Thursday, April 28, 2011

SEKADAR PERKONGSIAN ..

27 APRIL 2011 (RABU) - Hari ini aku ke sebuah sekolah agama di daerah Hulu Selangor untuk memenuhi jemputan cikgu dan anak-anak murid di sekolah tersebut berkaitan dengan bagaimana hendak menguasai dengan baik mata pelajaran Pengajian Am, khususnya kertas 2.

Dalam tempoh selama hampir dua jam setengah itu, taidak semua bahagian dapat dibincangkan. Fokus utama ialah bahagian A,B,D dan E. Paling utama ialah bahagian A dan B sebab ia membawa 50% daripada keseluruhan markah kertas 2. Bagaimana hendak membezakan antara isi-isi laras sastera dan sains. Hal ini kerana kebanyakan pelajar gagal membezakan dengan jelas kedua-dua laras tersebut.

Dalam bahagian linear kepada nonlinear, pentingnya menyediakan jadual yang baik, mudah dirujuk sewaktu hendak menghasilkan graf atau carta. Pembahagian yang secukupnya untuk ruang menghasilkan graf atau carta dengan mengambil kira keperluan kepada ruang yang secukupnya untuk petunjuk, skala, sumber rujukan dan sebagainya sangat penting.

Dalam bahagian nonlinear kepada linear pula, terma "perubahan" dan "perbandingan" samngat perlu dititikberatkan. Adakalanya istilah tersebut ditukar dengan istilah-istilah lain yang membawa maksud yang hampir sama. Umpamanya, "perkembangan" yang difahami sebagai sama dengan "perubahan".

Terima kasih kepada para pelajar dan cikgi-cikgu yang sudi menjemput. Semoga semuanya beroleh kejayaan yang semerlang dalam STPM 2011...
----------------
Foto: Sedar hiasan...

Sunday, April 24, 2011

TERBUKTI PENGAJIAN AM SUSAH!

Daripada dapatan soal selidik yang dijalankan secara online, 75% (44 orang pelajar) daripada 59 orang pelajar yang mengisi borang tersebut menyatakan mata pelajaran Pengajian Am adalah subjek yang paling susah. Ia suatu yang sangat memeranjatkan! Manakala mata pelajaran yang paling senang ialah Pendidikan Seni.

Nampaknya kena buat sesuatu bagi mengatasi masalah ini. Ataupun masalah itu sebenarnya hanya soal mentaliti atau mind-set yang telah terbina sejak masuk ke tingkatan enam? Ada lima bahagian dan enam soalan kena jawap. Soalan kertas 1 lagi..

Lebih mengharubirukan ialah, Pengajian Am kena dapat sekurang-kurangnya "c", baru boleh masuk universiti. Mungkin ia menambahkan lagi tekanan kepada pelajar. Mungkin untuk lebih jelas lagi saya kena buat lagi satu soal selidik, bagi mencari jawapan secara spesifik antara lima bahagian mana tersebut, bahagian manakah yang paling susah.

Harapan saya manfaatkan apa juga bentuk komunikasi dalam memperbaiki aspek kelemahan yang telah dikenal pasti. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan... di mana ada kesungguhan di situ ada kejayaan...

Monday, April 4, 2011

Tiada kompromi calon menang cara rasuah - SPR

PUTRAJAYA 4 April - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak berkompromi dengan mana-mana calon yang menang dalam suatu pilihan raya melalui rasuah, kata Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata, bagaimanapun, SPR bukan badan yang dipertanggungjawabkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang untuk membuat siasatan termasuk mengenai isu rasuah dan politik wang.

"Kita tidak ada unit, bahagian dan jabatan yang menguatkuasakan perkara tersebut. Kita tidak mempunyai keupayaan itu. Kita tidak ada kepakaran dan tidak ada orang.

"Kita bekerjasama rapat dengan agensi lain iaitu SPRM untuk rasuah dan polis untuk hal-hal yang berkaitan dengan jenayah.

"Jika ada elemen rasuah untuk tujuan menang, atau rasuah untuk membeli undi dan sebagainya, bagi mereka yang tahu, hendaklah lapor kerana ini boleh didakwa,” katanya pada temu bual bersama Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini, baru-baru ini. - Bernama

Muhyiddin pandang berat kes guru dera murid sehingga mati

KUALA LUMPUR 4 April – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kes murid sekolah agama yang dibelasah guru sehingga maut merupakan jenayah serius dan perbuatan yang tidak boleh dimaafkan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata walaupun sekolah berkenaan bukan di bawah Kementerian Pelajaran, namun perbuatan guru itu tetap tidak boleh dibiarkan kerana ia membabitkan keselamatan murid.

"Sebagai Menteri Pelajaran saya memandang berat sama ada sekolah itu dalam sistem pendidikan atau di luar. Kes mendera sehingga maut pelajar kecil satu tindakan jenayah dan pihak berkuasa harus menyiasat kenapa hal seperti ini berlaku sehingga membawa ajal.

"Bila ibu bapa menyerahkan anak mereka kepada pihak sekolah, ia menjadi tanggungjawab guru dan sekolah kena memberi perhatian tentang keselamatan mereka, (bukannya mendera mereka) apalagi dilakukan oleh guru yang sepatutnya bertanggungjawab mendidik anak-anak,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas kes murid Tahun Satu sebuah sekolah agama persendirian di Perlis, Saiful Syazani Saiful Sapfidee, 7 yang meninggal dunia semalam selepas tiga hari koma akibat dibelasah gurunya. - Bernama

Friday, April 1, 2011

Pilihan raya Sarawak: 30 simbol untuk calon bebas

KUCHING 1 April - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menambah 16 simbol lagi untuk digunakan calon bebas yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak kali ke-10 pada 16 April ini.

Pengarah Akademi Pilihan Raya, Abdullah Jusoh berkata, pertambahan simbol itu menjadikan 30 simbol boleh digunakan pada kali ini berbanding hanya 14 simbol pada pilihan raya negeri 2006.

Langkah menambah jumlah simbol ini kerana dijangkakan calon bebas yang bertanding dalam pilihan raya negeri kali ini bertambah, katanya semasa menyampaikan taklimat “Pengurusan Pilihan Raya dan Peranan Media Semasa Pilihan Raya” di sini hari ini.

Abdullah berkata dengan mewujudkan lebih banyak simbol, ia dapat memastikan tiada calon bebas menggunakan simbol yang sama ketika bertanding di sesebuah kawasan DUN atau Parlimen.

Antara simbol yang boleh digunakan kali ini ialah gajah dan udang serta simbol lain antaranya kereta, kapal terbang, pokok dan gelas, katanya.

Abdullah berkata calon bebas hanya boleh menggunakan simbol yang disediakan dan dibenarkan SPR itu.

Beliau berkata jika ada lebih daripada seorang calon bebas yang mahukan simbol yang sama, SPR akan mengadakan undian bagi menentukan siapakah yang berhak menggunakan simbol berkenaan. - Bernama

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_18.htm

Tuesday, March 15, 2011

Pindaan Interlok tunjuk kemajuan menggalakkan - Muhyiddin

PUTRAJAYA 15 Mac – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pindaan dalam novel Interlokmenunjukkan kemajuan menggalakkan walaupun beliau belum menerima butiran terperinci daripada panel bebas yang diketuai oleh Prof Datuk Shamsul Amri Baharuddin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selepas menerima butiran terperinci terhadap bentuk pindaan yang dibuat dalam beberapa hari lagi, perkara itu akan dimaklumkan kepada pemimpin masyarakat India bagi memastikan semua pihak berpuas hati dan menerimanya sebulat suara.

"Kita akan beri peluang kepada wakil daripada masyarakat India untuk maklumkan kepada pemimpin supaya apa yang diputuskan itu secara konsesi dapat diterima oleh mereka. Saya juga akan membawa perkara itu ke kabinet sebab perkara ini sudah sampai ke tahap nasional,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada 27 Januari lepas, Muhyiddin berkata novel Interlok, yang mencetuskan kontroversi kerana mengandungi beberapa perkataan yang tidak disenangai masyarakat India, akan terus digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk murid Tingkatan Lima di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, kerajaan telah bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India dalam novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu. - Bernama

Monday, March 14, 2011

Botol susu polikarbonat diharam

PUTRAJAYA 14 Mac – Penjualan botol susu jenis polikarbonat yang mengandungi Bisphenol A (BPA) diharamkan berada di pasaran.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, mesyuarat Jemaah Menteri 2 Mac lalu bersetuju cadangan Kementerian Kesihatan untuk mengharamkan penjualan botol susu bayi jenis tersebut.

Menurutnya, langkah penguatkuasaan pengharaman tersebut akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2012.

“Keputusan pengharaman ini diambil sebagai langkah berjaga-jaga kerana sehingga kini tiada bukti menunjukkan botol susu polikarbonat yang mengandungi BPA adalah selamat digunakan oleh bayi dan kanak-kanak.

“Tindakan ini juga dibuat dengan mengambil kira BPA telah diketahui boleh menyebabkan gangguan kepada sistem hormon sekali gus mengganggu sistem fungsi tubuh. Sehingga kini juga tiada sebarang penilaian dijalankan berhubung sistem hormon dalam tubuh bayi serta tiada jaminan keselamatan untuk itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai pengharaman penjualan botol susu bayi jenis itu di ibu pejabat kementerian, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman.

Tiong Lai berkata, tindakan pengharaman tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dan pihak industri diberi tempoh setahun untuk membuat persediaan menukar, membeli mesin dan memilih penggunaan bahan mentah yang sesuai.

Pada masa sama, beliau berkata, pemantauan berterusan yang dijalankan pihak kementerian mendapati berlakunya migrasi BPA dari botol-botol susu bayi polikarbonat yang telah diuji.

“Sehingga tahun lepas, sebanyak 159 sampel botol susu bayi telah dianalisis dan didapati 85 peratus daripadanya dikesan mengandungi bahan BPA dalam julat 0 hingga 0.7 mg/kg hasil kesan migrasi dari botol berkenaan.

“Kajian Universiti Malaya (UM) pula menunjukkan kadar migrasi yang berlaku meningkat sebanyak tujuh kali ganda pada suhu 80 darjah Celsius berbanding suhu bilik 25 darjah Celsius,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai tindakan pengharaman itu, beliau berkata, langkah tersebut selaras dengan pendekatan diambil oleh Jerman, Perancis, Denmark, Kanada, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat (AS).

“Terkini, pihak Kesatuan Eropah juga telah membuat pengumuman mengharamkan penjualan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan pengguna terutamanya terhadap bayi dan kanak-kanak.

Menurutnya, langkah pengharaman itu dapat melindungi keselamatan kumpulan berisiko tinggi berkenaan sehinggalah terdapat maklumat keselamatan terbaru mengenai penggunaan BPA diperolehi.

Beliau menasihatkan dalam tempoh setahun ini, pengguna perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko pendedahan kepada migrasi BPA berdasarkan panduan penggunaan botol susu bayi jenis polikarbonat.

Namun begitu, katanya, pengguna boleh membuat pilihan awal dengan menukar botol susu bayi jenis polikarbonat kepada alternatif yang terdapat di pasaran mengikut kemampuan masing-masing.

Beliau menambah, pihaknya juga akan menjalankan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK); Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dalam hal berkenaan.

Orang ramai yang inginkan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan di talian 0388833652/88833653 /88833655 atau layari laman web http://moh.gov.my atau http://fsq.moh.gov.my.

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN

Biodiesel mula dijual Jun ini

KUALA LUMPUR 14 Mac - Bermula Jun ini, pemandu kenderaan berat dan pacuan empat roda yang menggunakan diesel mempunyai pilihan dari segi penggunaan bahan bakar berikutan penjualan minyak biodiesel kelapa sawit B5.

Sebagai permulaan, B5 akan dijual di stesen-stesen minyak terpilih di ibu negara, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka dengan harga yang akan diumumkan kemudian.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Choo Yuen May berkata, sebanyak 200,000 tan metrik bahan api alternatif itu akan dipasarkan pada tahun ini.

"Penggunaan biodiesel dapat mengurangkan kebergantungan terhadap minyak diesel yang bekalannya semakin berkurangan di seluruh dunia selain mengurangkan pengaliran wang keluar berikutan import bahan api itu," katanya ketika berucap pada Persidangan Dunia Hijau di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof. Datuk Dr. Rofina Yasmin Othman; Penasihat kepada Lembaga Pengarah Meja Bulat Minyak Sawit Mapan (RSPO) dan Duta Brazil ke Malaysia, Sergio De Souza Fontes Arruda.

Tuesday, March 8, 2011

Tiga sahabat didakwa samun warga emas berusia 75 tahun

KOTA BHARU 8 Mac – Akibat menyamun seorang warga emas berusia 75 tahun, tiga sahabat yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini dan bakal berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Kamaruzaman Saari, 41; Wan Mohd. Abdullah Wan Yusof, 38; dan Zulkifli Ismail, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan merompak Minah Yaacob.

Mereka didakwa bersama-sama merompak mangsa menggunakan senjata lawi ayam dan berjaya melarikan wang tunai RM9,000, seutas rantai leher dan seutas rantai tangan milik mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Penakah, Machang kira-kira pukul 7.30 pagi pada 17 Januari lalu.

Kamaruzaman yang berasal dari Jerteh, Terengganu, ditangkap pada 12 Februari lalu, manakala Wan Mohd. dari Machang dan Zulkifli dari Tanah Merah pula ditangkap beberapa hari kemudian.

Ketiga-tiganya didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan dikenakan sebatan.

Hakim Irwan Suainbon menetapkan 10 April depan bagi sebutan semula kes untuk tertuduh melantik peguam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Hamizah Ghazali.

Terdahulu, beliau memohon agar jaminan tidak diberikan kerana tertuduh menghadapi pertuduhan yang amat serius.

“Mangsa adalah seorang warga emas bagaimanapun ketiga-tiga tertuduh tetap merompaknya dengan membawa senjata,’’ jelasnya. – Utusan

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN


Foto: Sekadar hiasan

Martabatkan bahasa Melayu peringkat global

KUALA LUMPUR 7 Mac - Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2011 merupakan landasan terbaik untuk memartabatkan bahasa rasmi negara ke peringkat antarabangsa.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penganjuran PABM 2011 membolehkan negara di luar nusantara mengenali dan menguasai bahasa Melayu yang dituturkan di kebanyakan negara Asia Tenggara.

Beliau berkata, pendedahan melalui pertandingan pidato itu dapat menarik minat bangsa lain untuk lebih mendalami keunikan dan keindahan bahasa Melayu serta budaya yang diamalkan penuturnya.

"Pertandingan kali ini juga sebagai satu bentuk kesedaran dan perang psikologi kepada rakyat Malaysia yang menganggap kerajaan meminggirkan bahasa Melayu.

"Penganjuran PABM 2011 mampu menutup mulut para pengkritik dasar kerajaan mengenai bahasa kebangsaan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Malam Resepsi PABM 2011, di sini hari ini.

Oleh HAKIMI ISMAIL

Followers

TENTANG DIRI SAYA

My photo
GURU AKADEMIK TINGKATAN ENAM SMK KHIR JOHARI, TG.MALIM. PENDIDIKAN; SK TOK KHALIFAH, PT.13 (1972-1977); SAMR SG. HJ. DORANI (1978-1980); SAMT SSAAS, BT. 38 (1981-1984); UNIV MALAYA (1985-1988); MPKTBR (1990); IPSI (1997); UPSI (2000-2005); UPSI (2008-?)

ALAMAT EMAIL

abdmaleks@yahoo.com
abdmaleks@gmail.com
Sejak 12 September 2009
Documents

ANDA BERMINAT?

KOMENTAR TERAKTIF

Widget by Blogger Widgets

KEMASAN TWEETER

Twitter Updates

    follow me on Twitter
     
    PENGAJIAN AM 900. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.