Wednesday, September 7, 2011

Hina mahkamah, di mana batasnya?

DATUK SERI DR. MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH 
MINGGUAN MALAYSIA: Apakah yang dimaksudkan dengan Penghinaan Mahkamah dan boleh Datuk Seri jelaskan mengapa konsep ini rumit untuk difahami?
MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH: Penghinaan Mahkamah adalah aturan undang-undang substantif dan prosedur yang telah dibangunkan sendiri oleh mahkamah berkurun-kurun lamanya dalam sistem “Anglo-American” supaya mahkamah dapat menghalang secara berkesan sebarang campur tangan yang benar-benar serius terhadap pentadbiran keadilan mahkamah. Proses menghalang campur tangan tersebut adalah mustahak untuk memastikan mekanisme pelaksanaan keadilan melalui mahkamah tidak diganggu-gugat oleh pihak-pihak yang terlibat dalam tindakan mahkamah, peguam-peguam (malah hakim-hakim), wartawan, segala jenis media, ahli-ahli politik dan lain-lain yang mempunyai niat yang sama. Beberapa contoh jelas menggambarkan keadaan penghinaan terhadap mahkamah adalah seperti berikut:
(i) Seorang defendan yang menyerang pegawai undang-undang atau hakim apabila mereka melaksanakan tugas rasmi sebagai pegawai kehakiman atau mengugut dan menghalang saksi daripada memberi keterangan di mahkamah, merupakan perbuatan penghinaan mahkamah yang jelas ;
(ii) gangguan yang sengaja terhadap prosiding mahkamah yang mana gangguan tersebut telah mengganggu fungsi dan tugas-tugas mahkamah dalam apa cara sekalipun, boleh juga menjadi penghinaan mahkamah ;
(iii) Seorang saksi dewasa yang sengaja enggan mengangkat sumpah atau enggan menjawab soalan yang sah daripada peguam atau mahkamah, juga melakukan penghinaan mahkamah ;
(iv) menggunakan bahasa yang penuh amarah dan menghapuskan hormat terhadap mahkamah sama ada oleh saksi atau peguam-peguam yang mana bahasa tersebut boleh membawa kepada pertelingkahan dan mungkin pergaduhan di dalam mahkamah juga adalah perbuatan penghinaan mahkamah ;
(v) menyembunyikan secara sengaja dokumen-dokumen atau keterangan lain untuk menghalang kebenaran daripada tertimbul di hadapan mahkamah dan menyekat keadilan adalah satu penghinaan mahkamah yang jelas. Dalam perkara ini, sesiapa yang melakukan sedemikian sama ada beliau adalah peguam atau pihak pendakwaan atau saksi boleh diambil tindakan menghina mahkamah. Kita mempunyai beberapa kes yang dilaporkan di Malaysia dalam kategori yang serius ini.
Dalam satu kes Inggeris yang agak kelakar, seorang kerani mahkamah yang bosan cuba mengepam gas ketawa (laughing gas) semasa prosiding mahkamah untuk merancakkan keadaan telah diputuskan bersalah melakukan penghinaan mahkamah oleh Mahkamah Tinggi England. Bagaimanapun keputusan itu dirombak oleh Mahkamah Rayuan.
Dalam satu kes di Ipoh (1975) seorang peguam yang tidak puas-hati terhadap suatu keputusan hakim telah mencabar Hakim tersebut bertumbuk di luar mahkamah. Ini diputuskan sebagai satu penghinaan mahkamah yang agak teruk.
Pada 1964 di England, seorang litigan yang marah kerana hujahannya tidak diterima oleh Mahkamah Rayuan, telah berbogel di dalam mahkamah sambil terlentang di atas bangku panjang berhadapan hakim-hakim telah didapati bersalah menghina mahkamah dan dipenjarakan.
Seorang tertuduh dalam kes jenayah yang didapati bersalah atas pertuduhan yang dihadapi, didapati menghina mahkamah apabila beliau bangun dan dengan lantangnya berkata “ini semua sudah dirancang”.
Namun contoh di atas adalah kes-kes “Contempt in the face of the Court” yang bererti “Penghinaan mahkamah di hadapan muka mahkamah”. Ini di kenali juga sebagai penghinaan secara langsung (direct) berbeza dengan penghinaan-penghinaan mahkamah yang lain. Pendek kata, ini adalah perbuatan penghinaan di dalam kawasan mahkamah di hadapan muka mahkamah dan atas sebab itu terma “Contempt in the face of the Court” digunakan. Bagi kes seperti ini hakim perlu mengambil tindakan segera untuk menghalang penghinaan daripada dilakukan dan supaya prosiding tidak tergendala dan boleh diteruskan tanpa apa-apa gangguan lagi. Terdapat beberapa lagi jenis penghinaan mahkamah.
Seorang hakim yang bersidang juga boleh melakukan penghinaan mahkamah terhadap mahkamah beliau sendiri sekiranya beliau mengucapkan kata-kata yang menghina peguam-peguam atau saksi-saksi di mana ia menghalang kelancaran perjalanan atau pengurusan prosiding mahkamah.
Maka, adalah jelas bahawa dalam semua kes penghinaan mahkamah, mahkamah-mahkamah perlu segera mengambil tindakan penghinaan mahkamah kerana menangguhkannya bertentangan dengan rasional keseluruhan undang-undang penghinaan mahkamah, iaitu untuk memastikan kelancaran prosiding supaya pencarian keadilan dapat dinikmati tanpa lengah dan membendung segala yang memudaratkan prosiding.
Sekiranya mahkamah memerintahkan pihak tertentu untuk melakukan sesuatu atau menghalang melakukan sesuatu, pelanggaran perintah tersebut adalah satu penghinaan mahkamah. Sekiranya arahan atau perintah terbabit adalah berkenaan mereka yang tidak di muka kawasan mahkamah (berlainan dengan mereka yang terikat dengan “Contempt in the face of the Court”) umpamanya perintah mahkamah untuk pihak-pihak menyerahkan dokumen-dokumen tertentu dalam tempoh yang ditetapkan; atau mematuhi injunksi menghalang perbuatan mengganggu seseorang; atau perintah menghalang bercampur dengan atau mencabul seseorang, perbuatan-perbuatan penghinaan mahkamah ini biasanya dirujuk sebagai penghinaan mahkamah sivil (Civil Contempt”) memandangkan ia berpunca daripada prosiding sivil.
Adakah undang-undang lain yang mengawal keadaan-keadaan yang menyerupai penghinaan mahkamah?
MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH: Tidak menerima atau sengaja mengelak daripada diserahkan dokumen mahkamah, seperti saman untuk hadir atau menyerah dokumen atau keterangan ke mahkamah boleh tertakluk kepada penghinaan mahkamah juga. Penghinaan mahkamah seperti ini adalah juga satu kesalahan d ibawah Kanun Keseksaan, Bab 10, “Contempts of the Lawful Authority of Public Servants” (Penghinaan terhadap kuasa sah Penjawat Awam ) .Penjawat Awam di sini ditakrifkan sebagai termasuk hakim-hakim dan pegawai-pegawai mahkamah).
Di bawah Seksyen 228 Kanun Keseksaan, adalah satu kesalahan untuk mencaci atau menyebabkan sebarang campur tangan yang menghalang hakim atau pegawai kehakiman dalam prosiding mahkamah. Tetapi perkara ini adalah kesalahan jenayah dan bukan penghinaan mahkamah yang biasa walaupun inti pati penghinaan mahkamah dan kesalahan Kanun Keseksaan ini mungkin hampir sama.
Bagaimana pula dengan penghinaan mahkamah oleh media? Kalangan pengamal media sendiri sukar memahami konsep ini dan apakah kaitan antara penghinaan mahkamah oleh media dan peraturan subjudis?
MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH: Memang terdapat satu jenis penghinaan mahkamah lagi yang dipanggil “Penghinaan Mahkamah oleh Media” (“Media contempt”) yang agak ruang lingkup serta sempadannya sukar difahami. Dengan perkembangan pesat teknologi media, kesalahan penghinaan mahkamah oleh media mendapat perhatian yang serius. Ia juga menjadi sangat penting kini memandangkan sistem kehakiman mencuba sedaya upaya untuk melindungi badan itu daripada penerbitan-penerbitan oleh media yang boleh mempengaruhi keputusan sesuatu kes.
Terdapat persaingan nilai di sini yang memerlukan pertimbangan serius dan sukar. Keperluan untuk mendapat perbicaraan yang adil tanpa pengaruh media sebenarnya kadang-kala tidak selari dengan hak kebebasan media bercakap dan meluahkan fikiran dan pendapat atau kebebasan pendirian yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan kita yang mana media seharusnya menikmatinya di dalam sistem demokrasi seperti di negara kita.
Kes-kes “media contempt” di Malaysia telah diputuskan dengan corak yang tidak menentu dan tidak konsisten didalam penghakiman melalui pelbagai mahkamah dalam tempoh yang berlainan. Selanjutnya mahkamah-mahkamah Malaysia dilihat tidak mengambil perhatian secukupnya fakta bahawa kita tidak mempunyai sistem juri. Jadi mahkamah kita adalah lebih tegap atau “robust” kerana proses membuat keputusan hanya akan dibuat oleh hakim-hakim yang terlatih dalam bidang undang-undang. Mereka bukan sahaja dilatih melalui pendidikan undang-undang secara formal malah dilatih pada tahap tinggi dalam amalan guaman khususnya dalam membezakan apakah yang relevan dan tidak relevan dalam satu-satu kes. Hakim-hakim juga tahu bahawa dalam membuat keputusan hanya keterangan yang dikemukakan di mahkamah sahaja relevan untuk pertimbangan mereka. Sebarang perkara lain yang berlaku diluar mahkamah termasuk debat atau perbincangan dalam media atau di ruang siber adalah tidak relevan dan perkara-perkara ini akan diketepikan daripada fikiran dan pertimbangan mereka. Mana-mana peguam yang arif sedia maklum perkara ini dan mereka percaya sepenuhnya bahawa hakim-hakim di Malaysia akan dapat mengenepikan maklumat-maklumat luar yang tidak diterima dalam mahkamah daripada menyerapi ruang keadilan di Mahkamah.
Adakah Datuk Seri maksudkan tanpa sistem juri, hakim-hakim kita lebih ‘bersedia’ membuat keputusan tanpa pengaruh luar?
MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH: Di England dan Amerika Syarikat di mana sistem juri digunakan secara meluas, terdapat kebimbangan bahawa ahli-ahli juri yang merupakan orang biasa dan tidak terlatih dalam undang-undang, mungkin akan terpengaruh dengan tekanan-tekanan luar seperti media. Kita tidak mempunyai masalah itu disini. Mana-mana hakim di Malaysia yang menyatakan bahawa beliau boleh dipengaruhi oleh media adalah tidak layak untuk menjadi hakim. Beliau sepatutnya meletakkan jawatannya sebagai hakim.
Malah di England dan di negara-negara Komanwel yang lain, mahkamah sudah mula mengambil pandangan realistik bahawa juri-juri mereka adalah bebas, cukup matang dan berkemampuan untuk mengambil arahan daripada hakim secara keseluruhan dan secara eksklusif untuk pertimbangan mereka, membebaskan diri mereka daripada pengaruh luar seperti media, seperti mana yang sepatutnya diarahkan dalam arahan hakim kepada juri. Atas alasan ini dan sebagai pakar undang-undang media saya telah mempertahankan idea bahawa penghinaan mahkamah oleh media di negara ini yang bersifat subjudis patut digugurkan. Bagaimanapun penghinaan mahkamah oleh media berkenaan “scandalizing the court” atau yang mengaibkan mahkamah harus dikekalkan.

0 comments:

Post a Comment

Followers

TENTANG DIRI SAYA

My photo
GURU AKADEMIK TINGKATAN ENAM SMK KHIR JOHARI, TG.MALIM. PENDIDIKAN; SK TOK KHALIFAH, PT.13 (1972-1977); SAMR SG. HJ. DORANI (1978-1980); SAMT SSAAS, BT. 38 (1981-1984); UNIV MALAYA (1985-1988); MPKTBR (1990); IPSI (1997); UPSI (2000-2005); UPSI (2008-?)

ALAMAT EMAIL

abdmaleks@yahoo.com
abdmaleks@gmail.com
Sejak 12 September 2009
Documents

ANDA BERMINAT?

KOMENTAR TERAKTIF

Widget by Blogger Widgets

KEMASAN TWEETER

Twitter Updates

    follow me on Twitter
     
    PENGAJIAN AM 900. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.