Tuesday, September 29, 2009

BAHAGIAN E: SOALAN NOMBOR 9

Salam sejahtera..
Soalan non-linear kepada linear ini sesungguhnya amat mencabar dan menguji kefahaman calon tentang soalan yang dikemukakan. Ada dua terma yang perlu difahami. Iaitu pola perubahan dan pola perbandingan.
Pola perubahan merujuk kepada perubahan antara tahun.
Contohnya; tahun 2000, 2001 dan 2002. Sudah tentu pola perubahannya berkaitan dengan pola meingkat, menurun, tidak konsistan serta statik.
Pola perbandingan pula merujuk kepada perkembangan dalam satu tahun. Justeru, polanya berkaitan dengan paling tinggi, paling rendah dan sederhana.
Apabila soalan mengkehendaki calon menghuraikan satu-satu aspek sahaja, maka aspek tersebut sahajalah yang perlu dihuraikan. Tetapi jika sebaliknya, umpamanya huraikan pola dalam jadual tersebut.. maka ia merujuk kepada pola perubahan dan perkembangan dengan nisbah, 3 (perubahan)+1(perbandingan).
Dan, jika soalan mengkehendaki calon menjelaskan sebab mengapa fenomena itu berlaku, maka calon sekali lagi dikehendaki mengenal pasti sama ada ulasan itu adalah ulasan isu atau ulasan isi.
Ulasan Isu ialah ulasan yang meminta calon menghuraikan satu-satu aspek pola sahaja.
Contohnya, Huraikan pola perubahan............. Jelaskan mengapakah ia mengalami penurunan. Soalan tersebut hanya meminta calon-calon menjelaskan faktor penurunan sedangkan dalam jadual ada kesemua pola. Oleh itu alasan yang diperlukan adalah alasan isu. Ia perli diasingkan dalam perenggan yang berasingan.
Jika soalan hanya meminta menghuraikan satu-satu pola tertentu maka skema pemarkahannya ialah 3 (pola) +1 (alasan isu)- Walau bagaimanapun dinasihati agar memberikan dua alasa isu.
Jika calon diminta menghuraikan kedua-dua pola, maka skema jawapan adalah seperti berikut;
2 (perubahan) +1 (perbandingan) +1 (alasan isu)
Ulasan Isi pula ialah calon-calon dikehendaki menyatakan alasan yang terdapat dalam bahagian pertama soalan. Contoh; ... jelaskan mengapa ia berlaku... Dalam keadaan ini. alasan hendaklah disekalikan dengan paragraf isi dan huraian.
Kita beralih pula kepada bagaimana hendak menghurai dengan baik soalan ini.
  1. Pola sama ada pola perubahan atau perkembangan. Jawapan mesti mendahulukan pola bukan sektor. Contoh yang betul: Pola meningkat dilihat pada sektor pelancongan dan perindustrian. Contoh yang salah: Sektor pelancongan dan perindustrian mengalami pola meningkat.
  2. Huraian data (Data mutlak): Calon hendaklah menyatakan data yang terdapat dalam jadual. Cuma, perlu dihubugkan dengan perkataan pola. Contoh: Pada tahun 2003 hasil keluaran ....adalah sebanyak 256 976 juta tan meningkat kepada 352 897 juta tan pada tahun 2004 dan meningkat lagi pada tahun 2005 kepada 452 875 juta tan.
  3. Huraian peratus perubahan. Data ini penting untuk menyokong data mutlak. Jika pola perubahan, ia merujuk kepada kadar peratus penigkatan atau penurunan. manakala dalam pola perkembangan nilai % pada angka tertinggi, terendah dan sederhana.

Monday, September 28, 2009

WAJARAN MARKAH KOLOKIUM KAJIAN TINGKATAN ENAM 2009

1.Wajaran: 
   1.1 Hasil tugasan yang lengkap (50%) Pembentangan (50%)
   1.2 Pembentangan (50%)

2.Wajaran Hasil Tugasan yang Lengkap (50%)
   2.1 Isi : Memenuhi kehendak tajuk (25%)
   2.2 Stail Penulisan dan Persembahan Idea (15%)
   2.3 Teknik dan Format Penulisan (10%)

3. Wajaran Pembentangan (50%)
   3.1 Keberkesanan Pembentangan (30%)
   3.2 Teknik Pengolahan Slaid (15%)
   3.3 Pembabitan audien (5%)

Pembentangan
Tarikh                             : 6 & 8 Oktober 2009
Hari                                : Selasa dan Khamis
Tempat                           : Pusat Sumber Sekolah
Masa                              : 2.40 hingga 4.00 petang
Tempoh Pembentangan   : 7 hingga 10 minit
Bilangan slaid                  : 7 hingga 10 slaid
Tarikh penghantaran hasil tugasan yang lengkap : Pada atau sebelum 26 Oktober 2009

Thursday, September 17, 2009

AEROANGKASA: RAZAKSAT

RazakSAT berjaya dilancarkan ke orbit - Berita Harian Online July 14, 2009


KUALA LUMPUR: RazakSAT, satelit remote sensing kedua Malaysia, berjaya dilancar ke angkasa pada jam 11.35 pagi waktu Malaysia dari Kwajalein Atoll di Kepulanan Marshall di Lautan Pasifik.
Selepas 20 minit dilancarkan, satelit seberat 180 kilogram itu memasuki Orbit Hampir Khatulistiwa (NEqO) untuk menjadi satelit pencerapan bumi pertama dilancarkan ke NEqO, demikian menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pelancaran di Pulau Omelek itu menggunakan pelancar Falcon 1 Space Exploration Technologies (SpaceX) berjalan lancar setelah empat jam tertangguh bagi memenuhi beberapa keperluan teknikal.
Menurut kementerian, sejam setengah selepas pelancaran, hubungan awal dapat dilaksanakan oleh Agensi Angkasa Negara (Angkasa) di Sungei Lang di Banting dengan RazakSAT.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Ongkili dan pegawai dari kementerian dan agensi Astronautic Technology (M) Sdn Bhd berada di Guam untuk menyaksikan pelancaran melalui siaran web.
Pegawai kementerian yang diketuai Timbalan Menteri, Fadillah Yusof menyaksikan pelancaran itu di Angkasa di Banting dan mengadakan tele-persidangan dengan kumpulan di Guam melalui siaran web.
Kegembiraan dapat dilihat apabila satelit itu, dinamakan sempena Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein, dilancarkan ke angkasa selepas hujan renyai-renyai dan angin kuat di tapak pelancaran.
Dr Ongkili berkata, pelancaran berkenaan mencatat sejarah bukan hanya kepada Malaysia tetapi juga kepada dunia. Satelit itu akan mengelilingi orbit NEqO pada altitud nominal 685 kilometer.
"Saya mengucapkan tahniah kepada ATSB kerana membina satelit Malaysia sendiri, RazakSAT 1Malaysia Satelit NEqO Pertama Dunia," kata Dr Ongkili.
RazakSAT membawa kamera resolusi tinggi yang boleh merakam imej dari angkasa untuk pelbagai aplikasi untuk memberi faedah bukan hanya kepada Malaysia, tetapi negara-negara di kawasan khatulistiwa.
Lokasi orbit itu akan membolehkan peningkatan kekerapan pemerhatian imej serta imej-imej boleh digunakan untuk tujuan pemetaan landskap, ketepatan pertanian, biomas perhutanan, perancangan bahagian marin, mengurangkan bencana, perancangan bandar dan rangkaian jalan.
Dr Ongkili berkata, ketika satelit lain beroperasi di orbit polar (Sun Synchronous Orbit), RazakSAT® beroperasi pada NEqO dan akan meliputi 70 peratus daripada lautan, di mana fenomena cuaca seperti La Nina bermula.
"Ini akan membolehkan saintis mengkaji dan memantau pelbagai faktor kritikal yang akan menyumbang dengan ketara kepada sains," katanya.
Beberapa negara di Asia, benua Afrika dan Amerika Latin telah menyatakan minat untuk menggunakan imej yang dirakam oleh RazakSAT, katanya.
Malaysia, katanya, juga akan menawarkan data berkenaan untuk bidang pengetahuan bagi faedah masyarakat di seluruh rantau Khatulistiwa.
Remote Sensing Malaysia, agensi dalam kementerian, akan bertanggungjawab menerima data daripada RazakSAT dan membangunkan aplikasinya, kata Dr Ongkili.
RazakSAT adalah kesinambungan program TiungSAT-1, satelit remote sensing pertama negara yang dilancarkan pada 2000.
Bagaimanapun, RazakSAT adalah satelit dengan fungsi sepenuhnya dalam pemantauan permukaan bumi dan alam sekitar.
Dr Ongkili yakin pencapaian itu akan meningkatkan dan memberi inspirasi agensi kementerian dan rakyat Malaysia untuk terus berusaha untuk menjadi inovatif dan kreatif, terutamanya dengan negara bakal menyambut Tahun Kreativiti dan Inovasi tahun depan.
“Kita mensasar untuk meletakkan Malaysia dalam dunia sains dan inovasi, bukan hanya dengan meneroka dunia tanpa sempadan tetapi melangkauinya, ke ruang angkasa,” katanya.
Beliau juga mengumumkan bahawa SpaceX sudah bersetuju untuk melancarkan dua satelit mikro iaitu CubeSAT dan InnoSAT, untuk tujuan pendidikan tahun depan dengan Falcon 9.
CubeSAT dimajukan oleh ATSB manakala InnoSAT oleh tiga universiti tempatan, iaitu Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Malaysia Perlis.
Dr Ongkili berkata, kejayaan RazakSAt adalah hasil sumbangan pemimpin negara iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi serta Perdana Menteri sekarang ini, Datuk Seri Najib Razak, di atas segala usaha, keyakinan dan wawasan dalam mengilhamkan RazakSAT.
Satelit RazakSAT® akan beroperasi melalui segmen daratnya di Malaysia, yang terdiri daripada Stesen Kawalan Misi (MCS) dan Stesen Penerimaan Imej dan Pemprosesan (IRPS). - Bernama
source: Berita Harian Online

AEROANGKASA: KEPENTINGAN SATELIT DARI SUDUT STRATEGIK

Berita Harian – 13hb Julai 2002
Satelit mikro Malaysia yang pertama, TiungSAT-1 telah dilancarkan lebih dari dua puluh bulan yang lepas. Pelancaran bersejarah berlaku jam 06.05 petang waktu Malaysia pada 26hb September 2000 menggunakan roket pelancar Dnepr. Pelancaran bersejarah ini telah dilakukan di tapak pelancar Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan.
Satelit mikro pertama ini sebenarnya datang dari ilham Perdana Menteri dan nama ‘Tiung’ itu telah dicadangkan oleh beliau sendiri sempena mengambil nama burung Tiung (Myna). Pada ketika ini TiungSAT-1 sedang beredar pada jarak 650 km dari bumi dan mampu menjanakan gambar yang mempunyai resolusi 78 meter.
Satelit TiungSAT-1 telah dibangunkan melalui Program Latihan dan Pemindahan Teknologi di Pusat Angkasa Surrey. Program ini adalah kerjasama di antara Surrey Satellite Technology Limited (SSTL) dan Astronautics Technology Sdn. Bhd. (ATSB).
Secara rasminya Malaysia mula menceburi secara bersepadu sektor aeroangkasa dengan terbentuknya Pelan Induk Pembangunan Industri Aeroangkasa Malaysia pada tahun 1997. Semasa melancarkan pelan induk ini, YAB Perdana Menteri meletakan harapan supaya pembangunan sektor aeroangkasa negara akan menjadi pemangkin pembangunan sosial dan ekonomi Malaysia.
Komitmen kerajaan dalam memajukan industri aeroangkasa menjadi lebih nyata dengan tertubuhnya Agensi Angkasa Lepas Nasional (AALN). Agensi ini dijangka akan memainkan peranan yang lebih aktif dalam menentukan dasar dan arah tuju industri aeroangkasa. Pada ketika ini agensi ini diterajui oleh Prof. Datuk Dr. Mazlan Othman yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang sains angkasa.
Ramai yang mempersoalkan langkah Malaysia menceburi sektor aeroangkasa terutama sekali sektor pembangunan dan pelancaran satelit. Bermula dengan Pelan Induk Aeroangkasa, TiungSAT-1, penubuhan AALN dan yang terbaru mengenai hasrat Malaysia membangunkan pusat angkasa yang diantara lain akan mempunyai pelancar satelit, telah mendapat komen dan perhatian yang begitu sinis.
dalam dan luar negara menyatakan bahawa Malaysia, sebagai sebuah negara kecil dan sedang membangun tidak mempunyai kewibawaan dan kepakaran untuk membangunkan industri satelit yang penuh dengan cabaran. Diantara lain, kata mereka Malaysia tidak akan berjaya membangunkan industri satelit kerana industri ini sentiasa berada pada tahap teknologi paling termaju dan Malaysia tidak mempunyai kepakaran dalam bidang ini.
Malaysia sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan selain dari menjerumus ke kancah perlumbaan industri angkasa. Bukan hanya untuk kesejahteraan sosial dan ekonomi, tetapi juga kerana kepentingan strategik. Tidak dapat dinafikan kejayaan industri aeroangkasa akan mengubah keadaan sosial ekonomi negara.

Wednesday, September 16, 2009

ESEI LARAS SAINS: RAWATAN TERKINI KANSER PAYUDARA

Sedikit masa lalu, pembedahan payu dara akibat barah, antara paling ditakuti kerana ia membabitkan pembuangan keseluruhan aset wanita itu.

Sungguhpun begitu, kemajuan sains dan teknologi hari ini membolehkan pembedahan payu dara yang dikesan dijangkiti barah, dilakukan secara minimal dengan kata lain, lebih fokus kepada tisu bahagian yang rosak semata-mata.

Ini kerana prinsip asas kepada pembedahan payu dara ialah memastikan tisu yang terbabit dan mencukupi saja dibuang, sekali gus menyelamatkan payu dara daripada terus dibuang dalam jumlah besar.

Perunding Endokrinologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr Harjit Kaur, berkata sebarang perubahan terhadap teknik dan rawatan perlu diketahui jururawat kerana sebagai golongan yang berhubung terus dengan pesakit, maklumat terkini berhubung rawatan amat diperlukan.

“Sekiranya dibandingkan dengan beberapa tahun yang lampau, rawatan tidak lagi keterlaluan dan menimbulkan kegusaran kepada pesakit, sebaliknya memberikan pilihan lebih banyak kepada pesakit. Justeru jururawat perlu mempertingkatkan pengetahuan berhubung apa yang dilalui pesakit dirawat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada seminar untuk Pengamal Perubatan, Doktor dan Jururawat baru-baru ini. Kira-kira 100 jururawat hadir pada seminar berkenaan.

Barah payu dara antara masalah kesihatan paling biasa di kalangan wanita di Malaysia dengan satu daripada 19 wanita sepanjang hayat mereka. Apa yang membimbangkan kerana bilangan di kalangan wanita berusia 50 tahun ke atas yang menghidap penyakit itu semakin tinggi, pada masa sama bilangan penghidap muda iaitu bawah 45 tahun dilihat bertambah.

Keadaan itu memungkinkan pelbagai kaedah rawatan baru bagi menyelamatkan pesakit terhasil dan setiap satu memberikan kesan berbeza kepada pesakit bergantung kepada tahap barah, usia dan sebagainya.

Bagaimanapun, secara ringkasnya, rawatan bagi barah payu dara termasuk pembedahan; radioterapi atau terapi radiasi; kemoterapi dan terapi hormon, tetapi ia membabitkan banyak jenis. Sebagai contoh di bawah teknik pembedahan ada mastektomi, sentinel node biopsy dan pembentukan semula payu dara.

Teknik pembedahan antara paling tinggi dilakukan kerana segelintir pesakit datang membuat rawatan ketika barah berada pada tahap serius. Memahami sepenuhnya mengenai rawatan-rawatan terkini serta bentuk sokongan kepada pesakit amat mustahak.

Sementara itu Perunding Klinikal Onkologi, NCI Cancer Hospital, Nilai, Dr Chandra S Hospet, berkata walaupun di luar negara jumlah kematian akibat barah itu dilaporkan semakin berkurangan, di sini keadaan sebaliknya kerana pengesanan selalunya berlaku pada peringkat lewat, menyebabkan bukan saja kos semakin meningkat, sebaliknya tidak banyak dapat dilakukan untuk menyelamatkan nyawa serta payu dara.

Di Malaysia kira-kira 50 hingga 60 peratus daripada jumlah pesakit yang hadir ke pusat perubatan untuk melakukan pemeriksaan adalah pada tahap awal dan masih boleh dirawat, walau bagaimanapun, lebih kurang 15 hingga 20 peratus daripada pesakit mungkin tidak dapat dirawat jika mereka pada tahap lewat, atau datang untuk rawatan lewat.

Katanya, dalam menerima rawatan pula, pesakit mesti sedar bahawa mereka tidak akan dirawat oleh satu orang saja kerana penyakit ini memerlukan beberapa jenis kepakaran termasuk patologi, radiologi, pakar pembedahan dan onkologi.

“Pembedahan masih menjadi rawatan utama, pakar onkologi akan mengendalikan terapi seterusnya. Pesakit mula-mula menjalani imbasan dan tisu barah mereka akan dikaji untuk ditentukan sebarang faktor risiko tinggi sebelum jenis rawatan yang terbaik dicadangkan. Pesakit kemudian akan diberitahu tahap barah mereka sebagai awal (tahap satu atau dua) atau sebaliknya,” katanya.

Katanya barah tahap awal bermakna barah itu masih kecil dan terhad di kawasan kecil. Barah jenis ini senang dirawat tanpa pembedahan yang radikal dan antara lain tujuan rawatan jenis ini adalah untuk membaiki kawasan setempat selepas pembedahan; meningkat kadar hidup; kurangkan kadar pulang semula barah atau menghalang barah pada payu dara yang sebelah lain.

Barah tahap empat biasanya tidak dapat dirawat dan tujuan rawatan bukan untuk memulihkan tetapi untuk menjaga mereka dan mengawal penyakit. Ini bermaksud mengawal penyakit selama boleh dan mengurangkan kesakitan dan masalah kesihatan lain yang berkait. Secara umum rawatannya untuk meningkatkan mutu hidup bagi masa yang tertinggal.

Sungguhpun pelbagai jenis rawatan ditawarkan, memilih jenis rawatan selepas pembedahan bergantung kepada beberapa faktor. Ini termasuk tahap barah, umur pesakit, sama ada pesakit berkenaan sudah putus haid, status reseptor hormon, serta laporan keadaan tisu.

Pelbagai pilihan rawatan disediakan, tetapi masih ramai wanita yang gagal mendapatkan rawatan atau mendapatkan rawatan pada peringkat akhir, ini termasuk di kalangan wanita berpendidikan tinggi.

Salah faham dan penerimaan negatif terhadap rawatan menyebabkan wanita mengalami penderitaan yang sebenarnya boleh dielak dengan keadaan barah semakin membesar dan bernanah. Oleh itu, adalah penting untuk memastikan kempen kesedaran barah berfokus bagi penyaringan dan pengesanan awal, tetapi juga fokus terhadap keperluan rawatan sesuai.

Sungguhpun pengesanan awal serta rawatan yang patut diterima, menyelamatkan nyawa dan menjimatkan wang pada masa sama ‘kumpulan’ yang membantu pesakit termasuk ahli keluarga seharusnya memberikan sokongan sepenuhnya dalam merawat barah payu dara.

INFO: Barah payu dara

* 1:19 wanita di Malaysia akan mendapat barah payu dara sepanjang hidup mereka.
* Barah utama yang menyebabkan kematian di kalangan wanita.
* Kebanyakan kes meningkat bersama usia, paling kerap berlaku di kalangan wanita berusia 50 tahun ke atas.
* Barah di kalangan wanita muda pada usia 30 hingga 45 tahun meningkat.
* 1 peratus berlaku dikalangan lelaki dan menerima rawatan sama seperti pengidap lain. (sumber: Pendaftar Kanser Kebangsaan 2003)


INFO: Barah payu dara di Malaysia

* Barah payu dara adalah barah paling biasa keseluruhannya dan barah paling biasa di kalangan semua wanita dari umur 20 tahun di Malaysia bagi 2002 dan 2003.
* Barah payu dara paling biasa di kalangan wanita Cina, diikuti India dan akhirnya Melayu.
* Menyumbang 31 peratus daripada jumlah kes barah wanita yang didiagnosis pada 2003. (30.4 peratus pada 2002)
* Kadar Piawai Umur (ASR) di kalangan wanita ialah 52.8 per 100,000 orang pada 2002 dan 46.2 bagi setiap 100,000 orang pada 2003. Di kalangan wanita Cina, kadarnya lebih tinggi dengan 70.1 bagi setiap 100,000 orang, bagi wanita India, ASR 61.7 bagi setiap 100,000 orang dan paling rendah di kalangan wanita Melayu dengan kadar 41.9 bagi setiap 100,000 orang.
* Pada 2003, kadarnya 33.9 bagi kaum Melayu, 59.7 bagi kaum Cina dan 55.8 wanita India.

Sokongan jururawat bantu pesakit atasi tekanan

TIDAK dapat dinafikan pesakit barah payu dara menerima pelbagai tekanan emosi saat diberitahu menghidap barah, ketika rawatan atau ketika melalui pelbagai rawatan susulan yang dijadualkan untuknya.

Malah, kesan emosi boleh berpanjangan sehingga beberapa tahun selepas itu khususnya bagi menjalani rawatan kimoterapi dan radioterapi yang meninggalkan lebih banyak kesan sampingan dan mungkin memberikan impak kepada kehidupannya.

Justeru, jururawat Maliza Nawawi daripada NCI Cancer Hospital, berkata pengurusan kejururawatan yang baik membolehkan jururawat ‘meringankan’ beban pesakit melalui pelbagai perkara. Antaranya memberikan sokongan, penerangan atau kefahaman mendalam pesakit terhadap proses yang perlu dilalui.

Katanya, pelan pengurusan jururawat dibangunkan antara lain untuk mempromosi kefahaman pesakit terhad saraan terapi, jadual rawatan dan kemungkinan kesan sampingan menerusi rawatan diterima pesakit. Kesan sampingan rawatan boleh berlaku dalam tempoh 24 jam selepas rawatan, muntah dan sebagainya.

“Dalam hal ini kefahaman mendalam mengenai rawatan dan kesan sampingan seharusnya diketahui jururawat kerana hari ini pesakit terdiri daripada golongan yang semakin berpendidikan, yang bukan saja ingin mengetahui lebih lanjut mengenai apa, kenapa dan bagaimana sesuatu rawatan diterima, sebaliknya mungkin ‘mencabar’ pengetahuan jururawat itu sendiri,” katanya.

Menyediakan penjagaan kejururawatan kepada pesakit menerima rawatan kimoterapi umpamanya, memberikan beberapa cabaran kerana majoriti keluarga dan pesakit akan turut sama memberikan laporan berhubung sebarang kesan sampingan rawatan, bagi mengelakkan akibat yang lebih serius.

Jururawat diharap mampu ‘menjaga’ sebarang perubahan pesakit termasuk dari segi status fizikal dan emosi, sejarah lampau, amalan kesihatan serta tidak ketinggalan pengetahuan pesakit dan keluarganya terhadap penyakit berkenaan dan rawatan diterima.

Maklumat berhubung perkara itu, banyak membantu mengelakkan salah faham dan kekeliruan yang mungkin timbul selepas rawatan, seterusnya mempertingkatkan program serta kemungkinan impak rawatan diterima. Jururawat bermaklumat memberikan kesan positif kepada sektor kesihatan negara.
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

ESEI LARAS SAINS: KANSER PAYU DARA

Kesan awal dengan pemeriksaan sendiri payudara (PSP)
Apakah kanser payudara?
Kanser payudara merupakan kanser yang paling tinggi kejadiannya dan penyebab utama kematian di kalangan wanita di Malaysia.
Kanser payudara berpunca dari sel-sel dalam tisu payudara yang berkembang dalam keaadaan yang tidak terkawal. Jika tidak di kesan dan dirawat secepat mungkin, kanser payudara boleh merebak ke kelenjar limfa dan bahagian badan yang lain seperti tulang, paru-paru dan hati.
Apakah yang menyebabkan kanser payudara. www.familiazam.com
Penyebab sebenar kanser payudara tidak di ketahui. Setiap wanita berusia 20 tahun keatas adalah berisiko menghidap kanser payudara.
Faktor-faktor berikut mungkin menambahkan risiko wanita menghidap kanser payudara:
  • Usia meningkat www.familiazam.com
  • Mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser payudara.
  • Telah mendapat kanser pada satu payudara.
  • Mula datang haid awal (sebelum umur 12 tahun) atau putus haid lewat (selepas umur 50 tahun)
  • Tidak pernah melahirkan anak atau melahirkan anak pertama pada umur melebihi 30 tahun.
  • Mengambil jenis makanan yang mengandungi banyak lemak haiwan.
Apa Yang Anda Boleh Lakukan Untuk Mencegah Kanser Payudara.
Kanser payudara boleh dicegah jika dikesan dan dirawat awal. Kanser payudara adalah salah satu kanser yang paling mudah di kesan.
Pengesanan boleh dilakukan dengan pemeriksaan Payudara. Semua wanita yang berusia 20 tahun dan lebih perlu melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) Setiap bulan sepanjang hayat mereka. Bagi wanita yang melebihi 30 tahun mereka perlu juga mendapatkan Pemeriksaan Payudara oleh saorang doktor atau kakitangan perubatan yang lain setiap tahun.
Pemeriksaan payudara secara tetap akan membolehkan sesaorang wanita mengesan kanser payudara pada peringkat yang awal di mana rawatan adalah lebih berkesan.
Bila Mesti Melakukan PSP ? www.familiazam.com
Anda misti melakukanya setiap bulan. Jika anda masih datang haid, PSP mestilah dilakukan di antara hari ke-7 hingga ke-10 selepas bermulanya haid anda.
Sekiranya jangkamasa haid anda tidak teratur atau anda sudah putus haid, PSP mesti dilakukan pada satu hari yang ditetapkan setiap bulan. Pilih hari yang mudah untuk diingati, seperti hari pertama atau terakhir pada bulan tersebut.
Bagaimana Melakukan PSP www.familiazam.com
Ia boleh di lakukan dengan 2 cara iaitu, melihat perubahan di hadapan cermin dan mengesan perubahan dengan cara berbaring. 

BAIK BURUKNYA PENGARUH INTERNET...

Salam sejahtera,
Politik, sukan, agama, pendidikan, pekerjaan, isu semasa dan sahabat handai. Semua yang saya senaraikan di atas adalah perkara paling popular dilakukan oleh pengguna Internet.
Apabila klik sahaja browser Internet tidak kira sama ada Internet Explorer mahupun Mozilla Firefox, pengguna Internet akan mula mencari perkara-perkara tersebut. Maklumat terkini dan cepat. Apa sahaja yang terdapat di dunia nyata ada disajikan di dunia maya, Internet.
Dari segi politik semasa, kemenangan pembangkang pada pilihanraya lepas adalah berpunca dari internet. Maklumat yang disalurkan melalui internet mempunyai akses ke seluruh dunia. Dalam beberapa saat selepas dimuat naik oleh penulis terutamnya blogger, maklumat tersebut tersebar luas. Dalam dunia politik, kempen memancing undi dari rakyat tidak hanya berceramah di luar, malah dapat diikuti dalam internet ceramah tersebut. Jika seseorang penceramah berceramah di Pantai Dalam, bukan sahaja penduduk Pantai Dalam dapat mengikuti ceramah tersebut, malah menggunakan internet seluruh pelusuk bumi! Kita boleh menonton di Youtube.com video-video ceramah tersebut.
Saya tidak mahu memihak kepada mana-mana parti, sama ada pembangkang atau pemerintah. Asalkan adil, telus dan amanah sudah memadai. Dari pemerhatian pilihanraya yang lepas, kuasa blog di anggap paling berpengaruh. Tulisan yang menarik minat pembaca dan pengundi. Pihak pembangkang menggunakan medium blog untuk menyampaikan berita terkini dan isu-isu hangat dan terbukti amat berkesan.
Berita dapat diikuti seawal jam 1 pagi dan tidak perlu menunggu pukul 8 pagi untuk ke kedai membeli akhbar. Satu altenatif dan kemajuan yang menarik dalam dunia akhbar Malaysia. Berita Harian, Utusan Malaysia, Kosmo!, Harian Metro dan Harakah (sekadar menyebut beberapa nama) antara yang menyediakan akhbar online. Bagi keputusan sukan dunia, banyak laman-laman web menyediakan laporan terkini setiap perlawanan. Misalnya Livescore dan EspnStar.com.
Bagi pelayar internet yang suka mencari kenalan baru, website jenis social-bookmarking adalah pilihan utama. Facebook, Friendster dan MySpace (sekadar menyebut beberapa nama) adalah antara yang popular. Remaja perempuan adalah yang terbanyak menggunakan perkhidmatan website jenis ini. Selain merapatkan hubungan dan mencari kenalan baru, idea juga dapat dikongsi.
Dunia tanpa batasan tetapi perlu ada batas-batasnya.
bersambung…

Tuesday, September 15, 2009

ISU 3 : KOKURIKULUM

Berdasarkan kenyataan di bawah, sila kemukakan ulasan anda dengan kepanjangan perkataan tidak kurang daripada 100 patah perkataan
 Baru-baru ini telah tersebar ura-ura kerajaan akan menaikkan peratus markah penglibatan para pelajar dalam bidang kokurikulum melebihi 10%. Apakah pandangan anda?

ISU 2: PONTENG

Berdasarkan kenyataan di bawah, sila kemukakan ulasan anda dengan kepanjangan perkataan tidak kurang daripada 100 patah perkataan
Dewasa ini tabiat ponteng sekolah dan ponteng kelas kian menjadi-jadi. Mereka seolah-seolah tidak betah berada dalam kawasan sekolah. Jika ada peluang dan kesempatan, mereka tidak berfikir panjang untuk tidak datang ke sekolah atau tidak mengikuti mata-mata pelajaran tertentu. Pada pandangan anda, apakah faktor yang menyebabkan perkara tersebut berlaku?

ISU 1: ROKOK

Berdasarkan kenyataan di bawah, sila kemukakan ulasan anda dengan kepanjangan perkataan tidak kurang daripada 100 patah perkataan
Baru-baru ini kerajaan telah mewajibkan para pengilang rokok memaparkan gambar organ dalam tubuh manusia yang rosak akibat daripada tabiat merokok.
Pada pandanagn anda, adakah dengan langkah tersebut dapat memberi kesedaran kepada para perokok agar tidak meneruskan amalan merokok.

Sunday, September 13, 2009

BAHAGIAN B: "IN-OUT PROCESS"

Bahagian B, merupakan bahagian yang sering memerangkap calon. Ramai calon yang gagal mendapat sebarang markah isi dan seterusnya keseluruhan esei tersebut dikategori sebagai menyeleweng sepenuhnya. Oleh itu calon hanya mendapat markah bahasa sahaja iaitu 1 markah.
Untuk itu, guru lazimnya memaklumkan kepada para pelajar agar tidak sama sekali "meletakkan" isi laras sastera dalam laras sains.Persoalannya, apakah isi yang bersifat laras sains? Pada hemat saya, laras sains semestinya isi yang menekankan proses sains. 
Umpamanya soalan yang berkaitan dengan langkah untuk meningkatkan bidang aeroangkasa.Jawapan calon sepatutnya berkisar tentang proses meningkatkan bidang aeroangkasa dalam kalangan rakyat Malaysia.Oleh itu antara isi penting dalam jawapan calon mestilah berkaitan dengan penawaran kursus berkaitan dengan bidang aeroangkasa di peringkat universiti. 
Jangan sesekali calon menjawab, kerajaan hendaklah menawarkan kursus berkaitan dengan bidang aeroangkasa. Hal ini kerana, jawapan tersebut telah diklasifikasi sebagai jawapan laras sastera, kerana pembabibtan kerajaan.
Selain daripada itu, perkongsian ilmu dan maklumat dengan negara-negara yang maju dalam bidang aeroangkasa. Oleh itu pemindahan kepakaran dalam bidang tersebut dapat dipercepatkan. Jawapan pelajar yang menyatakan pihak kerajaan perlu membuat memorandum of understanding (MOU) dengan negara-negara yang terkehadapan dalam teknologi aeroangkasa... tidak diterima.
Kesimpulannya, jawapan laras sains bersifat "In-Out Process". Maksudnya, dari dalam iaitu tetang proses yang berlaku tentang sesuatu konsep sains yang dinyatakan, kemudian barulah keluar untuk mencari contoh yang bersesuaian.

TUGASAN ULASAN MASUK DALAM MARKAH AKHIR TAHUN: APA PANDANGAN ANDA?

Selaras dengan kemajuan dalam bidang ICT, hampir setiap pelajar kian terdedah dengan aplikasi tersebut. Sebagai contoh, permohonan ke pusat pengajian tinggi  dan permohonan ke sekolah berasrama penuh menggunakan sistem dalam talian. Manakala kepada pencari pekerjaan pula kini hampir semua permohonan dibuat secara dalam talian.
Sehubungan dengan itu, saya bercadang untuk membuka ruang kepada para pelajar Tingkatan 6 Rendah Waja untuk menemukakan pandangan serta alasan dalam makluman ini. Sila nyatakan nama semasa menghantar komen tersebut. Dalam cadangan itu mestilah dinyatakan alasan-alasan yang jitu sama ada untuk menerimanya atau menolak.
Sehingga kini, saya beradang untuk menetapkan sekitar 10% daripada markah peperiksaan akhir tahun. Kepanjangan ulasan tersebut sekitar 100 patah perkataan.
Sekian terima kasih.

Saturday, September 12, 2009

ISU GANGSTERISME PELAJAR SEKOLAH: CONTOH MENULIS PENDAHULUAN DAN ISI...

Pendahuluan
Isu gangsterisme dalam kalangan pelajar sekolahbukan suatu isu yang baru. Malah, isu ini dilihat semakin lama semakin merebak dan sedikit sebanyak memberi masalah kepada pihak sekolah. Sudah pasti, ada beberapa faktor yang mendorong fenomena tersebut berlaku.
Isi 1
Kurangnya didikan agama. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan urusan seharian sudah pasti tidak dapat memberikan didikan agama yang secukupnya keapda anak-anak mereka. Malah, mereka tidak pula menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah agama bagi mengisi kekosongan yang ada pada diri anak-anak mereka. Akibatnya, anak-anak tiudak dapat membezakan antara dosa dan pahala. Lantas, mereka mudah terjerumus ke kancah aktiviti gangsterisme.

Realiti TV Menjana Ilusi Atau Visi?


www.iLuvislam.com
oleh : syuk88
Hiburan! Kali ini saya ingin bercakap tentang program-program TV kita pada hari ini yang mana kebanyakkannya berbentuk hiburan. Dunia kini dilimpahi berbagai-bagai program hiburan yang berbentuk realiti, perkembangannya tumbuh bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Tumbuhnya jika tidak merosakkan kita sebagai remaja maka tidak mengapa, tetapi yang sedihnya rancangan-rancangan seperti inilah yang merosakkan masyarakat kita pada hari ini. Masa, tumpuan dan fokus tenaga fikiran, jiwa dan perasaan diratah semaksimum mungkin oleh program-program sebegini.

Visi & Misi

Ke mana arah tuju kita, adakah kita hanya diperhambakan oleh program-program sebegini. Ibu ayah dan guru-guru suruh belajar 'rajin-rajin', pakar motivasi berpesan mesti ada 'visi dan misi yang jelas', ustaz dan ustazah memperingatkan supaya 'tutup aurat dan jaga akhlak', malangnya apa yang terjadi sekarang. Semuanya hanyalah menjadi halwa telinga buat sementara waktu sahaja seperti masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Semuanya tidak kita endahkan. Malahan mendatangkan keuntungan kepada sesetengah pihak iaitu media.

Semakin menjadi-jadi media pada hari ini merencanakan program-program yang bersifat realiti kerana program sebegini mendatangkan 'income' yang besar kepada mereka. Media sepatutnya menjadi wadah perjuangan agama bukannya menjadi boneka negara-negara barat. Ini merupakan salah satu agenda negara-negara barat untuk merosakkan agama kita tanpa kita sedari. Kita ini terlalu buta kerana apa? Kerana kelalaian dan kelekaan kita yang tak disedari.

Pengaruh Barat?

Kita sepatutnya sedih dan malu kepada Allah dengan keadaan negara kita yang semakin menyamai negara barat malahan malang lagi bila golongan dewasa dan tua juga semakin hanyut dan terperangkap dalam perangkap hedonisme. Perangkap-perangkap ini amat halus tanpa kita sedari sehingga akan membawa kepada masalah hati dan akhidah. Lihatlah keadaan kebanyakkan keluarga pada hari ini, lebih menyedihkan apabila wujudnya ibu bapa yang mana terlalu 'sporting', dimana mereka menggalakkan anak-anak mereka menyertai program serta rancangan realiti hiburan yang tidak membawa faedah langsung.

Berhibur tidak salah, tetapi salah memilih hiburan dan keterlaluan pula buruk padahnya. Ia umpama gula dan garam dalam sesuatu masakan. Sedikit garam dan sedikit gula diperlukan untuk menghasilkan masakan yang sedap. Tetapi apa akan terjadi jika gula terlebih atau garam terlebih dalam suatu masakan. Maka masakan tadi mungkin akan menjadi kurang sedap malahan apabila gula terlebih maka akan mengundang penyakit diabetis, jika garam pula yang terlebih maka akan mengundang hipertensi.

Namun bukan semua rancangan realiti tidak berfaedah, ada juga rancangan realiti yang berfaeadah. Ana puji sesetengah rancangan realiti TV, contohnya Akademi Al-Quran dan Akademi Nasyid. Rancangan yang lebih membentuk jiwa seharusnya diperbanyakkan malah perlu diambil perhatian oleh media massa pada hari ini. Ana pernah terlihat suatu rancangan realiti hasil keluaran media Indonesia, dalam rancangan ini mereka melatih kanak-kanak untuk menjadi da'ie yang pandai berkata tentang agama, malah mereka dilatih bercakap dihadapan ribuan penonton yang hadir. Ana berasa malu dengan kanak-kanak ini, kerana mereka mampu berkata-kata malah mampu mengemukakan dalil-dalil Al-Quran semasa menyampaikan syarahan mereka. Malah ana terharu dengan cara penyampaian salah seorang dari peserta program itu.

Islam & Hiburan

Islam tidak menjanjikan dunia tanpa hiburan tetapi Islam mengajar kita berhibur berlandaskan syarak. Apabila media massa dan elektronik dipenuhi dengan qari, penasyid dan penceramah yang meliuk-lentok dengan gaya yang terhad maka akan wujudlah masyarakat yang kenal pada penciptanya. Gerakkanlah hiburan islam yang dinamik dan magnetik supaya mendapat perhatian masyarakat kita pada hari ini. Sebenarnya dunia sedang menantikan program realiti yang lebih realiti. Ayuhlah kita bersama-sama mengubah dunia hari ini.



syuk88 adalah penulis di blog : http://tintamahasiswa.blogspot.com

Friday, September 11, 2009

BENARKAH PA2 SUSAH?

Susah atau senang sebenarnya suatu yang subjektif. Bergantung  kepada anda yang menilainya. Jika anda inginkan PA2 sebagai subjek yang tidak perlu bersusah payah untuk menguasainya, ternyata anda silap. Tetapi jika anda beranggapan PA2 payah tetapi anda ingin menguasainya secara konsisten, mungkin anda akan berjaya mengusasainya.

SALAM TAARUF ...

Salam...Saya bercadang untuk menajdikan blog ini khas bagi mata pelajaran Pengajian Am Kertas 2 STPM. Semoga ia dapat dimanfaatkan oleh sesiapa juga sama ada sebagai guru atau pelajar. Namun jika ada cadangan atau pandangan yang boleh menambahbaikkan lagi blog ini, saya amat alu-alukan.
Wassalam

Followers

TENTANG DIRI SAYA

My photo
GURU AKADEMIK TINGKATAN ENAM SMK KHIR JOHARI, TG.MALIM. PENDIDIKAN; SK TOK KHALIFAH, PT.13 (1972-1977); SAMR SG. HJ. DORANI (1978-1980); SAMT SSAAS, BT. 38 (1981-1984); UNIV MALAYA (1985-1988); MPKTBR (1990); IPSI (1997); UPSI (2000-2005); UPSI (2008-?)

ALAMAT EMAIL

abdmaleks@yahoo.com
abdmaleks@gmail.com
Sejak 12 September 2009
Documents

ANDA BERMINAT?

KOMENTAR TERAKTIF

Widget by Blogger Widgets

KEMASAN TWEETER

Twitter Updates

    follow me on Twitter
     
    PENGAJIAN AM 900. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.