Wednesday, September 16, 2009

ESEI LARAS SAINS: RAWATAN TERKINI KANSER PAYUDARA

Sedikit masa lalu, pembedahan payu dara akibat barah, antara paling ditakuti kerana ia membabitkan pembuangan keseluruhan aset wanita itu.

Sungguhpun begitu, kemajuan sains dan teknologi hari ini membolehkan pembedahan payu dara yang dikesan dijangkiti barah, dilakukan secara minimal dengan kata lain, lebih fokus kepada tisu bahagian yang rosak semata-mata.

Ini kerana prinsip asas kepada pembedahan payu dara ialah memastikan tisu yang terbabit dan mencukupi saja dibuang, sekali gus menyelamatkan payu dara daripada terus dibuang dalam jumlah besar.

Perunding Endokrinologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr Harjit Kaur, berkata sebarang perubahan terhadap teknik dan rawatan perlu diketahui jururawat kerana sebagai golongan yang berhubung terus dengan pesakit, maklumat terkini berhubung rawatan amat diperlukan.

“Sekiranya dibandingkan dengan beberapa tahun yang lampau, rawatan tidak lagi keterlaluan dan menimbulkan kegusaran kepada pesakit, sebaliknya memberikan pilihan lebih banyak kepada pesakit. Justeru jururawat perlu mempertingkatkan pengetahuan berhubung apa yang dilalui pesakit dirawat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada seminar untuk Pengamal Perubatan, Doktor dan Jururawat baru-baru ini. Kira-kira 100 jururawat hadir pada seminar berkenaan.

Barah payu dara antara masalah kesihatan paling biasa di kalangan wanita di Malaysia dengan satu daripada 19 wanita sepanjang hayat mereka. Apa yang membimbangkan kerana bilangan di kalangan wanita berusia 50 tahun ke atas yang menghidap penyakit itu semakin tinggi, pada masa sama bilangan penghidap muda iaitu bawah 45 tahun dilihat bertambah.

Keadaan itu memungkinkan pelbagai kaedah rawatan baru bagi menyelamatkan pesakit terhasil dan setiap satu memberikan kesan berbeza kepada pesakit bergantung kepada tahap barah, usia dan sebagainya.

Bagaimanapun, secara ringkasnya, rawatan bagi barah payu dara termasuk pembedahan; radioterapi atau terapi radiasi; kemoterapi dan terapi hormon, tetapi ia membabitkan banyak jenis. Sebagai contoh di bawah teknik pembedahan ada mastektomi, sentinel node biopsy dan pembentukan semula payu dara.

Teknik pembedahan antara paling tinggi dilakukan kerana segelintir pesakit datang membuat rawatan ketika barah berada pada tahap serius. Memahami sepenuhnya mengenai rawatan-rawatan terkini serta bentuk sokongan kepada pesakit amat mustahak.

Sementara itu Perunding Klinikal Onkologi, NCI Cancer Hospital, Nilai, Dr Chandra S Hospet, berkata walaupun di luar negara jumlah kematian akibat barah itu dilaporkan semakin berkurangan, di sini keadaan sebaliknya kerana pengesanan selalunya berlaku pada peringkat lewat, menyebabkan bukan saja kos semakin meningkat, sebaliknya tidak banyak dapat dilakukan untuk menyelamatkan nyawa serta payu dara.

Di Malaysia kira-kira 50 hingga 60 peratus daripada jumlah pesakit yang hadir ke pusat perubatan untuk melakukan pemeriksaan adalah pada tahap awal dan masih boleh dirawat, walau bagaimanapun, lebih kurang 15 hingga 20 peratus daripada pesakit mungkin tidak dapat dirawat jika mereka pada tahap lewat, atau datang untuk rawatan lewat.

Katanya, dalam menerima rawatan pula, pesakit mesti sedar bahawa mereka tidak akan dirawat oleh satu orang saja kerana penyakit ini memerlukan beberapa jenis kepakaran termasuk patologi, radiologi, pakar pembedahan dan onkologi.

“Pembedahan masih menjadi rawatan utama, pakar onkologi akan mengendalikan terapi seterusnya. Pesakit mula-mula menjalani imbasan dan tisu barah mereka akan dikaji untuk ditentukan sebarang faktor risiko tinggi sebelum jenis rawatan yang terbaik dicadangkan. Pesakit kemudian akan diberitahu tahap barah mereka sebagai awal (tahap satu atau dua) atau sebaliknya,” katanya.

Katanya barah tahap awal bermakna barah itu masih kecil dan terhad di kawasan kecil. Barah jenis ini senang dirawat tanpa pembedahan yang radikal dan antara lain tujuan rawatan jenis ini adalah untuk membaiki kawasan setempat selepas pembedahan; meningkat kadar hidup; kurangkan kadar pulang semula barah atau menghalang barah pada payu dara yang sebelah lain.

Barah tahap empat biasanya tidak dapat dirawat dan tujuan rawatan bukan untuk memulihkan tetapi untuk menjaga mereka dan mengawal penyakit. Ini bermaksud mengawal penyakit selama boleh dan mengurangkan kesakitan dan masalah kesihatan lain yang berkait. Secara umum rawatannya untuk meningkatkan mutu hidup bagi masa yang tertinggal.

Sungguhpun pelbagai jenis rawatan ditawarkan, memilih jenis rawatan selepas pembedahan bergantung kepada beberapa faktor. Ini termasuk tahap barah, umur pesakit, sama ada pesakit berkenaan sudah putus haid, status reseptor hormon, serta laporan keadaan tisu.

Pelbagai pilihan rawatan disediakan, tetapi masih ramai wanita yang gagal mendapatkan rawatan atau mendapatkan rawatan pada peringkat akhir, ini termasuk di kalangan wanita berpendidikan tinggi.

Salah faham dan penerimaan negatif terhadap rawatan menyebabkan wanita mengalami penderitaan yang sebenarnya boleh dielak dengan keadaan barah semakin membesar dan bernanah. Oleh itu, adalah penting untuk memastikan kempen kesedaran barah berfokus bagi penyaringan dan pengesanan awal, tetapi juga fokus terhadap keperluan rawatan sesuai.

Sungguhpun pengesanan awal serta rawatan yang patut diterima, menyelamatkan nyawa dan menjimatkan wang pada masa sama ‘kumpulan’ yang membantu pesakit termasuk ahli keluarga seharusnya memberikan sokongan sepenuhnya dalam merawat barah payu dara.

INFO: Barah payu dara

* 1:19 wanita di Malaysia akan mendapat barah payu dara sepanjang hidup mereka.
* Barah utama yang menyebabkan kematian di kalangan wanita.
* Kebanyakan kes meningkat bersama usia, paling kerap berlaku di kalangan wanita berusia 50 tahun ke atas.
* Barah di kalangan wanita muda pada usia 30 hingga 45 tahun meningkat.
* 1 peratus berlaku dikalangan lelaki dan menerima rawatan sama seperti pengidap lain. (sumber: Pendaftar Kanser Kebangsaan 2003)


INFO: Barah payu dara di Malaysia

* Barah payu dara adalah barah paling biasa keseluruhannya dan barah paling biasa di kalangan semua wanita dari umur 20 tahun di Malaysia bagi 2002 dan 2003.
* Barah payu dara paling biasa di kalangan wanita Cina, diikuti India dan akhirnya Melayu.
* Menyumbang 31 peratus daripada jumlah kes barah wanita yang didiagnosis pada 2003. (30.4 peratus pada 2002)
* Kadar Piawai Umur (ASR) di kalangan wanita ialah 52.8 per 100,000 orang pada 2002 dan 46.2 bagi setiap 100,000 orang pada 2003. Di kalangan wanita Cina, kadarnya lebih tinggi dengan 70.1 bagi setiap 100,000 orang, bagi wanita India, ASR 61.7 bagi setiap 100,000 orang dan paling rendah di kalangan wanita Melayu dengan kadar 41.9 bagi setiap 100,000 orang.
* Pada 2003, kadarnya 33.9 bagi kaum Melayu, 59.7 bagi kaum Cina dan 55.8 wanita India.

Sokongan jururawat bantu pesakit atasi tekanan

TIDAK dapat dinafikan pesakit barah payu dara menerima pelbagai tekanan emosi saat diberitahu menghidap barah, ketika rawatan atau ketika melalui pelbagai rawatan susulan yang dijadualkan untuknya.

Malah, kesan emosi boleh berpanjangan sehingga beberapa tahun selepas itu khususnya bagi menjalani rawatan kimoterapi dan radioterapi yang meninggalkan lebih banyak kesan sampingan dan mungkin memberikan impak kepada kehidupannya.

Justeru, jururawat Maliza Nawawi daripada NCI Cancer Hospital, berkata pengurusan kejururawatan yang baik membolehkan jururawat ‘meringankan’ beban pesakit melalui pelbagai perkara. Antaranya memberikan sokongan, penerangan atau kefahaman mendalam pesakit terhadap proses yang perlu dilalui.

Katanya, pelan pengurusan jururawat dibangunkan antara lain untuk mempromosi kefahaman pesakit terhad saraan terapi, jadual rawatan dan kemungkinan kesan sampingan menerusi rawatan diterima pesakit. Kesan sampingan rawatan boleh berlaku dalam tempoh 24 jam selepas rawatan, muntah dan sebagainya.

“Dalam hal ini kefahaman mendalam mengenai rawatan dan kesan sampingan seharusnya diketahui jururawat kerana hari ini pesakit terdiri daripada golongan yang semakin berpendidikan, yang bukan saja ingin mengetahui lebih lanjut mengenai apa, kenapa dan bagaimana sesuatu rawatan diterima, sebaliknya mungkin ‘mencabar’ pengetahuan jururawat itu sendiri,” katanya.

Menyediakan penjagaan kejururawatan kepada pesakit menerima rawatan kimoterapi umpamanya, memberikan beberapa cabaran kerana majoriti keluarga dan pesakit akan turut sama memberikan laporan berhubung sebarang kesan sampingan rawatan, bagi mengelakkan akibat yang lebih serius.

Jururawat diharap mampu ‘menjaga’ sebarang perubahan pesakit termasuk dari segi status fizikal dan emosi, sejarah lampau, amalan kesihatan serta tidak ketinggalan pengetahuan pesakit dan keluarganya terhadap penyakit berkenaan dan rawatan diterima.

Maklumat berhubung perkara itu, banyak membantu mengelakkan salah faham dan kekeliruan yang mungkin timbul selepas rawatan, seterusnya mempertingkatkan program serta kemungkinan impak rawatan diterima. Jururawat bermaklumat memberikan kesan positif kepada sektor kesihatan negara.
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

0 comments:

Post a Comment

Followers

TENTANG DIRI SAYA

My photo
GURU AKADEMIK TINGKATAN ENAM SMK KHIR JOHARI, TG.MALIM. PENDIDIKAN; SK TOK KHALIFAH, PT.13 (1972-1977); SAMR SG. HJ. DORANI (1978-1980); SAMT SSAAS, BT. 38 (1981-1984); UNIV MALAYA (1985-1988); MPKTBR (1990); IPSI (1997); UPSI (2000-2005); UPSI (2008-?)

ALAMAT EMAIL

abdmaleks@yahoo.com
abdmaleks@gmail.com
Sejak 12 September 2009
Documents

ANDA BERMINAT?

KOMENTAR TERAKTIF

Widget by Blogger Widgets

KEMASAN TWEETER

Twitter Updates

    follow me on Twitter
     
    PENGAJIAN AM 900. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.