pihak kami berjaya mengesan taktik terbaru yang digunakan sindiket dadah ini dan memberkas keldai dadah yang terlibat,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Dalam satu lagi serbuan yang dibuat di KLIA kelmarin, Tun Hisan memberitahu, seorang lelaki warga Nigeria berusia 31 tahun diberkas setelah polis menemui 15 potong ikan masin yang disumbat dengan 1.01 kilogram syabu di dalam bagasinya.

Ujar beliau, taktik itu dipercayai digunakan mungkin kerana sindiket pengedaran dadah terlibat menyangka ikan masin tersebut dapat menyembunyikan bau dadah daripada dihidu oleh anjing pengesan.

“Mereka ini menggunakan pelbagai taktik. Jika beberapa bulan lepas, mereka menggunakan taktik memotong ubi kayu dan menyumbat dadah di bahagian tengahnya, kali ini mereka memasukkan dadah ke dalam perut ikan masin pula,” ujar beliau.

Tambah Tun Hisan, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

Oleh AZIAN AZIZ
utusan@pengarang.com.my

Berita Mismah diberi taraf warganegara empat jam tidak benar

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini menafikan laporan portal berita propembangkang yang mendakwa seorang pemegang kad pengenalan merah, Mismah mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia dalam tempoh empat jam.

Sebaliknya Ketua Pengarah JPN, Datin Jariah Mohd. Said berkata, rekod telah menunjukkan bahawa Mismah telah mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia pada 31 Januari lalu selepas 29 tahun memegang taraf penduduk tetap Malaysia.

"Berkaitan kes Mismah, dakwaan bahawa beliau menjadi warganegara dalam tempoh empat jam setelah mendapat taraf Penduduk Tetap (atau PR) adalah tidak benar. Rekod menunjukkan beliau mendapat taraf Penduduk Tetap pada 17 Julai 1982.

"Beliau telah diluluskan Taraf Kewarganegaraan Malaysia pada 31 Januari 2011 di bawah Perkara 19, Perlembagaan Persekutuan selepas 29 tahun memegang taraf Penduduk Tetap Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan rentetan daripada tindakan portal berita propembangkang yang mendakwa seorang pemegang kad pengenalan merah bernama Mismah telah diberi status warganegara dalam tempoh empat jam sahaja.

Menurut portal tersebut, ia bertujuan untuk membolehkan Mismah didaftar sebagai pengundi baru dalam senarai daftar tambahan pemilih.

Bukan Mismah sahaja malah pihak pembangkang dalam sidang akhbarnya hari ini mendakwa terdapat 1,597 Penduduk Tetap telah ditukar status kepada warganegara dalam tempoh terlalu singkat bagi membolehkan nama mereka dimasukkan ke dalam senarai pendaftaran pemilih baru.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayob berkata, berdasarkan jumlah tersebut terdapat tiga negeri yang mencatatkan jumlah yang tertinggi iaitu Selangor dengan 1,108 orang, Johor (380 orang) dan Wilayah Persekutuan (52 orang) sebagai pemilih baru .

Dalam perkembangan berkaitan, Jariah berkata, pertimbangan permohonan taraf warganegara Malaysia tertakluk di bawah Perlembagaan Persekutuan antaranya isteri kepada warganegara.

"Dua perkara lagi ialah mereka yang lahir di Malaysia sebelum tarikh kemerdekaan dan warga asing yang telah bermastautin tetap di Malaysia tidak kurang dari 12 tahun," ujarnya.

Beliau berkata, sejak 9 April 2009 sehingga 15 Julai 2011, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah menimbangkan sebanyak 72,334 permohonan Taraf Kewarganegaraan Malaysia.

Daripada jumlah tersebut, katanya, 29,290 permohonan telahpun diluluskan.

"Angka ini merupakan sebahagian daripada Prestasi Petunjuk Utama (KPI) Menteri Dalam Negeri yang mana (secara keseluruhannya) sebanyak 219,000 permohonan telah berjaya diselesaikan.

"Ia termasuk 72,334 permohonan Taraf Kewarganegaraan Malaysia, 31,449 permohonan Penduduk Tetap, 108,906 permohonan Daftar Lewat Kelahiran dan 6,311 permohonan di bawah program My-Daftar,'' katanya lagi.

----------------------------------------------

JPN: Tiada rakyat asing dapat kewarganegaraan pintas

04/08/2011 2:52am

KUALA LUMPUR 4 Ogos — Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semalam menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa seorang rakyat asing bernama Mismah telah diberi taraf kewarganegaraan dalam tempoh empat jam setelah mendapat taraf Penduduk Tetap.

Ketua Pengarah JPN, Datin Jariah Mohd. Said dalam kenyataan di sini berkata, mengikut rekod, Mismah telah mendapat taraf Penduduk Tetap pada 17 Julai 1982 dan diluluskan taraf Kewarganegaraan Malaysia pada 31 Jan 2011.

Beliau berkata, kewarganegaraan Malaysia itu diberi di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan iaitu warga asing yang telah bermastautin tetap di Malaysia tidak kurang dari 12 tahun.

Jariah berkata, sejak 9 April 2009 hingga 1 Julai 2011, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah menimbang sebanyak 72,334 pemohonan taraf kewarganegaraan Malaysia, dan sebanyak 29,290 daripada jumlah itu telah diluluskan.

Angka itu merupakan sebahagian 219,000 permohonan yang telah berjaya diselesaikan kementerian itu.

Kes lain termasuk 31,449 permohonan untuk Penduduk Tetap, 108,906 permohonan Daftar Lewat Kelahiran dan 6,311 permohonan di bawah program My-Daftar. — Bernama

Wednesday, August 3, 2011

Botakkan pelajar: Laporan dihantar kepada Kementerian Pelajaran

JOHOR BAHRU 2 Ogos - Laporan penuh mengenai dakwaan 33 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU) yang mereka didera secara fizikal termasuk dibotakkan kepala ketika mengikuti kursus motivasi di Penjara Kluang, minggu lalu sudah dihantar kepada Kementerian Pelajaran semalam.

Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Nor A. Ghani berkata, laporan itu disediakan hasil maklumat pihak yang terlibat iaitu pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKBBU dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Johor Bahru.

"Kita telah serahkan laporan kepada Kementerian Pelajaran untuk tindakan lanjut. Laporan itu perlu diserahkan segera bagi memastikan ia dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini mengenai dakwaan 33 pelajar SMKBBU yang bukan sahaja dibotakkan tetapi juga dipukul di perut, digari, dicengkam di tengkuk dan dipaksa menggunakan pakaian banduan semasa menghadiri kursus motivasi itu.

Pelajar terlibat juga mendakwa sepanjang tempoh berada di situ, mereka dilayan tidak ubah seperti banduan yang melakukan jenayah.

Sementara itu, Pengetua SMKBBU, Siti Raudah Moh memberitahu, beberapa pegawai Jemaah Nazir Sekolah turut berkunjung ke sekolah itu untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian itu.

"Mereka yang terbabit secara langsung dalam siasatan itu termasuk saya dan dua guru pengiring kumpulan pelajar berkenaan semasa menjalani program itu di Penjara Kluang," katanya.

Kata beliau, pihaknya turut mengadakan perjumpaan dengan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Johor Bahru, beberapa kakitangan yang berkaitan daripada Jabatan Pelajaran negeri dan wakil Perunding Latihan Koperasi Penjara (Kopen), Kluang yang bertanggungjawab mengendalikan kursus itu.

"Sebelum kursus dan selepas isu ini timbul, saya dimaklumkan oleh perunding tersebut bahawa dakwaan pelajar didera secara fizikal termasuk dipukul, digari dan dipukul di perut adalah tidak betul.

"Ia sekadar simulasi bagi menerangkan keadaan dan perkara yang dialami oleh banduan di dalam penjara. Mesej yang hendak diterjemahkan kepada para pelajar adalah supaya bencikan penjara dan elakkan diri daripada masuk penjara," katanya.

Siti Raudah berkata, pihaknya membuat keputusan menghantar pelajar berkenaan yang menghadapi masalah disiplin menjalani kursus itu setelah mendapat maklum balas dari Sekolah Menengah Seri Rahmat dan Sekolah Menengah Tun Syed Nasir, Majidee Baru yang turut menghantar pelajarnya menjalani kursus sama.

"Saya mendapat maklum balas daripada pihak pengurusan kedua-dua sekolah terbabit bahawa impak kursus itu cukup baik apabila para pelajar menunjukkan perubahan akhlak yang bagus berbanding sebelum menjalani kursus tersebut," katanya

Fahami undang-undang sebelum buat kenyataan

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Rakyat negara ini dinasihatkan agar memahami sedalam-dalamnya setiap akta atau perundangan yang dilaksanakan sebelum membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan nama baik negara.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, berdasarkan pemerhatiannya, ramai di kalangan rakyat negara ini gemar membuat kenyataan mengikut fahaman sendiri sehingga menyebabkan negara lain mempunyai pandangan serong terhadap Malaysia.

Tindakan itu katanya, bukan sahaja tidak mendatangkan faedah malah mampu membawa kesan buruk kepada negara.

"Sebagai contoh ramai yang bercakap tentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Tetapi adakah mereka tahu mengapa ia diwujudkan dan bagaimana undang-undang itu wujud?

"Fahami sejarah serta aspek perundangan sebelum buat kenyataan. Dalam isu ISA, bukan kita sahaja yang mengamalkannya malah ia turut dilaksanakan di negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Duta Switzerland, Dr. Rolf Lenz di pejabatnya di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Pertemuan selama sejam itu banyak berkisar mengenai hubungan antara kedua-dua negara selain penyerahan jemputan secara rasmi untuk Abu Zahar menghadiri Himpunan Kesatuan Antara Parlimen (IPU) yang bakal berlangsung di Berne, Switzerland pada 16 hingga 19 Oktober nanti.

Beliau yang juga pakar perundangan menambah, antara akta atau perundangan lain yang sering disalah erti adalah Artikel 10(1) Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan tentang kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

"Mereka mesti juga membaca fasal (2), (3) dan (4) Artikel 10 bagi memahami percakapan, himpunan dan persatuan bagaimana yang dibenarkan dalam Perlembagaan.

"Sebab itu apabila mahu berhimpun, kita perlu minta permit polis di mana pihak berkuasa akan teliti pelbagai aspek termasuk keselamatan dan ketenteraman awam. Bukan boleh dilakukan begitu sahaja kononnya dibenarkan oleh Perlembagaan," ujarnya.

Sementara itu beliau turut menzahirkan harapan agar para duta dan pesuruhjaya tinggi negara asing yang berada di sini lebih kerap mengadakan kunjungan sedemikian bagi lebih memahami keadaan di Malaysia.

"Saya percaya para duta dan pesuruhjaya tinggi ini turut berinteraksi dengan masyarakat luar. Justeru adalah lebih baik perbincangan diadakan secara begini bagi membolehkan mereka mendapat pandangan yang seimbang mengenai realiti negara ini," katanya.

"Bukan mahu menegakkan benang basah tetap sekurang-kurangnya kita boleh menerangkan kepada mereka dari sudut perundangan dan sejarah negara. Itu adalah lebih baik daripada mengambil sumber dari 'kedai-kedai kopi'," katanya

Tuesday, August 2, 2011

Sistem biometrik berjaya kesan pengganas - Hishammuddin

PUTRAJAYA 1 Ogos - Kemasukan anggota kanan kumpulan Jemaah Islamiah (JI) yang juga warga Indonesia, Agus Salim, ke negara ini, berjaya dikesan berikutan pelaksanaan sistem biometrik di pintu masuk negara bermula 1 Jun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 6 Jun lalu.

Katanya, ketika itu, Agus cuba membantu menyeludup keluar seorang pengganas amat dikehendaki kerajaan Singapura iaitu Mas Selamat Kastari yang bersembunyi di Johor.

Menurutnya, pengganas itu merupakan anggota JI yang diarahkan untuk membantu menyeludup keluar Mas Selamat menerusi jalan haram yang didalangi sindiket penyeludupan manusia.

"Agus pernah ditangkap sebelum ini iaitu pada 1 Mac 2009 dan telah pun diusir ke Indonesia pada 27 April tahun yang sama, namun berdasarkan hasil siasatan dan pemantauan rapi pihak berkuasa termasuk Jabatan Imigresen, Agus telah menyusup masuk semula ke negara ini hujung tahun lalu dengan menggunakan identiti baru.

"Dia menggunakan pasport Indonesia dengan nama Abdul Halim, namun pihak berkuasa berjaya mengesan pergerakan Agus berdasarkan rekod biometrik sebelum ditahan dan diusir sekali lagi ke negara asal," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, seorang warga Sri Lanka dikenali sebagai Thirugnanasampandar Manivannan, 37, yang ditahan 12 Jun lalu di Kuala Lumpur merupakan salah seorang militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang paling dikehendaki dan menjadi buruan kerajaan Sri Lanka.

Kedua-dua pengganas terbabit telah dihantar balik ke negara asal selepas kerajaan berpuas hati dengan hasil siasatan yang dilaksanakan pihak polis.

Hishammuddin turut merakamkan ucapan tahniah kepada pihak berkuasa khususnya polis dan Jabatan Imigresen kerana melaksanakan tugas dengan cekap sehingga dapat mengesan pengganas yang cuba menyelinap masuk ke negara ini.

"Saya juga mahu setiap gerak kerja berkaitan perjalanan, dokumen keluar masuk mereka yang datang ke negara ini dipantau dengan teliti demi untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman negara," katanya.

Tegas beliau, jenayah seumpama itu mempunyai kaitan dengan jenayah rentas sempadan yang didalangi pihak tertentu dan menjadikan wang ringgit sebagai matlamat utama.

Seludup manusia: Polis minta kerjasama Bank Negara

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapatkan kerjasama daripada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membanteras sindiket penyeludupan manusia yang menjadikan negara ini sebagai transit ke negara ketiga.

Sumber memberitahu, kerjasama yang dijalankan bertujuan mengesan bukti pengaliran wang masuk dari luar negara terhadap anggota sindiket di negara ini.

Katanya, wang itu dihantar oleh keluarga pelarian dari negara asal mereka yang bertujuan untuk membayar kos transit yang dikenakan anggota sindiket terbabit.

"Bagaimanapun, pengaliran wang masuk bagi tujuan itu sukar dikesan kerana mereka menggunakan khidmat pengurup wang dan bukannya melalui sistem perbankan.

"Sebagai contoh, pelarian di Malaysia akan meminta keluarga mereka untuk menghantar wang mengikut jumlah dituntut sindiket melalui pengurup wang.

"Pelarian kemudian akan menerima kod dari keluarga dan menebus wang tersebut di sini, sebelum diserahkan kepada sindiket," kata sumber itu ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini mendedahkan empat pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah antara 45 individu dikesan menjadi ketua sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI) ke negara ini.

Kata sumber itu, tindakan selanjutnya sedang diambil agensi-agensi terbabit termasuk BNM untuk memperhalusi dan menambah baik sistem pengurup wang bagi mengekang sindiket tersebut.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0802&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_01.htm

Prestasi jalur lebar merudum dalam tempoh dua tahun

KUCHING 2 Ogos - Kadar penembusan jalur lebar di negara ini semakin meningkat, namun prestasinya dianggap merudum berdasarkan peningkatan aduan pengguna bagi tempoh dua tahun lepas.

Pengarah Eksekutif Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), Azizan Mohamad Afandi berkata, pihaknya menerima 683 aduan mengenai perkhidmatan itu pada 2009, yang meningkat kepada 872 pada tahun lepas.

"Jumlah aduan mengenai perkhidmatan jalur lebar adalah tertinggi daripada semua jenis aduan yang kami terima,” katanya kepada Bernama.

Katanya, kebanyakan aduan tersebut berkaitan kelajuan perkhidmatan yang tidak memenuhi kehendak pelanggan serta liputan yang tidak meluas.

"Biasanya selepas menerima aduan, kami akan memaklumkan kepada penyedia perkhidmatan bagi mendapatkan penyelesaian menang-menang,” katanya. - Bernama

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0802&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_20.htm

Remaja Orang Asli mengaku salah bunuh tanpa niat

MARAN: Seorang remaja Orang Asli hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap dua pertuduhan iaitu membunuh tanpa niat adik kandungnya dan memiliki senjata api buatan sendiri. Bagaimanapun, Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali menetapkan 6 September depan bagi sebutan semula kes sebelum menjatuhkan hukuman.

Bagi pertuduhan pertama, remaja berusia 15 tahun itu mengaku bersalah tertembak adik perempuannya yang berumur 10 tahun apabila senjata api yang sedang dibersihkannya selepas berburu babi tiba-tiba meletup sendiri.

Kejadian itu berlaku di rumah tidak bernombor di Kampung Bagas, Kuala Sentul, Maran pada 26 Julai lalu di antara jam 7 malam dan 8.15 malam.

Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara atau dengan denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, remaja itu dituduh memiliki dua laras senapang buatan sendiri pada tarikh dan tempat yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata (Akta 206) yang memperuntukkan hukuman penjara setahun, denda RM5,000 atau kedua-duanya. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Norazlin Mohamad Yusoff. - BERNAMA

Rakyat, pelajar luar negara boleh mengundi

SPR kaji cara bolehkan semua laksana tanggungjawab

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara dan pelajar yang mengikuti pengajian separuh masa di luar negara boleh menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata perkara itu kini dalam peringkat kajian, termasuk mendapatkan pandangan Penasihat Undang-Undang SPR sama ada langkah sedemikian membabitkan pindaan undang-undang.Beliau berkata, sekiranya ia dapat dilaksanakan, maka pekerja dan pelajar di luar negara boleh melaksanakan tanggungjawab mereka menerusi sistem undi pos di pejabat kedutaan di luar negara.

“Ketika ini, mereka yang layak mengundi pos di pejabat kedutaan di luar negara ialah anggota polis dan tentera, kakitangan kerajaan bersama pasangan masing-masing dan juga pelajar Malaysia berserta isteri yang mengikuti pengajian mereka secara sepenuh masa.

“Kita menjangkakan pada pilihan raya umum akan datang semua rakyat kita yang bekerja di luar negara dan pelajar yang mengikuti pengajian separuh masa dapat turut menunaikan tanggungjawab masing-masing,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan bersedia mengkaji beberapa mekanisme bagi membolehkan rakyat dan pelajar Malaysia yang berada di luar negara mengundi pada pilihan raya. Abdul Aziz berkata, sebelum melaksanakannya, SPR juga perlu mendapatkan maklumat terkini jumlah keseluruhan rakyat serta pelajar Malaysia yang berada di luar negara serta mendaftar mereka sebagai pengundi.

“Antara masalah yang sering dihadapi kedutaan ialah kesukaran untuk mengenal pasti alamat sebenar rakyat kita kerana mereka sering bertukar alamat dan tidak memaklumkannya kepada pihak kedutaan,” katanya.

Dua sahabat ke tali gantung

GEORGE TOWN - Hubungan dua sahabat baik bakal berakhir di tali gantung setelah kedua-dua mereka dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas kesalahan mengedar ganja.

Shamshir Jamaluddin, 31, dan Zailani Zainal, 33, didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Hakim Datuk Zamani Abd. Rahim menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut.

Dalam penghakiman ringkasnya, Zamani berkata, pembelaan kedua-dua tertuduh bersifat penafian semata-mata.

"Shamshir menafikan dia telah berunding dengan sumber polis yang telah menyamar dan bertindak sebagai pembeli pada 11 Februari 2009 di Restoran Khaleel, di tepi pantai dan juga di Restoran Pelita.

"Dia juga nafikan membawa bungkusan plastik FOS yang berisi kanabis kira-kira pukul 10 malam serta mendakwa tidak mengetahui isi kandungan plastik itu semasa dia di dalam kereta Zailani," ujarnya.

Beliau berkata, mahkamah memutuskan dadah yang dijumpai adalah dimiliki Shamshir dan Zailani setelah meneliti keterangan saksi polis yang kredibel.

Sahmshir dan Zailani yang kelihatan tenang ketika mendengar keputusan sesekali menoleh ke galeri awam memandang ahli keluarganya.

Mereka didakwa bersama-sama mengedar ganja seberat 8.044 gram di Krystal Point Car Park, Jalan Sultan Azlan Shah, Sungai Nobong, di sini, pada 11 Februari 2009 di antara pukul 10 malam hingga 10.05 malam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tan Guat Cheng manakala Shamshir diwakili peguam V M Ravi dan Zailani Zainal diwakili peguam Anthony Chew.

Oleh ZAKI SALLEHzaki.salleh@kosmo.com.my

Followers

TENTANG DIRI SAYA

My photo
GURU AKADEMIK TINGKATAN ENAM SMK KHIR JOHARI, TG.MALIM. PENDIDIKAN; SK TOK KHALIFAH, PT.13 (1972-1977); SAMR SG. HJ. DORANI (1978-1980); SAMT SSAAS, BT. 38 (1981-1984); UNIV MALAYA (1985-1988); MPKTBR (1990); IPSI (1997); UPSI (2000-2005); UPSI (2008-?)

ALAMAT EMAIL

abdmaleks@yahoo.com
abdmaleks@gmail.com
There was an error in this gadget
Sejak 12 September 2009

ANDA BERMINAT?

KOMENTAR TERAKTIF

Widget by Blogger Widgets

KEMASAN TWEETER

Twitter Updates

    follow me on Twitter
     
    PENGAJIAN AM 900. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.