Friday, May 27, 2011

Isu amah: Malaysia-Indonesia tandatangan MoU 30 Mei

KUALA LUMPUR 27 Mei - Malaysia dan Indonesia dijadual memeterai memorandum persefahaman (MoU) pada Isnin ini, yang antara lain akan membawa kepada penarikan balik pembekuan penghantaran pembantu rumah dari republik itu ke negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam dalam kenyataan hari ini berkata, majlis menandatangani perjanjian itu dijadual berlangsung pada pukul 6.30 petang di Gedung Sate Bandung, Indonesia.

MoU itu akan ditandatangani oleh Dr. Subramaniam bagi pihak Malaysia manakala Indonesia oleh Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi, Muhaimin Iskandar. - Bernama

Ubah pemikiran, paradigma

KUALA LUMPUR 26 Mei – Penggiat dan pemikir iklan perlu mengubah pemikiran dan paradigma mereka ke arah bagaimana untuk menghasilkan iklan dalam bahasa Melayu yang menarik.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz berkata, penghasilan sesuatu iklan itu akan menarik sekiranya idea asalnya memang dalam bahasa Melayu, bukan bahasa lain.

“Menjadi masalah apabila sesuatu iklan yang mahu dihasilkan itu idea asalnya adalah dalam bahasa Inggeris. Apabila mahu ditukar maksudnya dalam bahasa Melayu ia pasti tidak lagi menarik.

“Terdapat banyak istilah bahasa Melayu yang boleh digunakan untuk penghasilan iklan, DBP sendiri telah mencipta sejuta istilah dalam bahasa Melayu merangkumi pelbagai bidang. Daripada jumlah itu, 7,000 tidak boleh diterjemah ke bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog mengenai Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Pengiklanan anjuran DBP dengan kerjasama Persatuan Agensi Pengiklanan Bertauliah Malaysia di sini hari ini.

Dialog itu bertujuan bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman tentang penggunaan bahasa Melayu dalam iklan, meningkatkan kefahaman tentang dasar bahasa negara, memaklumkan peranan agensi pengiklanan terhadap bahasa kebangsaan dan merangka program bersama bagi meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam pengiklanan.

Termuzi berkata, penggiat dan pemikir iklan perlu peka dengan perkembangan bahasa Melayu dan bersama-sama meningkatkan penggunaan bahasa kebangsaan.

Sekiranya terdapat keraguan ke atas bahasa Melayu yang digunakan, katanya, para pengiklan boleh merujuk DBP terlebih dahulu sebelum memohon lesen memasang iklan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Menerusi peraturan yang dilaksanakan di bawah undang-undang kecil iklan PBT, DBP akan melihat dari segi penggunaan bahasa dan visual pada iklan terlebih dahulu dan apabila diluluskan, barulah mereka boleh memohon lesen daripada PBT sebelum iklan boleh dipasang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dialog penggunaan bahasa kebangsaan dalam pengiklanan akan diadakan secara berterusan bagi mendapatkan pandangan pihak berkepentingan tentang penggunaan bahasa kebangsaan.

Sebelum ini, katanya, sebanyak tiga dialog telah diadakan dengan pemilik papan iklan luar, syarikat konsesi lebuh raya Malaysia dan penggiat industri sektor perdagangan dan kepenggunaan

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISAshofi.isa@utusan.com.my

Saturday, May 14, 2011

Malaysia hadapi risiko kenaikan inflasi

LUXEMBOURG 13 Mei – Malaysia sedang berhadapan dengan risiko kenaikan inflasi, sementara zon Eropah berhadapan dengan krisis hutang dan peningkatan harga tenaga yang boleh mengugat pertumbuhan stabil ekonomi, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

‘‘Terdapat kecenderungan terhadap risiko kenaikan inflasi, namun ia sebaliknya bagi pertumbuhan,’’ katanya kepada agensi berita Reuters di Persidangan Perbankan Islam di sini hari ini.

‘‘Terdapat risiko peningkatan inflasi. Ia merupakan fenomena sejagat apabila harga komoditi dan tenaga akan ditafsirkan kepada kenaikan harga makanan dan minyak.

‘‘Ia adalah sesuatu yang kami pantau secara dekat. Pada masa ini penilaian masih lagi di sekitar jangkaan iaitu pada paras 2.5 hingga 3.5 peratus,’’ katanya.

Ditanya mengenai pembuat dasar Malaysia yang sedang menimbang menaikkan unjuran inflasi pada mesyuarat yang lepas, Zeti berkata,‘‘ Tidak pada masa ini. Walaupun risiko ada, tetapi tidak terdapat maklumat lanjut untuk menukarnya,’’ jelas beliau.

Bank pusat Malaysia telah menaikkan penanda aras kadar faedah kepada tiga peratus pada April berbanding 2.75 peratus.

Penganalisis melihat mata asas akan dinaikkan lagi sekitar 25 hingga 50 mata asas pada separuh kedua tahun ini.

Zeti berkata, kesan ekonomi kepada Malaysia berikutan bencana gempa bumi di Jepun adalah terhad manakala kesan terhadap krisis Timur Tengah tidak dapat dielakkan.

Subsidi makin meningkat jika harga bahan bakar terus naik

BERA 14 Mei — Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak dapat memberi jaminan bahawa harga petrol dan minyak akan terus kekal pada harga lama jika harga bahan itu terus melonjak di pasaran dunia.

Beliau berkata, kerajaan mengganggarkan subsidi bahan bakar bagi tahun ini berjumlah RM17 billion berikutan kenaikan harga bahan bakar itu di pasaran dunia.

"Semua harga bahan berkenaan termasuk minyak petrol RON95, diesel dan gas akan disemak setiap enam bulan oleh jawatankuasa rasionalisasi subsidi.

"Pada tahun lepas sahaja, kerajaan menanggung subsidi minyak berjumlah RM10.3 bilion,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Bera di sini, hari ini.

Harga minyak dan petrol akan ditentukan selepas jawatankuasa berkenaan bersidang Jun ini, katanya.

"Jika kerajaan terus menampung subsidi kenaikan harga bahan bakar ia akan menyebabkan defisit kerajaan semakin melebar,” katanya. — Bernama

Wednesday, May 4, 2011

ISU TINGKATAN ENAM LAGI

[Sebuah catatan lama yang disiarkan dalam blog peribadi saya]

Sekali lagi saya sangat berminat untuk membicarakan isu tingkatan enam dalam ruang ini. Pada kesempatan ini saya cuba mengenal pasti punca mengapa 2/3 daripada sejumlah 280 orang pelajar yang ditawarkan ke tingkatan enam tidak mendaftarakan diri di sekolah saya Manakala sebilangan pelajar yang telah mendaftar sedang mengintai-intai peluang untuk keluar daripada tingkatan enam.

Aliran keluar dan masuk yang aktif.

Di sekolah-sekolah Pusat Pengajian Tingkatan Enam (PPTE) pada ketika ini masih lagi "sibuk". Para pelajar enam rendah masih belum lagi settled. Aliran traffic keluar masuk masih lagi berlaku walaupun pengajaran dan pembelajaran (p&p) telah bermula. Hal tersebut berlaku disebabkan masih ada beberapa lagi peluang yang mereka sedang rebut sebelum terlewat.

Pertama, ke matrikulasi IPTA. Selepas gagal ke matrikulasi KPM, para pelajar masih lagi berpeluang untuk ke matrikulasi serta pusat asasi yang dikendalikan oleh IPTA. Namun, lazimnya bilangan yang terlibat tidak begitu ramai kerana biasanya para pelajar ini mempunyai keputusan yang cemerlang dalam SPM tetapi enggan ke matrikulasi KPM.

Kedua, perpindahan keluar dan masuk sekolah. Ada sebilangan pelajar yang ditawarkan ke PPTE yang tidak bersesuaian dengan kedudukan tempat tinggal mereka. Sebagai contoh, sewaktu di tingkatan 5, para pelajar belajar di sekolah yang tiada tingkatan 6. Oleh itu, apabila tawaran sampai mereka ditempatkan di sekolah lain yang lebih jauh serta berkemungkinan tiada kemudahan asrama. Dalam kes ini para pelajar terpaksa mencari PPTE yang ada asrama atau memilih belajar di sekolah yang berhampiran dengan rumahnya walaupun ada kalanya terpaksa "berhijrah" ke negeri lain.

Ketiga, bertukar bidang. Kes ini lazimnya melibatkan para pelajar aliran sains. Mereka ditawarkan ke aliran sains memandangkan keputusan mereka yang agak baik serta layak untuk ditawarkan ke aliran sains. Walau bagaimanapun sejarah lampau barangkali banyak menghantui mereka. Bukan mudah berada di tingkatan 6 aliran sains. Jika diimbas kembali pengwujudan pusat matrikulasi serta asasi sains, fenomena ini ada asasnya. Justeru, ramai daripada kalangan mereka akan bertukar ke bidang kemanusiaan. Jika mereka ditawarkan ke sekolah (yang ada aliran sains) yang terletak jauh dari rumah, walhal ada sekolah PPTE yang terletak berhampiran dengan kediaman mereka tetapi tiada aliran sains, kebanyakan kes mereka akan memohon pula bertukar sekolah pula.

Keempat bertukar kerana reputasi sekolah. Dalam konteks semasa,t iada halangan kepada para pelajar untuk bersekolah di mana-mana. Walaupun pihak JPN menetapkan sekolah-sekolah tertentu untuk menerima para pelajar tersebut, tetapi selepas pendaftaran para pelajar boleh memohon tukar ke sekolah-sekolah lain yang dilihat lebih hebat. Kadang-kadang ia melampaui daerah dan negeri. Asalkan perkara-perkara asas seperti tempat penginapan tiada masalah, maka perkara-perkara lain turut tiada masalah.

Kelima, tawaran UPU. Menjelang hujung Jun dan awal Julai, fenomena gelombang kedua keluar masuk ini akan berlaku secara lebih besar. Pada ketika itu UPU akan menawarkan program diploma dan pra diploma kepada para pelajar yang layak. Sekitar 90% pelajar yang ditawarkan ke program tersebut akan menerima tawaran. Begitu juga ada yang ditawarkan ke program yang sama di IPTS. Kalau dilihat trend beberapa tahun lepas, para pelajar yang kekal bertahan di tingkatan enam sekitar 70% daripada jumlah pelajar tingkatan enam rendah yang ada.

Keenam, pengambilan kedua IPTA. Bagi pelajar yang gagal mendapat tawaran ke IPTA, lazimnya akan membuat rayuan. Dalam kes-kes sebegini bilangannya tidaklah ramai. Mungkin sekitar beberapa orang sahaja.

Daripada beberapa faktor di atas, jelas sekali tingkatan enam bukanlah destinasi utama yang menjadi pilihan para pelajar selepas SPM. Sebab itulah hanya 1/3 pelajar yang ditawarkan ke tingkatan enam mendaftarkan diri di sekolah saya. Selebihnya ghaib dan tentunya tidak berminat. Saya melihat perkara ini agak serius. Saya berharap fenomena tersebut akan berkurangan apabila sistem modular (SM) dilaksanakan menjelang 2011. Namun, daripada penelitian saya, ada dua isu besar yang harus diberi peneilitian yang sewajarya. Pertama isu pembelajaran dan kedua isu persekitaran. Bagi menjelaskan kedua-dua isu tersebut, elok rasanya kalau saya membuat perbandingan dengan pesaing bagi kedua-dua isu tersebut sekali gus.

Isu Pembelajaran.

STPM dikatakan susah. Banyak buku kena baca. Belum ada jaminan pasti lulus STPM dan akhirnya ke menara gading. Berbanding dengan di IPTA atau di IPTS. Bilangan pelajar yang gagal mendapat diploma terlalu kecil. Sesi pembelajaran secara semester tidak membebankan pelajar. Peperiksaan ditadbir secara dalaman di IPTA dan IPTS. Oleh itu para pelajar lebih tahu skop topik yang akan diuji dalam peperiksaan. Selain daripada itu kerja-kerja kursus yang dilakukan akan menyumbah sejumlah peratusan yang agak besar dalam peperiksaan akhir.

Jadual waktu yang rigid. Di tingkatan enam masih lagi mengamalkan jadual waktu yang lebih kurang sama dengan para pelajar aliran perdana (tingkatan 1 hingga 5). Dalam kes di sekolah saya, beberapa aktiviti seperti R&D, kolokium, kokurikulum dilaksanakan selepas waktu p&p iaitu dari pukul 1.10 sehingga 2.30 petang. Keadaan ini berlainan di IPTA dan IPTS. Mereka akan datang dan pergi mengikut kesesuaian masa p&p. Selebihnya, sama ada mereka akan ke perpustakaan atau menyiapkan tugasan-tugasan di rumah atau di bilik-bilik khas.

Isu Persekitaran.

Kekurangan bahan di pusat sumber sekolah (PSS). Walaupun mata-mata pelajaran di peringkat STPM masih relevan dengan sistem persekolahan, namun bahan rujukan bertaraf prauniversiti tidak disediakan dengan secukupnya. Bahan-bahan bacaan ilmiah (bukan nota dan bahan rujukan peperiksaan) yang menyokong p&p sangat minimum. Sedangkan semua mata pelajaran di peringkat STPM tiada sebarang buku teks. Hal sedemikian tidak berlaku di IPTA dan IPTS. Masing-masing menjadikan pusat sumber sebagai tarikan utama para pelajar ke situ. Masing-masing menyatakan pusat sumber mereka mempunyai koleksi rujukan yang terbanyak berbanding pusat-pusat pengajian yang lain.

Peraturan yang rigid ke PSS. PSS masih mengikut prosedur biasa seperti peraturan yang dikenakan kepada para pelajar aliran perdana. Umpamanya mesti ada kebenaran guru atau bersama-sama guru sewaktu berkunjung ke PSS. Fenomena tersebut kadang-kadang menyebabkan para pelajar malas hendak ke PSS. Berada di IPTA dan IPTS, pusat sumber adalah "rakan" yang sangat akrab kepada para pelajar. Mereka bukan sahaja menjadikan pusat sumber sebagi tempat membuat rujukan malah pelbagai aktiviti lain termasuklah perbincangan, akses internet dan konsultasi dengan pensyarah.

Uniform sekolah. Daripada sembang-sembang dengan para pelajar yang tidak begitu seronok berada di tingkatan enam menyatakan bahawa mereka "cemburu" dengan rakan-rakannya yang berada di IPTA dan IPTS tidak lagi memakai uniform sekolah. Mereka dilihat sudah jemu memakai uniform sekolah sejak 11 tahun yang lalu. Keadaan tersebut tidak terlalu ketara kira-kira 10 tahun yang lalu kerana pada ketika itu tidak banyak IPTA dan IPTS diwujudkan untuk program-program pasca SPM.

Justeru, melalui pelaksanaan SM yang akan berlangsung pada tahun hadapan, kita tidak pasti sama ada sentimen tidak suka ke tingkatan enam akan berakhir atau akan mencetuskan pula fenomena yang lain. Sekali imbas, SM hanya berupaya menyelesaikan sebahagian isu pembelajaran sahaja. Jika dilihat jadual pelaksanaan sistem tiga semester seperti di matrikulasi dan di IPTA/ IPTS, ia akan meringankan beban pembelajaran para pelajar. Mereka akan menduduki tiga peperiksaan sepanjang tiga semester. Jika keputusan mana-mana dua semester awal tidak begitu baik, mereka boleh mengulang pada semester ketiga. Manakala jadual yang rigid masih lagi dilihat tidak berubah. Para pelajar dikehendaki berada di sekolah dari pukul 7.30 pagi sehingga 2.30 petang. Walau bagaimanapun saya tidak melihat ia satu masalah yang sangat besar lagipun para pelajar masih lagi "mesra" dengan budaya belajar yang sedemikian.

Namun, isu-isu persekitaran dilihat lebih mencabar pihak KPM. Walaupun banyak budi bicara serta penyelesian diserahkan kepada pihak sekolah, namun ia sebenarnya memerlukan campur tangan pihak KPM. Isu PSS yang saya nyatakan di atas serta banyak lagi kemudahan asas untuk prauniversiti seperti yang digariskan dalam senarai semak KPM sewaktu memantau minggu orientasi tingkatan enam rendah baru-baru ini perlukan tindakan segera daripada pihak KPM. Bilik kuliah (berserta peralatannya), bilik penolong kanan tingkatan 6, bilik guru para pensyarah, makmal sains, makmal komputer dan banyak lagi. Jika semau itu perlu dilengkapkan, sudah pasti akan memakan kos yang sangat tinggi.

Pada pandangan saya, pihak KPM perlu memikirkan alternatif lain yang lebih praktikal. Sebagai contoh membina sebuah PPTE di setiap daerah. Atau menukar status sebuah sekolah tertentu dalam setiap daerah daripada sekolah aliran perdana kepada PPTE. Oleh sebab bilangan pelajar tingkatan enam sehingga kini sekitar 1/3 daripada sejumlah yang ditawarkan maka pilihlah sekolah yang sederhana besar saiznya tetapi cukup prasarana untuk sebuah PPTE berfungsi dengan baik.

Kewujudan PPTE sejak dijenamakan semula sebenarnya mengundang beberapa sub budaya yang agak tidak sihat. Sebagai contoh, pemisahan pentadbiran antara PPTE dan aliran perdana mengundang tafsiran-tafsiran yang negatif serta berupaya mengeruhkan hubungan antara guru dan pihak pentadbiran.

Kewujudan perjawatan guru akademik tingkatan enam (GAT6) DG44, DG48 dan DG52 dilihat menjadi idaman kepada ramai guru. Bukan sahaja guru-guru yang pernah mengajar tingkatan enam, malah mereka yang tidak pernah mengajar pun turut berminat. Ada cerita-cerita yang menyatakan penolong kanan pun berminat melepaskan jawatan untuk memohon gred yang lebih tinggi dalam GAT6. Perkara tersebut tidaklah menjadi satu masalah. KPM pun membenarkan sesiapa yang berkelayakan untuk memohon GAT6. Walau bagaimanapun dalam proses memperakui GAT6, pihak Bahagian Sumber Manusia (BSM) punyai syarat tertentu bagi memilih GAT6 yag benar-benar layak. Justeru, ramai yang tak dapat. Maka banyaklah cerita-cerita, ulasan-ulasan, kritikan-kritikan yang pelbagai terhadap GAT6 yang diperakukan oleh pihak BSM.

Begitu juga dengan bentuk jadual waktu p&p para pensyarah tingkatan 6 yang turut dipertikaikan oleh sesetengah pihak. Ia dilihat tidak adil jika dibandingkan dengan guru-guru aliran perdana. Waktu mengajar yang dilihat sedikit manakala kewajaran memasukkan beberapa aktiviti seperti R&D, kolokium, pentaksiran dan beberapa lagi dalam jadual waktu turut dipersoalkan.

Penglibatan dalam aktivit kokurikulum turut menjadi isu. Guru-guru tingkatan enam yang mengandalikan aktiviti kokurikulum di peringkat tingkatan enam masih perlu dilibatkan dalam aktiviti kokurikulum dalam aliran perdana. Oleh itu, setiap guru tingkatan enam mempunyai lebih daripada tiga bidang kokurikulum. Apabila keadaan ini berlaku menyebabkan beberapa salah faham timbul dan hubungan antara rakan sejawat mulai bermasalah.

Jika diteliti secara mendalam bayak lagi titik bengik yang timbul dengan pewujudan "dua" sistem aliran ini. Oleh itu, untuk perancangan jangka pendek dan panjang sangat wajar dan praktikal jika PPTE beropersi dalam sebuah sekolah di setiap daerah. Apa juga pembaharuan atau penjenamaan yang berlaku tidak akan menimbulkan rasa tidak senang pihak-pihak lain yang tidak berkaitan tetapi sering dikaitkan kerana salah tafsir tentang sesuatu perkara.

Jika alternatif ini menjadi realiti, lebih banyak daya tarikan dapat dilakukan. Masa pembelajaran yang lebih fleksibel, kemudahan asrama yang lebih optimum, isu uniform dan banyak lagi. Tidak hairan jika minat para pelajar akan bertukar arah dan bersedia menerima tawaran belajar PPTE! Tambahan pula, pegawai yang mengurus tingkatan enam di peringkat PPD, JPN dan KPM akan lebih mudah dan tentunya akan lebih efisyen.

Kesimpulannya, usaha menjanamakan semula tingkatan enam dilihat sangat wajar. Hal ini sedimikian kerana tingkatan enam merupakan "jalan terus" kepada para pelajar ke program ijazah di universiti selain program matrikulasi dan asasi sains. Walau bagaimanapun bagi meletakkan jenama tersebut sejajar dengan IPTA dan IPTS, ia memerlukan kepada usaha pemurnian keseluruhan sistem yang berkaitan.

Followers

TENTANG DIRI SAYA

My photo
GURU AKADEMIK TINGKATAN ENAM SMK KHIR JOHARI, TG.MALIM. PENDIDIKAN; SK TOK KHALIFAH, PT.13 (1972-1977); SAMR SG. HJ. DORANI (1978-1980); SAMT SSAAS, BT. 38 (1981-1984); UNIV MALAYA (1985-1988); MPKTBR (1990); IPSI (1997); UPSI (2000-2005); UPSI (2008-?)

ALAMAT EMAIL

abdmaleks@yahoo.com
abdmaleks@gmail.com
Sejak 12 September 2009
Documents

ANDA BERMINAT?

KOMENTAR TERAKTIF

Widget by Blogger Widgets

KEMASAN TWEETER

Twitter Updates

    follow me on Twitter
     
    PENGAJIAN AM 900. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.