Sunday, July 31, 2011

Sistem setem untuk beli barang murah

PAGOH: Kerajaan akan mengkaji beberapa langkah bagi mengurangkan beban rakyat dalam mendepani kenaikan harga barang, termasuk kemungkinan memperkenalkan sistem setem untuk pembelian barangan dengan lebih murah atau menyediakan imbuhan tahunan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu akan diteliti Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bekalan dan Harga Barang dipengerusikannya sebelum memutuskan langkah terbaik bagi tempoh jangka pendek dan panjang.
"Sesetengah negara memberi setem digunakan untuk membeli barang yang secara tidak langsung dapat membantu rakyat, ada juga negara memberikan imbuhan tahunan. Apa juga cara, kita belum putuskan kerana jawatankuasa akan menelitinya.

"Contohnya (sekarang) kita memberi subsidi dalam bentuk kawalan harga yang ditanggung kerajaan. Sama ada kita beri bantuan lain, itu akan diteliti," katanya selepas merasmikan Karnival Kesihatan dan Pelancaran Program Doktor Turun Kampung di Kompleks Sukan Pagoh, di sini semalam.

Turut hadir isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Muhyiddin berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta berkaitan untuk mengumpul formula bagi membantu rakyat menghadapi kesan kenaikan harga barang.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan semalam melancarkan program kesihatan komuniti perintis, Doktor Turun Kampung bagi meningkat serta memantapkan perkhidmatan kesihatan penduduk luar bandar.

Program diilhamkan Muhyiddin itu membolehkan masyarakat luar bandar mendapat perkhidmatan kesihatan dengan mudah dan selesa, sekali gus memberi akses kepada kemudahan serta perkhidmatan kesihatan bukan konvensional.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, ketika melancarkan program perintis di Parlimen berkenaan berkata, Doktor Turun Kampung adalah pendekatan sentuhan hati untuk meningkatkan lagi usaha turun ke peringkat akar umbi bagi meninjau masalah rakyat dan seterusnya membolehkan penyaluran bantuan bagi meringankan beban mereka.

"Inisiatif ini bukan perkara baru, kerajaan mahu memastikan kebajikan masyarakat tanpa mengira kaum dan kawasan diberi perhatian dengan bantuan yang mereka perlukan, selain dapat mewujudkan kesedaran dan perubahan tingkah laku ke arah gaya hidup sihat di kalangan masyarakat.

"Program baru ini lebih fokus supaya rakyat tidak rasa terabai dan terlepas perhatian, selain memudahkan mereka mendapat manfaat," katanya yang turut menyumbang sebuah bas diubahsuai menjadi klinik pergigian bergerak kepada penduduk luar bandar di kawasan Pagoh

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kerajaankajikurangbeban/Article

MyKad struktur baru Januari

KUALA LUMPUR 29 Julai - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan dokumen pengenalan diri (MyKad) dengan struktur baru bermula Januari nanti.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, MyKad baru itu akan dilengkapi dengan kelebihan dari sudut fizikal iaitu diperbuat daripada bahan polikarbonat yang lebih tahan lasak.

"Selain itu, MyKad baru ini juga menggunakan teknologi turisan laser pada permukaan kad serta menggunakan cip baru yang telah diuji kualiti ketahanan di Sirim dan makmal semikonduktor yang diiktiraf," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hishamuddin menambah, pengeluaran MyKad baru itu diyakini mampu menyelesaikan masalah berkaitan kualiti dan ketahanan MyKad terutama kualiti cip yang sering dipertikaikan kebelakangan ini.

Dengan pengeluaran MyKad baru itu juga, kata beliau, ia dapat memudahkan lagi urusan harian orang ramai menerusi kad tersebut selain dapat mengekang pemalsuan MyKad.

"Dengan kata lain, MyKad dengan struktur baru ini lebih berkualiti dan menepati ciri-ciri keselamatan, sesuai dengan peredaran waktu, keadaan dan cabaran pada masa depan," katanya.

MTUC saran guna pemutihan untuk gubal dasar berkesan

PETALING JAYA 30 Julai — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini menggesa kerajaan menggunakan cadangan program pemutihan untuk menggubal strategi jangka panjang dan penyelesaian berkesan terhadap isu berkaitan pekerja asing di negara ini.

Setiausaha Agungnya, Abdul Halim Mansor memberitahu, program pemutihan merupakan peluang baik bagi pihak berkuasa untuk mengumpul data yang tepat tentang jumlah orang asing, industri yang menggajikan mereka, upah yang mereka terima, negara asal mereka, kepakaran yang mereka miliki dan tempoh mereka berada di negara ini.

Maklumat berkenaan akan memudahkan kerajaan untuk menggubal mekanisme pemantauan yang berkesan terhadap warga asing di negara ini, kata beliau.

Abdul Halim berkata, setakat ini, kerajaan dan majikan atau kesatuan sekerja tidak mempunyai maklumat tepat tentang pekerja asing.

“Ketiadaan maklumat menyebabkan kawalan sewajarnya tidak dapat dilakukan terhadap pekerja asing dan ini menimbulkan keadaan tidak selesa dan kekeliruan dalam kalangan pemegang kepentingan,” katanya. –- Bernama

Langkah baru tangani kenaikan harga barang dikaji

PAGOH 30 Julai — Kerajaan akan mengkaji langkah baru untuk menangani kenaikan harga barang bagi mengurangkan bebanan rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, antara langkah berkenaan ialah membantu petani, penguatkuasaan undang-undang, imbuhan khas kepada rakyat dan menambah subsidi untuk rakyat selain subsidi minyak.

Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bekalan dan Harga Barang akan bermesyuarat tidak lama lagi bagi mengkaji langkah berkenaan dan merumuskan formula untuk mengurangkan beban rakyat berikutan kenaikan kos harga barang-barang, kata Muhyiddin yang juga pengerusi jawatankuasa itu.

Langkah itu nanti akan menidakkan dakwaan bahawa kerajaan tidak ambil kisah mengenai beban yang ditanggung rakyat berikutan kenaikan harga barang-barang keperluan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan dan Pelancaran Program Doktor Masuk Kampung Parlimen Pagoh di sini hari ini.

BENGKEL P&P PENGAJIAN AM NEGERI PERAK

30 Julai (Sabtu) - Seluruh guru Pengajian Am negeri Perak, pada hari ini berkumpul di SMK Sultan Yusof Batu Gajah untuk menghadiri Bengkel Pengajaran dan Pembelajaran Pengajian Am peringkat negeri Perak.

Ada dua objektif utama program ini iaitu bagi guru-guru baru, ia sebagai pendedahan bagaimana teknik memeriksa kertas dengan berkesan. Ia amat membantu para pelajar dalam memahami kehendak soalan serta cara menghuraikan isi mengikut apa yang dikehendaki oleh soalan. Manakala guru-guru yang berpengalaman pula berbengkel untuk menghasilkan modul kertas Pengajian Am 2 untuk para pelajar GALUS.

Program setengah hari ini ditutup secara rasmi oleh Encik Mohd Zaini bin Ahmat, Pegawai di Jabatan pelajaran Negeri Perak.

Friday, July 29, 2011

PM Terus Buka Akses Blog

KUALA LUMPUR 29 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, orang awam akan terus dibenarkan mengakses platform media sosialnya walaupun terdapat penyalahgunaan yang serius pada halaman online beliau terutama Facebook sepanjang beberapa minggu lepas.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan semangat ingin mengadakan komunikasi yang terbuka dan secara terus dengan rakyat.

Pada waktu ini, beliau mempunyai lebih 800,000 “Like” di Facebook dan hampir 170,000 pengikut dalam Twitter.

"Adalah tidak adil sekiranya saya menghalang rakyat Malaysia secara umumnya, peluang untuk berinteraksi dengan saya hanya kerana tindakan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Sewaktu saya sedang menulis ini juga, saya dapat lihat ramai rakyat yang memberi komen yang bernas serta menyokong dialog yang beradab. Diharap dapat diteruskan begitu,” katanya dalam entri terbarunya di blog www.1Malaysia.com.my. - Bernama

Tuesday, July 26, 2011

‘Suhu politik makin membara’

SHAH ALAM 25 Julai – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bimbang dengan peristiwa tertentu yang berlaku dalam negara sejak kebelakangan ini yang semakin bercanggah dengan semangat perpaduan.

Baginda menyifatkan peristiwa tersebut sebagai menongkah arus dan lebih menjurus kepada perpecahan selain memanaskan suhu politik negara.

“Gendang politik semakin dipalu, suhu politik semakin membara, mendidihkan lava persengketaan yang menanti masa untuk meluap.

“Suasana politik semakin mencalarkan nama negara dan negara sedang berhadapan dengan ujian berbentuk krisis persepsi akibat pertentangan politik yang semakin memisahkan,” titah baginda pada majlis Wacana Ilmu Titah Diraja di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Nordin dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Dalam titah bertajuk Peranan Institusi Raja Melayu Dalam Memupuk Perpaduan Warga, baginda bertitah, apa yang berlaku sekarang adalah berikutan sentimen dan emosi semakin menguasai pemikiran manakala fakta dan kenyataan semakin hilang kekuatan.

Lebih parah lagi, titah baginda, semangat berunding dan persefahaman serta saling menghormati tidak lagi diperlukan.

“Senario ini menuntut negara dan warganya melakukan pemeriksaan semula asas-asas andaian sedia ada dalam menghadapi perubahan dan tuntutan kepada perubahan yang berlaku pada kadar terlalu pantas,” titah baginda.

Berikutan itu baginda bertitah, institusi raja Melayu yang kedudukannya berada di atas segala polemik politik perlu terus dipertahankan bagi memastikan kerukunan hidup rakyat.

Titah baginda, ini kerana dalam sesebuah negara perlu ada institusi berkecuali dan mempunyai kredibiliti serta dapat diterima untuk membantu menenangkan suhu politik yang semakin panas.

Serentak itu, baginda mengingatkan rakyat agar jangan merosakkan institusi yang merupakan payung negara, pelindung agama Islam serta adat Melayu dan ia wajib memberi naungan secara saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum serta agama.

“Raja adalah payung kedaulatan negara, jangan sama sekali dirosakkan, jangan sama sekali ditiriskan.

“Jangan hanya dicari (payung) bila panas terlalu terik atau hujan. Payung negara ini adalah lambang kedaulatan warga, memberi teduh di hari panas, menangkis air di hari hujan,” titah baginda lagi.

Hak Raja Berperlembagaan

Beta bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan inayat dari-Nya juga, Beta dapat berangkat ke Universiti Teknologi Mara untuk mengatur kata - merangkai ayat, mengungkap pandangan - menzahirkan pendapat atas mauduk 'Peranan Institusi Raja Melayu Dalam Memupuk Perpaduan Warga'. Terkandung tiga kata kunci dalam mauduk yang akan dihuraikan; pertama: Institusi Raja Melayu, kedua: warga, dan ketiga: memupuk perpaduan.

Tema ini berpotensi mengundang pelbagai pandangan. Semoga di sebalik segala kepelbagaian pandangan itu, pada akhirnya nanti, kita akan bersua dalam satu laluan intelek yang membolehkan berlakunya pertemuan pemikiran secara objektif lagi rasional; menerima hakikat bahawa perbezaan pandangan itu sebenarnya adalah satu kekuatan yang dapat membantu berlakunya perseimbangan dan konsensus dalam hasrat membina satu persefahaman - satu semangat, untuk membangunkan sebuah negara bangsa yang berdaulat lagi merdeka, gagah lagi perkasa, adil lagi saksama, makmur lagi sejahtera.

Sembilan Raja Melayu bersemayam di takhta pemerintahan di sembilan negeri berdaulat sebelum terbinanya sebuah Persekutuan. Persekutuan Tanah Melayu, adalah gabungan sembilan negeri berdaulat dengan dua Negeri Selat, dilahirkan setelah mendapat perkenan sembilan Raja Melayu, diperluaskan kemudiannya dengan penyertaan Sabah dan Sarawak untuk membentuk negara Malaysia.

Perpaduan dimulakan dari puncak takhta pemerintahan, di antara Raja dengan pembesar negeri, di antara pembesar negeri sesama pembesar negeri, di antara rakyat sesama rakyat dan yang lebih utama di antara Raja dengan rakyat. Terungkap kata-kata kesetiaan, 'Bahawa Raja dan rakyat berpisah tiada'. Betapa pentingnya ikatan Raja dan rakyat itu terkandung dalam titah amanat Sultan Alauddin kepada anakanda Baginda,

Islam, adat dan muafakat merupakan serapah sakti dalam menggariskan tatanegara sosial dan sivil hingga berjaya mendaulatkan pemerintahan Raja Melayu serta berperanan sebagai perekat sosial terselindung, berupaya menyatupadukan warga; dan betapa dalam budaya Kerajaan Kesultanan Melayu, tiga elemen utama tersebut berjaya disepadukan, berperanan sebagai instrumen berkesan, membendung sebarang kemungkinan yang boleh mencetuskan persengketaan.

Memupuk perpaduan adalah impian besar, adalah hasrat besar - adalah tugas besar. Impian, hasrat dan tugas besar tidak mungkin dicapai melalui formula yang terlalu simplistic. Ia tidak dapat dicapai melalui sambutan berunsur perayaan - melalui pesta - melalui jamuan - melalui perhimpunan.

Ia tidak dapat dicapai melalui slogan, melalui nyanyian, melalui adukan pelbagai tarian dalam irama yang satu, melalui pakaian batik yang seragam. Ia tidak dapat dicapai melalui program politik yang berpihak - melalui program agama yang berpuak - melalui program berbentuk kosmetik.

Usaha memupuk perpaduan memerlukan ramuan yang lebih kreatif, pendekatan yang lebih efektif, pelaksanaan yang lebih konsisten, minda yang lebih terbuka, Lebih dari itu ia menuntut kepada perekayasaan dasar, menuntut kepada program bertindak yang realistik lagi produktif, lahir dari ketulusan hati - dicetus dari kejujuran niat; dibeningkan dengan sifat rendah diri - diheningkan dengan sifat yang tidak angkuh.

Ia memerlukan pelaksanaan yang bersungguh oleh individu - oleh organisasi - oleh institusi yang benar-benar komited; hingga gerak kerja dan pendekatannya benar-benar menyentuh sanubari warga - dihayati warga; hingga memberikan keyakinan kepada warga akan hasil dan nikmat dari kejayaan pelaksanaannya.

Peristiwa tertentu yang berlaku di dalam negara kebelakangan ini semakin bercanggah dengan semangat perpaduan. Ia lebih berbentuk menongkah arus. Ia lebih menjurus kepada perpecahan. Suhu politik negara semakin panas. Gendang politik semakin dipalu, suhu politik semakin membara, mendidihkan lava-lava persengketaan, menanti masa untuk meluap. Suara perpaduan semakin jauh dibawa angin.

Suasana politik semasa semakin mencalarkan nama negara. Negara sedang menghadapi ujian berbentuk krisis persepsi, akibat dari pertentangan politik yang semakin memisahkan. Sentimen dan emosi semakin menguasai pemikiran warga, fakta dan kenyataan semakin kehilangan kekuatan.

Semangat berunding - semangat bersefahaman - semangat saling menghormati bagai tidak diperlukan lagi. Senario ini menuntut negara - menuntut warga melakukan pemeriksaan semula asas-asas andaian sedia ada dalam menghadapi era perubahan dan dalam menghadapi tuntutan kepada perubahan yang berlaku pada kadar terlalu pantas.

Ada asasnya kepada tafsiran bahawa faktor agama, faktor kaum, faktor budaya dan faktor bahasa menjadi penyebab kepada perselisihan; sama ada dicetuskan dari penggunaan kalimah Allah atau dicetuskan dari penggunaan perkataan tertentu di dalam sebuah novel. Benar, peristiwa 13 Mei 1969 adalah peristiwa pahit yang tercetus di antara Melayu dan bukan Melayu, tetapi kita juga harus bertanya sama ada perselisihan kaum itu semata-mata berpunca dari rasa allergy dan tiada toleransi di antara Melayu dengan bukan Melayu.

Hakikat yang ditemui kemudiannya, memperlihatkan terdapat banyak elemen lain, yang sedikit demi sedikit menyemaikan benih-benih keresahan. Sentimen perkauman hanya dijadikan kuda tunggangan apabila keresahan sudah tidak dapat dibendung lagi.

Apabila pemimpin menyedari kesilapan, bersedia mengakui kelemahan, insaf dan memilih untuk bermuhasabah, maka akan dilimpahkan rahmat oleh Ilahi; dan Allah Yang Maha Berkuasa akan membimbing umat-Nya menemui jalan yang diredai.

Hari ini tidak bijak, jika negara dan warga memilih untuk menafikan realiti hingga kabur pandangan kepada sebab musabab sebenar yang menjadi punca menjejaskan perpaduan. Adalah benar, persaingan politik semakin sengit; adalah benar isu agama dan isu kaum amat sensitif.

Namun persaingan politik hanyalah mengambil kesempatan memperjudikan isu agama dan isu kaum, untuk mengeksploitasi sentimen ketidakpuasan hati warga yang lebih rencam; menyentuh integriti, rasuah, penyalahgunaan kuasa, agihan kekayaan, sistem penyampaian, pengangguran, perumahan, inflasi, pendatang asing, kebebasan media dan bermacam-macam lagi, perkara-perkara yang menyentuh kehidupan harian rakyat, perkara yang generasi muda terpelajar menuntut kepada pembaharuan. Keresahan-keresahan warga kini semakin menyalakan sekam kemarahan.

Bagaimanakah Raja dapat berperanan secara bermakna, sekiranya Raja senantiasa dilukiskan dengan sebaik-baik gambaran. Ia bukan sahaja melukiskan gambaran palsu tetapi telah tidak bersifat adil kepada Raja; menidakkan hak Raja menyempurnakan tanggung jawab secara saksama untuk membolehkan peranan Raja diterima baik oleh warga. Malah dibimbangkan perbuatan melindungi Raja dari kebenaran akan semakin memisahkan Raja dengan warga.

Amat sulit untuk membicarakan soal integriti, soal kenegaraan, soal kesetiaan dan soal perpaduan kepada warga yang sedang mengharungi tekanan hidup. Amat mudah sentimen warga dieksploitasi dan amat mudah untuk mereka termakan janji. Preskripsi yang menyembuhkan hanya dapat diberikan jika sindrom yang sebenar dikenal pasti; lalu membawa ingatan Beta kepada dialog di antara Bendahara Paduka Raja dengan Sultan 'Alauddin ketika Baginda menziarahi Bendahara Paduka Raja yang sedang tenat sakit. Bendahara Paduka Raja secara tegas berdatang sembah dengan kata-kata berikut:

"Hendaklah jangan tuanku dengar-dengaran akan sembah orang yang tiada sebenarnya, jikalau tuanku dengarkan sembah orang yang sedemikian itu akibatnya tuanku menyesal. Yang kehendak nafsu jangan tuanku turutkan, karena banyak raja-raja yang dibinasakan Allah Taala kerajaannya sebab menurut hawa nafsunya."

- Petikan dari Sulalat-al Salatin

Berpandukan petikan tersebut amatlah penting untuk Raja tidak dilindungi dari kebenaran. Raja perlu disembah maklumkan secara berterus terang cerita sebenar. Raja jangan sama sekali dipagari oleh mereka yang berkepentingan diri hingga Raja tergamak diperalatkan.

Di sebaliknya Raja wajib memiliki kumpulan penasihat yang jujur lagi ikhlas, kumpulan penasihat yang peka kepada denyut jantung dan denyut nadi warga, kumpulan penasihat yang tegas lagi berani menyatakan yang benar. Raja sendiri hendaklah bersedia menerima hakikat dan kenyataan, betapa pahit dan berat sekalipun kerana keadilan tidak mungkin dapat ditegakkan tanpa kebenaran.

Istana mungkin dilindungi pagar tinggi secara fizikal, namun ia tidak menghalang kepada berita dan peristiwa menembusi jendela - menembusi pintu istana. Kerana Raja bukan monumen hiasan yang kaku - tanpa nyawa - tanpa jiwa, sekadar pelengkap, memenuhi adat rakyat beraja - negeri bersultan, sekadar simbol untuk menyempurnakan tugas-tugas keraian, sekadar hadir memenuhi acara dan istiadat.

Segala yang berlaku adalah dalam ruang penglihatan, ruang pendengaran dan ruang pertuturan Raja. Segala yang berlaku diikuti oleh istana secara dekat, diteliti dan dihalusi, ditimbangkan cerita, diimbangkan berita.

Hikmah dan kebijaksanaan amat penting untuk mentafsir secara saksama akan situasi rumit yang sedang berlegar dalam orbit negara ketika ini. Dalam setiap perselisihan dan dalam segala perbalahan, tidak mungkin satu pihak betul semua dan tidak mungkin satu pihak salah semua; tetapi kaedah mencari kemenangan mutlak dan kaedah mahu menjatuhkan lawan telah mengetepikan elemen adab, elemen adat, elemen moral dan elemen agama. Jika suhu politik semakin panas, dikhuatirkan impian untuk membina perpaduan mungkin akan menemui mimpi ngeri yang sangat menakutkan.

Oleh itu perlu ada institusi yang credible untuk menurunkan suhu yang semakin panas; perlu ada institusi yang kekal berkecuali; institusi yang dapat diterima untuk membantu menenangkan suasana. Untuk itu amatlah penting dipastikan Raja kekal dalam disiplin yang berada di atas segala polemik politik.

Tetapi Raja juga ada amanah - ada tanggung jawab untuk memastikan negara aman dan warga hidup secara rukun - secara damai. Raja perlu menggunakan kebijaksanaan akal bicara, memilih sebaik ketika dalam ruang kuasa yang diperuntukkan untuk menenangkan situasi. Namun Raja tidak ada lampu ajaib mengupayakan Raja memupuk perpaduan dalam sekelip mata - dengan sebaris kata, jika suasana sudah terlalu berkecamuk.

Sebaik peranan kepada Raja adalah untuk memberikan nasihat secara tertutup kepada pelbagai instrumen negara akan tanggung jawab masing-masing supaya Raja tidak disalah tafsir mahu mencerobohi sempadan dengan mencampuri secara langsung urus tadbir negara.

Bahawa Raja Berperlembagaan turut memiliki tiga hak untuk memenuhi peranannya, iaitu hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, hak untuk memberi galakan dan dorongan dan hak untuk memberi peringatan dan teguran yang boleh dilaksanakan secara bijaksana lagi berhemah.

Secara umum, peranan Raja terbatas bertindak atas nasihat pimpinan kerajaan pilihan rakyat. Namun Raja juga tidak harus sama sekali tertekan dan tidak semestinya memberi perkenan, jika nasihat yang disembahkan amat bercanggah dengan semangat Perlembagaan, amat bertentangan dengan keluhuran undang-undang serta amat melanggar prinsip keadilan sejagat.

Tugas lebih langsung terletak di bahu pelbagai instrumen negara. Kredibiliti beberapa instrumen negara memerlukan usaha pemulihan persepsi dan ada yang memerlukan penambahbaikan selaras dengan dinamik dunia semasa dalam hasrat mengembalikan keyakinan warga.

Senario politik negara selepas Pilihan Raya kedua belas sangat berbeza . Perpaduan tidak akan berjaya dipupuk dalam situasi politik yang tidak stabil dan tidak matang. Perlu ada penerimaan kepada realiti. Perlu ada fahaman bahawa tuntutan melakukan perubahan kepada yang lebih baik adalah lumrah alam. Perlu ada kematangan dalam menyampaikan teguran - perlu ada etika ketika menyuarakan kritikan.

Teguran dan kritikan untuk penambahbaikan, positif nadanya dan positif penerimaannya; tetapi teguran dan kritikan dengan tujuan mendatangkan keaiban peribadi dan merendahkan lawan politik, negatif coraknya dan negatif hasilnya. Perlu diterima hakikat menang kalah dalam demokrasi. Perpaduan memerlukan kesediaan melakukan pengorbanan, menerima kekalahan dengan reda dan merayakan kemenangan dengan keinsafan.

Ketika kesetiaan warga kepada negeri masing-masing begitu mendalam - ketika warga memiliki kebanggaan terhadap warisan, adat dan tradisi setempat, Raja-Raja Melayu telah mempamerkan jiwa besar memberi perkenan menyerahkan kedaulatan negeri masing-masing untuk membolehkan penubuhan sebuah Persekutuan, sebuah negara bangsa yang lebih besar dan lebih agung.

Sesungguhnya Sembilan Raja Melayu pada hakikatnya telah membuktikan sebaik contoh semangat perpaduan dengan kerelaan menyerahkan kedaulatan negeri masing-masing untuk membolehkan tertubuhnya sebuah Persekutuan di bawah konsep Federal isme. Majlis Raja-Raja adalah satu forum penyatuan membawa pemerintah negeri ke forum yang sama secara berkala dan telah membantu memperkukuhkan konsep Persekutuan.

Konsep Persekutuan yang dibentuk wajib difahami sedalam-dalamnya untuk memastikan berlaku keharmonian dalam hubungan Persekutuan dengan negeri. Perselisihan pemimpin akan mempengaruhi hubungan warga dan menjadi faktor penghalang kepada pencapaian perpaduan. Terkandung agihan kuasa di antara Pusat dan Negeri dan jaminan autonomi negeri secara selektif dalam bidang tertentu.

Pilihan raya kedua belas telah menukar landskap politik negara dan memerlukan tafsiran yang lebih konstruktif demi menjamin perpaduan warga tidak terjejas, demi mengelak tumbuhnya kembali sentimen kenegerian yang parokial sifatnya, yang berpotensi mencetuskan keretakan di kalangan warga.

Apa yang pada suatu ketika dahulu dianggap pada asas sebagai satu institusi Melayu kini diterima oleh semua pihak sebagai faktor penyatuan. Raja-Raja tidak sama sekali dipinggirkan malah merupakan sebahagian daripada kehidupan masyarakat umum yang ketara memberi sumbangan kepada ketenteraman negara dan perpaduan warga.

Pemerintahan beraja di Malaysia pasti berupaya memenuhi peranan proaktif dalam memupuk semangat 'satu komuniti - satu negara' yang diimpikan. Disebabkan kedudukan istimewa mereka di dalam masyarakat, Institusi Raja-Raja bertenaga memenuhi peranan secara lebih bermakna.

Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan - sumber keadilan, teras perpaduan - payung penyatuan. Dalam dinamik politik yang sedang berlaku, bertambah penting bagi Raja untuk berada di atas segala yang sedang berlaku - bersifat berkecuali supaya dalam keadaan berlakunya krisis, Institusi Raja berupaya memberikan nasihat, teguran dan pandangan yang mencerminkan keadilan tanpa memihak.

Sebagai payung negara, Institusi Raja wajib memberi naungan secara saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum atau agama seperti yang tersurat dalam salah satu dari Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu. Sebagai Ketua Agama Islam dan pelindung kepada adat Melayu, Institusi Raja bertanggung jawab memastikan kesucian Islam tidak tercemar dan identiti bangsa kekal dilindungi. Raja adalah payung kedaulatan negara.

Payung kedaulatan negara ini jangan sama sekali dirosakkan - jangan sama sekali ditiriskan, jangan hanya dicari bila panas terlalu terik atau hujan sudah pun turun. Payung negara ini adalah lambang kedaulatan warga - lambang kedaulatan negara, memberi teduh di hari panas, menangkis air di hari hujan.

Semoga Raja Kita Selamat Bertakhta

Monday, July 25, 2011

Makanan berteknologi angkasa

Apabila manusia bercita-cita untuk ke angkasa lepas, pelbagai teknologi mula dibangunkan khas untuk tujuan tersebut. Bermula daripada pembinaan kapal angkasa berteknologi tinggi yang mampu membawa angkasawan keluar dari atmosfera bumi sehinggalah kepada proses penyediaan makanan dan minuman untuk mereka.

Apa yang pasti, tanpa makanan dan minuman yang terbaik tidak mungkin angkasawan dapat bertahan lama ketika berada di angkasa lepas.

Dewina Holding Sdn. Bhd. merupakan syarikat tempatan pertama di negara ini yang mengembangkan teknologi tersebut untuk menghasilkan makanan segera.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Dewina Holdings Sdn. Bhd., Datuk Ibrahim Ahmad Badawi berkata, syarikatnya telah berkecimpung dalam industri menghasilkan produk makanan segera untuk sejak 25 tahun dahulu.

Namun, produk syarikatnya kurang dikenali pada peringkat awal penubuhannya berikutan lebih menumpukan perhatian membekalkan makanan secara besar-besaran kepada pihak berkuasa dan negara luar.

"Pada asalnya kita memperolehi teknologi ini hasil usaha sama serta pertukaran teknologi dari Jepun.

"Malah, kita juga terlibat dalam membekalkan makanan dalam pek segera kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran lima produk baru yang menggunakan jenama Brahim's di Bandar Baru Bangi, Selangor di sini, baru-baru ini.

Ibrahim menjelaskan, teknologi pengawetan makanan tanpa menggunakan sebarang bahan pengawet tambahan asalnya dimajukan oleh bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Tentera Amerika Syarikat.

Melalui penyelidikan tersebut, Amerika Syarikat telah menemui sistem kantung retort untuk penggunaan tentera dan program angkasa lepas hasil kerjasama bahagian penyelidikan terbabit bersama Reynolds and Continental Can.

Teknologi kantung tersebut seterusnya dikomersialkan di Jepun membawa kepada penghasilan Revolusi Mee Segera Kedua.

Seterusnya, Dewina Food Industri ditubuhkan pada tahun 1986 dan berkembang sebagai sebuah syarikat yang membekalkan makanan kepada pihak berkuasa.

Dewina Food Industries Sdn. Bhd. melancarkan produk Brahim's pada tahun 1988 dan jenama tersebut merupakan siri produk pertama yang menggunakan teknologi proses kantung retort.

Pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan turut dilancarkan termasuklah pengeluaran makanan, pemasaran dan pengedaran makanan dan sajian makanan dalam penerbangan.

Dewina turut membekalkan makanan tentera, gudang dan penyimpanan sejuk serta restoran.

Syarikat yang menggunakan jenama Brahim's tersebut kini merupakan antara pengeluar produk makanan tempatan segera utama di negara ini.

Malah, produk jenama Brahim's kini boleh didapati di pasaran seluruh Asia dan Eropah dan secara purata, produk ini dikeluarkan hampir sejuta pek setiap bulan.

Brahim's mempertaruhkan beberapa resipi masakan tradisional tempatan seperti kurma ayam, kari ayam, rendang, sambal tumis sehingga kepada beberapa jenis nasi seperti beriani dan nasi goreng.

Jelas Ibrahim, pada asalnya syarikat tersebut banyak membekalkan makanan kepada tentera dan pihak berkuasa namun kini mereka ingin memperluaskan produk tersebut ke seluruh dunia.

"Kita mahu dunia mengenali keunikan masakan Asia dan Malaysia khususnya.

"Malah, jika rakyat Malaysia ingin mengembara ke luar negara namun pada masa sama mahu menikmati makanan tempatan mereka boleh memilih produk Brahim's untuk dibawa bersama," ujarnya.

Sama seperti ransum tentera, kebanyakan produk Brahim's hanya perlu dipanaskan sahaja sebelum dimakan.

Apa yang pasti teknologi kantung retort untuk kegunaan tentera serta angkasa lepas itu tidak sedikit pun menjejaskan kualiti rasa serta tekstur makanan yang dihasilkan.

Akui Ibrahim, ia merupakan antara 'resipi' kejayaan jenama Brahim's sejak 25 tahun dahulu sehingga kini.

Ketika diaju soalan bagaimana syarikat beliau mampu mengawetkan makanan tradisional tanpa menggunakan bahan pengawet serta tidak mengubah teksturnya jawapan beliau mudah, ia melalui proses penyelidikan serta pembangunan yang terperinci.

Namun, proses yang bermula pada tahun 2004 tersebut tidaklah semudah seperti yang dijangka.

Jelas Ibrahim, sebelum sesuatu produk itu mahu dikomersialkan, ia akan melalui beberapa ujian serta proses yang sama untuk menghasilkan produk sebenar.

Namun, skala peralatan tersebut akan dikecilkan bagi tujuan penyelidikan dan sebuah makmal khas turut disediakan.

"Kami telah membelanjakan sejumlah besar untuk membina makmal ini yang menyerupai kilang pemprosesan atau pengeluaran sebenar namun saiznya lebih kecil.

"Ia berbaloi berbanding melakukan uji kaji di kilang kerana di kilang kita tidak boleh mengeluarkan produk pada skala yang kecil," katanya.

Justeru, kerugian terhadap produk yang tidak menjadi akan dapat dikurangkan jika uji kaji dilakukan hanya di makmal.

Setelah produk tersebut berjaya melepasi ujian baru ia dikomersialkan secara besar-besaran di kilang.

Penerima Anugerah Kecemerlangan Produk daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ini turut menjamin produk yang dihasilkan adalah 100 peratus asli.

Pada 27 Mei lalu, produk baru Brahim's telah dilancarkan lima lagi sos segera baru sekali gus melengkapkan produk yang sedia ada kepada 43 jenis sos.

Antara sos segera yang diperkenalkan adalah Pes nasi Tomato, Sos Percik, Sos Tiga Rasa, Pes Tandoori dan Pes Nasi Briyani dan telah dilancarkan pada Kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.

Kejayaan Dewina Holdings Sdn. Bhd. menunjukkan bahawa untuk berjaya serta dikenali dunia bukanlah sesuatu pekara yang mudah dan ia memakan masa.

Memetik kata-kata Ibrahim, beliau berbangga kerana produk Brahim's dicipta untuk mempromosi makanan Malaysia dengan kualiti bertaraf antarabangsa.

"Produk-produk ini melambangkan kepelbagaian warna dan rasa masyarakat majmuk Malaysia dan inilah keunikan produk kami.

"Saya berbangga Dewina adalah syarikat Malaysia sepenuhnya dan berharap warisan saya ini tidak akan terhenti di sini," katanya.

Kini Brahim sedang melakukan promosi jualan untuk koleksi produk baru mereka dan turut menganjurkan pertandingan di halaman Facebook Dewina di www.facebook.com/DewinaBrahims.

Untuk maklumat lanjut berkenaan produk Brahim anda boleh layari laman web syarikat tersebut di alamat www.brahimsfood.com.

Sekolah Dalam Hospital diperluas

KOTA KINABALU 24 Julai - Pelaksanaan Sekolah Dalam Hospital (SDH) akan diperluaskan ke seluruh negara bagi memastikan semua pesakit kanak-kanak dan remaja tidak ketinggalan dalam mendapat pendidikan yang sempurna.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, bagaimanapun perluasan program berkenaan hanya akan dibuat selepas melihat prestasi program perintis di tiga hospital pada masa ini.

"Konsep SDH kini dilaksanakan di tiga hospital yang terpilih iaitu Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang dan Hospital Ampang.

"Ini merupakan konsep baru di negara kita bagi mengelakkan keciciran dalam kalangan pelajar walaupun mereka mendapat rawatan di hospital," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Makan Malam Timbalan Menteri Kesihatan Bersama Komuniti Media di sini, semalam.

Menurutnya, program hasil cetusan idea isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman itu dibuat dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan Yayasan Nurul Yaqeen.

Jelasnya, program tersebut menyediakan tiga silibus iaitu peringkat prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Tambahnya, pada masa ini, kira-kira 70 guru dilatih khas untuk menjayakan program itu.

"Ia menyasarkan kanak-kanak dan remaja yang terpaksa tinggal di hospital melebihi tempoh seperti sebulan dan kadang-kadang bertahun.

"Kita akan adakan kelas di bangunan hospital sendiri, tetapi kalau kanak-kanak atau remaja itu terpaksa dirawat di katil, cikgu akan datang mengajar," katanya.

Sunday, July 24, 2011

Pilihan raya guna biometrik

KANGAR 23 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi melaksanakan sistem biometrik dalam pilihan raya akan datang.

Menurut Perdana Menteri, pelaksanaan sistem tersebut bagi menjamin pilihan raya yang adil tanpa timbul lagi isu pengundi hantu sebagaimana didakwa oleh pihak pembangkang.

"Kita akan buat apa sahaja untuk memastikan pilihan raya yang adil, tak mahu pakai dakwat, kita tak pakai dakwat dan kita setuju supaya SPR gunakan sistem biometrik pada masa akan datang.

"Apabila hendak undi, cap sahaja jari pada pengimbas (scanner), kalau nama betul dengan Mykad, baru undi," katanya ketika berucap pada Program Jalinan Mesra Rakyat di Dewan 2020 di sini, hari ini.

Najib berkata, langkah tersebut membuktikan kerajaan mahu memastikan sistem yang dilaksanakan dalam pilihan raya di negara ini merupakan yang terbaik.

"Sistem ini (biometrik) yang terbaik di dunia, tak ada negara lain yang menggunakannya walaupun negara maju," tambah beliau.

Sebelum itu, Perdana Menteri meminta rakyat negara ini tidak terpesong atau merasa gusar dengan pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh apabila membangkitkan pelbagai isu seolah-olah terdapat banyak perkara yang tidak kena dalam pentadbiran negara.

"Ada pihak dakwa kononnya pilihan raya negara kita tak telus, ada juga yang menyerang institusi seperti kehakiman, polis dan institusi lain.

"Tetapi hakikatnya, Malaysia tak mungkin dianggap sebagai negara contoh dan menjadi model kalau kita tak tadbir dengan betul, adil dan bertimbang rasa," tegas beliau.

Dalam majlis itu, Najib turut menyampaikan peruntukan RM1.875 juta daripada Yayasan 1Malaysia Development Berhad untuk membina dan membaik pulih 375 buah rumah dalam 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis kepada Menteri Besar.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharum, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim dan bekas Menteri Besar Perlis, Tan Sri Dr. Hamid Pawanteh.

Wednesday, July 20, 2011

Dasar Agromakanan diperkenal

PUTRAJAYA 19 Julai – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memperkenalkan Dasar Agromakanan Negara (DAN) untuk menggantikan Dasar Pertanian Negara bagi tempoh 10 tahun bermula tahun ini hingga 2020.

Ia demi menjamin bekalan makanan negara terus mencukupi dan selamat.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, dasar baru bagi menggantikan Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) yang berakhir tahun lalu itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri secepat mungkin untuk diluluskan kerana ia mampu memberi impak besar kepada sektor pertanian negara.

‘‘Kerajaan memperuntukkan RM1.6 bilion bagi tempoh dua tahun untuk merancakkan sektor pertanian menerusi DAN yang menumpukan kepada tanaman padi, sayur-sayuran, buah-buahan, ternakan, perikanan selain penekanan kepada industri baru seperti burung walit, rumpai laut dan ikan hiasan.

‘‘Menerusi DAN, kita mahu menjamin bekalan makanan yang bukan sahaja mencukupi tetapi makanan itu selamat dimakan manakala industri agro makanan menjadi industri yang mampan dan mampu bersaing,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 131 warga kementeriannya di sini, hari ini.

Menurut Noh, DAN bakal menjadi sumber rujukan dan panduan jabatan serta agensi di bawah kementerian itu untuk melaksanakan pelbagai program dan projek.

Jelas beliau, DAN hanya melibatkan sektor pertanian dan bukannya komoditi seperti kelapa sawit, getah dan koko kerana ia hanya tertumpu kepada sektor makanan.

Noh berkata, sejajar dengan hasrat meningkatkan sumber pendapatan para petani menjelang negara maju tahun 2020, para petani perlu mempelbagaikan jenis tanaman di atas tanah pertanian masing-masing.

Sebagai contoh, katanya, penanam kelapa perlu menanam jagung dan kacang tanah sebagai tanaman sampingan manakala nelayan turut digalakkan menternak ikan dalam sangkar atau dalam kanvas.

‘‘Jika dulu petani dan nelayan lebih tertumpu kepada tanaman sara diri tetapi sekarang kita kena besarkan jadi tanaman komersial, kita mahu memaksimumkan kegunaan tanah itu,” katanya.

Menurut beliau, terdapat nelayan di Sabah yang turut melakukan aktiviti sampingan lain iaitu menternak cacing yang mampu mencipta ekonomi tambahan dan memberi pendapatan cukup lumayan.

Beliau menambah, kerajaan boleh mengurangkan import kelapa yang mencecah RM300 juta pada tahun lalu jika para petani menanam pokok kelapa baru pada skala besar.

Blog, Facebook, Twitter bukan kewartawanan sebenar

KUALA LUMPUR 20 Julai – Media sosial baru seperti blog, Facebook dan Twitter adalah antara teknologi canggih yang hebat dalam menyebarkan berita serta maklumat, namun ia tidak seharusnya dianggap sebagai kewartawanan sebenar, menurut seorang tokoh akademik dari Amerika Syarikat.

Janet E. Steele, Prof Madya dari School of Media and Public Affairs, George Washington University, berkata, berita dan maklumat daripada media sosial bukanlah fakta kukuh yang disemak dan serta ditapis oleh editor berbanding dengan amalan standard oleh media tradisional.

"Kewartawanan sebenar melibatkan suatu sistem pengesahan dan mesti mematuhi stardard profesional yang tinggi.

“Oleh itu, laporan berita oleh wartawan mesti disemak dengan teliti oleh editor sebelum disiarkan, berbeza dengan media baru yang tidak memerlukan sebarang pengawasan,” kata beliau kepada pemberita di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan syarahan bertajuk ”Keadilan dan Kewartawanan: Islam dan Nilai-nilai Kewartawanan di Malaysia dan Indonesia” di Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial universiti berkenaan.

Steele, yang fasih berbahasa Indonesia, menulis dalam ruangan mingguan “E-Mail from America” bagi akhbar Surya Daily di Surabaya, Jawa Timur, Indonesia. – Bernama

Tuesday, July 19, 2011

Muzium Pendidikan Nasional di UPSI

TANJUNG MALIM 19 Julai — Bangunan Suluh Budiman di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dibina pada tahun 1919 kini dinaik taraf sebagai Muzium Pendidikan Nasional (MPN) dengan kos RM9.8 juta.

Muzium pendidikan yang pertama negara itu dipulihara dengan kos tersebut dan boleh diiktiraf sebagai mercu tanda kegemilangan pendidikan tanah air disempurnakan perasmiannya oleh Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UPSI Prof. Datuk Dr. Aminah Ayob.

Zambry dalam ucapannya pada majlis itu berkata, pemilihan bangunan berkenaan sebagai muzim pendidikan pertama negara amat bertepatan sekali kerana sejarah perkembangan pendidikan nasional banyak bermula di UPSI yang dahulu dikenali Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI).

“Bangunan Suluh Budiman ini banyak berjasa dengan pembangunan negara dan bangsa malah kebangkitan nasionalisme yang menjadi pemangkin kepada perjuangan kemerdekaan turut bermula di sini,” katanya. - Bernama

Sunday, July 17, 2011

Penilaian menyeluruh mantapkan sistem pendidikan

KUALA LUMPUR 17 Julai - Penilaian menyeluruh yang akan dilakukan terhadap sistem pendidikan kebangsaan merupakan satu langkah proaktif Kementerian Pelajaran selepas pelaksanaan Penyata Razak 1956 yang bertujuan memantapkan mutu pendidikan negara selaras dengan piawaian negara maju.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, kajian penilaian tersebut yang kini di peringkat akhir menekankan pelbagai aspek berhubung penambahbaikan pendidikan kebangsaan termasuk dalam melahirkan modal insan yang berdaya saing bukan sahaja di peringkat domestik malah antarabangsa.

"Menjelang 2020, kita mahu mutu pendidikan negara melangkaui apa yang kita miliki kini. Ia perlu dilonjak supaya dapat berdiri gah sebaris dengan negara maju lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berkata, Kementerian Pelajaran sedang menyiapkan laporan kajian berhubung cadangan penilaian menyeluruh sistem pendidikan kebangsaan bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan negara.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menambah, laporan awal sedang disiapkan oleh pasukan khas yang diketuai oleh Abd. Ghafar dan akan diperoleh hujung tahun ini.

Jelas Abd. Ghafar, penilaian semula status kedudukan pendidikan negara ini berbanding negara-negara lain terutama negara maju turut akan dibentangkan kepada pihak luar termasuk Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Ujarnya, kajian itu diharap akan menjadi satu kesinambungan kepada usaha kerajaan dalam melahirkan pelapis kepimpinan negara yang berkeupayaan tinggi serta kental bagi menempuh pelbagai cabaran yang bakal mendatang pada masa hadapan.

"Laporan tersebut akan diumumkan sejurus sahaja ia mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kabinet selewat-lewatnya hujung tahun ini," katanya

Jenayah libatkan remaja, pelajar sekolah semakin meningkat

KUALA LUMPUR 17 Julai - Penglibatan golongan remaja berusia antara 15 hingga 20 tahun dalam kegiatan jenayah dilihat semakin membimbangkan apabila indeks jenayah pembabitan mereka kini mengalami peningkatan yang drastik.

Berdasarkan kajian Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), remaja yang terlibat dalam jenayah pada usia itu meningkat sebanyak 1,947 kes atau 38 peratus sepanjang tahun lalu berbanding 1,409 kes yang dicatatkan sepanjang 2009.

Lebih membimbangkan, jenayah melibatkan golongan pelajar juga meningkat separuh pada tahun 2010 iaitu 43 peratus (3,218 kes) berbanding 2,242 kes pada tahun sebelumnya.

Justeru, Naib Pengerusi YPJM, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, lebih banyak usaha melibatkan usaha membanteras jenayah di kalangan golongan ini harus diberi penekanan.

"Menjadi satu kebimbangan apabila golongan berusia 15 hingga 20 tahun menjadi penyumbang kepada indeks jenayah negara. Untuk itu, usaha pelbagai pihak harus dijalankan bagi mengatasi permasalahan ini," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Projek Pencegahan Jenayah dan Kehidupan Sihat anjuran Kelab Lion Kuala Lumpur Utara di sini, hari ini.

Katanya, antara bentuk jenayah yang sering melibatkan remaja adalah jenayah harta benda dan kekerasan seperti rogol dan samun.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengingatkan masyarakat tentang bahaya pengaruh pusat Internet kepada remaja dan kanak-kanak.

Menurutnya, pusat Internet dilihat antara punca kerosakan akhlak golongan berkenaan kerana permainan yang disertai mereka mengandungi pelbagai unsur yang boleh mempengaruhi minda.

"Saya lihat ramai kanak-kanak dan remaja kini ketagih mengunjungi pusat Internet ini sehingga sanggup ponteng sekolah," katanya.

Saturday, July 16, 2011

Komitmen guru resipi kejayaan pelajar - Rosmah

LONDON 15 Julai - Komitmen dan dedikasi guru dalam melaksanakan tugas mereka adalah antara bahan utama dalam resipi bagi pelajar mencapai kejayaan dalam kehidupan.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, dedikasi yang tinggi berupaya membawa perubahan besar termasuk pada kalangan pelajar daripada keluarga yang serba kekurangan.

Rosmah yang menemani suami Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatan rasmi ke United Kingdom (UK) berkata demikian ketika melawat sekolah untuk perempuan Elizabeth Garrett Anderson (EGA) School di Islington di sini.

Sekolah itu yang dinamakan sempena wanita pertama memperolehi kelayakan perubatan di UK, Elizabeth Garrett Anderson, ditubuhkan dengan matlamat mendidik wanita untuk masa depan.

Kebanyakan pelajar EGA adalah daripada pelbagai kaum dengan latar belakang ekonomi yang berbeza dan lebih 90 peratus menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Merujuk kepada program Permata yang dimulakan beliau, Rosmah berkata, inisiatif itu juga meliputi murid daripada keluarga berpendapatan rendah.

Katanya, sebuah saluran televisyen antarabangsa telah menyatakan hasrat untuk membuat dokumentari mengenai projek yang bertujuan mendidik kanak-kanak pintar dan berbakat itu.

Sementara itu, Pengetua EGA, Jo Dibb berkata kehadiran tetamu terkemuka seperti Rosmah amat penting kepada pelajar kerana dapat membantu meningkatkan keyakinan diri mereka. - BERNAMA

Modal insan berkualiti penting untuk bangunkan Malaysia

CYBERJAYA 16 Julai - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi percaya pembangunan modal insan berkualiti adalah penyelesaian terbaik untuk membangunkan Malaysia.

"Tidak berkemahiran dan berpendidikan bermakna satu kerugian besar, terlepas peluang untuk bersaing dan mencapai kejayaan," katanya.

Prinsip itu katanya terpakai bukan saja untuk Malaysia, tetapi juga untuk negara lain.

Abdullah berkata, kira-kira separuh daripada populasi dunia sekarang berusia di bawah 25 tahun, justeru pembangunan modal insan wajar dijadikan tumpuan utama.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas menerima Ijazah Doktor Kehormat Pembangunan Modal Insan daripada Universiti Teknologi Kreatif

Limkokwing, yang disampaikan pengasas dan Presiden universiti Tan Sri Lim Kok Wing, di sini hari ini. - Bernama

Friday, July 15, 2011

Keputusan ke IPTA bagi lulusan STPM diumumkan tengah hari ini

PUTRAJAYA 15 Julai - Status keputusan permohonan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi program pengajian lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM)/ Setaraf bagi sesi akademik 2011/2012 boleh disemak bermula pukul 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Rujhan Mustafa berkata, semakan itu boleh dibuat di laman web kementerian atau di http://upu.mohe.gov.my.

Beliau berkata, sebanyak 41,267 tempat ditawarkan untuk mengikuti program ijazah pertama pada tahun ini. - Utusan

Pindaan Akta Sewa Beli menyusahkan

JOHOR BAHRU 14 Julai - Kerajaan diminta menangguhkan sementara pelaksanaan pindaan Akta Sewa Beli 1967 kerana ia didakwa menyusahkan pelbagai pihak termasuk memperlahankan jualan kenderaan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Ahmad Kemin berkata, jika pelaksanaan peraturan baru yang mula dikuatkuasakan 16 Jun lalu diteruskan, ia bukan sahaja memberi kesan kepada pengimport dan penjual, malah pembeli dan pendapatan kerajaan.

"Ini kerana hasil jualan pengimport dan penjual kereta terjejas sejak peraturan baru itu dilaksanakan. Apabila jualan kenderaan terjejas, pendapatan kerajaan dalam bentuk cukai yang dibayar juga berkurangan.

"Contohnya, tahun lalu kerajaan mendapat kira-kira RM1.5 bilion hasil daripada hasil sebanyak 30,000 AP (Permit Import) yang dikeluarkan. Tahun ini kerajaan berharap dapat memperoleh pendapatan RM2 bilion daripada 25,000 AP yang dikeluarkan dan dengan pelaksanaan peraturan baru ini, saya yakin sasaran itu tidak akan dicapai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahmad yang juga Pengerusi Eksekutif Mutiara Motors Sdn. Bhd., mengakui jualan syarikatnya turut terjejas teruk ekoran pelaksanaan peraturan baru itu.

"Misalnya, jualan kami kira-kira 100 buah kenderaan setiap bulan tapi bulan ini, kami hanya dapat menjual 16 buah sahaja," katanya.

Bayaran cukai yang dijelaskan kepada kerajaan juga terjejas iaitu kalau sebelum ini antara RM3 juta hingga RM4 juta sebulan, kini ia kurang daripada RM1 juta.

Menurutnya, peraturan baru itu juga menyebabkan urusan pembelian dan pendaftaran kenderaan baru mengambil masa yang lebih panjang.

"Jika dahulu, proses itu mengambil masa kira-kira tiga hari, tetapi kini ia memerlukan lebih seminggu. Keadaan ini bukan sahaja membebankan penjual, tetapi juga menjadi rungutan pelanggan kerana mereka lambat mendapat kenderaan," katanya.

Menurutnya, proses pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) juga mengambil masa yang lama dan lebih membebankan penjual kerana pelaksanaan peraturan baru itu memerlukan pemeriksaan kenderaan dilakukan sebanyak dua kali berbanding sekali sebelum ini.

Katanya, pemeriksaan Puspakom yang pertama dibuat semasa kenderaan import itu tiba dan yang kedua semasa proses jual beli. Pemeriksaan pertama dikenakan bayaran antara RM185 hingga RM210, manakala yang kedua sebanyak RM60.

Beliau berkata, lebih memeningkan penjual, surat kelulusan daripada Puspakom mengambil masa antara tiga hingga empat hari berbanding sehari sebelum ini.

Ahmad turut menyifatkan peraturan yang mengkehendaki bayaran deposit kenderaan oleh pembeli diserahkan kepada pihak bank yang memberi pinjaman sebagai tidak masuk akal.

"Apa alasannya peraturan seperti itu? Bagi saya ia tidak masuk akal kerana kereta itu bukannya lagi milik bank, ia masih milik penjual," katanya.

Justeru, beliau mencadangkan selain menangguhkan sementara pelaksanaan pindaan akta tersebut, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan semua pihak terutama syarikat penjual kereta demi kepentingan semua pihak

Sedia kaji Akta Sewa Beli 1967

KUALA LUMPUR 14 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bersedia mengkaji semula, termasuk melakukan pindaan, dalam peraturan baru Akta Sewa Beli 1967 yang didakwa menyusahkan pelbagai pihak.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementerian itu telah pun mengadakan perjumpaan fasa pertama dengan lima kumpulan terlibat bagi membincangkan mengenai akta itu secara serius.

Lima kumpulan tersebut terdiri daripada KPDNKK, pihak undang-undang, institusi kewangan, persatuan kereta terpakai dan Puspakom.

''Kita sebenarnya sudah mendengar masalah yang berlaku dan akan meneliti semula pandangan pihak-pihak terlibat dan keputusan akan dibuat secepat mungkin.

''Kerajaan tidak ada masalah untuk melakukan pindaan tetapi dengan syarat kepentingan penggunaan diletakkan sebagai keutamaan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan pelbagai pihak dalam persatuan peniaga kereta yang tidak berpuas hati dengan pelaksanaan peraturan baru Akta Sewa Beli 1967 yang berkuat kuasa 16 Jun lalu.

Antara masalah yang dihadapi ekoran peraturan baru itu ialah proses pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan dan Pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mengambil masa lama.

Malah, peraturan baru juga mengakibatkan urusan pembelian dan pendaftaran kenderaan baru mengambil masa lebih panjang.

Selain itu, pelaksanaan peraturan baru dalam akta berkenaan menyebabkan pembeli hanya perlu melunaskan bayaran tempahan selepas Perjanjian Jadual Kedua iaitu selepas pinjaman sewa beli diluluskan.

Ismail Sabri berkata, setakat ini, persatuan kereta terpakai mahu 14 peraturan baru yang diperkenalkan dilihat secara teliti dan perkara itu telah diteliti oleh kementerian terbabit.

Tegas beliau, pindaan dalam Akta Sewa Beli dilakukan kerajaan meneliti laporan Tribunal Pengguna yang mendapati pengguna sering teraniaya ketika membeli kereta.

''Sebelum ini, terlalu banyak pembeli kereta teraniaya akibat perbuatan pembeli dan sekarang kami melindungi pengguna yang menjadi kumpulan majoriti.

''Peraturan baru dalam pindaan akta itu dibuat semata-mata untuk melindungi pengguna yang selama ini teraniaya,'' tegasnya.

Ditanya sama ada KPNDKK turut meneliti semula peraturan baru yang didakwa menjejaskan penjualan kereta, Ismail Sabri berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima rungutan daripada pembeli.

''Bagaimanapun, kami sedia berjumpa dan menyelesaikan masalah kerana kerajaan juga tidak mahu menyusah dan menjejaskan para peniaga kereta,'' ujar beliau.

Penghakiman perlu padat

PUTRAJAYA 14 Julai - Para hakim diingatkan supaya menyediakan penghakiman bertulis yang padat, jelas dan ringkas untuk memudahkan orang ramai membaca dan memahami kandungannya.

Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi berkata, penghakiman bertulis yang terlalu teknikal dan panjang berjela hanya menyusahkan orang ramai terutama pihak berkepentingan dalam kes berkenaan untuk mengetahui alasan sesuatu keputusan dibuat.

''Penghakiman yang terlalu panjang juga menyebabkan hakim kekurangan masa, kerana mereka juga perlu melakukan kerja lain seperti mendengar dan mengadili kes," katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran buku Writing of Judgements: A Practical Guide for Courts and Tribunals di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Mengulas mengenai buku tersebut, Zaki berkata, ia dihasilkan oleh bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Syed Ahmad Idid bagi menyediakan kerangka yang jelas dan menyeluruh mengenai penghakiman bertulis.

''Buku ini sangat berguna terutama kepada hakim-hakim baru, ia membekalkan satu panduan yang penting untuk menulis penghakiman," katanya.

Dalam pada itu, Syed Ahmad berkata, beliau mengambil masa selama 18 bulan untuk menyiapkan buku tersebut yang diterbitkan secara bersama oleh LexisNexis dan IIUM Press.

''Saya berharap buku ini akan membantu dan menjadi panduan kepada para hakim dalam menyediakan penghakiman," katanya.

Tindakan proaktif majukan industri minyak sawit

KOTA KINABALU 14 Julai - Kajian yang dibuat oleh Sime Darby Bhd. (Sime Darby) berhubung kritikan terhadap minyak kelapa sawit negara oleh pihak luar membolehkan penyumbang terbesar kepada sektor perladangan itu terus berdiri teguh sehingga kini.

Pengerusi Sime Darby, Tun Musa Hitam berkata, kritikan yang dilemparkan oleh negara luar dijadikan pemangkin dalam usaha meningkatkan penelitian dan kajian terhadap kualiti minyak sawit negara.

Katanya, hasil kajian dan tindakan proaktif yang dilaksanakan oleh Sime Darby membuahkan hasil apabila semua tuduhan yang dilemparkan oleh pihak luar dibuktikan sebagai tidak berasas sama sekali.

"Perkara itu mudah untuk ditangani. Jangan membalas kritikan tersebut dengan cara yang negatif, tetapi berusaha membuktikan tuduhan tersebut adalah salah menerusi penyelidikan.

"Hasil kajian membuktikan tuduhan itu tidak benar dan Malaysia terus kekal sebagai antara pemain utama dalam sektor perladangan tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran buku bertajuk Selamanya Hijau: Mengekalkan Masa Hadapan Dengan Deramakot.

Hadir sama dua Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Dr. Yee Moh Chai serta Pengarah Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan.

Mengulas lanjut Musa berkata, kerja keras dan kajian serius yang dilakukan Sime Darby membuktikan minyak sawit negara bukan satu hasil biasa, tetapi mempunyai kualiti yang sangat tinggi.

Jelasnya, hasil perladangan negara itu terus kekal mendominasi pasaran dunia, malah mampu bersaing dengan produk minyak soya dari Barat.

Jangan bayar, pendaftaran biometrik percuma

PUTRAJAYA 14 Julai - Jabatan Imigresen sudah mengesan berlakunya kes penipuan berhubung Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing biarpun ia baru dilancarkan semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Alias Ahmad berkata, kes tersebut dikesan di Banting, Ijok, Bukit Bintang dan Taiping yang menggunakan taktik penyamaran sebagai pegawai Kementerian Dalam Negeri untuk menjalankan tugas pendaftaran.

Menurutnya, pihak yang tidak bertanggungjawab itu mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran sebanyak RM50 terhadap setiap pendaftaran yang dilakukan.

"Pihak majikan perlu berhati-hati dengan kes penipuan seperti ini kerana Imigresen tidak mengenakan bayaran terhadap perkhidmatan pendaftaran biometrik pekerja asing yang sah.

"Orang ramai yang menyedari atau melihat kes penipuan berhubung pendaftaran ini perlu dengan segera membuat laporan kepada polis dan Imigresen," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan proses Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing yang bermula semalam. Ia akan berterusan sehingga 31 Julai ini.

Alias berkata, aduan berhubung kes penipuan berkenaan diterima Imigresen melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Sementara itu, beliau berkata, sehingga hari ini proses pendaftaran berjalan dengan lancar di seluruh negara.

Ditanya mengenai aduan majikan yang gagal membuat pendaftaran di sesetengah cawangan Imigresen, beliau berkata, majikan boleh membuat pendaftaran di cawangan berhampiran.

"Masalah itu berlaku mungkin disebabkan terdapat cawangan yang tidak mempunyai kelengkapan sistem pendaftaran biometrik tersebut," katanya.

Thursday, July 14, 2011

Malaysia hasilkan produk plastik mesra alam

SHAH ALAM 13 Julai - Industri bioteknologi negara mencatat sejarah apabila berjaya menghasilkan produk plastik mesra alam pertama yang menggunakan sisa buangan minyak kelapa sawit.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, kesemua produk tersebut akan diproses di Loji Pandu Bioplastik Sirim di Jalan Beremban, Seksyen 15 di sini.

Beliau berkata, Loji Pandu Bioplastik itu mampu menghasilkan produk plastik mesra alam seperti pembungkus makanan dan produk pertanian yang boleh terurai sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan hingga setahun.

"Ia berbeza dengan plastik yang ada pada hari ini yang mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk terurai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Loji Pandu Bioplastik SIRIM di sini semalam.

Hadir sama ialah Naib Presiden Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi SIRIM, Dr. Zainal Abidin Mohd. Yusof.

Maximus memberitahu, kejayaan menghasilkan plastik mesra alam atau bioplastik itu adalah hasil kajian dan pembangunan yang dibuat bersama oleh Sirim Berhad, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut Teknologi Massachusetts, Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, bagi tujuan penyelidikan untuk menghasilkan produk plastik mesra alam itu, kementerian membelanjakan kira-kira RM21.4 juta menggunakan peruntukan Skim Technofund.

Dalam pada itu, Maximus juga berharap lebih banyak Loji Pandu Bioplastik dibina di negara ini supaya lebih banyak produk plastik mesra alam dapat dihasilkan.

Justeru, beliau mengajak sektor swasta untuk melabur dalam penghasilan produk bioplastik tersebut kerana ia berpotensi besar serta boleh menjana keuntungan jika dikomersialkan.

"Ini adalah peluang terbaik buat sektor swasta untuk melabur dalam teknologi baru itu kerana ia mampu menjana pendapatan sesebuah organisasi perniagaan," kata beliau.

Kurikulum baharu memandu perlu konsep kemahiran

BANGI 13 Julai – Kurikulum baharu sekolah atau institut memandu yang bakal diperkenalkan kerajaan tidak lama lagi perlu memberi penekanan kepada ‘konsep kemahiran mengatasi pengetahuan’.

Pakar pengangkutan awam, Prof. Dr. Abdul Rahim Md. Nor berkata, ini kerana konsep kemahiran bukan sesuatu yang boleh dihafal atau dibaca semata-mata, sebaliknya memerlukan latihan bagi membiasakan calon dengan keadaan, kesibukan dan halangan sebenar di jalan raya.

“Apatah lagi dalam situasi hari ini, tidak keterlaluan dikatakan, laluan untuk seseorang calon mendapatkan lesen memandu adalah terlalu mudah, ringkas dan cepat serta kurang bersifat ‘menguji’ tahap kemahiran pemanduan mereka.

“Dengan adanya konsep kemahiran, ia bukan sahaja mampu melahirkan pemandu kompeten, mematuhi undang-undang dan berhemah di jalan raya, bahkan sejajar dengan hasrat kerajaan dalam mengurangkan 50 peratus bilangan kematian dan kecederaan akibat kemalangan menjelang tahun 2020 nanti,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Tambah Abdul Rahim, ujian amali memandu di jalan raya merupakan perkara utama yang wajar diberi perhatian oleh pihak kerajaan serta memerlukan pembaharuan secara total.

“Pada pendapat saya, ujian amali memandu di jalan raya perlu dipanjangkan jarak dan masa iaitu daripada 15 minit sekarang kepada 45 minit.

“Luaskan geografi kawasan ujian amali dengan melalui empat kawasan utama yang terdiri daripada kawasan guna tanah tidak padat, kawasan berkonflik, kawasan berisiko tinggi dan kawasan guna tanah padat.

“Calon perlu diuji kemahiran memandu pada sekurang-kurangnya di dua kawasan seperti yang dinyatakan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahim menegaskan, ujian amali meletak kenderaan dan berhenti pada cerun di pusat ujian (test centre) wajar dihapuskan pelaksanaannya.

Sebaliknya, kedua-dua ujian tersebut perlu di lakukan di jalan raya bagi mendedahkan calon dengan keadaan dan halangan sebenar dalam memantapkan kemahiran pemanduan mereka.

“Kalau di pusat ujian, ada sesetengah calon yang bersikap sambil lewa dan tidak bimbang jika kenderaan mereka terlanggar tiang semasa meletak kenderaan mahupun menggelongsor ketika menaiki cerun.

“Mereka anggap ‘kesalahan’ yang dilakukan itu adalah kecil serta hanya akan menyebabkan mereka gagal untuk mendapatkan lesen sahaja.

“Sedangkan dalam situasi sebenar kelalaian tersebut berkemungkinan memberi kesan negatif terhadap pemandu lain dan diri mereka sendiri terutamanya jika kemalangan terjadi,” katanya.

Sehubungan itu, kata Abdul Rahim, masa yang panjang diperlukan bagi menanam kemahiran memandu dalam diri seseorang calon.

Rombak seluruh sistem

SEMALAM, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan mengesahkan kurikulum baharu latihan memandu telah siap tetapi memerlukan persetujuan terakhir pihak industri latihan pemanduan untuk dilaksanakan.

Walaupun ia disambut baik, rata-rata pihak berpendapat, penggubalan semula kurikulum itu dilihat masih tidak mencukupi sekiranya keseluruhan sistem pengambilan lesen memandu di negara ini tidak turut dirombak.

Rombakan keseluruhan itu perlu bagi memastikan urusan berkaitan kurikulum, latihan, ujian dan pengawalan perlesenan dilakukan mengikut sistem yang berasaskan pencapaian hasil pembelajaran.

Dalam masa sama, ia juga dapat mengurangkan fenomena ‘lesen terbang’, rasuah dan unsur-unsur negatif lain yang dikaitkan dengan sifat kemanusiaan yang kurang diberi penekanan.

Ikuti bahagian akhir laporan oleh wartawan unit khas Utusan Malaysia, ROSALINDA MD. SAID dan jurugambar HAFIZ JOHARI serta HAYAT SUEET dalam mencari penyelesaian pelaksanaan kurikulum baharu latihan memandu.

KAJANG 13 Julai – Seluruh sistem pengambilan lesen memandu di negara ini perlu dirombak jika mahu mencapai pengurangan kadar kemalangan jalan raya sehingga 50 peratus menjelang 2020.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, langkah tersebut harus segera dilaksanakan jika tidak mahu banyak lagi nyawa menjadi korban.

‘‘Rombakan itu perlu menyaksikan urusan berkaitan kurikulum, latihan, ujian dan pengawalan perlesenan dilakukan mengikut sistem berasaskan pencapaian hasil pembelajaran.

‘‘Dalam masa sama, tumpuan harus diberikan kepada usaha melahirkan pemandu yang berpengetahuan dan kompeten serta sentiasa mengamalkan budaya keselamatan di jalan raya,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Menurut beliau, kajian yang dijalankan oleh MIROS pada 2007 mendapati, kemalangan sering berlaku disebabkan oleh beberapa faktor terutamanya membabitkan pengetahuan keselamatan jalan raya yang sangat lemah.

Sehubungan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah meminta pihaknya menghasilkan satu modul baharu kurikulum pemanduan.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini, modul tersebut masih lagi berada di peringkat perbincangan terakhir untuk dilaksanakan.

Mengulas lanjut berkaitan kurikulum baharu latihan memandu yang disediakan pihaknya itu, kata Ahmad Farhan, ia mengandungi silibus berbeza bagi kenderaan iaitu kereta dan motosikal.

‘‘Tiada lagi gabungan yang seperti yang kita lihat dalam buku Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) sekarang.

‘‘MIROS merasakan kurikulum memandu kereta serta menunggang motosikal wajar diasingkan kerana masing-masing menuntut kemahiran latihan dan ujian berbeza di jalan raya,” katanya.

Modul-modul baharu yang akan ditampilkan menerusi kurikulum tersebut juga kata beliau, akan mendedahkan calon kepada kemahiran pemanduan di jalan raya sebenar.

Ahmad Farhan berkata, sistem latihan sedia ada yang bersifat preskriptif iaitu hanya menekankan kepada topik-topik yang diajar untuk ujian semata-mata, gagal dalam mendidik calon menjadi pemandu kompeten di jalan raya.

‘‘Sistem sedia ada boleh diibaratkan seperti sebuah templat - tiada elemen kejutan kerana semua pihak sudah sedia maklum tentang proses latihan dan ujian. Tanpa disedari, perkara ini telah membuka ruang untuk dicemari elemen integriti.

‘‘Justeru, tidak hairanlah jika ada di kalangan penguji, terlibat dalam gejala rasuah manakala tenaga pengajar pula selesa mengamalkan sikap ‘cincai’ semasa mengajar,” katanya

JAS diarah tingkat paras air kawasan gambut

SIBU 14 Julai - Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah diarah meningkatkan paras air di kawasan tanah gambut yang luas di seluruh negara dalam usaha untuk menghadapi kemungkinan tercetusnya kebakaran.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, tindakan ini merupakan satu daripada usaha mengekang masalah jerebu daripada terus bertambah buruk.

"Kita mempunyai kawasan tanah gambut di Sarawak (Miri), di Johor, Selangor dan Pahang.

JAS telah diberitahu supaya mengepam air dari telaga tiub di kawasan sedemikian di negeri-negeri itu untuk membasahkan kawasan tanah gambut," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha itu adalah penting kerana sebaik tanah gambut kering ia akan mudah terbakar dan untuk memadamkan kebakaran ia mengambil masa yang panjang dan agak mencabar, berdasarkan kepada pengalaman-pengalaman lalu. - Bernama

Wednesday, July 13, 2011

Jerebu kembali lagi melanda negara

KUALA LUMPUR 12 Julai — Jerebu kembali melanda negara apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) 38 lokasi atau 76 peratus menunjukkan bacaan sederhana iaitu antara 51 hingga 100.

Berdasarkan maklumat dari laman web rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS), sehingga pukul 5 petang ini antara kawasan yang mencatatkan IPU sederhana adalah Bukit Rampai (81), Port Dickson (72), Kuala Selangor (89) dan Banting (71).

Kualiti udara di ibu negara dan Cheras juga berada pada tahap sederhana iaitu 75 dan 67 diikuti Putrajaya 61.

IPU di 12 kawasan lain pula mencatatkan bacaan baik iaitu antara 0 hingga 51.

Di Sarawak kawasan yang mencatat IPU sederhana adalah Bintulu iaitu (88) dan Samarahan (62).

Bacaan IPU di tiga lokasi di Sabah menunjukkan kualiti udara berada pada tahap yang baik.

Sehingga pukul 5 petang ini tiada sebarang bacaan IPU yang berada pada tahap tidak sihat iaitu di antara 101 dan 200

Pendaftaran biometrik pekerja asing berjalan lancar

KUALA LUMPUR 13 Julai – Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing yang sah bermula hari ini selama dua minggu, dengan syarikat besar yang mempunyai jumlah pekerja melebihi 500 orang dikehendaki mendaftar awal.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam berkata, proses pendaftaran Biometrik itu berjalan lancar sejak dimulakan pagi tadi di Jabatan Imigresen seluruh negara.

"Dengan Biometrik ini, Jabatan Imigresen berupaya mengenal pasti dengan tepat pekerja asing yang sah dan yang telah lari daripada majikan termasuk mereka yang telah membuang dokumen pengenalan diri sedia ada dan menukar dengan dokumen baru dengan identiti yang berbeza.

"Melalui teknologi ini, kita dapat mengumpulkan semua maklumat mengenai setiap individu termasuk gambar, geometri muka dan tangan, ukuran iris mata atau cap jari dan maklumat lain yang biasanya terkandung dalam teknologi ini termasuk nama penuh, nama ibu bapa, alamat, pekerjaan, kerakyatan dan jenis darah individu tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Program pendaftaran Biometrik akan berlangsung sehingga 31 Julai.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, ketidaksamaan data yang disimpan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen melalui pendaftaran biometrik seperti yang dilaporkan tidak perlu dijadikan isu besar.

Beliau berkata PDRM masih mempunyai masa untuk berbincang dengan Jabatan Imigresen mengenai penyimpanan data-data melalui kaedah biometrik itu dan menilai keberkesanan sistem tersebut.

"Laporan bahawa pangkalan data kita (PDRM) dan Jabatan Imigresen tak terangkai itu seolah-olah macam kita tak bekerjasama antara satu sama lain. Kita masih di bawah satu kementerian, masih ada ruang untuk kita berbincang tentang kaedah terbaik tentang hal ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata pihak media tidak sepatutnya menggembar-gemburkannya sebaliknya melihat peralatan atau kemudahan yang digunakan PDRM untuk merekod cap jari melalui Sistem Identifikasi Cap Jari Biometrik (Biofis), sesuatu yang harus dibanggakan.

Katanya Biofis yang dapat mengenal pasti suspek kes jenayah, dilihat satu sistem yang bagus dan dapat membantu agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan hal keselamatan.

"Saya tak mahu komen secara teknikal pasal terangkai atau tidak pangkalan data kita. Saya percaya mereka (Jabatan Imigresen) sudah mempunyai keputusan terbaik untuk semua pihak. Itu biar kita bincang,” katanya. - Bernama

Followers

TENTANG DIRI SAYA

My photo
GURU AKADEMIK TINGKATAN ENAM SMK KHIR JOHARI, TG.MALIM. PENDIDIKAN; SK TOK KHALIFAH, PT.13 (1972-1977); SAMR SG. HJ. DORANI (1978-1980); SAMT SSAAS, BT. 38 (1981-1984); UNIV MALAYA (1985-1988); MPKTBR (1990); IPSI (1997); UPSI (2000-2005); UPSI (2008-?)

ALAMAT EMAIL

abdmaleks@yahoo.com
abdmaleks@gmail.com
Sejak 12 September 2009
Documents

ANDA BERMINAT?

KOMENTAR TERAKTIF

Widget by Blogger Widgets

KEMASAN TWEETER

Twitter Updates

    follow me on Twitter
     
    PENGAJIAN AM 900. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.