Wednesday, May 4, 2011

ISU TINGKATAN ENAM LAGI

[Sebuah catatan lama yang disiarkan dalam blog peribadi saya]

Sekali lagi saya sangat berminat untuk membicarakan isu tingkatan enam dalam ruang ini. Pada kesempatan ini saya cuba mengenal pasti punca mengapa 2/3 daripada sejumlah 280 orang pelajar yang ditawarkan ke tingkatan enam tidak mendaftarakan diri di sekolah saya Manakala sebilangan pelajar yang telah mendaftar sedang mengintai-intai peluang untuk keluar daripada tingkatan enam.

Aliran keluar dan masuk yang aktif.

Di sekolah-sekolah Pusat Pengajian Tingkatan Enam (PPTE) pada ketika ini masih lagi "sibuk". Para pelajar enam rendah masih belum lagi settled. Aliran traffic keluar masuk masih lagi berlaku walaupun pengajaran dan pembelajaran (p&p) telah bermula. Hal tersebut berlaku disebabkan masih ada beberapa lagi peluang yang mereka sedang rebut sebelum terlewat.

Pertama, ke matrikulasi IPTA. Selepas gagal ke matrikulasi KPM, para pelajar masih lagi berpeluang untuk ke matrikulasi serta pusat asasi yang dikendalikan oleh IPTA. Namun, lazimnya bilangan yang terlibat tidak begitu ramai kerana biasanya para pelajar ini mempunyai keputusan yang cemerlang dalam SPM tetapi enggan ke matrikulasi KPM.

Kedua, perpindahan keluar dan masuk sekolah. Ada sebilangan pelajar yang ditawarkan ke PPTE yang tidak bersesuaian dengan kedudukan tempat tinggal mereka. Sebagai contoh, sewaktu di tingkatan 5, para pelajar belajar di sekolah yang tiada tingkatan 6. Oleh itu, apabila tawaran sampai mereka ditempatkan di sekolah lain yang lebih jauh serta berkemungkinan tiada kemudahan asrama. Dalam kes ini para pelajar terpaksa mencari PPTE yang ada asrama atau memilih belajar di sekolah yang berhampiran dengan rumahnya walaupun ada kalanya terpaksa "berhijrah" ke negeri lain.

Ketiga, bertukar bidang. Kes ini lazimnya melibatkan para pelajar aliran sains. Mereka ditawarkan ke aliran sains memandangkan keputusan mereka yang agak baik serta layak untuk ditawarkan ke aliran sains. Walau bagaimanapun sejarah lampau barangkali banyak menghantui mereka. Bukan mudah berada di tingkatan 6 aliran sains. Jika diimbas kembali pengwujudan pusat matrikulasi serta asasi sains, fenomena ini ada asasnya. Justeru, ramai daripada kalangan mereka akan bertukar ke bidang kemanusiaan. Jika mereka ditawarkan ke sekolah (yang ada aliran sains) yang terletak jauh dari rumah, walhal ada sekolah PPTE yang terletak berhampiran dengan kediaman mereka tetapi tiada aliran sains, kebanyakan kes mereka akan memohon pula bertukar sekolah pula.

Keempat bertukar kerana reputasi sekolah. Dalam konteks semasa,t iada halangan kepada para pelajar untuk bersekolah di mana-mana. Walaupun pihak JPN menetapkan sekolah-sekolah tertentu untuk menerima para pelajar tersebut, tetapi selepas pendaftaran para pelajar boleh memohon tukar ke sekolah-sekolah lain yang dilihat lebih hebat. Kadang-kadang ia melampaui daerah dan negeri. Asalkan perkara-perkara asas seperti tempat penginapan tiada masalah, maka perkara-perkara lain turut tiada masalah.

Kelima, tawaran UPU. Menjelang hujung Jun dan awal Julai, fenomena gelombang kedua keluar masuk ini akan berlaku secara lebih besar. Pada ketika itu UPU akan menawarkan program diploma dan pra diploma kepada para pelajar yang layak. Sekitar 90% pelajar yang ditawarkan ke program tersebut akan menerima tawaran. Begitu juga ada yang ditawarkan ke program yang sama di IPTS. Kalau dilihat trend beberapa tahun lepas, para pelajar yang kekal bertahan di tingkatan enam sekitar 70% daripada jumlah pelajar tingkatan enam rendah yang ada.

Keenam, pengambilan kedua IPTA. Bagi pelajar yang gagal mendapat tawaran ke IPTA, lazimnya akan membuat rayuan. Dalam kes-kes sebegini bilangannya tidaklah ramai. Mungkin sekitar beberapa orang sahaja.

Daripada beberapa faktor di atas, jelas sekali tingkatan enam bukanlah destinasi utama yang menjadi pilihan para pelajar selepas SPM. Sebab itulah hanya 1/3 pelajar yang ditawarkan ke tingkatan enam mendaftarkan diri di sekolah saya. Selebihnya ghaib dan tentunya tidak berminat. Saya melihat perkara ini agak serius. Saya berharap fenomena tersebut akan berkurangan apabila sistem modular (SM) dilaksanakan menjelang 2011. Namun, daripada penelitian saya, ada dua isu besar yang harus diberi peneilitian yang sewajarya. Pertama isu pembelajaran dan kedua isu persekitaran. Bagi menjelaskan kedua-dua isu tersebut, elok rasanya kalau saya membuat perbandingan dengan pesaing bagi kedua-dua isu tersebut sekali gus.

Isu Pembelajaran.

STPM dikatakan susah. Banyak buku kena baca. Belum ada jaminan pasti lulus STPM dan akhirnya ke menara gading. Berbanding dengan di IPTA atau di IPTS. Bilangan pelajar yang gagal mendapat diploma terlalu kecil. Sesi pembelajaran secara semester tidak membebankan pelajar. Peperiksaan ditadbir secara dalaman di IPTA dan IPTS. Oleh itu para pelajar lebih tahu skop topik yang akan diuji dalam peperiksaan. Selain daripada itu kerja-kerja kursus yang dilakukan akan menyumbah sejumlah peratusan yang agak besar dalam peperiksaan akhir.

Jadual waktu yang rigid. Di tingkatan enam masih lagi mengamalkan jadual waktu yang lebih kurang sama dengan para pelajar aliran perdana (tingkatan 1 hingga 5). Dalam kes di sekolah saya, beberapa aktiviti seperti R&D, kolokium, kokurikulum dilaksanakan selepas waktu p&p iaitu dari pukul 1.10 sehingga 2.30 petang. Keadaan ini berlainan di IPTA dan IPTS. Mereka akan datang dan pergi mengikut kesesuaian masa p&p. Selebihnya, sama ada mereka akan ke perpustakaan atau menyiapkan tugasan-tugasan di rumah atau di bilik-bilik khas.

Isu Persekitaran.

Kekurangan bahan di pusat sumber sekolah (PSS). Walaupun mata-mata pelajaran di peringkat STPM masih relevan dengan sistem persekolahan, namun bahan rujukan bertaraf prauniversiti tidak disediakan dengan secukupnya. Bahan-bahan bacaan ilmiah (bukan nota dan bahan rujukan peperiksaan) yang menyokong p&p sangat minimum. Sedangkan semua mata pelajaran di peringkat STPM tiada sebarang buku teks. Hal sedemikian tidak berlaku di IPTA dan IPTS. Masing-masing menjadikan pusat sumber sebagai tarikan utama para pelajar ke situ. Masing-masing menyatakan pusat sumber mereka mempunyai koleksi rujukan yang terbanyak berbanding pusat-pusat pengajian yang lain.

Peraturan yang rigid ke PSS. PSS masih mengikut prosedur biasa seperti peraturan yang dikenakan kepada para pelajar aliran perdana. Umpamanya mesti ada kebenaran guru atau bersama-sama guru sewaktu berkunjung ke PSS. Fenomena tersebut kadang-kadang menyebabkan para pelajar malas hendak ke PSS. Berada di IPTA dan IPTS, pusat sumber adalah "rakan" yang sangat akrab kepada para pelajar. Mereka bukan sahaja menjadikan pusat sumber sebagi tempat membuat rujukan malah pelbagai aktiviti lain termasuklah perbincangan, akses internet dan konsultasi dengan pensyarah.

Uniform sekolah. Daripada sembang-sembang dengan para pelajar yang tidak begitu seronok berada di tingkatan enam menyatakan bahawa mereka "cemburu" dengan rakan-rakannya yang berada di IPTA dan IPTS tidak lagi memakai uniform sekolah. Mereka dilihat sudah jemu memakai uniform sekolah sejak 11 tahun yang lalu. Keadaan tersebut tidak terlalu ketara kira-kira 10 tahun yang lalu kerana pada ketika itu tidak banyak IPTA dan IPTS diwujudkan untuk program-program pasca SPM.

Justeru, melalui pelaksanaan SM yang akan berlangsung pada tahun hadapan, kita tidak pasti sama ada sentimen tidak suka ke tingkatan enam akan berakhir atau akan mencetuskan pula fenomena yang lain. Sekali imbas, SM hanya berupaya menyelesaikan sebahagian isu pembelajaran sahaja. Jika dilihat jadual pelaksanaan sistem tiga semester seperti di matrikulasi dan di IPTA/ IPTS, ia akan meringankan beban pembelajaran para pelajar. Mereka akan menduduki tiga peperiksaan sepanjang tiga semester. Jika keputusan mana-mana dua semester awal tidak begitu baik, mereka boleh mengulang pada semester ketiga. Manakala jadual yang rigid masih lagi dilihat tidak berubah. Para pelajar dikehendaki berada di sekolah dari pukul 7.30 pagi sehingga 2.30 petang. Walau bagaimanapun saya tidak melihat ia satu masalah yang sangat besar lagipun para pelajar masih lagi "mesra" dengan budaya belajar yang sedemikian.

Namun, isu-isu persekitaran dilihat lebih mencabar pihak KPM. Walaupun banyak budi bicara serta penyelesian diserahkan kepada pihak sekolah, namun ia sebenarnya memerlukan campur tangan pihak KPM. Isu PSS yang saya nyatakan di atas serta banyak lagi kemudahan asas untuk prauniversiti seperti yang digariskan dalam senarai semak KPM sewaktu memantau minggu orientasi tingkatan enam rendah baru-baru ini perlukan tindakan segera daripada pihak KPM. Bilik kuliah (berserta peralatannya), bilik penolong kanan tingkatan 6, bilik guru para pensyarah, makmal sains, makmal komputer dan banyak lagi. Jika semau itu perlu dilengkapkan, sudah pasti akan memakan kos yang sangat tinggi.

Pada pandangan saya, pihak KPM perlu memikirkan alternatif lain yang lebih praktikal. Sebagai contoh membina sebuah PPTE di setiap daerah. Atau menukar status sebuah sekolah tertentu dalam setiap daerah daripada sekolah aliran perdana kepada PPTE. Oleh sebab bilangan pelajar tingkatan enam sehingga kini sekitar 1/3 daripada sejumlah yang ditawarkan maka pilihlah sekolah yang sederhana besar saiznya tetapi cukup prasarana untuk sebuah PPTE berfungsi dengan baik.

Kewujudan PPTE sejak dijenamakan semula sebenarnya mengundang beberapa sub budaya yang agak tidak sihat. Sebagai contoh, pemisahan pentadbiran antara PPTE dan aliran perdana mengundang tafsiran-tafsiran yang negatif serta berupaya mengeruhkan hubungan antara guru dan pihak pentadbiran.

Kewujudan perjawatan guru akademik tingkatan enam (GAT6) DG44, DG48 dan DG52 dilihat menjadi idaman kepada ramai guru. Bukan sahaja guru-guru yang pernah mengajar tingkatan enam, malah mereka yang tidak pernah mengajar pun turut berminat. Ada cerita-cerita yang menyatakan penolong kanan pun berminat melepaskan jawatan untuk memohon gred yang lebih tinggi dalam GAT6. Perkara tersebut tidaklah menjadi satu masalah. KPM pun membenarkan sesiapa yang berkelayakan untuk memohon GAT6. Walau bagaimanapun dalam proses memperakui GAT6, pihak Bahagian Sumber Manusia (BSM) punyai syarat tertentu bagi memilih GAT6 yag benar-benar layak. Justeru, ramai yang tak dapat. Maka banyaklah cerita-cerita, ulasan-ulasan, kritikan-kritikan yang pelbagai terhadap GAT6 yang diperakukan oleh pihak BSM.

Begitu juga dengan bentuk jadual waktu p&p para pensyarah tingkatan 6 yang turut dipertikaikan oleh sesetengah pihak. Ia dilihat tidak adil jika dibandingkan dengan guru-guru aliran perdana. Waktu mengajar yang dilihat sedikit manakala kewajaran memasukkan beberapa aktiviti seperti R&D, kolokium, pentaksiran dan beberapa lagi dalam jadual waktu turut dipersoalkan.

Penglibatan dalam aktivit kokurikulum turut menjadi isu. Guru-guru tingkatan enam yang mengandalikan aktiviti kokurikulum di peringkat tingkatan enam masih perlu dilibatkan dalam aktiviti kokurikulum dalam aliran perdana. Oleh itu, setiap guru tingkatan enam mempunyai lebih daripada tiga bidang kokurikulum. Apabila keadaan ini berlaku menyebabkan beberapa salah faham timbul dan hubungan antara rakan sejawat mulai bermasalah.

Jika diteliti secara mendalam bayak lagi titik bengik yang timbul dengan pewujudan "dua" sistem aliran ini. Oleh itu, untuk perancangan jangka pendek dan panjang sangat wajar dan praktikal jika PPTE beropersi dalam sebuah sekolah di setiap daerah. Apa juga pembaharuan atau penjenamaan yang berlaku tidak akan menimbulkan rasa tidak senang pihak-pihak lain yang tidak berkaitan tetapi sering dikaitkan kerana salah tafsir tentang sesuatu perkara.

Jika alternatif ini menjadi realiti, lebih banyak daya tarikan dapat dilakukan. Masa pembelajaran yang lebih fleksibel, kemudahan asrama yang lebih optimum, isu uniform dan banyak lagi. Tidak hairan jika minat para pelajar akan bertukar arah dan bersedia menerima tawaran belajar PPTE! Tambahan pula, pegawai yang mengurus tingkatan enam di peringkat PPD, JPN dan KPM akan lebih mudah dan tentunya akan lebih efisyen.

Kesimpulannya, usaha menjanamakan semula tingkatan enam dilihat sangat wajar. Hal ini sedimikian kerana tingkatan enam merupakan "jalan terus" kepada para pelajar ke program ijazah di universiti selain program matrikulasi dan asasi sains. Walau bagaimanapun bagi meletakkan jenama tersebut sejajar dengan IPTA dan IPTS, ia memerlukan kepada usaha pemurnian keseluruhan sistem yang berkaitan.

11 comments:

cikgu jup said...

Saya setuju dengan pendapat cikgu maleque. KPM sepatutnya mengambil langkah awal dengan menempatkan pelajar dan guru-guru tingkatan 6 ke bangunan lain di setiap daerah. Misalnya di daerah kuala penyu ada bangunan sekolah rendah yang sudah tidak digunakan lagi setelah bangunan baru yang lebih besar siap dibina pada tahun 2005.

Anonymous said...

kenape pihak jabatan mahukan jumlah pelajar tingkatan 6 seramai 45 orang untuk 1 kelas. sangat tidak selesa dan tidak memartabatkan tingkatan 6

man sweng said...

aloo, mana bleh 45 org daaa..
min 15, maks 25 jer...

maslaahnya kpm takdak bagi surat pekeliling....

kpm pun b##### cam jpn daaaa

Anonymous said...

Selagi ada guru ting. 6 kena mengajar aliran perdana selagi itu masalah ting 6 tak selesai dan berlaku salah faham antara guru

RAZALI SAMAD said...

ALHAMDULILAH ... di sekolah saya segalanya berjalan dengan lancar. Pengurusan PraU diasingkan dari arus perdana.

Anonymous said...

Apakah syarat mengajar Ting 6?saya mengajar dr 2006 tp sampai sekarang masih belum dapat perlantikan..

MALEQUE SELAMAT said...

Di sekolah saya, pengasingan mungkin mencecah 90%. Masih ada lagi beberapa orang guru GAT6 yang mengajar di aliran perdana.

Saya tak pasti secara jelas apakah yang menjadi penghalang seseorang itu menjadi GAT6 selepas urusan perjawatan yang bermula pada tahun 2009 ini selesai. Hal ini kerana, perjawatan tersebut mengambil kira guru-guru yang dilantik untuk diperakukan oleh BSM mestilah mengajar pada tahun 2007 hingga 2009.Mungkin kemudian ini nanti ada iklan kot dikeluarkan...

fazdlipam said...

sangat baik penjelasan cikgu....perkara yang cikgu sebutkan memang berlaku di sekolah saya...berlaku hubungan yang tidak baik/salah faham antara GAT6 dengan Guru aliran perdana...

Anonymous said...

Cikgu kamarol. Alhamdulillah sekolah saya hampir 99% p&p ting 6 berasingan dgn arus perdana, cuma aktiviti ko-kurikulum masih celaru. Masalahnya pihak pengurusan sekolah sendiri tak faham tentang pengurusan dan p&p ting 6. Lagi satu saya tak faham sekolah saya menetapkan pelajar boleh ambil 4 mp pelajaran shj. Bukankah STPM sijil terbuka. Tolong saya.... ada ke pekeliling cam tu.

Anonymous said...

sekolah saya pula GAT6 mula naik kepala, seolah2 ada sentimen yang tidak elok apabila mereka sdh tidak friendly spt dulu.. semua semakin mjauh.. mentang2lah konon dah jadi pensyarah...

Anonymous said...

salam..saya ingin meminta pandangan cikgu. Di sekolah saya, sudah ada ura-ura untuk diadakan pengasingan. Namun begitu, apa yang paling menyedihkan ialah apabila pengurusan tingkatan 6 meminta pengasingan tanpa menyedari bahawa sebenarnya mereka memerlukan guru-guru aliran perdana untuk membantu. Cthnya, tiada guru untuk subjek bio dan hanya ada seorang guru MUET untuk 6 kelas. Hal sebegini telah mewujudkan suasana tidak harmoni mula menular.

Post a Comment

Followers

TENTANG DIRI SAYA

My photo
GURU AKADEMIK TINGKATAN ENAM SMK KHIR JOHARI, TG.MALIM. PENDIDIKAN; SK TOK KHALIFAH, PT.13 (1972-1977); SAMR SG. HJ. DORANI (1978-1980); SAMT SSAAS, BT. 38 (1981-1984); UNIV MALAYA (1985-1988); MPKTBR (1990); IPSI (1997); UPSI (2000-2005); UPSI (2008-?)

ALAMAT EMAIL

abdmaleks@yahoo.com
abdmaleks@gmail.com
There was an error in this gadget
Sejak 12 September 2009

ANDA BERMINAT?

KOMENTAR TERAKTIF

Widget by Blogger Widgets

KEMASAN TWEETER

Twitter Updates

    follow me on Twitter
     
    PENGAJIAN AM 900. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.