Saturday, December 11, 2010

Kecemerlangan akademik, kokurikulum perlu seimbang - PM

PEKAN 11 Dis. — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pencapaian cemerlang akademik pelajar perlu diseimbang dengan penyertaan mereka dalam aktiviti kokurikulum bagi melahirkan kepimpinan masa depan yang lebih berkualiti.

Beliau berkata, melalui pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum dengan berbekalkan akhlak yang baik, ia akan melahirkan barisan kepimpinan masa depan negara yang lebih berkualiti.

"Pelajar perlu cemerlang secara holistik, dari segi akademik dan cergas dalam kokurikulum, barulah dapat bangunkan pimpinan di hari muka,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 bagi kawasan Parlimen Pekan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ibu bapa selain guru-guru dan pelajar itu sendiri, adalah tonggak utama untuk menjayakan misi melahirkan kepimpinan masa depan negara yang berkualiti.

Seramai 451 pelajar sekolah di kawasan parlimen Pekan memperolehi keputusan 5A pada peperiksaan UPSR 2010.

Najib berkata, kerajaan menyediakan peruntukan yang besar dalam setiap pembentangan bajet negara dalam usaha memberikan peluang pendidikan yang lebih luas kepada rakyat.

"Tidak ada bidang lain sebesar (yang dibelanjakan) bidang pendidikan, dan di (kawasan Parlimen) Pekan misalnya, kerajaan wujudkan semua peringkat pendidikan dari peringkat sekolah rendah sehingga institusi pendidikan tinggi dalam usaha memberi peluang pendidikan yang luas kepada semua pihak,” katanya.

Sementara itu Najib berkata, sebuah kolej Vokasional-Teknikal (Voctech) akan dibina di Pekan tidak lama lagi.

"Kolej Voctech Pekan merupakan salah sebuah daripada lima kolej Voctech yang akan dibina kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-10. Kolej ini akan menawarkan tiga bidang kemahiran iaitu automotif, gas dan petroleum serta mekanik kapal terbang,” katanya.

Beliau berkata kolej Voctech itu akan menyediakan pendidikan alternatif kepada mereka yang sederhana dan lemah dalam bidang pendidikan. - Bernama

Program rasionalisasi subsidi kerajaan dapat pujian

KEPALA BATAS 11 Dis. - Program rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan kerajaan turut mendapat pujian daripada Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak yang melawat Malaysia selama dua hari mulai Khamis lalu.

"Ia (rasionalisasi subsidi) bukan sesuatu perkara yang senang untuk dilaksanakan. Kerajaan harus memastikan negara kuat dan tindakan tersebut telah mendapat pujian daripada Presiden Korea Selatan dalam lawatan beliau ke Malaysia baru-baru ini.

"Myung-bak berpendapat bahawa apa yang kerajaan Malaysia buat adalah satu perkara yang bijak. Kita tahu menjaga subsidi, pada masa yang sama kita juga menjaga kedudukan kewangan, tidak boros serta berbelanja dengan berhemat," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan telah meneliti kepentingan rakyat dan membuat kajian rapi untuk jangka masa yang panjang sebelum bertindak untuk merasionalisasi subsidi. - Bernama

Tuesday, November 2, 2010

Penganggur dipenjara 10 tahun sebabkan kematian kanak-kanak

MELAKA 2 Nov. - Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian kanak-kanak berusia dua tahun, yang juga anak teman wanitanya.

Tertuduh, Sha'ri Sabri, 31, menukar pengakuannya kepada bersalah selepas Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad. Asri Abd. Rahman Sidek mengemukakan semua fakta kes kepada Hakim Abu Bakar Katar.

Pada 10 Mac lalu, tertuduh pernah didakwa tetapi tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, Sha'ri didakwa telah menyebabkan kematian Muhammad Aidil di No. 20-1 Kampung Batu Hampar, Peringgit, Jalan Tun Fatimah, pada 13 September 2009 kira-kira pukul 4.30 petang.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Terdahulu, tertuduh yang juga bekas juruhebah tapak ekspo dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana mempunyai seorang ibu yang uzur selain perlu menanggung dua lagi anak hasil perkahwinannya dengan bekas isteri. - Utusan

Umur bersara hakim syariah dilanjut kepada 66 tahun

NILAI 2 Nov. – Had umur persaraan wajib bagi hakim mahkamah syariah akan dilanjutkan kepada 66 tahun daripada 58 tahun mulai tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, ini bagi menyelaras dengan umur persaraan hakim mahkamah sivil.

"Tujuannya antara lain ialah agar hakim yang baru dapat menimba berpengalaman daripada hakim yang senior. Selain itu, dengan adanya hakim tersebut kita berharap tidak ada kes tertangguh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Syariah dan Undang-undang Peringkat Kebangsaan 2010, di sini hari ini.

Katanya, amalan sekarang ialah apabila sampai umur 58 tahun, perkhidmatan hakim-hakim mahkamah syariah akan disambung secara kontrak setiap tahun. – Bernama

Komersialkan produk hutan tropika di peringkat global

KUALA LUMPUR 1 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa syarikat bioteknologi tempatan supaya mengkomersialkan produk yang dihasilkan daripada sumber hutan tropika negara ke peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pengkomersialan bagi tujuan perubatan dan kosmetik itu selaras dengan kedudukan negara sebagai salah satu daripada 12 negara yang mempunyai biokepelbagaian mega.

"Kita mesti memanfaatkan biokepelbagaian ini untuk meningkatkan pertumbuhan sektor bioteknologi kita termasuk dalam bidang pertanian dan penjagaan kesihatan," katanya.

Beliau menyampaikan ucaptama pada Pameran dan Persidangan Bio Malaysia 2010 yang berlangsung tiga hari sehingga Rabu ini di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, antara bidang yang boleh diterokai syarikat bioteknologi tempatan adalah berkaitan teknologi biomass yang sehingga kini masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.

"Bidang lain membabitkan industri bioproses yang memanfaatkan hasil getah dan minyak kelapa sawit kerana ia akan membolehkan syarikat mendapat pendapatan besar," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan akan turut memberi tumpuan bagi menarik kemasukan lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) dalam bidang bioteknologi.

"Kita harap dengan adanya usaha sama strategik antara syarikat asing dengan 123 syarikat tempatan, jenama produk bioteknologi yang dihasilkan di Malaysia akan mencapai taraf global.

"Langkah ini adalah sejajar dengan usaha untuk mewujudkan ekonomi berasaskan pengetahuan seperti yang digariskan Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan," katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga berharap syarikat swasta terus melabur wang yang banyak dalam bidang bioteknologi bagi memastikan pertumbuhan industri berkenaan di Malaysia terus berkembang dan berdaya tahan

Saturday, April 3, 2010

Mengimbas initiatif Model Ekonomi Baru

MODEL Ekonomi Baru (initiatif) yang bertujuan meningkatkan pendapatan per kapita negara menjelang 2020 telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Mac 2010. Dalam masa sepuluh tuhun yang akan datang ini Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perlu mencapai sekurang-kurangnya pertumbuhan sebanyak 6 peratus.

Kelalaian kita selama lebih 10 tahun telah membuatkan kita ketinggalan dari segi daya saing dengan negara-negara yang suatu masa dulu setanding dengan kita.

Dengan pengkorporatan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) diharap agensi kerajaan itu akan dianggotai oleh tenaga kerja yang profesional dan mahir baik dari dalam negara atau luar negara dan membuka pilihan untuk melantik pakar industri dalam bidang tertentu. Disarankan juga kita patut menjalankan satu kajian ke atas negara-negara yang telah berjaya menarik ramai pelabur asing tentang apakah asas-asas kejayaan mereka.

Kita tidak mengambil peluang dengan adanya hasil minyak untuk menyusun semula struktur ekonomi kita membuatkan pelabur asing dan pelabur tempatan tidak melabur sebanyak yang pernah mereka melabur 10 tahun dahulu.

Pada waktu yang sama kita melihat kemunduran dalam keupayaan kita untuk meningkatkan tenaga kerja mahir dan kemerosotan dalam kualiti pelajar kita yang keluar daripada institusi-institusi pengajian tinggi. Ramai yang begitu lemah dalam kemahiran berkomunikasi baik dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu.

Malahan kita terbelenggu dengan masalah pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dikritik hebat oleh pelbagai pihak sebagai dasar yang hanya menguntungkan sesetengah golongan sahaja.Tuduhan kronisme, berat sebelah, tidak telus dan mereka yang hanya mementingkan 'komisyen' dan 'menjual' projek kepada orang lain terus menjadi tunggak utama kritikan. Kesan yang dilihat hari ini ialah kita terlekat dengan pendapatan pertengahan dan jurang antara sesama kaum masih luas.

Tidak dinafikan dalam latar belakang semua ini, rasuah masih memainkan peranan buruknya sehingga ada pihak-pihak yang berkuasa tidak lagi segan silu melakukannya. Umum melihat ramai daripada mereka yang dituduh lepas begitu sahaja kerana pihak pendakwa kurang bukti yang kukuh.

MEB ini secara mudahnya adalah cara lain untuk menguruskan ekonomi negara. Ia membabitkan penyuburan kembali sektor swasta supaya dapat memacu pertumbuhan, membangun tenaga kerja yang berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Kalau dianggarkan ada 2 juta pekerja asing dan setiap seorang menghantar balik RM100 sebulan, dalam sebulan sahaja RM200 juta mengalir keluar daripada negara kita atau pun RM2.4 bilion setahun. Itu kalau RM100 setahun, sebarang gandaan akan melipatkan gandakan lagi jumlah yang mengalir keluar.

Dengan sektor swasta lebih gemar mengambil pekerja asing yang bergaji rendah, kita tidak akan dapat meningkatkan gaji kepada tahap yang lebih tinggi. Berkaitan dengan ini juga ramai kalangan rakyat kita yang lebih gemar bekerja di luar negara kerana mereka memperolehi pendapatan yang jauh lebih tinggi. Disebabkan kemahiran yang ada pada mereka dinilai lebih tinggi di luar negara, kita kehilangan mereka yang memiliki kemahiran yang sangat-sangat kita perlu untuk mengubah haluan ekonomi kita yang berteraskan pengetahuan dan kemahiran tinggi.

Amalan di sektor swasta menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) yang mana orang lama yang berpengalaman dibayar imbuhan dan diganti dengan orang baru yang diberikan gaji lebih rendah. Sikap begini akan meletakkan negara kita sentiasa berada dalam lingkungan negara berpendapatan rendah.

Initiatif seterusnya mewujudkan ekonomi tempatan yang berdaya saing. Kita mempunyai kekuatan. Kita mempunyai sumber alam yang belum diterokai sepenuhnya. Sumber alam ini bukan sahaja boleh diterjemahkan ke dalam bentuk komoditi tetapi dalam bentuk perkhidmatan.

Kuasa angin misalnya boleh ditukar menjadi penjana tenaga mengurangkan kebergantungan kepada tenaga minyak. Begitu juga tenaga suria yang boleh digembleng seperti yang dilakukan di negara-negara Timur Tengah. Dari sudut komoditi hutan-hutan kita yang berumur beratus juta tahun boleh dijadikan sumber untuk pelbagai jenis ubat kalau ditingkatkan penyelidikan dan pembangunan secara berkesan. Kelapa sawit kita belum diterokai pelbagai kegunaan sepenuhnya dan sentiasa menjadi bahan tentangan oleh mereka yang menyokong kacang soya.

Kita juga kerap mendengar rungutan tentang penyampaian perkhidmatan awam yang perlu dirombak dan diperkukuhkan. Ini menjadi initiatif MEB seterusnya. Dalam wawancara dengan media di Hong Kong, Perdana Menteri telah menyatakan perlunya mengadakan reformasi pentadbiran. Apa yang membimbangkan ramai pihak ialah rancangan yang begitu baik seperti MEB ini tidak berjaya disebabkan kelemahan dalam pelaksanaan. Ramai yang menjenguk ke belakang kepada pelaksanaan DEB yang penuh dengan ketirisan dan kebocoran.

Tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran juga menjadi salah satu initiatif MEB.Tindakan afirmatif yang telus memang benar-benar diperlukan. Melihat daripada pengalaman yang lepas-lepas banyak perkara seperti bagaimana sesuatu projek besar boleh diperolehi oleh sesuatu kumpulan tanpa sebarang tender menimbulkan keresahan di kalangan pihak lain. Ramai yang merasakan mereka didiskriminasikan. Walaupun ada perlunya bantuan diberikan, rakyat ingin tahu apakah mereka yang menerima wajar diberikan bantuan. Ia seharusnya bergantung kepada keupayaan dan bukan hanya kekuatan hubungan dengan orang tertentu.

Kerajaan juga wajar prihatin dengan keadaan di mana golongan yang terbesar di negara ini merupakan golongan yang terlemah sekali kedudukan ekonominya. Dalam proses menaikkan kedudukan ekonomi mereka ini, rakyat ingin tahu siapa sebenarnya yang patut diberikan bantuan untuk memperbaiki kedudukan mereka.

Suatu golongan yang tidak boleh dilupakan ialah mereka yang miskin di bandar. Walaupun mereka ini mungkin bekerja dan mempunyai pendapatan tetap, tetapi pendapatan mereka tidak mencukupi dan ini membuatkan ramai yang terpaksa membuat pekerjaan yang lebih daripada satu, misalnya bekerja siang dan berniaga di pasar malam.

Initiatif seterusnya membabitkan membina infrastruktur yang berasaskan pengetahuan. Initiatif ini bakal melonjakkan industri kita ke arah industri yang lebih tinggi nilai tambahnya. Faktor-faktor pengeluaran yang tradisional seperti tanah, buruh dan modal telah di atasi oleh pengetahuan dan kita lihat mereka yang berjaya seperti Bill Gates dan Steve Jobs masing-masing daripada Micorsoft dan Apple membina empayar mereka daripada pengetahuan, tanpa tanah dan modal.

Di sini sekali lagi saya nyatakan bahawa tanpa konsep berasaskan pengetahuan ini difahami betul-betul oleh institusi sokongan seperti institusi kewangan dan pentadbiran awam, nescaya usaha kita untuk membina infrastruktur yang berasaskan pengetahuan akan terbantut. Hari ini kita sudah ada usahawan yang asas mereka ialah pengetahuan misalnya dalam bidang perkhidmatan dan teknologi tinggi seperti pertanian berteknologi tinggi yang memerlukan laboratari dan bukan tanah berhektar-hektar untuk menghasilkan keluaran yang jauh lebih tinggi pulangannya.

Malangnya mereka ini mempunyai masalah meyakinkan golongan yang bertanggungjawab dalam pembiayaan. Bagi institusi kewangan yang gemar menyerahkan penilaian kepada perunding luar pula mereka juga enggan mendengar pembentangan daripada bidang yang baru dan unggul ini. Dengan sendirinya ini boleh mematahkan semangat mereka dalam bidang ini.

Dalam ucapan Perdana Menteri tempoh hari beliau menyatakan bahawa kerajaan mempelawa maklum balas daripada rakyat tentang MEB ini sebelum digubal dengan butir-butir terperinci nanti.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

Friday, December 11, 2009

MENDEKATI SOALAN STPM 2009: SOALAN 4

"Kawasan hutan tanah tinggi banyak kepentingannya. Penerokaannya boleh mendatangkan impak kepada kehidupan dan alam sekitar. Huraikan penyataan ini."
  1. Soalan ini sangat jelas pembahagiannya. Tentu ramai pelajar yang perasan tentang dua frasa penting iaitu kepentingan dan impak seperti yang tertera dalam soalan tersebut.
  2. Walau bagaimanapun sedikit keprihatinan diperlukan agar jangan menghuraikan kepentingan dan impak hutan sahaja. Ia boleh menyebabkan esei pelajar menyeleweng sepenuhnya.
  3. Oleh itu, terma "hutan tanah tinggi" mesti dinyatakan pada mana-mana bahagian esei.
  • Kepentingan
  1. Sumber perubatan/ herba. Akar-akar, daun, kulit kayu mempunyai banyak khasiatnya untuk mengatasi penyakit. Contoh; Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Misai Kucing dan sebagainya.
  2. Habitat flora dan fauna. Kawasan pembiakan spesis hidupan dan tumbuhan.
  3. Medan R&D. Tempat para saintis menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D). Umpamanya, bidang biodeversiti, geologi dan sebagainya.
  4. Sumber bekalan air. Kawasan tadahan air bersih yang diserap oleh pokok-pokok. Secara semula jadi boleh menyerap asid dan karbon yang sangat bahaya kepada manusia.
  5. Kawasan punca elektrik hidro. Contoh; Empangan Kenyir, Temenggor, Cenderuh dan Pangi.
  6. Penyeimbang ekosistem. Hutan boleh menyeimbangkan suhu, gas dan udara. Menyerap karbin dioksida dan membebaskan oksigen.
  • Impak
  1. Kemusnahan habitat flora dan fauna.
  2. Tanah runtuh. Tanah yang tinggi yang dipotong menyebabkan tebing runtuh.
  3. Mencemarkan sungai dan kawasan tadahan air.
  4. Perubahan iklim serta pemanassan global.
  5. Hakisan tanah. Penebangan pokok menyebabkan struktur tanah menajdi longgar.Apabila hujan turun secara lebat, ia boleh menyebabkan larian air dan hakisan tanah.

MENDEKATI SOALAN STPM 2009: SOALAN 3

Bahan kimia semakin banyak digunakan sebagai salah satu kandungan dalam makanan yang diproses. Walau bagaimanapun, penggunaannya boleh mendatangkan kesan sampingan. Jelaskan.
  1. Soalan ini meminta pelajar menjelaskan dua perkara iaitu; kepentingan dan kesannya.
  2. Namun, para pelajar perlu sedikit berhati-hati kepada frasa makanan yang diproses. Ia bermaksud, makanan yang telah siap diproses. Termasuklah makanan segera, ringan dan yang ditinkan.
  3. Pembahagian soalan mengikut ketetapan 2+2
  • Kepentingan bahan kimia
  1. Mengekalkan kesegaran sesuatu makanan dalam tempoh yang panjang. Kadang-kadang sehingga dua tahun. Seperti yang tertera pada luar bungkusan makanan yang diproses.
  2. Menambah khasiat makanan. Bahan-bahan kimia yang boleh menambahkan agen pencernaan dalam sistem penghadaman. Seperti bakteria basilus dalam minuman susu kultur.
  3. Sebagai bahan memproses makanan. Sebagai contoh makanan yang diawet dalam tin. Kari lembu, kambing, ayam dan ikan. Maksudnya, tanpa bahan kimia sesuatu makanan itu tidak boleh ditinkan. Contoh; asid borik dan asid sitrik
  4. Mengantikan penggunaan perisa bahan asal. Contoh perasa mangga, durian dan strawberi dalam kordial minuman dan aiskrim.
  5. Menjadikan makanan lebih enak. Contoh; monosodiumglutamet (MSG) dalam pelbagai makanan ringan dan segera, serta digunakan secara meluas dalam makanan.
  • Kesan sampingan
  1. Alahan. Sesetengah bahan kimia boleh menyebabkan ruam, gatal dan pening. Contoh; Tartazin (E102) menyebabkan gatal yang serius pada tisu lembut seperti kelopak mata, bibir dan tangan.
  2. Menyebabkan penyakit. Penggunaan secara berlebihan boleh menyebabkan penyakit seperti kanser. Contoh, asid benzoik dalam sos dan jus buahan boleh menyebabkan gangguan pada saraf. Penggunaan bahan pewarna boleh menyebabkan kanser, kencing manis, masalah buah pinggang dan gastrik.
  3. Keracunan makanan. Kandungan bahan kimia dalam makanan boleh menyebabkan cirit-birit, muntah-muntah, dan sakit perut. Jika rawatan tidak disegerakan, boleh menyebabkan kematian.
  4. Menjejaskan proses pembesaran. Kandungan bahan seperti alumunium, plumbum dalam makanan ringan boleh menyebabkan gangguan dalam proses tumbesaran fizikal dan mental seseorang.
  5. Menyebabkan rasa ketagih. Kandungan sesetengah bahan kimia seperti kafein dalam kopi boleh menyebabkan rasa ketagih.

Wednesday, December 9, 2009

MENDEKATI SOALAN STPM 2009: SOALAN 2

Soalan: Selain keupayaan negara menghasilkan pelbagai produk hiliran, kejayaan sektor pertanian negara dipengaruhi juga oleh faktor-faktor lain. Huraikan penyataan ini.
  1. Soalan ini terbahagi kepada dua bahagian. Pertama Produk hiliran dan yang kedua faktor-faktor lain. Oleh itu, pembahagian jawapan mengikut kaedah 1+3.
  2. Produk hiliran- Hasil siap bagi sesuatu bahan pertanian. Sebagai contoh; buah nanas. Hasil hilirannya ialah; jem, jus, perasa kek, aiskrim dan sebagainya.
  3. Faktor-faktor lain - Faktor-faktor yang menyumbang kepada kejyaan menghasilkan produk hiliran.
  • Tenaga buruh yang ramai dan secara relatifnya kosnya masih rendah.
  • Cuaca dan iklim yang sesuai untuk menghasilkan lebih banyak hasil pertanian.
  • Pasaran dalam negara dan juga luarnegara
  • Jenis tanah yang sesuai serta bekalan air yang nencukupi.
  • Kursus dan latihan pertanian di IPT atau anjurtan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.
  • Prasarana pertanian sama ada sewaktu penanaman, penuaian hasil atau semasa menghantar ke kilang pemprosesan
  • Penggunaan teknologi terkini dalam menghasilkan benih daripada baka yang bermutu, kaedah penanaman yang lebih efisien
  • Dasar kerajaan yang mahu menggiatkan sektor pertanian. Subsidi, penurunan cukai import bagi bahan-bahan asas tani, seperti baja dan perlatan penanaman.

MENDEKATI SOALAN STPM 2009: SOALAN 1

"Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara" Begitulah pepatah orang tua kita yang memberikan gambaran bahawa belia ialah golongan yang oenting dalam memajukan sesebuah negara. Jelaskan ciri yang perlu ada pada golongan belia untuk merealisasikan hasrat pepatah ini.
  1. Secara umumnya soalan ini agak mudah.
  2. Para pelajar hanya diminta menyatakan empat ciri penting yang mesti ada dalam diri seorang belia.
  3. Tiada pembahagian kehendak soalan. Oleh itu kehendak soalan 4+0 (Kesemuanya hanyalah ciri-ciri seorang belia).
  4. Tetapi awas jangan tersilap konsep. Sebagai contoh, belia difahami sebagai "remaja"
  • Beragama, bermoral dan berakhlak
  • Mempunyai daya kepemimpinan yang baik
  • Mempunyai jati diri
  • Mempunyai nilai kemanusiaan - Tolak ansur, hormat-menghormati. Mementingkan aspek persaudaraan sejiran dan sebagainya
  • Menguasai ilmu pengetahuan yang tinggi- Menguasai ilmu teknologi. Ilmu yang boleh menjadikan seseorang belia bertindak dengan penih bijaksana.
  • Patriotik.
  • Gaya hidup yang sihat. Tidak mengamalkan gaya hidup yang tidak dipandang positif oleh rakyat.
  • Kritis dan berani menyuarakan pandangan dan pendapat.
  • Berpelajaran bagi menjadikan seorang belia yang berwawasan dan mempunyai daya intelektual yang tinggi.

Followers

TENTANG DIRI SAYA

My photo
GURU AKADEMIK TINGKATAN ENAM SMK KHIR JOHARI, TG.MALIM. PENDIDIKAN; SK TOK KHALIFAH, PT.13 (1972-1977); SAMR SG. HJ. DORANI (1978-1980); SAMT SSAAS, BT. 38 (1981-1984); UNIV MALAYA (1985-1988); MPKTBR (1990); IPSI (1997); UPSI (2000-2005); UPSI (2008-?)

ALAMAT EMAIL

abdmaleks@yahoo.com
abdmaleks@gmail.com
Sejak 12 September 2009
Documents

ANDA BERMINAT?

KOMENTAR TERAKTIF

Widget by Blogger Widgets

KEMASAN TWEETER

Twitter Updates

    follow me on Twitter
     
    PENGAJIAN AM 900. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.