Sunday, May 13, 2012

Kemahiran Menyoal

Pendahuluan

Kemahiran menyoal dalam sesi pengajaran dan Pembelajaran adalah salah satu kaedah yang digunakan oleh guru untuk mendapatkan tindak balas daripada pelajar sama ada mereka memahami atau tidak tajuk yang disampaikan. Selain itu, soalan juga dapat membantu pelajar secara langsung dalam meningkatkan prestasi pelajaran mereka.


Teknik menyoal adalah penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Soalan digunakan untuk mendapatkan maklumat atau jawapan daripada pelajar. Khususnya, guru menggunakan teknik menyoal untuk memastikan sama ada mereka memahami pelajaran baru.Selain itu, menyoal juga mempunyai nilai sosial kemasyarakatan dengan menyoal dapat membantu pelajar mengukuhkan hubungan dan menyatukan kumpulan melalui interaksi hati ke hati.Walaubagaimanapun, guru harus memberi perhatian terhadap teknik menyoal kerana kekerapan memberikan soalan boleh menjadi alat dan jalan untuk menghasilkan pengajran yang baik ( Groisser, 1964 : 193 )

OBJEKTIF PENYOALAN

Secara umumnya apabila guru ingin menyoal pelajar, guru akan memberi soalan kepada keseluruhan kelas. Setelah memberi mereka waktu untuk memikirkan jawapn, barulah guru memilih secara rawak beberapa orang pelajar untuk menjawab soalan tersebut. Kaedah menyoal yang betul seperti ini dapat membangkitkan kecerdasan serta menggalakkan pelajar untk berfikir. Kaedah ini juga dapat merangsang pemikiran pelajar.
Selain itu, tujuan menyoal adalah untuk memperoleh maklum balas tentang pengajaran dan pembelajaran. Tambahan pula bahawa kebanyakan penilaian adalah bergantung kepada soalan, maksudnya bahawa setiap soalan mesti ada objektifnya iaitu:

a) Menggerak Minda Murid

Guru dapat merangsang dan mencungkil fikiran pelajar semasa sesi soal jawab dengan menggunakan teknik soalan kemahiran berfikir kreatif dan kritis terutamanya ketika mengajar tajuk baru. Pada masa yang sama, guru boleh menimbulkan minat dan rasa ingin tahu pelajar semasa sesi soal jawab dijalankan.

b) Menilai Pemahaman Pelajar

Guru dapat mengukur tahap kefahaman pelajar dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan. Sesi soal jawab merupakan satu latihan sebelum menghadapi ujian atau peperiksaan.

c) Membimbing Pelajar

Pelajar biasanya sering menunjukkan kelemahan dalam memberikan jawapan. Dalam kaedaan ini guru hendaklah tidak terus menyalahkan jawapan pelajar. Sebaliknya, guru wajar menggunakan teknik soalan yang memberikan panduan kearah jawapan yang dikehendaki sehingga pelajar menyedari kesilapan mereka dan cuba membetulkan kesalahan itu.

d) Merantas Pembelajaran

Proses pembelajaran pelajar harus berlaku secara aktif sepanjang masa. Bentuk soalan boleh juga menggunakan konsep yang diperoleh dalam sesuatu mata pelajaran kepada situasi yang lain.(Kamarul &Abd. Halim,2007 : 181 )

e) Menggalakkan Mutu Pemikiran Yang Tinggi

Soalan yang dibuat mestilah mempunyai unsur penganalisisan, penggabungan atau sintesis dan penilaian( Zawawi,1988:215)

f) Mengekalkan Perhatian Murid

Guru dapat mengenal pasti tingkah laku pelajar semasa pengajaran dan pembelajaran sedang berlaku. Jika guru ternampak pelajarnya sedang berkhayal atau leka, teknik soalan boleh digunakan untuk mengembalikan semula perhatiannya tanpa memarahi dan mengherdik pelajar terbabit( Zawawi, 1988: 215 )

g) Mengeratkan Interaksi

Tujuan menyoal juga dapat mengeratkan interaksi antara guru dengan murid dan sesama murid. Interaksi guru-murid, murid-guru dan murid sesama murid penting kerana dapat mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih baik dan garmoni ( Zawawi, 1988 : 216 )

Objektib yang telah disebutkan di atas, menjadi asas tujuan guru menggunakan tekni menyoal kepada para pelajar di dalam kelas. Dengan menggunakan teknik menyoal yang betul, sudah pasti suasana kelas akan lebih aktif dan seturusnya pengajaran dan pembelajaran guru akan lebih berkesan.

ARAS-ARAS PENYOALAN

Soalan-soalan yang hendak dikemukakan dalam aktiviti pengajaran guru hendaklah dipelbagaikan mengikut peringkat aras-aras penyoalan. Bloom dalam bukunya “ Taxonomy of Education objective” membahagikan enam peringkat aras-aras penyoalan:

۞ Pengetahuan
۞ Kefahaman
۞ Aplikasi
۞ Analisis
۞ Sintesis
۞ Penilaian

Enam aras ini boleh diaplikaskan dalam mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam di sekolah-sekolah menengah. Sebagai contoh, ketika guru mengajar pelajaran Tauhid, dalam tajuk khas Ilmu Tauhid. Guru boleh menggunakan soalan dalam pelbagai bentuk aras seperti berikut:

PENGETAHUAN

Soalan-soalan diperingkat ini bertujuan menguji kebolehan calon mengingat kembali fakta asas, istilah, erti, hukum, difinisi, tarikh, tempat dan nama-nama yang telah dipelajari.

Perkataan yang biasa digunakan ialah namakan, nyatakan,berikan, terangkan, siapa, apa, mana, bila dan senaraikan.
Contoh:
1) Berikan pengertian Ilmu Tauhid?
2) Nyatakan nama-nama lain bagi ilmu Tauhid ?

KEFAHAMAN

Soalan-soalan di peringkat ini bertujuan menguji keboleham calon memahami, menterjemah dan meninterpretasikan fakta asas, konsep, prinsip atau bahan yang telah dipelajari.
Perkataan-perkataan yang biasa digunakan ialah terangkan, tuliskan, mengapa, huraikan dan lain-lain.
Contoh:

1) Mengapa Ilmu Usuluddin dinamakan juga sebagai ilmu Tauhid ?
2) Terangkan ilmu Ma’rifat yang telah kamu pelajari ?

APLIKASI

Soalan-soalan di peringkat ini bertujuan menguji kebolehan calon menggunakan fakta asas, konsep, prinsip dan kemahiran yang dipelajari untuk menyelesaikan masalah.
Perkataan-perkataan yang biasa digunakan ialah bagaimana, selesaikan, carikan, kerakan, gunakan, huraikan dan lain-lain.

Contoh :
1) Huraikan kepentingan mempelajari ilmu Tauhid ?
2) Bagaimana kita mengenal Allah ?

ANALISIS

Soalan-soalan di peringkat ini bertujuan menguji keboleham calon membuat perbandingan dan menghuraikan faktor-faktor Perbezaan, kesamaan dan hubungkait antara satu sama lain.
Perkataan yang biasa digunakan ialah bandingkan, bezakan, Analisis, cerkinkan, asingkan, bahagikan dan sebagainya.
Contoh :
1) Bezakan maksud ilmu Kalam dan ilmu Ma’rifat ?
2) Bandingkan ilmu Tauhid dan ilmu Fiqh ?

SINTESIS

Soalan-soalan di peringkat ini bertujuan menguji kebolehan calon menggabungkan, mengintegrasikan atau mencantumkan idea-idea serta mentafsir dan merumuskan hasil yang dianalisiskan melalui prinsip induksi atau deduksi.

Perkataan yang biasa digunakan ialah rumuskan, membuat keputusan, membuat kesimpulan, bentukkan ciptakan, rekakan, gubahkan, integrasikan, gabungkan dan lain-lain.
Contoh:
1) Rumuskan tentang nama-nama lain dalam ilmu Tauhid ?
2) Buat kesimpulan tentang perkara-perkara dalam Rukun Iman ?

PENILAIAN

Soalan-soalan di peringkat ini bertujuan menguji kebolehan calon membuktikan, mengesahkan, memberi pendapat atau hujah, mengkritik, memberi komen dan menilai sesuatu pernyataan, ciptaan, karya, perinsip, teori dan lain-lain.

Perkataan yang biasa diunakan seperti beri kritikan, buktikan, nilaikan, berikan komen dan sebagainya.
Contoh :
1) Berikan pendapat kamu tentang orang yang engkar tentang percaya adanya Allah ?
2) Berikan dalil Naqli dan dalil Aqli tentang adanya Allah Ta’ala ?

Diambil dari [http://ibnuziad.wordpress.com/2010/03/04/kemahiran-menyoal/]

Kemahiran Mencari Maklumat

Maklumat yang tepat menjamin ketepatan keputusan dan keberkesanan tindakan. Tanpa maklumat tertentu sesetengah keputusan tidak dapat dibuat atau sekiranya dibuat, boleh membawa akibat yang buruk dan mengaibkan.
Dalam dunia yang semakin berasaskan maklumat dan mengalami kebanjiran maklumat, kita harus bijak mencari jalan bagi mendapat maklumat yang tepat dan menggunakannya dengan berkesan.
Kemahiran mencari maklumat adalah sesuatu yang boleh dipelajari. Tetapi kemahiran mencari maklumat juga bergantung kepada kedudukan ekonomi dan tempat di mana kita berada.

Ada beberapa perkara penting yang perlu diketahui dan difahami untuk melengkapkan diri sebagai pencari maklumat yang mahir dan aktif.
Pertama sekali adalah mengetahui dorongan / sebab mencari maklumat, diikuti dengan memahami sikap manusia apabila berdepan dengan maklumat. Setiap orang mempunyai dorongan yang berbeza semasa mencari maklumat. Ada yang memerlukannya untuk tujuan ekonomi, kemasyarakatan, pendidikan dan lain-lain. Dorongan yang berbeza ini membentuk persepsi dan motivasi yang berbeza pula semasa berdepan dengan maklumat.
Manakala sikap atau psikologi manusia itu turut mempengaruhi kemahiran mereka dalam mencari maklumat. Terdapat berbagai teknik untuk menganalisa sikap manusia semasa berhubungan dengan dunia maklumat.
Salah satu teknik itu menunjukkan ada orang yang mencari maklumat sekadar di permukaan, ada yang mencari secara mendalam dan ada pula yang bersifat meneroka sejauh yang mungkin secara rawak.
Memahami keperluan maklumat diri dan cara diri kita mencari maklumat adalah satu bentuk pemahaman di peringkat meta yang membolehkan kita menguasai kemahiran maklumat pada tahap yang lebih baik.
Selain itu, kemahiran mencari maklumat juga bergantung kepada sejauh mana seseorang itu tahu tentang bentuk dan sumber maklumat.
Maklumat boleh wujud dalam bentuk artifak, lukisan, imej, ensiklopedia, indeks, abstrak, buku tahunan, almanak, jurnal, buku, majalah, cakera padat, mikrofilem, mikrofiche, lisan, kaset, video dan banyak lagi.
Manakala sumber maklumat pula boleh jadi daripada manusia, bahan bercetak, bahan digital, bahan artifak, bahan filem, bahan seni, bahan bunyi dan lain-lain.
Kemahiran mencari maklumat bagi setiap bentuk dan sumber ini berbeza pula dan memerlukan teknik yang berbeza juga untuk mendapat hasil yang sepatutnya.
Contohnya untuk mencari bahan digital melalui enjin carian Google, sekiranya seseorang itu memahami konsep asas capaian kembali maklumat atau information retrieval dia akan dapat mencari bahan dengan lebih tepat berbanding orang yang tidak tahu. Begitu juga apabila ingin mencari bahan bercetak di perpustakaan, ada peraturan asas penyusunan buku di perpustakaan yang perlu difahami seperti nombor panggilan dan cara pengelasan bahan.
Termasuk dalam kemahiran mencari maklumat adalah kebolehan kita menduga di mana bahan yang kita kehendaki berada. Ini perlu dipelajari berdikit-dikit melalui pengalaman mencari maklumat yang terdahulu ataupun daripada pembacaan dan penerangan orang lain.
Ada bahan digital yang boleh didapati di Internet, tetapi ada juga bahan yang kita tahu wujud di dunia maya tetapi tidak boleh dicapai kecuali menggunakan kata laluan dan sebagainya. Kita perlu peka dan menyiasat kewujudan bahan itu di tempat kita, mungkin melalui institusi tertentu yang boleh membantu.
Ada juga bahan yang istimewa dan disimpan di tempat khusus dan memerlukan kebenaran khusus untuk menggunakannya seperti artifak atau bahan arkib.
Terakhir sekali adalah kebolehan kita untuk menilai maklumat yang telah berjaya kita cari, dan ini masih lagi merupakan rentetan daripada kemahiran kita mencari maklumat. Kemahiran menilai maklumat ini wajar dibicarakan dalam satu ruangan lain yang akan memberi kesempatan sebuah penerangan yang lebih sempurna.
Semua kemahiran mencari maklumat yang disebutkan di atas ada ditawarkan di pusat pengajian tinggi oleh pihak perpustakaan. Malah di peringkat antarabangsa, kemahiran ini dijadikan suatu subjek wajib bagi setiap fakulti dengan usaha sama antara pensyarah dan pustakawan.
Walaupun masih jarang kedengaran perpustakaan awam di negara ini mengambil daya usaha membuka kelas khas kemahiran mencari maklumat, tetapi ia patut dijadikan satu agenda penting sesebuah perpustakaan.
Melalui cara ini perpustakaan dapat bergerak seiring dengan keperluan masyarakat yang sentiasa berdepan dan adakalanya terbeban dengan kebanjiran maklumat. Usaha untuk merentas jurang digital dan mengejar kemajuan teknologi negara maju pula harus menjadi agenda penting negara supaya rakyat sendiri tidak tercicir dalam menguasai maklumat, kerana maklumat adalah suatu bentuk kuasa.
http://bukuria-malaysia.com/2008/06/kemahiran-mencari-maklumat/

RUJUKAN TAMBAHAN
http://shafnur.tripod.com/kemat.htm
http://jtp.ipgkti.edu.my/ppy/ppismptmk/sumber/bcb7.pdf

Wednesday, September 7, 2011

Kes tertunggak boleh hakis kepercayaan rakyat - PM

Datuk Seri Najib Tun Razak
07/09/2011 7:33pm

PUTRAJAYA 7 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan masalah kes tertunggak sebagai masalah ketidakcekapan pentadbiran yang boleh menghakis kepercayaan rakyat bukan sahaja kepada sistem kehakiman tetapi juga kepada kerajaan secara keseluruhannya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, badan kehakiman negara telah mengambil langkah bijak dan cepat apabila kes-kes tertunggak di semua mahkamah dalam negara telah berjaya dikurangkan kepada hampir 90 peratus dalam masa dua tahun.

Beliau berkata, berikutan itu, hampir tiga perempat daripada seluruh mahkamah di Malaysia kini hanya mempunyai kes-kes semasa iaitu kes yang didaftarkan pada tahun lalu dan tahun ini sahaja.

Masalah kes tertunggak bukanlah satu masalah luar biasa yang unik kepada mana-mana sistem kehakiman di dunia ini, kata Perdana Menteri dalam ucapannya sempena lawatan kerja pertama beliau ke Istana Kehakiman di sini hari ini. Turut hadir Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

"Tujuan lawatan saya ke sini ialah untuk meninjau dengan lebih dekat pembaharuan-pembaharuan yang telah dilaksanakan oleh badan kehakiman di bawah pimpinan Yang Amat Arif Tun Zaki Tun Azmi. - Bernama

Konsep pemisahan kuasa sentiasa dipelihara – Zaki Azmi

TUN ZAKI AZMI
07/09/2011 8:29pm

PUTRAJAYA 7 Sept - Konsep pemisahan kuasa yang diamalkan di Malaysia sentiasa dihormati oleh satu pihak kepada pihak lain tanpa sebarang gangguan, kata Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi.
Beliau berkata, badan kehakiman sentiasa menghormati keputusan politik dan polisi kerajaan yang dibuat untuk kesejahteraan semua rakyat. 

"Badan eksekutif pula sentiasa hormat kepada keputusan badan kehakiman yang dibuat berdasarkan prinsip undang-undang,” katanya dalam ucapan sempena lawatan pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Istana Kehakiman di sini hari ini. 

Lawatan Najib adalah untuk meninjau pembaharuan yang dilaksanakan badan kehakiman termasuk sistem transkrip rakaman mahkamah (CRT), di mana hakim tidak perlu menulis nota prosiding, justeru tempoh perbicaraan dapat disingkatkan. 

Dalam ucapan beliau, Zaki mengumumkan hasil perubahan yang dilakukan, badan kehakiman berjaya menjimatkan sebanyak RM29.06 juta dengan mengurangkan jumlah tenaga kerja termasuk hakim, pegawai dan kakitangan sokongan tanpa mengorbankan kecekapan sedia ada. 

"Saya percaya dengan prinsip ”lean and mean”,” katanya yang berpendapat badan kehakiman boleh mengurangkan lebih banyak tenaga kerja, dan beliau meminta Ketua Pendaftar dan pengarah pengurusan mengkaji perkara tersebut. – Bernama

Pelantikan hakim oleh suruhanjaya telus – Zaki Azmi

Tun Zaki Azmi

07/09/2011 8:53pm

KUALA LUMPUR 7 Sept – Pelantikan hakim dan pesuruhjaya kehakiman menerusi Suruhanjaya Pelantikan Hakim (JAC) adalah ”sangat telus” kerana dibuat secara undi sulit, kata Ketua Hakim Negara yang akan bersara, Tun Zaki Tun Azmi.

Beliau berkata, sangat sukar meramalkan keputusan muktamad mengenai pemilihan hakim dan pesuruhjaya kehakiman oleh panel JAC. 

"JAC lebih cerewet kerana segalanya dibuat secara undi sulit dan tidak ada nombor siri, dan anda tidak tahu siapa yang dipilih oleh panel,” beliau memberitahu sidang akhbar selepas merasmikan persidangan hakim selama tiga hari di sini hari ini. 

Zaki berkata, panel juga mengambil kira penghakiman yang dibuat oleh hakim dan kes-kes tertunggak sebelum memilih hakim dan pesuruhjaya kehakiman.

Ditubuhkan pada 2009, JAC dianggotai bekas ketua hakim negara, bekas hakim kanan dan bekas peguam negara sebagai pesuruhjaya. 

Menurut Zaki, dalam tempoh tiga tahun beliau memegang jawatan tertinggi badan kehakiman, seramai enam atau tujuh peguam berpengalaman telah dilantik sebagai hakim dan pesuruhjaya kehakiman. – Bernama

Hina mahkamah, di mana batasnya?

DATUK SERI DR. MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH 
MINGGUAN MALAYSIA: Apakah yang dimaksudkan dengan Penghinaan Mahkamah dan boleh Datuk Seri jelaskan mengapa konsep ini rumit untuk difahami?
MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH: Penghinaan Mahkamah adalah aturan undang-undang substantif dan prosedur yang telah dibangunkan sendiri oleh mahkamah berkurun-kurun lamanya dalam sistem “Anglo-American” supaya mahkamah dapat menghalang secara berkesan sebarang campur tangan yang benar-benar serius terhadap pentadbiran keadilan mahkamah. Proses menghalang campur tangan tersebut adalah mustahak untuk memastikan mekanisme pelaksanaan keadilan melalui mahkamah tidak diganggu-gugat oleh pihak-pihak yang terlibat dalam tindakan mahkamah, peguam-peguam (malah hakim-hakim), wartawan, segala jenis media, ahli-ahli politik dan lain-lain yang mempunyai niat yang sama. Beberapa contoh jelas menggambarkan keadaan penghinaan terhadap mahkamah adalah seperti berikut:
(i) Seorang defendan yang menyerang pegawai undang-undang atau hakim apabila mereka melaksanakan tugas rasmi sebagai pegawai kehakiman atau mengugut dan menghalang saksi daripada memberi keterangan di mahkamah, merupakan perbuatan penghinaan mahkamah yang jelas ;
(ii) gangguan yang sengaja terhadap prosiding mahkamah yang mana gangguan tersebut telah mengganggu fungsi dan tugas-tugas mahkamah dalam apa cara sekalipun, boleh juga menjadi penghinaan mahkamah ;
(iii) Seorang saksi dewasa yang sengaja enggan mengangkat sumpah atau enggan menjawab soalan yang sah daripada peguam atau mahkamah, juga melakukan penghinaan mahkamah ;
(iv) menggunakan bahasa yang penuh amarah dan menghapuskan hormat terhadap mahkamah sama ada oleh saksi atau peguam-peguam yang mana bahasa tersebut boleh membawa kepada pertelingkahan dan mungkin pergaduhan di dalam mahkamah juga adalah perbuatan penghinaan mahkamah ;
(v) menyembunyikan secara sengaja dokumen-dokumen atau keterangan lain untuk menghalang kebenaran daripada tertimbul di hadapan mahkamah dan menyekat keadilan adalah satu penghinaan mahkamah yang jelas. Dalam perkara ini, sesiapa yang melakukan sedemikian sama ada beliau adalah peguam atau pihak pendakwaan atau saksi boleh diambil tindakan menghina mahkamah. Kita mempunyai beberapa kes yang dilaporkan di Malaysia dalam kategori yang serius ini.
Dalam satu kes Inggeris yang agak kelakar, seorang kerani mahkamah yang bosan cuba mengepam gas ketawa (laughing gas) semasa prosiding mahkamah untuk merancakkan keadaan telah diputuskan bersalah melakukan penghinaan mahkamah oleh Mahkamah Tinggi England. Bagaimanapun keputusan itu dirombak oleh Mahkamah Rayuan.
Dalam satu kes di Ipoh (1975) seorang peguam yang tidak puas-hati terhadap suatu keputusan hakim telah mencabar Hakim tersebut bertumbuk di luar mahkamah. Ini diputuskan sebagai satu penghinaan mahkamah yang agak teruk.
Pada 1964 di England, seorang litigan yang marah kerana hujahannya tidak diterima oleh Mahkamah Rayuan, telah berbogel di dalam mahkamah sambil terlentang di atas bangku panjang berhadapan hakim-hakim telah didapati bersalah menghina mahkamah dan dipenjarakan.
Seorang tertuduh dalam kes jenayah yang didapati bersalah atas pertuduhan yang dihadapi, didapati menghina mahkamah apabila beliau bangun dan dengan lantangnya berkata “ini semua sudah dirancang”.
Namun contoh di atas adalah kes-kes “Contempt in the face of the Court” yang bererti “Penghinaan mahkamah di hadapan muka mahkamah”. Ini di kenali juga sebagai penghinaan secara langsung (direct) berbeza dengan penghinaan-penghinaan mahkamah yang lain. Pendek kata, ini adalah perbuatan penghinaan di dalam kawasan mahkamah di hadapan muka mahkamah dan atas sebab itu terma “Contempt in the face of the Court” digunakan. Bagi kes seperti ini hakim perlu mengambil tindakan segera untuk menghalang penghinaan daripada dilakukan dan supaya prosiding tidak tergendala dan boleh diteruskan tanpa apa-apa gangguan lagi. Terdapat beberapa lagi jenis penghinaan mahkamah.
Seorang hakim yang bersidang juga boleh melakukan penghinaan mahkamah terhadap mahkamah beliau sendiri sekiranya beliau mengucapkan kata-kata yang menghina peguam-peguam atau saksi-saksi di mana ia menghalang kelancaran perjalanan atau pengurusan prosiding mahkamah.
Maka, adalah jelas bahawa dalam semua kes penghinaan mahkamah, mahkamah-mahkamah perlu segera mengambil tindakan penghinaan mahkamah kerana menangguhkannya bertentangan dengan rasional keseluruhan undang-undang penghinaan mahkamah, iaitu untuk memastikan kelancaran prosiding supaya pencarian keadilan dapat dinikmati tanpa lengah dan membendung segala yang memudaratkan prosiding.
Sekiranya mahkamah memerintahkan pihak tertentu untuk melakukan sesuatu atau menghalang melakukan sesuatu, pelanggaran perintah tersebut adalah satu penghinaan mahkamah. Sekiranya arahan atau perintah terbabit adalah berkenaan mereka yang tidak di muka kawasan mahkamah (berlainan dengan mereka yang terikat dengan “Contempt in the face of the Court”) umpamanya perintah mahkamah untuk pihak-pihak menyerahkan dokumen-dokumen tertentu dalam tempoh yang ditetapkan; atau mematuhi injunksi menghalang perbuatan mengganggu seseorang; atau perintah menghalang bercampur dengan atau mencabul seseorang, perbuatan-perbuatan penghinaan mahkamah ini biasanya dirujuk sebagai penghinaan mahkamah sivil (Civil Contempt”) memandangkan ia berpunca daripada prosiding sivil.
Adakah undang-undang lain yang mengawal keadaan-keadaan yang menyerupai penghinaan mahkamah?
MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH: Tidak menerima atau sengaja mengelak daripada diserahkan dokumen mahkamah, seperti saman untuk hadir atau menyerah dokumen atau keterangan ke mahkamah boleh tertakluk kepada penghinaan mahkamah juga. Penghinaan mahkamah seperti ini adalah juga satu kesalahan d ibawah Kanun Keseksaan, Bab 10, “Contempts of the Lawful Authority of Public Servants” (Penghinaan terhadap kuasa sah Penjawat Awam ) .Penjawat Awam di sini ditakrifkan sebagai termasuk hakim-hakim dan pegawai-pegawai mahkamah).
Di bawah Seksyen 228 Kanun Keseksaan, adalah satu kesalahan untuk mencaci atau menyebabkan sebarang campur tangan yang menghalang hakim atau pegawai kehakiman dalam prosiding mahkamah. Tetapi perkara ini adalah kesalahan jenayah dan bukan penghinaan mahkamah yang biasa walaupun inti pati penghinaan mahkamah dan kesalahan Kanun Keseksaan ini mungkin hampir sama.
Bagaimana pula dengan penghinaan mahkamah oleh media? Kalangan pengamal media sendiri sukar memahami konsep ini dan apakah kaitan antara penghinaan mahkamah oleh media dan peraturan subjudis?
MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH: Memang terdapat satu jenis penghinaan mahkamah lagi yang dipanggil “Penghinaan Mahkamah oleh Media” (“Media contempt”) yang agak ruang lingkup serta sempadannya sukar difahami. Dengan perkembangan pesat teknologi media, kesalahan penghinaan mahkamah oleh media mendapat perhatian yang serius. Ia juga menjadi sangat penting kini memandangkan sistem kehakiman mencuba sedaya upaya untuk melindungi badan itu daripada penerbitan-penerbitan oleh media yang boleh mempengaruhi keputusan sesuatu kes.
Terdapat persaingan nilai di sini yang memerlukan pertimbangan serius dan sukar. Keperluan untuk mendapat perbicaraan yang adil tanpa pengaruh media sebenarnya kadang-kala tidak selari dengan hak kebebasan media bercakap dan meluahkan fikiran dan pendapat atau kebebasan pendirian yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan kita yang mana media seharusnya menikmatinya di dalam sistem demokrasi seperti di negara kita.
Kes-kes “media contempt” di Malaysia telah diputuskan dengan corak yang tidak menentu dan tidak konsisten didalam penghakiman melalui pelbagai mahkamah dalam tempoh yang berlainan. Selanjutnya mahkamah-mahkamah Malaysia dilihat tidak mengambil perhatian secukupnya fakta bahawa kita tidak mempunyai sistem juri. Jadi mahkamah kita adalah lebih tegap atau “robust” kerana proses membuat keputusan hanya akan dibuat oleh hakim-hakim yang terlatih dalam bidang undang-undang. Mereka bukan sahaja dilatih melalui pendidikan undang-undang secara formal malah dilatih pada tahap tinggi dalam amalan guaman khususnya dalam membezakan apakah yang relevan dan tidak relevan dalam satu-satu kes. Hakim-hakim juga tahu bahawa dalam membuat keputusan hanya keterangan yang dikemukakan di mahkamah sahaja relevan untuk pertimbangan mereka. Sebarang perkara lain yang berlaku diluar mahkamah termasuk debat atau perbincangan dalam media atau di ruang siber adalah tidak relevan dan perkara-perkara ini akan diketepikan daripada fikiran dan pertimbangan mereka. Mana-mana peguam yang arif sedia maklum perkara ini dan mereka percaya sepenuhnya bahawa hakim-hakim di Malaysia akan dapat mengenepikan maklumat-maklumat luar yang tidak diterima dalam mahkamah daripada menyerapi ruang keadilan di Mahkamah.
Adakah Datuk Seri maksudkan tanpa sistem juri, hakim-hakim kita lebih ‘bersedia’ membuat keputusan tanpa pengaruh luar?
MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH: Di England dan Amerika Syarikat di mana sistem juri digunakan secara meluas, terdapat kebimbangan bahawa ahli-ahli juri yang merupakan orang biasa dan tidak terlatih dalam undang-undang, mungkin akan terpengaruh dengan tekanan-tekanan luar seperti media. Kita tidak mempunyai masalah itu disini. Mana-mana hakim di Malaysia yang menyatakan bahawa beliau boleh dipengaruhi oleh media adalah tidak layak untuk menjadi hakim. Beliau sepatutnya meletakkan jawatannya sebagai hakim.
Malah di England dan di negara-negara Komanwel yang lain, mahkamah sudah mula mengambil pandangan realistik bahawa juri-juri mereka adalah bebas, cukup matang dan berkemampuan untuk mengambil arahan daripada hakim secara keseluruhan dan secara eksklusif untuk pertimbangan mereka, membebaskan diri mereka daripada pengaruh luar seperti media, seperti mana yang sepatutnya diarahkan dalam arahan hakim kepada juri. Atas alasan ini dan sebagai pakar undang-undang media saya telah mempertahankan idea bahawa penghinaan mahkamah oleh media di negara ini yang bersifat subjudis patut digugurkan. Bagaimanapun penghinaan mahkamah oleh media berkenaan “scandalizing the court” atau yang mengaibkan mahkamah harus dikekalkan.

Thursday, August 18, 2011

Gengster: Kementerian tunggu laporan

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Kementerian Pelajaran sedang menunggu laporan daripada pihak polis mengenai kejadian sekumpulan 20 pelajar menyerang dan mencederakan beberapa pelajar sebuah sekolah di Jalan Bukit Nanas semalam, sebelum tindakan yang sesuai dikenakan terhadap mereka.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, antara laporan yang perlu diteliti adalah sama ada 20 pelajar itu benar-benar bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melawati dan SMK Padang Tembak, Jalan Semarak seperti yang didakwa mangsa.

"Jika didapati memang pelajar sekolah itu terlibat, maka kementerian tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan terhadap mereka. Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelajar yang terlibat dalam masalah gangsterisme.

"Pelajar yang terlibat dengan gangsterisme akan diberi amaran, digantung atau buang sekolah. Ia bergantung kepada berapa serius tindakan mereka. Jika serius, pelajar terlibat boleh dibuang sekolah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sekumpulan 20 pelajar dari dua buah sekolah di ibu negara bertindak seperti gengster dengan menyerang dan mencederakan beberapa pelajar sebuah sekolah di Jalan Bukit Nanas dekat sini, semalam.

Mangsa antaranya diserang menggunakan pemegang kunci motosikal dan besi panjang.

BERKONGSI PENGALAMAN DENGAN PELAJAR SMK SUNGAI CHOH

Alhamdulillah dengan izin-Nya jua hari ini aku menunaikan jemputan daripada Pengurusan Pra-U SMK Sungai Choh, Hulu Selangor. Seramai 57 orang pelajar Pra-U (Atas) mengikuti program perkongsian maklumat dan pengalaman berkaitan dengan mata pelajaran Pengajian Am. Sesungguhnya ia merupakan satu pengalaman yang menarik kerana selama ini aku belum pernah menerima jemputan merentasi sempadan daerah Batang Padang.

Para pelajar juga begitu aktif bertanya menjadikan program yang sepatutnya berakhir pada pukul 12.00 tengah hari terpaksa dilanjutkan sehingga mencecah 12.45 tengah hari. Semoga kalian akan beroleh kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan STPM 2011...

Foto: Ehsan daripada MPP SMK Sungai Choh
http://mppsmksc.blogspot.com/2011/08/seminar-teknik-menjawab-pengajian-am.html

Sunday, August 14, 2011

Gay kahwin: Halang sebelum parah

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Kerajaan digesa menghalang cadangan paderi gay warganegara Malaysia, Pastor Ou Yang Wen Feng untuk berkahwin dengan 'kekasihnya' di negara ini.

Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli berkata, jika perkahwinan itu dibiarkan berlaku, nescaya keruntuhan akhlak yang dahsyat bakal tercetus dalam kalangan rakyat negara ini.

"Jika perkahwinan itu dibiar berlangsung, ia akan memperlihatkan bahawa kita membenarkan perkahwinan seumpama itu di negara ini.

"Seterusnya, dia (Wen Feng) akan dijadikan idola oleh minoriti gay atau lesbian yang pada ketika itu berasa diri mereka diiktiraf dan dihargai.

"Akhirnya, komuniti ini akan menubuhkan NGO mereka sendiri dan bertambah berpengaruh sehingga mampu mengikis identiti agama dan bangsa semua orang," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan Wen Feng yang membuat pengakuan terbuka untuk melangsungkan perkahwinan dengan 'kekasihnya' seorang lelaki warga Afrika-Amerika pada hujung bulan ini atau awal bulan depan dengan majlis itu bakal diadakan di New York, Amerika Syarikat dan juga di negara ini.

Jelas Mohd. Jurit, berdasarkan pemerhatiannya, budaya songsang itu sebenarnya semakin menular dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mungkin disebabkan pengaruh media Barat yang gemar 'menghalalkan' watak gay pada cerita-cerita popularnya.

"Pencegahan awal seperti menghalang perkahwinan sebegini adalah amat penting bagi menjamin akhlak rakyat tidak runtuh. NGO juga perlu bersatu tanpa mengira fahaman politik dalam menentang perkembangan negatif ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, perkahwinan sejenis adalah bertentangan dari segi moral serta budaya dan tidak diterima di negara ini.

"Malaysia tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis. Saya pasti masyarakat mengetahui hal ini, tetapi mengapa dia (Wen Feng) masih berdegil mahu melakukan majlis perkahwinan di sini.

"Jika dia masih mahu melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya di sini bulan depan, bererti dia sudah melanggar Perlembagaan negara," tambahnya.

Oleh MOHAMMED SOFIAN BAHAROM dan NORMAIRAH JAMALUDDIN
pengarang@utusan.com.my

Fatwa tiada perkenan Agong?

PULAU PINANG 13 Ogos - Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri melarang bacaan al-Quran dengan menggunakan pembesar suara di masjid dan surau dipersoalkan sama ada mengikut prosedur betul atau sebaliknya.

Ini berikutan pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bertarikh 3 Ogos lalu mengenai larangan itu tidak dinyatakan bahawa fatwa dikeluarkan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama Pulau Pinang.

Persoalan itu dilontarkan di laman blog http://novandri.blogspot.com.

Menurut blog berkenaan, mengikut Seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004, sebelum sesuatu fatwa diwartakan, Jawatankuasa Fatwa Negeri mesti mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

"Bagaimanapun, jika kita merujuk surat pekeliling dan enakmen itu, ternyata keputusan JHEAIPP tidak ikut prosedur betul.

"Persoalannya, apakah Jawatankuasa Fatwa Negeri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum mewartakan fatwa kontroversi ini?

"Jika merujuk surat pekeliling, tiada klausa yang mengatakan bahawa pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong," jelas blog itu.

Kata blog itu lagi, jika mendapat perkenan baginda, Majlis Fatwa Negeri hendaklah memaklumkan kepada kerajaan negeri sebelum disiarkan dalam warta.

Bagaimanapun, ujarnya, Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Kassim menafikan tahu tentang fatwa tersebut.

"Malah, yang menghairankan adalah Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa pembacaan tidak dilarang untuk memasang pita rakaman bacaan ayat suci al-Quran selagi tidak mengganggu orang yang sedang melakukan ibadah," katanya.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bermesyuarat 7 April lalu memutuskan, membaca al-Quran dengan pembesar suara di masjid dan surau adalah dilarang mengikut hukum syarak.

Oleh ZABRY MOHAMAD
zabrymohamad.madzlan@utusangroup.com.my

Followers

TENTANG DIRI SAYA

My photo
GURU AKADEMIK TINGKATAN ENAM SMK KHIR JOHARI, TG.MALIM. PENDIDIKAN; SK TOK KHALIFAH, PT.13 (1972-1977); SAMR SG. HJ. DORANI (1978-1980); SAMT SSAAS, BT. 38 (1981-1984); UNIV MALAYA (1985-1988); MPKTBR (1990); IPSI (1997); UPSI (2000-2005); UPSI (2008-?)

ALAMAT EMAIL

abdmaleks@yahoo.com
abdmaleks@gmail.com
Sejak 12 September 2009
Documents

ANDA BERMINAT?

KOMENTAR TERAKTIF

Widget by Blogger Widgets

KEMASAN TWEETER

Twitter Updates

    follow me on Twitter
     
    PENGAJIAN AM 900. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.