Showing posts with label UNDANG-UNDANG. Show all posts
Showing posts with label UNDANG-UNDANG. Show all posts

Wednesday, September 7, 2011

Kes tertunggak boleh hakis kepercayaan rakyat - PM

Datuk Seri Najib Tun Razak
07/09/2011 7:33pm

PUTRAJAYA 7 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan masalah kes tertunggak sebagai masalah ketidakcekapan pentadbiran yang boleh menghakis kepercayaan rakyat bukan sahaja kepada sistem kehakiman tetapi juga kepada kerajaan secara keseluruhannya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, badan kehakiman negara telah mengambil langkah bijak dan cepat apabila kes-kes tertunggak di semua mahkamah dalam negara telah berjaya dikurangkan kepada hampir 90 peratus dalam masa dua tahun.

Beliau berkata, berikutan itu, hampir tiga perempat daripada seluruh mahkamah di Malaysia kini hanya mempunyai kes-kes semasa iaitu kes yang didaftarkan pada tahun lalu dan tahun ini sahaja.

Masalah kes tertunggak bukanlah satu masalah luar biasa yang unik kepada mana-mana sistem kehakiman di dunia ini, kata Perdana Menteri dalam ucapannya sempena lawatan kerja pertama beliau ke Istana Kehakiman di sini hari ini. Turut hadir Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

"Tujuan lawatan saya ke sini ialah untuk meninjau dengan lebih dekat pembaharuan-pembaharuan yang telah dilaksanakan oleh badan kehakiman di bawah pimpinan Yang Amat Arif Tun Zaki Tun Azmi. - Bernama

Pelantikan hakim oleh suruhanjaya telus – Zaki Azmi

Tun Zaki Azmi

07/09/2011 8:53pm

KUALA LUMPUR 7 Sept – Pelantikan hakim dan pesuruhjaya kehakiman menerusi Suruhanjaya Pelantikan Hakim (JAC) adalah ”sangat telus” kerana dibuat secara undi sulit, kata Ketua Hakim Negara yang akan bersara, Tun Zaki Tun Azmi.

Beliau berkata, sangat sukar meramalkan keputusan muktamad mengenai pemilihan hakim dan pesuruhjaya kehakiman oleh panel JAC. 

"JAC lebih cerewet kerana segalanya dibuat secara undi sulit dan tidak ada nombor siri, dan anda tidak tahu siapa yang dipilih oleh panel,” beliau memberitahu sidang akhbar selepas merasmikan persidangan hakim selama tiga hari di sini hari ini. 

Zaki berkata, panel juga mengambil kira penghakiman yang dibuat oleh hakim dan kes-kes tertunggak sebelum memilih hakim dan pesuruhjaya kehakiman.

Ditubuhkan pada 2009, JAC dianggotai bekas ketua hakim negara, bekas hakim kanan dan bekas peguam negara sebagai pesuruhjaya. 

Menurut Zaki, dalam tempoh tiga tahun beliau memegang jawatan tertinggi badan kehakiman, seramai enam atau tujuh peguam berpengalaman telah dilantik sebagai hakim dan pesuruhjaya kehakiman. – Bernama

Sunday, August 14, 2011

Gay kahwin: Halang sebelum parah

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Kerajaan digesa menghalang cadangan paderi gay warganegara Malaysia, Pastor Ou Yang Wen Feng untuk berkahwin dengan 'kekasihnya' di negara ini.

Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli berkata, jika perkahwinan itu dibiarkan berlaku, nescaya keruntuhan akhlak yang dahsyat bakal tercetus dalam kalangan rakyat negara ini.

"Jika perkahwinan itu dibiar berlangsung, ia akan memperlihatkan bahawa kita membenarkan perkahwinan seumpama itu di negara ini.

"Seterusnya, dia (Wen Feng) akan dijadikan idola oleh minoriti gay atau lesbian yang pada ketika itu berasa diri mereka diiktiraf dan dihargai.

"Akhirnya, komuniti ini akan menubuhkan NGO mereka sendiri dan bertambah berpengaruh sehingga mampu mengikis identiti agama dan bangsa semua orang," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan Wen Feng yang membuat pengakuan terbuka untuk melangsungkan perkahwinan dengan 'kekasihnya' seorang lelaki warga Afrika-Amerika pada hujung bulan ini atau awal bulan depan dengan majlis itu bakal diadakan di New York, Amerika Syarikat dan juga di negara ini.

Jelas Mohd. Jurit, berdasarkan pemerhatiannya, budaya songsang itu sebenarnya semakin menular dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mungkin disebabkan pengaruh media Barat yang gemar 'menghalalkan' watak gay pada cerita-cerita popularnya.

"Pencegahan awal seperti menghalang perkahwinan sebegini adalah amat penting bagi menjamin akhlak rakyat tidak runtuh. NGO juga perlu bersatu tanpa mengira fahaman politik dalam menentang perkembangan negatif ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, perkahwinan sejenis adalah bertentangan dari segi moral serta budaya dan tidak diterima di negara ini.

"Malaysia tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis. Saya pasti masyarakat mengetahui hal ini, tetapi mengapa dia (Wen Feng) masih berdegil mahu melakukan majlis perkahwinan di sini.

"Jika dia masih mahu melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya di sini bulan depan, bererti dia sudah melanggar Perlembagaan negara," tambahnya.

Oleh MOHAMMED SOFIAN BAHAROM dan NORMAIRAH JAMALUDDIN
pengarang@utusan.com.my

Thursday, August 11, 2011

Polis buka kertas siasatan kes remaja dibaling topi keledar

ALOR SETAR: Polis membuka kertas siasatan bagi kes membabitkan seorang remaja lelaki, Muhammad Solihin Che Kassim, 14, yang dikatakan koma selepas dibaling topi keledar anggota polis yang sedang melakukan rondaan di FELCRA Lubuk Sireh, Perlis kira-kira 9.40 malam Sabtu lalu.

Pemangku Ketua Polis Perlis, Superintendan Mohd Nashir Ya, berkata pihaknya menerima tiga laporan iaitu masing-masing yang dibuat oleh bapa mangsa, Che Kassim Darus, 41, anggota polis yang terbabit dan juga bahagian trafik.
"Kami akan mengambil keterangan dua anggota polis yang bertugas dan saksi yang berada di tempat kejadian. Apabila mangsa sedar sepenuhnya dan sudah boleh beri keterangan, kami akan mengambil keterangannya.
"Kami akan meneliti semua keterangan yang dibuat dan jika ada anggota bertindak di luar bidang kuasa, mereka akan dikenakan tindakan. Itu semua bergantung kepada hasil siasatan," katanya selepas melawat Muhammad Solohin di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

Lawatan itu turut disertai oleh pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis dan wakil Persatuan Pegawai Pangkat Rendah Kontinjen Perlis.

Mohd Nashir berkata, berdasarkan laporan anggota polis terbabit, kejadian itu berlaku apabila dua anggota polis berkenaan yang sedang melakukan rondaan di kawasan itu mendapati mangsa bersama seorang rakannya menunggang motosikal (secara berasingan) tanpa memakai topi keledar.

"Kedua-dua motosikal yang ditunggangi oleh mangsa dan rakannya dalam keadaan laju dan apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dikatakan terlanggar topi keledar yang dipegang oleh seorang anggota polis yang berada di situ menyebabkan dia hilang kawalan dan terbabas," katanya.
Beliau berkata, selepas kejadian, mangsa yang sudah tidak bersekolah itu masih dalam keadaan sedar dan boleh bercakap.

Kes itu, katanya, mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Semalam, akhbar melaporkan seorang remaja lelaki berada dalam keadaan koma di ICU HSB selepas dikatakan dibaling topi keleder oleh anggota polis yang sedang membuat rondaan di FELDA Lubuk Sireh, Chuping, Perlis kerana tidak memakai topi keledar. - BERNAMA

Tuesday, August 9, 2011

Wujudkan Akta Jenayah Akidah kekang murtad

BATU PAHAT 8 Ogos - Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi mencadangkan agar Akta Jenayah Akidah diwujudkan bagi memastikan tiada usaha memurtadkan umat Islam berlaku di negara ini.

Beliau berkata, akta itu amat perlu kerana masalah umat Islam murtad semakin berleluasa, malah usaha memesongkan akidah umat Islam itu seolah-olah bukan lagi menjadi suatu rahsia.

"Sebab itu, saya dari dulu lagi mencadangkan supaya diwujudkan atau kalau boleh supaya Akta Jenayah Akidah ini dibawa ke Parlimen untuk memastikan tidak ada usaha memurtadkan umat Islam di negara kita.

"Ini bagi menjamin gejala ini tidak berleluasa sebab sekarang ini ia dah jadi open secret," katanya kepada pemberita pada Majlis Sivik Ramadan di Parit Lapis, di sini, semalam.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan membaiki rumah penduduk yang rosak, sumbangan kepada anak-anak yatim, orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan golongan kurang berkemampuan.

Sebelum ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dilaporkan membuat pendedahan mengejutkan mengenai kenyataan Persatuan Paderi Malaysia yang mendakwa bahawa lebih 230,000 umat Islam memeluk Kristian pada 2008.

Bagaimanapun, Mohd. Puad berkata, isu murtad itu tidak hanya terletak pada bahu kerajaan untuk mewujudkan akta baru atau memperkemas akta sedia, tetapi turut melibatkan banyak pihak termasuk agensi dakwah.

Sementara itu, Mohd. Puad berkata, isu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) me lakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama yang dikatakan menjalankan kegiatan dakwah kepada umat Islam ba ru-baru ini perlu dilihat dari sudut Perlembagaan negara.

"JAIS sewajarnya dibenarkan melengkapkan siasatan berdasarkan Perlembagaan yang menetapkan orang bukan Islam tidak boleh mendakwahkan ajaran agama mereka kepada umat Islam.

"Kita mesti kembali kepada Per- lembagaan negara kita yang mem- beri kebebasan kepada setiap kaum untuk mengamalkan agama dan bu- daya masing-masing.

"Tetapi cukup jelas juga dalam Perlembagaan bahawa orang bukan Islam tidak boleh mendakwahkan ajaran mereka kepada orang Islam iaitu dalam kata lain orang bukan Islam tidak boleh melakukan apa sahaja untuk memesongkan akidah orang Islam," katanya kepada pem berita pada Majlis Sivik Ramadan di Parit Lapis di sini semalam.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, semua pihak perlu menghormati Perlembagaan negara yang dengan jelas menyatakan orang bukan Islam tidak boleh mendakwahkan ajaran mereka kepada umat Islam.

"Dalam kata lain, orang bukan Islam mesti mematuhi Perlembagaan ini iaitu mereka tidak boleh melakukan apa sahaja untuk memesongkan akidah orang Islam," katanya.

Mohd. Puad berkata, semua pihak tidak boleh berselindung dengan menggunakan aspek kebajikan atau sebarang bentuk bantuan untuk memancing umat Islam menukar agama mereka.

Friday, August 5, 2011

Siasatan segera elak eksploitasi

NUSAJAYA 4 Ogos – Polis akan menyegerakan siasatan berhubung dakwaan pelajar sekolah didera secara fizikal semasa menyertai kursus motivasi di Penjara Kluang bagi mengelakkan kes itu dieksploitasi oleh mana-mana pihak.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff (gambar) berkata, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Fawzi Arshad telah diarahkan untuk mengetuai siasatan kes berkenaan.

“Kita juga telah merekodkan beberapa kenyataan daripada pihak terbabit dan mahu perkara itu diselesaikan segera kerana tidak mahu ia dipolitikkan pihak-pihak tertentu.

“Setelah meneliti laporan awal, saya berpuas hati dengan perkembangan semasa kes itu,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Nusajaya di Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya, di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan media baru-baru ini mengenai dakwaan 33 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda dibotakkan, dipukul di perut, digari, dicengkam di tengkuk dan dipaksa menggunakan pakaian banduan semasa menghadiri kursus motivasi di Penjara Kluang, minggu lalu.

Para pelajar terlibat juga mendakwa sepanjang tempoh berada di situ mereka dilayan tidak ubah seperti banduan.

Pada majlis tersebut, Deputi Supritendan Razak Md. Said dilantik memangku jawatan Ketua Polis Daerah bagi menggantikan Asisten Komisioner Abdul Aziz Ahmad yang kini bertugas sebagai Ketua Jabatan Pengurusan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Turut hadir Pemangku Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Ramli Hassan; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Amer Awal dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Kamarudin A. Aziz.

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
pengarang@utusan.com.my

Kementerian, polis tangani isu peralat anak yatim

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menggunakan sepenuhnya peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 bagi menangani isu eksploitasi golongan itu dalam aktiviti mengutip dana awam.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, satu perbincangan dengan PDRM termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diadakan Selasa lalu bagi tujuan tersebut.

"Kita juga telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi menangani isu ini," katanya pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat wakil khas Amerika Syarikat (AS) ke negara-negara Islam, Farah Anwar Pandith di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan berhubung penggunaan kanak-kanak dalam menjalankan aktiviti meminta sedekah yang berselindung di sebalik nama institusi atau rumah anak-anak yatim yang didapati kembali aktif sejak kebelakangan ini.

Malah dalam tinjauan yang dilakukan Utusan Malaysia di sekitar Lembah Klang turut mendapati sebuah pusat tahfiz anak-anak yatim di Kedah yang pernah diarah menghentikan operasi serta-merta oleh pihak berkuasa masih menjalankan aktiviti itu.

Shahrizat berkata, antara persetujuan yang dicapai dalam perbincangan dengan beberapa agensi itu termasuklah mengadakan operasi bersepadu bagi membolehkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyelamatkan kanak-kanak yang didapati digunakan bagi aktiviti mengutip derma.

"PDRM pula akan menahan, menyiasat dan mendakwa pihak yang dikesan mengeksploitasi kanak-kanak," katanya.

Tambahnya, ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang diselamatkan pula boleh dikenakan bon oleh pihak mahkamah di bawah Seksyen 30 Akta Kanak-Kanak 2001 bagi memastikan mereka tidak mengabaikan kebajikan dan kesejahteraan golongan itu.

Menurutnya, seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali terhadap sesiapa yang didapati bersalah mengeksploitasi kanak-kanak untuk mendapatkan dana
-----------------------------------------------------------------

Pusat tahfiz nafi pelajar minta sedekah

ALOR SETAR 4 Ogos - Sebuah pusat tahfiz anak-anak yatim di Kuala Kedah, dekat sini menafikan menggunakan penghuninya untuk menjalankan kegiatan 'meminta sedekah' sebaliknya mereka menganggap pelajar-pelajarnya melakukan aktiviti jualan amal.

Pengetua pusat tahfiz terbabit, Muslim Ab. Karim berkata, pusat itu terpaksa berbuat demikian bagi mengisi dana ekoran sumber kewangan yang terhad.

Menurutnya, ia juga merupakan salah satu aktiviti kokurikulum pelajar-pelajar tersebut selain bertujuan melatih mereka berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.

"Kanak-kanak ini bukan meminta sedekah tetapi mereka menjual produk tertentu yang dibekalkan namun sesetengah orang salah anggap dengan mengatakan mereka meminta sedekah," katanya ketika ditemui di pusat tersebut di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini dalam laporan khasnya mendedahkan terdapat anak-anak yatim dari sebuah pusat tahfiz di Kuala Kedah di sini yang menjalankan aktiviti meminta sedekah di Lembah Klang.

Laporan muka depan tersebut memberitahu, aktiviti itu didapati berselindung di sebalik nama institusi itu untuk mengumpul dana manakala para pelajarnya meminta simpati menjual cekera padat (CD), madu, buku agama dan barangan lain.

Mengulas lanjut, Muslim berkata, pusat tersebut memerlukan dana RM40,000 sebulan untuk menampung aktiviti penghuni di situ, termasuk gaji tenaga pengajarnya.

"Jualan amal ini sedikit sebanyak dapat menampung membiayai kos tersebut. Lagipun aktiviti ini mendapat kebenaran daripada waris kanak-kanak terbabit dan bukan dipaksa," katanya.

Katanya, beroperasi lebih 15 tahun lalu, pusat tersebut menempatkan lebih 105 penghuni berusia daripada tujuh hingga 12 tahun yang datang dari seluruh negara.

----------------------------------------------------------------------------

3 murid sekolah tahfiz ditahan

SUNGAI PETANI 4 Ogos – Polis menahan tiga murid sekolah maahad tahfiz berusia 12 tahun selepas didakwa terlibat melakukan aktiviti luar tabii terhadap pelajar baru di asrama sekolah terbabit di Kuala Pegang, Baling dekat sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Mat Daud Mat Hassan berkata, suspek yang merupakan pelajar senior sekolah itu ditahan di rumah masing-masing sekitar Baling, semalam.

“Siasatan kes itu dilakukan di bawah Seksyen 377A iaitu persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii. Polis akan mengambil keterangan mangsa-mangsa dan juga pengurusan sekolah terlibat bagi melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, seorang murid tahfiz berusia sembilan tahun terlantar di hospital sejak beberapa hari lalu dipercayai diliwat, dipaksa melakukan seks oral dan didera oleh murid senior berusia 12 tahun mereka di sebuah sekolah agama tahfiz swasta di Kuala Pegang, Baling.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku semasa mangsa terbabit mengikuti sesi orientasi dan suai kenal selama 40 hari bermula Jun lalu.

Berikutan kejadian itu, ibu bapa kepada tiga daripada mangsa terlibat membuat laporan di Balai Polis Baling pada 30 Julai lalu.

Mat Daud berkata, kesemua suspek itu kini dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu siasatan.

“Polis akan menjalankan siasatan lengkap termasuk mengenal pasti kemungkinan terdapat mangsa lain dalam kes berkenaan,” katanya.

Beliau juga menasihatkan media supaya tidak mensensasikan laporan kes itu memandangkan ia melibatkan pesalah juvenil.

Sementara itu, seorang murid yang ditemui pemberita memberitahu, kejadian tersebut berlaku kira-kira dua minggu selepas mereka mendaftar sesi orientasi pada 26 Jun lalu.

Katanya, semasa berada di asrama, dia dan dua lagi rakan masing-masing berusia lapan dan sembilan tahun, tidur di asrama sekolah berkenaan.

“Kami ditangkap oleh tiga senior dan dipaksa tidur meniarap. Saya tidak dapat bertindak kerana badan ditindih dari belakang,” katanya.

Murid itu berkata, dia dan rakan-rakan tidak berani melaporkan kejadian itu kerana diugut selain dipukul oleh suspek.

Thursday, August 4, 2011

Taktik terbaru seludup dadah

SHAH ALAM 3 Ogos – Polis memberkas seorang lelaki warga Iran yang membawa masuk replika kepala harimau seberat 8.4 kilogram diperbuat daripada dadah jenis syabu bernilai RM1.6 juta yang dikeraskan dalam acuan sebelum dibentuk dan diwarnakan.

Suspek berusia 26 tahun ditahan sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, ini merupakan kali pertama pihaknya merampas syabu yang telah dibentuk dan diwarnakan menjadi replika kepala harimau.

Beliau berkata, replika itu kemudian dimasukkan ke dalam kotak agar nampak seperti cenderahati bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Namun hasil penelitian dan siasatan, pihak kami berjaya mengesan taktik terbaru yang digunakan sindiket dadah ini dan memberkas keldai dadah yang terlibat,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Dalam satu lagi serbuan yang dibuat di KLIA kelmarin, Tun Hisan memberitahu, seorang lelaki warga Nigeria berusia 31 tahun diberkas setelah polis menemui 15 potong ikan masin yang disumbat dengan 1.01 kilogram syabu di dalam bagasinya.

Ujar beliau, taktik itu dipercayai digunakan mungkin kerana sindiket pengedaran dadah terlibat menyangka ikan masin tersebut dapat menyembunyikan bau dadah daripada dihidu oleh anjing pengesan.

“Mereka ini menggunakan pelbagai taktik. Jika beberapa bulan lepas, mereka menggunakan taktik memotong ubi kayu dan menyumbat dadah di bahagian tengahnya, kali ini mereka memasukkan dadah ke dalam perut ikan masin pula,” ujar beliau.

Tambah Tun Hisan, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

Oleh AZIAN AZIZ
utusan@pengarang.com.my

Wednesday, August 3, 2011

Botakkan pelajar: Laporan dihantar kepada Kementerian Pelajaran

JOHOR BAHRU 2 Ogos - Laporan penuh mengenai dakwaan 33 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU) yang mereka didera secara fizikal termasuk dibotakkan kepala ketika mengikuti kursus motivasi di Penjara Kluang, minggu lalu sudah dihantar kepada Kementerian Pelajaran semalam.

Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Nor A. Ghani berkata, laporan itu disediakan hasil maklumat pihak yang terlibat iaitu pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKBBU dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Johor Bahru.

"Kita telah serahkan laporan kepada Kementerian Pelajaran untuk tindakan lanjut. Laporan itu perlu diserahkan segera bagi memastikan ia dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini mengenai dakwaan 33 pelajar SMKBBU yang bukan sahaja dibotakkan tetapi juga dipukul di perut, digari, dicengkam di tengkuk dan dipaksa menggunakan pakaian banduan semasa menghadiri kursus motivasi itu.

Pelajar terlibat juga mendakwa sepanjang tempoh berada di situ, mereka dilayan tidak ubah seperti banduan yang melakukan jenayah.

Sementara itu, Pengetua SMKBBU, Siti Raudah Moh memberitahu, beberapa pegawai Jemaah Nazir Sekolah turut berkunjung ke sekolah itu untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian itu.

"Mereka yang terbabit secara langsung dalam siasatan itu termasuk saya dan dua guru pengiring kumpulan pelajar berkenaan semasa menjalani program itu di Penjara Kluang," katanya.

Kata beliau, pihaknya turut mengadakan perjumpaan dengan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Johor Bahru, beberapa kakitangan yang berkaitan daripada Jabatan Pelajaran negeri dan wakil Perunding Latihan Koperasi Penjara (Kopen), Kluang yang bertanggungjawab mengendalikan kursus itu.

"Sebelum kursus dan selepas isu ini timbul, saya dimaklumkan oleh perunding tersebut bahawa dakwaan pelajar didera secara fizikal termasuk dipukul, digari dan dipukul di perut adalah tidak betul.

"Ia sekadar simulasi bagi menerangkan keadaan dan perkara yang dialami oleh banduan di dalam penjara. Mesej yang hendak diterjemahkan kepada para pelajar adalah supaya bencikan penjara dan elakkan diri daripada masuk penjara," katanya.

Siti Raudah berkata, pihaknya membuat keputusan menghantar pelajar berkenaan yang menghadapi masalah disiplin menjalani kursus itu setelah mendapat maklum balas dari Sekolah Menengah Seri Rahmat dan Sekolah Menengah Tun Syed Nasir, Majidee Baru yang turut menghantar pelajarnya menjalani kursus sama.

"Saya mendapat maklum balas daripada pihak pengurusan kedua-dua sekolah terbabit bahawa impak kursus itu cukup baik apabila para pelajar menunjukkan perubahan akhlak yang bagus berbanding sebelum menjalani kursus tersebut," katanya

Saturday, February 5, 2011

AES mampu awasi 95 peratus kesalahan trafik

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Kamera Pengesan Saman Secara Automatik (AES) mampu mengawasi kesalahan trafik sehingga 95 peratus berbanding penguatkuasaan trafik sebanyak 25 peratus pada hari biasa.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh berkata, kamera yang menggunakan sistem dalam talian itu akan dilancarkan dalam usaha mengurangkan pesalah trafik di negara ini.

"Fungsi AES adalah meningkatkan kecekapan penguatkuasaan. Sistem ini membolehkan saman dikeluarkan segera dan tidak seperti sebelum ini yang mana saman dikeluarkan dalam tempoh yang agak lama.

"Selain berperanan sebagai perangkap kelajuan, AES turut digunakan mengawasi kawasan berisiko berlaku kemalangan, masalah jenayah dan memantau keadaan trafik," katanya ketika melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina di Terminal Bas Bukit Jalil, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Suret berkata, pelaksanaan sistem tersebut masih lagi dalam perbincangan antara Kementerian Pengangkutan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan JKJR.

Sementara itu, beliau berkata, JKJR menggalakkan orang ramai menggunakan kenderaan awam bagi mengelakkan kadar peningkatan kemalangan di negara ini.

"Sebanyak 61 peratus kemalangan berpunca daripada penunggang motosikal, jadi dengan penggunaan kenderaan awam ia dapat mengurangkan risiko mengalami kemalangan sehingga 300 kali ganda.

"Satu daripada strategi kita adalah menggalakkan penunggang motosikal menggunakan pengangkutan awam kerana ia boleh mengurangkan risiko kemalangan," katanya.

Dalam pada itu, Suret berkata, setakat ini jumlah kematian dicatatkan dalam Ops Sikap ke-23 menunjukkan penurunan 12.8 peratus berbanding 18.5 peratus pada hari biasa.

"Ia masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan. Bagaimanapun melalui kempen Ops Bersepadu ke-23 dan Ops Sikap, saya yakin kadar kemalangan menurun pada musim perayaan ini," katanya.

Sementara itu, Suret turut menasihatkan orang ramai supaya melunaskan saman tertunggak sebelum dikenakan tindakan lebih berat oleh pihak berkuasa.

"Tarikh terakhir pembayaran bagi saman tersebut adalah sebelum 28 Februari ini. Orang ramai diminta melangsaikan saman bagi mengelakkan tindakan penyenaraian hitam atau pengantungan lesen," katanya.

Saturday, January 15, 2011

Tiga beranak diarah bela diri kes pengubahan wang haram RM60 juta

KUALA LUMPUR, 14 Jan — Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan tiga beranak yang merupakan pegawai kanan syarikat Noradz Travel & Services Sdn Bhd, membela diri terhadap pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM60 juta.

Hakim Rozana Ali Yusoff membuat keputusan itu terhadap Datuk Adzhar Sulaiman, 54, serta dua anak perempuannya Noradzma, 34, dan Noradzrin, 25, yang dibicarakan sejak 19 Julai tahun lepas.

Rozana ketika membuat keputusan itu berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kesemua pertuduhan itu.

“Selepas mendengar dan meneliti segala hujahan serta keterangan daripada kesemua saksi secara penilaian yang maksima, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kesemua pertuduhan itu termasuk syarikat mereka yang turut menghadapi pertuduhan,” katanya.

Pihak pendakwaan yang diwakili pegawai pendakwa dari Bank Negara Anthony Khularaj, Fahmi Abd Moin dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman, mengemukakan 52 saksi sepanjang prosiding itu.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Noradzma, yang merupakan pengarah syarikat itu didakwa terhadap 166 pertuduhan, bapanya sebanyak 28 pertuduhan manakala adiknya Noradzrin yang merupakan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) didakwa atas 166 pertuduhan.

Adzhar dan Noradzrin merupakan pegawai syarikat Noradz Travel & Services ketika itu.

Mereka didakwa menggunakan wang haram untuk membeli beberapa hartanah di Perak dan Pahang, membeli produk insuran dan pelaburan serta memindahkan wang ke akaun anak syarikat Noradz.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa buah bank di sekitar Kuala Lumpur termasuk di EON Bank Berhad, Malayan Banking Berhad, Ambank (M) Berhad dan Eoncap Islamic Berhad, antara 14 Ogos 2007 hingga 6 Januari 2009.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan pencegahan pembiayaan keganasan 2001 yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Rozana turut memerintahkan Adzhar dan Noradzma membela diri terhadap pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa memegang lesen yang sah, di antara Julai 2006 hingga Okt 2008 di No 14-1A, Jalan 3/10, Pandan Jaya, di sini.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa di bawah Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 (Akta 372) yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan 26 Jan ini untuk sambung bicara bagi kesemua pertuduhan itu dan ketiga-tiga mereka yang diwakili peguam Datuk Sallehuddin Saidin, memilih memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi.

Sementara itu, bagi pertuduhan melibatkan syarikat mereka iaitu syarikat pelancongan Noradz Travel & Services mereka juga diperintah membela diri bagi pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen.

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 (Akta 372), di No 14-1A, Jalan 3/10, Pandan Jaya di antara Julai 2006 hingga Oktober 2008.

Syarikat Noradz mempunyai beberapa rangkaian syarikat termasuk syarikat penerbitan drama dan filem, penyewaan kereta, agensi pelancongan dan pelaburan, dan syarikat itu juga pernah menerbitkan filem “Shhh… Dia Datang” lakonan Saiful Apek dan beberapa drama yang ditayangkan di stesen televisyen berbayar Astro.

Pihak pendakwaan diwakili pegawai pendakwa dari Bank Negara Anthony Khularaj, Fahmi Abd Moin dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman. — Bernama

Followers

TENTANG DIRI SAYA

My photo
GURU AKADEMIK TINGKATAN ENAM SMK KHIR JOHARI, TG.MALIM. PENDIDIKAN; SK TOK KHALIFAH, PT.13 (1972-1977); SAMR SG. HJ. DORANI (1978-1980); SAMT SSAAS, BT. 38 (1981-1984); UNIV MALAYA (1985-1988); MPKTBR (1990); IPSI (1997); UPSI (2000-2005); UPSI (2008-?)

ALAMAT EMAIL

abdmaleks@yahoo.com
abdmaleks@gmail.com
Sejak 12 September 2009
Documents

ANDA BERMINAT?

KOMENTAR TERAKTIF

Widget by Blogger Widgets

KEMASAN TWEETER

Twitter Updates

    follow me on Twitter
     
    PENGAJIAN AM 900. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.