Wednesday, July 13, 2011

Hina Negaraku: Lembaga pengarah UMT tunggu laporan

KUALA TERENGGANU 13 Julai – Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) masih menunggu laporan berhubung kes individu yang dikatakan pelajar institusi itu, menghina lagu Negaraku menerusi laman sosial Facebook, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri yang juga ahli Lembaga Pengarah UMT Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihaknya sedang menunggu laporan lengkap daripada universiti itu berhubung perkara itu.

"Sekiranya betul ia melibatkan pelajar UMT maka kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.

"Kita kecewa dengan apa yang berlaku, tidak kira sama ada dilakukan oleh pelajar atau pun individu lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya laporan sudah dibuat pendaftar UMT di Balai Polis Gong Badak berhubung perkara itu. - Bernama

Tuesday, July 12, 2011

Guru maut, 4 anak cedera kemalangan ketika ke sekolah

KOTA BHARU 11 Julai - Seorang guru wanita maut, manakala empat anak perempuannya berusia 10 hingga 17 tahun cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk dua motosikal di Batu 6, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Tunjong, di sini hari ini.

Mangsa, Junaidah Mohd. Nor, 45, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera dekat sini maut akibat kecederaan parah dalam kemalangan pukul 7 pagi itu.

Anak mangsa, Nurul Julia Mohd. Nawi, 17, patah paha dan tangan, manakala tiga adiknya, Nabila Jasmin, 15, Nurjaihan Afilin, 13, serta Natasha Juliana, 10, cedera ringan dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, ketika kejadian, mangsa yang menaiki Proton Wira dalam perjalanan ke sekolah bagi menghantar Nurul Julia yang belajar di SMK Zainab 1 dan Natasha Juliana di Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab II.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, kereta mangsa berlanggar dengan sebuah van dipandu oleh seorang lelaki.

"Sebelum itu, van tersebut berlanggar dengan sebuah Perodua Kancil ketika cuba memotong kenderaan lain di hadapannya. Van terbabit kemudian masuk ke laluannya semula dan melanggar sebuah motosikal.

"Van itu yang terus hilang kawalan masuk ke laluan bertentangan lalu dirempuh kereta dinaiki mangsa dan anak-anaknya.

"Sebuah motosikal lain yang berada di belakang kereta mangsa turut terbabas. Mangsa cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azham berkata, mayat mangsa dihantar ke HRPZ II untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya.

Beliau memberitahu, pemandu Perodua Kancil dan penunggang motosikal Yamaha Legenda hanya cedera ringan. Turut cedera, seorang murid sekolah yang juga pembonceng motosikal jenis Demak dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan usaha sedang dibuat bagi mengesan pemandu van terbabit.

Sementara itu, suami mangsa, Mohd. Nawi Deraman, 45, yang juga seorang guru memberitahu, isteri bersama empat anaknya itu keluar dari rumah mereka di Kampung Tukol, Peringat, dekat sini pukul 6.40 pagi untuk ke sekolah.

Menurutnya, rutin harian isterinya adalah menghantar Nurul Julia dan Natasha Juliana sebelum ke SMK Putera bersama-sama dua lagi anak mereka, Nurjaihan Afilin dan dan Nabila Jasmin.

"Saya keluar dari rumah kira-kira pukul 7 pagi. Selepas memasuki Jalan Kuala Krai-Kota Bharu, saya tengok jalan raya mengalami kesesakan teruk dan menjangkakan ada berlaku kemalangan.

"Beberapa minit kemudian saya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali yang memberitahu isteri dan anak saya terlibat dalam kemalangan tetapi, ketika itu saya hanya menjangkakan ia kemalangan kecil sahaja," katanya ketika ditemui di Unit Forensik HRPZ II di sini.

Tambahnya, beliau yang bergegas ke tempat kejadian mendapati isterinya meninggal dunia di tempat kejadian, sementara anak-anaknya dikejarkan ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan

Malaysia capai status negara tua 2030

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, unjuran itu sejajar dengan peningkatan taraf kesihatan penduduk yang menyaksikan warga emas di negara ini kini berjumlah 2.1 juta, mewakili 7.3 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

"Jangka hayat penduduk pula dijangka menokok daripada 72.6 tahun pada 2010 kepada 74.2 tahun pada 2020 bagi lelaki, manakala bagi perempuan daripada 77.5 tahun kepada 79.1 tahun untuk tempoh sama," katanya pada Sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Noriah Mahat mengenai jumlah warga tua yang menginap di Rumah Seri Kenangan di bawah kendalian kementerian.

Shahrizat memberitahu, sembilan Rumah Seri Kenangan di seluruh negara yang dikendalikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat kini memberi penjagaan dan perlindungan kepada 1,942 penghuni terutama warga emas daif.

Katanya, selain Rumah Seri Kenangan, kementerian kini mengoperasikan 22 Pusat Jagaan Harian Warga Emas dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi manfaat kepada 16,331 warga emas di seluruh negara.

"Peruntukan kewangan sebanyak RM733,260 telah disalurkan kepada NGO terbabit sepanjang 2010," katanya.

Program penyelesaian menyeluruh pendatang asing ditangguh

KUALA LUMPUR 11 Julai - Program penyelesaian menyeluruh pendatang asing tanpa izin (PATI) atau Program 6P ditangguhkan seketika sehingga segala urusan berkaitannya dipastikan mampu menjadikan proses tersebut berjalan lancar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, walaupun perkembangan semasa menunjukkan penyediaan melaksanakan program tersebut berada di tahap baik, ia masih belum cukup untuk memuaskan hatinya.

Kata beliau, penangguhan itu bagaimanapun dijangka tidak akan mengambil masa yang lama dengan beberapa penambahbaikan sudah dibuat.

"Program ini melibatkan ratusan ribu individu dan disebabkan itu kita mesti berhati-hati untuk melaksanakannya. Walaupun persiapan sudah bagus, tetapi belum sampai ke tahap memuaskan saya.

"Saya percaya tak lama (ditangguhkan). Apa pun, semua pihak terlibat perlu meyakinkan saya terlebih dahulu sebelum saya yakinkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tidak timbul masalah nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Hishammuddin menambah, keutamaan ketika ini adalah untuk mendapatkan majikan pekerja asing terbabit agar terlibat secara langsung bagi memastikan kesemua PATI dapat didaftarkan.

"Selain itu, kita berharap agar kementerian lain yang terlibat seperti Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Kementerian Sumber Manusia dapat memahami proses yang hendak dilaksanakan," katanya.

Saturday, July 2, 2011

Ordinan darurat untuk cegah keadaan lebih buruk - PM

PEKAN 3 Julai - Tindakan polis menggunakan Ordinan Darurat terhadap golongan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan subversif merupakan langkah pencegahan bagi mengelakkan sesuatu yang lebih buruk berlaku.

Perdana Menteri, Datuk Seri Naijb Tun Razak menjelaskan, penggunaan ordinan tersebut bagi memastikan ketenteraman awam terus terpelihara.

“Ini (Ordinan Darurat) sebagai langkah pencegahan. Pencegahan lebih baik daripada berubat. Apa yang dilakukan polis itu sebagai langkah pencegahan sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku,'' katanya.

Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini. - Utusan

Friday, July 1, 2011

Malaysia semakin ketandusan modal insan

KUALA LUMPUR 30 Jun – Malaysia didapati semakin mengalami ketandusan modal insan akibat penghijrahan kerja-kerja berbakat.

Kelly Services (M) Sdn. Bhd. (Kelly Malaysia) dalam Tinjauan Pekerjaan dan Panduan Gaji Kelly 2011/12 berkata, meskipun berhadapan dengan situasi itu namun pasaran kerja di negara ini masih optimistik.

Pengarah Urusan Kelly Malaysia dan Singapura, Melissa Norman berkata, tinjauan itu mendapati terdapat aliran keluar bakat tempatan yang semakin ketara disebabkan mereka semakin bersedia untuk bertukar kerja terutama ke pasaran serantau.

‘‘Kami dapati majikan sanggup membayar gaji lebih tinggi untuk menarik bakat yang boleh terus bekerja dan memerlukan latihan minimum.

‘‘Permintaan bakat semakin ketara dalam bidang yang pesat berkembang seperti industri perbankan dan kewangan, perkhidmatan, teknologi maklumat dan kejuruteraan,’’ katanya di sini hari ini.

Panduan Gaji Kelly turut menunjukkan gaji bagi jawatan pengurus tahap pertengahan hingga kanan dengan pengalaman antara tujuh hingga 10 tahun bagi sektor perbankan dan kewangan terutama dalam kewangan Islam melonjak sebanyak 12 peratus.

Profesional dalam teknologi maklumat dan telekomunikasi dengan pengalaman berkaitan antara lima dan lapan tahun boleh mengharapkan kenaikan gaji antara 15 peratus hingga 20 peratus.

Selamat tinggal Tanjong Pagar

SINGAPURA 30 Jun – Tepat pukul 11 malam ini, perkhidmatan Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar di sini mengucapkan ‘selamat tinggal’ buat selama-lamanya.

Setelah hampir 80 tahun beroperasi, kini perkhidmatan yang menjadi sisa-sisa lambang penyatuan ‘sebuah’ negara suatu ketika dahulu hanya tersimpul rapi sebagai lipatan sejarah.

Kereta api terakhir, ‘membawa’ semua memori suka-duka perkhidmatan KTMB kembali semula ke tanah besar Semenanjung.

Suasana di stesen agak riuh rendah sejak pukul 5 petang apabila ia diserbu oleh orang ramai yang ingin mengambil gambar detik-detik bersejarah hari ini dan membeli cenderamata KTMB.

Bagaimanapun putaran lagu Salam Terakhir nanyian Allahyarham Sudirman Arshad sepanjang petang ini menambahkan suasana pilu terhadap orang ramai dan kakitangan KTMB di stesen itu.

Perkhidmatan tren terakhir itu lebih bermakna apabila dipandu sendiri oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Dinaiki kira-kira 500 penumpang termasuk media dan pekerja rakyat Malaysia yang bertugas di stesen itu dan di depot meninggalkan tanah Singapura untuk selama-lamanya.

Majlis pelepasan tren terakhir itu turut dimeriahkan dengan penyampaian sijil kepada penumpang tren terakhir berkenaan.

Setelah mengharungi perjalanan selama kira-kira satu setengah jam, tren tersebut tiba di Stesen Johor Bahru Sentral kira-kira pukul 12.30 malam.

Mulai esok, Woodlands Train Checkpoint (WTCP) menjadi destinasi terakhir KTMB bagi menurunkan penumpang ke Singapura, manakala nasib Stesen Tanjong Pagar akan ditentukan oleh kerajaan Singapura yang berjanji mengekalkannya sebagai warisan seperti yang terkandung di dalam Perkara Perjanjian Malaysia-Singapura (POA) pada 1990.

Stesen Bukit Timah yang terletak antara Tanjong Pagar dan WTCP turut akan ditutup berkuat kuasa mulai esok.

Jadual ke Woodlands akan berterusan sehingga KTMB menamatkan perjalanan ke Singapura sepenuhnya yang hingga kini tarikhnya belum dimuktamadkan.

Selepas itu, tiada lagi perjalanan ke republik berkenaan menggunakan kereta api. Stesen terakhir selepas KTMB menamatkan perkhidmatan di WTCP adalah Stesen Johor Bahru Sentral.

Penggubalan Akta Guaman Syarie disegerakan - PM

KUALA LUMPUR 1 Julai - Penggubalan Akta Guaman Syarie akan disegerakan bagi memartabatkan sistem kehakiman syariah dan profesion guaman syarie di negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, selaras dengan penggubalan akta itu, Majlis Peguam Syarie akan ditubuhkan selain garis panduan etika guaman syariah bagi mengawal etika peguam syarie dan menyeragamkan undang-undang syarie di seluruh negara.

"Umum mengetahui tiada satu akta yang mengawal etika guaman syarie... banyak kes yang berkaitan dengan peguam syarie seperti menipu anak guam, membawa butiran palsu, mengenakan caj perkhidmatan yang tinggi dan tidak munasabah kepada anak guam.

"Kini sudah tiba masanya kita perlu memiliki Akta Guaman Syarie seperti Akta Profesion Undang-Undang 1976 dan menubuhkan Majlis Peguam Syarie seperti Majlis Peguam Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia Ke-13 dan menutup Konvensyen Peguam Syarie Seluruh Malaysia Ke-12 di sini, hari ini. - Bernama

Pelajar perlu aktif sukan di sekolah untuk ke IPTA

SERDANG 1 Julai – Para pelajar perlu sentiasa meningkatkan prestasi dalam bidang kokurikulum atau sukan di sekolah bagi melayakkan mereka menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi awam.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Hou Kok Chung berkata, kerajaan sentiasa memberi peluang kepada pelajar yang aktif dalam bidang sukan untuk menyambung pengajian ke IPTA.

"Pelajar yang aktif dalam bidang sukan tidak perlu bimbang mengenai peluang mereka untuk menyambung pengajian di IPTA kerana kerajaan sentiasa memberi keutamaan dan peluang kepada mereka.

"Mereka juga layak menerima biasiswa bagi menyambung pengajian di Kolej Komuniti atau IPTA lain sekiranya mereka berjaya meraih kejayaan hingga peringkat negeri atau kebangsaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sudut Satu Murid Satu Sukan (1M1S) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kembangan di sini hari ini. - Utusan

Akta Pertukaran dan Perkhidmatan Wang diwarta akhir tahun

BACHOK 1 Julai - Akta Pertukaran dan Perkhidmatan Wang yang akan diwartakan menjelang akhir tahun ini bakal menjadikan industri pengurup wang dalam negara lebih berdisiplin.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, di bawah akta tersebut pengurup wang perlu mendapat lesen untuk menjalankan operasi termasuk menghantar wang ke luar negara dalam usaha kerajaan mengekang aliran keluar wang secara haram.

Beliau berkata, di bawah peruntukan akta tersebut, mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh didenda RM5 juta atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

"Undang-undang baru ini untuk menangani masalah yang berlaku. Jumlah terbabit nampaknya besar dan semakin meningkat, jadi perlu diambil tindakan tegas supaya pengurup wang tidak berani lagi menghantar wang secara berleluasa. Bank Negara Malaysia (BNM) akan pantau," katanya selepas merasmikan Co-op Fest Zon Timur di sini hari ini.

Beliau turut menyampaikan geran pembangunan dan pinjaman tabung modal pusingan berjumlah lebih RM8.5 juta kepada beberapa koperasi termasuk koperasi sekolah seluruh negeri ini.

Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Koperasi Kelantan, Wan Muhamad Sabri Wan Harun dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Pahang, Zazali Haron.

Awang Adek diminta mengulas dakwaan pihak pembangkang bahawa sebanyak RM880 bilion wang negara telah hilang ke luar negara dalam tempoh 10 tahun lalu.

Mengulas lanjut beliau berkata, jumlah tersebut terlalu tinggi kerana angka yang dicatatkan oleh BNM hanya sekitar RM153 bilion dan usaha telah diambil menanganinya termasuk mewujudkan pasukan petugas khas dipengerusikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Beliau berkata, antara tugas pasukan tersebut ialah memeriksa operasi kira-kira 800 pengurup wang di negara ini di mana lebih 50 telah dibatalkan lesen kerana didapati terlibat dalam penghantaran keluar wang secara haram.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, BNM dan Kementerian Kewangan sedang meneliti keperluan untuk mewujudkan satu sistem pangkalan data lengkap peminjam wang daripada koperasi bagi memantau masalah peminjam sukar membayar balik hutang mereka.

"Ketika ini hanya bank yang mempunyai sistem seumpama itu dengan kerjasama Jabatan Insolvensi. Kita percaya, koperasi juga tidak mahu terjebak dalam beban hutang. Kita memang nak bantu (ahli-ahli koperasi mendapatkan pinjaman) tetapi nak tahu juga rekod pinjaman mereka," katanya. - Utusan

Followers

TENTANG DIRI SAYA

My photo
GURU AKADEMIK TINGKATAN ENAM SMK KHIR JOHARI, TG.MALIM. PENDIDIKAN; SK TOK KHALIFAH, PT.13 (1972-1977); SAMR SG. HJ. DORANI (1978-1980); SAMT SSAAS, BT. 38 (1981-1984); UNIV MALAYA (1985-1988); MPKTBR (1990); IPSI (1997); UPSI (2000-2005); UPSI (2008-?)

ALAMAT EMAIL

abdmaleks@yahoo.com
abdmaleks@gmail.com
Sejak 12 September 2009
Documents

ANDA BERMINAT?

KOMENTAR TERAKTIF

Widget by Blogger Widgets

KEMASAN TWEETER

Twitter Updates

    follow me on Twitter
     
    PENGAJIAN AM 900. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.