Friday, June 24, 2011

Usah ungkit perlembagaan negara

NUSAJAYA 23 Jun - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menasihati rakyat supaya tidak mengungkit perkara yang telah termaktub dalam perlembagaan negara bagi menghindari sebarang perasaan tidak puas hati dan buruk sangka masyarakat berbilang kaum.

Baginda bertitah, tindakan mengungkit perkara yang telah dipersetujui sekian lama itu oleh mana-mana kaum sama ada Melayu, Cina atau India boleh membawa kepada perpecahan dalam kalangan rakyat sehingga ia mampu mewujudkan polarisasi kaum.

“Jangan diungkit apa yang sudah termaktub dalam perlembagaan supaya terhindar daripada rasa tidak puas hati dan buruk sangka dan sikap ini sangat berbahaya kepada rakyat.

“Dalam hal ini semua rakyat jelata tidak kira bangsa dan keturunan mempunyai tanggungjawab memelihara keamanan dan kesejahteraan yang sedang kita nikmati ini,” titah baginda semasa merasmikan pembukaan penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor ke-12 di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Ali Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Sultan Ibrahim meminta pihak berkuasa supaya tidak membiarkan kumpulan pemimpin yang tamakkan kuasa demi kepentingan politik yang sempit mereka terus meracuni fikiran rakyat kerana keadaan itu jika dibiarkan menyebabkan perpecahan dalam masyarakat terutamanya membawa kepada polarisasi antara kaum.

Baginda yakin usaha kerajaan yang berterusan untuk menyatupadukan semua rakyat akan membolehkan negeri ini maju dan makmur.

“Sehubungan ini saya menyeru semua pihak terus memelihara kestabilan dan kemakmuran dengan berprinsipkan muafakat, kerana muafakat ini membawa berkat,” titah baginda.

“Jangan sekali-kali menjadikan masjid sebagai medan perbalahan dalam kalangan ahli kariah,” titah baginda sambil menyokong usaha kerajaan negeri membina 121 sekolah agama dalam tempoh tiga tahun ini untuk menampung keperluan lebih 120,000 murid yang kini menumpang di sekolah kebangsaan atau menyewa di bangunan lain.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_13.htm

Ketidakfahaman punca komputer mudah digodam

KUALA LUMPUR 24 Jun — Ketidakfahaman dan kegagalan pengguna Internet untuk memahami fungsi perisian komputer memberikan laluan mudah kepada penggodam untuk menyerang komputer mereka sewenang-wenangnya.

Naib Presiden Cyber Security Responsive Services, Adli Abd Wahid berkata, kebanyakan pengguna Internet di negara ini tidak tahu cara-cara perlindungan yang betul bagi memastikan komputer dan data mereka selamat.

Malah ada yang tidak mengetahui fungsi sebenar perisian “Firewall” walaupun sudah menggunakan Internet dengan begitu lama, katanya semasa ditemuramah dalam Program Kerusi Panas terbitan Bernama Radio24.

"Justeru, mereka perlu peka dan mengambil langkah proaktif untuk melindungi data dan sistem komputer mereka.

"Sebagai langkah persediaan, pengguna perlu memiliki dan memahami ilmu teknologi maklumat (IT) dengan sebaik-baiknya terutamanya mengenai isu keselamatan siber.

"Mahu tidak mahu, setiap pengguna perlu mempunyai ilmu IT kerana dalam era ini kita menggunakan komputer dan Internet secara meluas dalam kehidupan seharian,” katanya.

Adli berkata, tindakan penggodam yang tidak dikenali menyerang laman-laman web kerajaan baru-baru ini memerlukan pihak berkuasa, organisasi, pengguna Internet dan pentadbir web agar lebih peka dan mempersiapkan diri berdepan dengan serangan susulan. - Bernama

Wednesday, June 15, 2011

Langkah diambil halang laman web kerajaan digodam

KUALA LUMPUR 15 Jun — Tindakan yang sewajarnya sedang diambil bagi menghalang cubaan menggodam laman web rasmi kerajaan, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Mengulas laporan bahawa satu kumpulan dari luar negara dikenali ‘Anonymous’ mahu menggodam laman web www.malaysia.gov.my, beliau berkata, perkara itu adalah sesuatu yang tidak dijangka tetapi ancaman serupa pernah dibuat sebelum ini.

"Kita telah memberitahu perkara ini kepada pihak-pihak berwajib, dan kita telah mengambil tindakan pencegahan yang perlu menerusi Mampu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta agensi-agensi yang bertanggungjawab mengenai keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Penulis Blog dan Media Sosial Sedunia 2011 di sini hari ini. — Bernama

MOSTI tubuhkan pusat nano Malaysia bernilai RM200j

KUALA LUMPUR 15 Jun – Direktorat Nanoteknologi Kebangsaan (NND), unit kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), akan mewujudkan sebuah komplek Pusat Nano Malaysia bernilai RM200 juta di Taman Teknologi Tinggi Senai, Johor.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, projek itu, di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh, akan menjadi yang pertama seumpamanya di Malaysia bagi memacukan lagi perkembangan nanoteknologi.

"Pusat itu dijangka siap dalam tempoh 12 bulan dengan pusat-pusat pentadbiran dan inkubasi,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Ekspo Nano Malaysia 2011 di sini hari ini.

Ia akan bertindak sebagai satu pusat sehenti untuk aktiviti nanosains dan teknologi dan menyediakan “hubungan yang hilang” antara makmal dan pasaran.

Pusat itu akan dimajukan oleh Senai High Tech Park Sdn Bhd menerusi konsep kerjasama swasta-awam.

Ia akan diuruskan oleh NND dengan perbadanan Nano Malaysia Bhd sebagai jentera komersial. – Bernama

Saturday, June 4, 2011

Hartanah: Patut dijual atau dikekalkan?

NAZIRA Kamarulzaman, 54 tahun dari Taman Setiawangsa. Saya memiliki dua buah kediaman, satu rumah kos rendah dan satu lagi sebuah apartmen kos sederhana di Lembah Klang yang berusia 20 tahun dan 16 tahun.

Dua kediaman itu kini disewakan dan saya memperoleh sewa berjumlah RM1,000 bagi kedua-duanya. Persoalannya, pada jangka panjang apakah lebih untung sekiranya kediaman tersebut dikekalkan atau dijual untuk memiliki rumah baharu?

Kebelakangan ini kita sering mendengar perbualan umum tentang harga hartanah yang sudah naik dengan ketara dan persoalan timbul sama ada seseorang harus menjual hartanah dalam pasaran hartanah yang hangat ini, atau terus memegangnya untuk menikmati kenaikan nilai lanjut. Satu lagi persoalan ialah patutkah anda menjual hartanah dan melepaskan hasil yang anda terima daripada hartanah anda?

Keputusan untuk menjual rumah bukan senang, tidak kira apa keadaan ekonomi semasa. Pasaran hartanah terdiri daripada beberapa ‘pasaran’ yang lebih kecil. Harga pasaran berubah mengikut jenis rumah, lokasi, lokasi daripada prasarana, keadaan rumah dan pelbagai faktor lain.

Keputusan untuk terus memegang atau melepaskan pelaburan, sama ada hartanah atau saham, bergantung pada cara anda boleh melaburkan dana anda. Soalan penting yang perlu anda pertimbangkan ialah sama ada hasil daripada jualan hartanah boleh dilaburkan semula dalam sesuatu yang memberikan anda pulangan lebih tinggi. Pelaburan baru ini mungkin hartanah lebih besar atau pelaburan dalam bentuk lain. Jika tidak, adalah lebih baik untuk terus memegang hartanah anda dan terus meraih pendapatan sewa daripadanya.

Walaupun harga hartanah dan lokasi tidak diberitahu, sewa tahunan berjumlah RM12,000 atas harga belian bagi kedua-dua hartanah akan menentukan peratus pulangan sewa anda. Ini menjadi kayu pengukur pertama bagi anda. Adakah terdapat sebarang hartanah lain yang memberikan anda sewa, sebarang deposit atau pilihan pelaburan lain (contoh: ASB/unit amanah) yang memberikan anda hasil lebih tinggi tanpa meningkatkan risiko kehilangan keuntungan modal yang diraih daripada jualan hartanah anda? Tambahan lagi, pembelian dan jualan hartanah membabitkan kos urus niaga yang besar, termasuk kos ejen, yuran guaman dan duti setem. Anda juga perlu mengambil kira semua perkara ini.

Terdapat banyak faktor yang perlu dipertimbangkan apabila membuat keputusan ini dan walaupun keadaan mungkin berbeza bagi setiap kes, kami harap maklumat yang kami sampaikan dapat membantu anda.

Sebagai permulaan, anda perlu mengetahui nilai semasa rumah anda. Sebagai ukuran ringkas, anda perlu menentukan sekiranya ada hartanah yang baru dijual di kawasan sekitar dan harga jualannya. Secara alternatif, anda boleh mendapatkan khidmat penaksir atau ejen hartanah untuk menilai rumah anda. Selepas mengetahui nilai semasa rumah, bandingkannya dengan harga belian. Hartanah yang telah meningkat nilainya memudahkan keputusan untuk menjual.

Faktor penting kedua ialah, adakah hartanah anda telah dijelaskan sepenuhnya. Dalam kes anda, kediaman telah dibeli lebih daripada 15 tahun lepas dan kami bayangkan pinjaman telah dijelaskan sepenuhnya atau sebahagian besarnya dijelaskan. Jika anda mempunyai hutang yang belum jelas bagi hartanah ini, diharapkan anda tidak berhutang lebih daripada nilai hartanah. Dalam keadaan tersebut, selepas menjual rumah anda perlu menjelaskan perbezaan antara hasil jualan rumah dan jumlah hutang yang belum jelas.

Ketiga, anda perlu memahami tinjauan hartanah di lokasi hartanah milik anda. Dapatkan maklumat tentang tinjauan daripada ejen hartanah di kawasan anda. Cuba dapatkan pandangan berbeza untuk membantu anda menentukan sama ada anda harus menjual sekarang atau terus memegangnya lagi. Walaupun tinjauan sedemikian tidak begitu tepat, ia sekurang-kurangnya memberikan anda sedikit gambaran dan jangkaan jika anda membuat keputusan untuk menjual.

Apabila menimbangkan sama ada untuk menjual hartanah atau terus memiliki dan menyewakan hartanah, anda perlu melakukannya sama seperti apabila membuat pelaburan. Fahami nilai dan faktor yang menentukan nilai hartanah dan menentukan pulangan pelaburan alternatif yang boleh memaksimumkan potensi pulangan. Lakukan penyelidikan untuk membuat keputusan maklum dan mengelakkan kesilapan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm

AS gesa adakan perbincangan berhubung ancaman siber

SINGAPURA 4 Jun - Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Robert Gates menggesa diadakan dialog antarabangsa tentang serangan siber bagi menghindar kejadian yang sedemikian daripada merebak.

“Kami memandang serius ancaman ini yang datang daripada pelbagai sumber dan mengancam banyak negara,” kata beliau pada persidangan di sini yang turut dihadiri oleh rakan sejawatan, Liang Guanglie.

Sebelum ini penggodam dari China dituduh melakukan serangan ke atas sasaran di AS, tetapi dinafikan oleh Beijing.

Sehari sebelum itu gergasi Internet, Google menuduh penggodam terbabit adalah dari China dan mensasarkan akaun Gmail yang dimiliki oleh pegawai kanan AS, anggota tentera, wartawan dan aktivis politik Cina. - AFP

Rasionalisasi subsidi manfaatkan golongan sasaran - Najib

KUALA LUMPUR 4 Jun — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan kerajaan merasionalisasi subsidi bukanlah langkah menghapuskan subsidi tetapi memastikan subsidi diberikan kepada kumpulan sasar dan sektor yang benar-benar layak lagi memerlukan dengan jumlah yang berpatutan.

Perdana Menteri berkata, subsidi di Malaysia adalah antara terbesar di dunia meliputi keperluan seharian rakyat seperti gula dan beras, dan ini tidak termasuk subsidi tidak langsung meliputi perkhidmatan dan pelajaran.

"Dalam mengurus negara, kebajikan dan kesejahteraan rakyat adalah matlamat tertinggi,” katanya dalam ucapannya pada majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan penganugerahan darjah dan pingat kebesaran sempena Hari Keputeraan baginda hari ini di Istana Negara di sini. - Bernama

Wednesday, June 1, 2011

RM4 juta sebulan nilai eksport durian ke China

PUTRAJAYA 31 Mei - Eksport buah durian sejuk beku ke China pada Julai ini dijangka bernilai hampir RM4 juta.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar (gambar) berkata, untuk penghantaran pertama itu sebanyak empat buah kontena akan digunakan.

Menurut beliau, buah durian itu kemudian akan dieksport seminggu sekali dalam kuantiti yang sama.

"Penghantaran empat kotena seminggu itu akan diuruskan oleh kerajaan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

"Tetapi jika ada pihak swasta yang berminat, kita tiada halangan untuk bekerjasama dan sedia membantu," katanya.

Beliau menjelaskan demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar Dipacu Pasaran Dalam Sektor Agro Makanan di sini hari ini.

Noh menambah, kerajaan juga akan menetapkan harga durian sejuk beku yang akan dieksport ke China supaya harganya selaras dengan pengeksport swasta yang lain.

Katanya, langkah itu diambil bagi mengelakkan persaingan dan manipulasi harga sesama sendiri sehingga boleh menjejaskan eksport produk itu.

"Saya berharap syarikat dari Malaysia yang mengeksport durian segar itu tidak bersaing sesama sendiri sebaliknya cuba saling bantu-membantu.

"Justeru, dalam masa terdekat ini kita akan aturkan satu perbincangan dengan pihak swasta supaya menjual buah itu dengan menggunakan satu harga saja," ujar beliau.

Selain itu, Noh berkata, kerajaan juga mendapat kebenaran untuk mengeksport buah durian ke Korea Selatan selain China.

"Kerajaan sudah buka ruang ke sana dan dari segi protokol kita sudah selesaikan.

"Sekarang menjadi tugas syarikat swasta pula untuk merebut peluang memasuki pasaran Korea Selatan bagi mengeksport buah durian," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan harga durian akan melonjak naik di pasaran tempatan, Noh berkata, situasi tersebut perlu dilihat secara positif kerana ia baik kepada petani dan sektor pertanian negara.

"Bila barang pertanian naik yang akan untung nanti ialah petani dan dalam masa yang sama juga dapat mengurangkan lambakan buah-buahan tempatan," katanya.

Potongan 10 sen jika pesan minuman kurang gula

KUANTAN 1 Jun – Sebelas buah restoran di sekitar Kuantan dan Pekan menyahut seruan kerajaan dengan menyertai kempen “Kurang Gula, Kurang Belanja” bagi mengajak dan mendidik orang ramai mengamalkan cara hidup sihat.

Timbalan Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan Pahang, Alwi Abdul Hamid berkata, kempen yang dilancarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 13 Mei lepas itu, dijangka disertai lebih banyak lagi restoran di seluruh Pahang.

"Kempen itu akan diperluaskan ke restoran lain di negeri ini minggu depan dan kita harap pengusaha restoran akan menjayakannya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen itu di Restoran Taj di sini hari ini.

Alwi berkata, kempen itu membolehkan pengguna menikmati diskaun 10 sen daripada restoran terlibat sekiranya mereka meminta kandungan gula dikurangkan dalam minuman yang dipesan. - Bernama

RM43.1 juta bina kemudahan biodiesel

PUTRAJAYA 1 Jun — Kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menyediakan peruntukan RM43.1 juta untuk membiayai pembinaan kemudahan adunan dalam barisan pemprosesan minyak biodiesel kelapa sawit B5, adunan 5 peratus biodiesel dengan 95 peratus diesel petroleum.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok berkata, ia merangkumi enam depoh petroleum di Wilayah Tengah iaitu tiga depoh di Selangor (dua di Pelabuhan Klang dan satu di Terminal Pengedaran Lembah Klang, Dengkil), dua depoh di Port Dickson dan satu depoh di Tangga Batu Melaka.

Dompok berkata, kemudahaan depoh berkenaan dimiliki oleh lima syarikat minyak iaitu Petronas Dagangan Berhad, Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, Esso Malaysia Berhad, Chevron Malaysia Limited dan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd.

"Pelaksanaan program B5 ini tidak memberi implikasi kenaikan harga minyak kepada orang awam kerana kerajaan akan terus menyediakan subsidi bagi memastikan harga runcit biobahan api B5 ini adalah pada kadar yang sama dengan harga diesel petroleum,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Penggunaan Biodiesel Sawit Adunan B5 Peringkat Wilayah Tengah di Putrajaya hari ini.

Katanya sehingga kini sebanyak 3,900 kenderaan menggunakan Biodiesel B5 sejak ia diperkenalkan pada 2009. - Bernama

Followers

TENTANG DIRI SAYA

My photo
GURU AKADEMIK TINGKATAN ENAM SMK KHIR JOHARI, TG.MALIM. PENDIDIKAN; SK TOK KHALIFAH, PT.13 (1972-1977); SAMR SG. HJ. DORANI (1978-1980); SAMT SSAAS, BT. 38 (1981-1984); UNIV MALAYA (1985-1988); MPKTBR (1990); IPSI (1997); UPSI (2000-2005); UPSI (2008-?)

ALAMAT EMAIL

abdmaleks@yahoo.com
abdmaleks@gmail.com
Sejak 12 September 2009
Documents

ANDA BERMINAT?

KOMENTAR TERAKTIF

Widget by Blogger Widgets

KEMASAN TWEETER

Twitter Updates

    follow me on Twitter
     
    PENGAJIAN AM 900. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.