Friday, August 5, 2011

Kementerian, polis tangani isu peralat anak yatim

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menggunakan sepenuhnya peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 bagi menangani isu eksploitasi golongan itu dalam aktiviti mengutip dana awam.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, satu perbincangan dengan PDRM termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diadakan Selasa lalu bagi tujuan tersebut.

"Kita juga telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi menangani isu ini," katanya pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat wakil khas Amerika Syarikat (AS) ke negara-negara Islam, Farah Anwar Pandith di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan berhubung penggunaan kanak-kanak dalam menjalankan aktiviti meminta sedekah yang berselindung di sebalik nama institusi atau rumah anak-anak yatim yang didapati kembali aktif sejak kebelakangan ini.

Malah dalam tinjauan yang dilakukan Utusan Malaysia di sekitar Lembah Klang turut mendapati sebuah pusat tahfiz anak-anak yatim di Kedah yang pernah diarah menghentikan operasi serta-merta oleh pihak berkuasa masih menjalankan aktiviti itu.

Shahrizat berkata, antara persetujuan yang dicapai dalam perbincangan dengan beberapa agensi itu termasuklah mengadakan operasi bersepadu bagi membolehkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyelamatkan kanak-kanak yang didapati digunakan bagi aktiviti mengutip derma.

"PDRM pula akan menahan, menyiasat dan mendakwa pihak yang dikesan mengeksploitasi kanak-kanak," katanya.

Tambahnya, ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang diselamatkan pula boleh dikenakan bon oleh pihak mahkamah di bawah Seksyen 30 Akta Kanak-Kanak 2001 bagi memastikan mereka tidak mengabaikan kebajikan dan kesejahteraan golongan itu.

Menurutnya, seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali terhadap sesiapa yang didapati bersalah mengeksploitasi kanak-kanak untuk mendapatkan dana
-----------------------------------------------------------------

Pusat tahfiz nafi pelajar minta sedekah

ALOR SETAR 4 Ogos - Sebuah pusat tahfiz anak-anak yatim di Kuala Kedah, dekat sini menafikan menggunakan penghuninya untuk menjalankan kegiatan 'meminta sedekah' sebaliknya mereka menganggap pelajar-pelajarnya melakukan aktiviti jualan amal.

Pengetua pusat tahfiz terbabit, Muslim Ab. Karim berkata, pusat itu terpaksa berbuat demikian bagi mengisi dana ekoran sumber kewangan yang terhad.

Menurutnya, ia juga merupakan salah satu aktiviti kokurikulum pelajar-pelajar tersebut selain bertujuan melatih mereka berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.

"Kanak-kanak ini bukan meminta sedekah tetapi mereka menjual produk tertentu yang dibekalkan namun sesetengah orang salah anggap dengan mengatakan mereka meminta sedekah," katanya ketika ditemui di pusat tersebut di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini dalam laporan khasnya mendedahkan terdapat anak-anak yatim dari sebuah pusat tahfiz di Kuala Kedah di sini yang menjalankan aktiviti meminta sedekah di Lembah Klang.

Laporan muka depan tersebut memberitahu, aktiviti itu didapati berselindung di sebalik nama institusi itu untuk mengumpul dana manakala para pelajarnya meminta simpati menjual cekera padat (CD), madu, buku agama dan barangan lain.

Mengulas lanjut, Muslim berkata, pusat tersebut memerlukan dana RM40,000 sebulan untuk menampung aktiviti penghuni di situ, termasuk gaji tenaga pengajarnya.

"Jualan amal ini sedikit sebanyak dapat menampung membiayai kos tersebut. Lagipun aktiviti ini mendapat kebenaran daripada waris kanak-kanak terbabit dan bukan dipaksa," katanya.

Katanya, beroperasi lebih 15 tahun lalu, pusat tersebut menempatkan lebih 105 penghuni berusia daripada tujuh hingga 12 tahun yang datang dari seluruh negara.

----------------------------------------------------------------------------

3 murid sekolah tahfiz ditahan

SUNGAI PETANI 4 Ogos – Polis menahan tiga murid sekolah maahad tahfiz berusia 12 tahun selepas didakwa terlibat melakukan aktiviti luar tabii terhadap pelajar baru di asrama sekolah terbabit di Kuala Pegang, Baling dekat sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Mat Daud Mat Hassan berkata, suspek yang merupakan pelajar senior sekolah itu ditahan di rumah masing-masing sekitar Baling, semalam.

“Siasatan kes itu dilakukan di bawah Seksyen 377A iaitu persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii. Polis akan mengambil keterangan mangsa-mangsa dan juga pengurusan sekolah terlibat bagi melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, seorang murid tahfiz berusia sembilan tahun terlantar di hospital sejak beberapa hari lalu dipercayai diliwat, dipaksa melakukan seks oral dan didera oleh murid senior berusia 12 tahun mereka di sebuah sekolah agama tahfiz swasta di Kuala Pegang, Baling.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku semasa mangsa terbabit mengikuti sesi orientasi dan suai kenal selama 40 hari bermula Jun lalu.

Berikutan kejadian itu, ibu bapa kepada tiga daripada mangsa terlibat membuat laporan di Balai Polis Baling pada 30 Julai lalu.

Mat Daud berkata, kesemua suspek itu kini dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu siasatan.

“Polis akan menjalankan siasatan lengkap termasuk mengenal pasti kemungkinan terdapat mangsa lain dalam kes berkenaan,” katanya.

Beliau juga menasihatkan media supaya tidak mensensasikan laporan kes itu memandangkan ia melibatkan pesalah juvenil.

Sementara itu, seorang murid yang ditemui pemberita memberitahu, kejadian tersebut berlaku kira-kira dua minggu selepas mereka mendaftar sesi orientasi pada 26 Jun lalu.

Katanya, semasa berada di asrama, dia dan dua lagi rakan masing-masing berusia lapan dan sembilan tahun, tidur di asrama sekolah berkenaan.

“Kami ditangkap oleh tiga senior dan dipaksa tidur meniarap. Saya tidak dapat bertindak kerana badan ditindih dari belakang,” katanya.

Murid itu berkata, dia dan rakan-rakan tidak berani melaporkan kejadian itu kerana diugut selain dipukul oleh suspek.

0 comments:

Post a Comment

Followers

TENTANG DIRI SAYA

My photo
GURU AKADEMIK TINGKATAN ENAM SMK KHIR JOHARI, TG.MALIM. PENDIDIKAN; SK TOK KHALIFAH, PT.13 (1972-1977); SAMR SG. HJ. DORANI (1978-1980); SAMT SSAAS, BT. 38 (1981-1984); UNIV MALAYA (1985-1988); MPKTBR (1990); IPSI (1997); UPSI (2000-2005); UPSI (2008-?)

ALAMAT EMAIL

abdmaleks@yahoo.com
abdmaleks@gmail.com
Sejak 12 September 2009
Documents

ANDA BERMINAT?

KOMENTAR TERAKTIF

Widget by Blogger Widgets

KEMASAN TWEETER

Twitter Updates

    follow me on Twitter
     
    PENGAJIAN AM 900. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.