
Program Sekolah Dalam Hospital yang direalisasikan dalam tempoh beberapa bulan sahaja hasil kerjasama erat di antara Yayasan Nurul Yaqeen, Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan juga ahli-ahli jawatankuasa Projek HatiNurani adalah merupakan hasrat isteri YAB Menteri Pelajaran, Y.A.Bhg. Puan Seri Norainee Abd. Rahman selaku Penaung Projek Hati Nurani untuk membantu menyediakan pendidikan secara formal dan berstruktur sebagai sebahagian daripada tanggungjawab demi kelangsungan masa depan kanak-kanak.
Objektif pelaksanaannya adalah bagi memastikan pembelajaran murid tidak terjejas ketika berada di wad, tidak tercicir dalam pelajaran dan terus dipelihara selaras dengan matlamat Education for All.
Menerusi pendekatan pembelajaran yang agak berbeza daripada sekolah biasa, Sekolah Dalam Hospital adalah berorientasikan pendekatan didik hibur (fun learning) dan fleksibel dalam persekitaran yang kondusif, sekaligus membantu menghilangkan rasa bosan pelajar apabila perlu mendapat rawatan dalam tempoh yang lama di hospital.
Sekolah Dalam Hospital dilaksanakan secara projek rintis di tiga buah hospital iaitu Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang dan Hospital Ampang dan dijangka akan diperluaskan ke hospital Kementerian Kesihatan Malaysia yang lain.
Seramai 16 orang guru telah menyahut cabaran dan hasrat murni kerajaan untuk memberi pendidikan kepada pelajar dan kanak-kanak di hospital, sekali gus menjadi kumpulan perintis di Sekolah Dalam Hospital.
Kejayaan projek Sekolah Dalam Hospital ini juga bergantung pada kerjasama badan-badan korporat tampil menyumbangkan dalam apa jua bentuk sumbangan bagi menjayakan projek ini.
Diterbitkan Oleh: Unit Komunikasi Korporat
http://www.moe.gov.my/?id=13&aid=2080
Diterbitkan Oleh: Unit Komunikasi Korporat
http://www.moe.gov.my/?id=13&aid=2080
0 comments:
Post a Comment