Tuesday, March 15, 2011

Pindaan Interlok tunjuk kemajuan menggalakkan - Muhyiddin

PUTRAJAYA 15 Mac – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pindaan dalam novel Interlokmenunjukkan kemajuan menggalakkan walaupun beliau belum menerima butiran terperinci daripada panel bebas yang diketuai oleh Prof Datuk Shamsul Amri Baharuddin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selepas menerima butiran terperinci terhadap bentuk pindaan yang dibuat dalam beberapa hari lagi, perkara itu akan dimaklumkan kepada pemimpin masyarakat India bagi memastikan semua pihak berpuas hati dan menerimanya sebulat suara.

"Kita akan beri peluang kepada wakil daripada masyarakat India untuk maklumkan kepada pemimpin supaya apa yang diputuskan itu secara konsesi dapat diterima oleh mereka. Saya juga akan membawa perkara itu ke kabinet sebab perkara ini sudah sampai ke tahap nasional,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada 27 Januari lepas, Muhyiddin berkata novel Interlok, yang mencetuskan kontroversi kerana mengandungi beberapa perkataan yang tidak disenangai masyarakat India, akan terus digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk murid Tingkatan Lima di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, kerajaan telah bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India dalam novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu. - Bernama

Monday, March 14, 2011

Botol susu polikarbonat diharam

PUTRAJAYA 14 Mac – Penjualan botol susu jenis polikarbonat yang mengandungi Bisphenol A (BPA) diharamkan berada di pasaran.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, mesyuarat Jemaah Menteri 2 Mac lalu bersetuju cadangan Kementerian Kesihatan untuk mengharamkan penjualan botol susu bayi jenis tersebut.

Menurutnya, langkah penguatkuasaan pengharaman tersebut akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2012.

“Keputusan pengharaman ini diambil sebagai langkah berjaga-jaga kerana sehingga kini tiada bukti menunjukkan botol susu polikarbonat yang mengandungi BPA adalah selamat digunakan oleh bayi dan kanak-kanak.

“Tindakan ini juga dibuat dengan mengambil kira BPA telah diketahui boleh menyebabkan gangguan kepada sistem hormon sekali gus mengganggu sistem fungsi tubuh. Sehingga kini juga tiada sebarang penilaian dijalankan berhubung sistem hormon dalam tubuh bayi serta tiada jaminan keselamatan untuk itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai pengharaman penjualan botol susu bayi jenis itu di ibu pejabat kementerian, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman.

Tiong Lai berkata, tindakan pengharaman tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dan pihak industri diberi tempoh setahun untuk membuat persediaan menukar, membeli mesin dan memilih penggunaan bahan mentah yang sesuai.

Pada masa sama, beliau berkata, pemantauan berterusan yang dijalankan pihak kementerian mendapati berlakunya migrasi BPA dari botol-botol susu bayi polikarbonat yang telah diuji.

“Sehingga tahun lepas, sebanyak 159 sampel botol susu bayi telah dianalisis dan didapati 85 peratus daripadanya dikesan mengandungi bahan BPA dalam julat 0 hingga 0.7 mg/kg hasil kesan migrasi dari botol berkenaan.

“Kajian Universiti Malaya (UM) pula menunjukkan kadar migrasi yang berlaku meningkat sebanyak tujuh kali ganda pada suhu 80 darjah Celsius berbanding suhu bilik 25 darjah Celsius,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai tindakan pengharaman itu, beliau berkata, langkah tersebut selaras dengan pendekatan diambil oleh Jerman, Perancis, Denmark, Kanada, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat (AS).

“Terkini, pihak Kesatuan Eropah juga telah membuat pengumuman mengharamkan penjualan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan pengguna terutamanya terhadap bayi dan kanak-kanak.

Menurutnya, langkah pengharaman itu dapat melindungi keselamatan kumpulan berisiko tinggi berkenaan sehinggalah terdapat maklumat keselamatan terbaru mengenai penggunaan BPA diperolehi.

Beliau menasihatkan dalam tempoh setahun ini, pengguna perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko pendedahan kepada migrasi BPA berdasarkan panduan penggunaan botol susu bayi jenis polikarbonat.

Namun begitu, katanya, pengguna boleh membuat pilihan awal dengan menukar botol susu bayi jenis polikarbonat kepada alternatif yang terdapat di pasaran mengikut kemampuan masing-masing.

Beliau menambah, pihaknya juga akan menjalankan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK); Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dalam hal berkenaan.

Orang ramai yang inginkan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan di talian 0388833652/88833653 /88833655 atau layari laman web http://moh.gov.my atau http://fsq.moh.gov.my.

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN

Biodiesel mula dijual Jun ini

KUALA LUMPUR 14 Mac - Bermula Jun ini, pemandu kenderaan berat dan pacuan empat roda yang menggunakan diesel mempunyai pilihan dari segi penggunaan bahan bakar berikutan penjualan minyak biodiesel kelapa sawit B5.

Sebagai permulaan, B5 akan dijual di stesen-stesen minyak terpilih di ibu negara, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka dengan harga yang akan diumumkan kemudian.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Choo Yuen May berkata, sebanyak 200,000 tan metrik bahan api alternatif itu akan dipasarkan pada tahun ini.

"Penggunaan biodiesel dapat mengurangkan kebergantungan terhadap minyak diesel yang bekalannya semakin berkurangan di seluruh dunia selain mengurangkan pengaliran wang keluar berikutan import bahan api itu," katanya ketika berucap pada Persidangan Dunia Hijau di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof. Datuk Dr. Rofina Yasmin Othman; Penasihat kepada Lembaga Pengarah Meja Bulat Minyak Sawit Mapan (RSPO) dan Duta Brazil ke Malaysia, Sergio De Souza Fontes Arruda.

Tuesday, March 8, 2011

Tiga sahabat didakwa samun warga emas berusia 75 tahun

KOTA BHARU 8 Mac – Akibat menyamun seorang warga emas berusia 75 tahun, tiga sahabat yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini dan bakal berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Kamaruzaman Saari, 41; Wan Mohd. Abdullah Wan Yusof, 38; dan Zulkifli Ismail, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan merompak Minah Yaacob.

Mereka didakwa bersama-sama merompak mangsa menggunakan senjata lawi ayam dan berjaya melarikan wang tunai RM9,000, seutas rantai leher dan seutas rantai tangan milik mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Penakah, Machang kira-kira pukul 7.30 pagi pada 17 Januari lalu.

Kamaruzaman yang berasal dari Jerteh, Terengganu, ditangkap pada 12 Februari lalu, manakala Wan Mohd. dari Machang dan Zulkifli dari Tanah Merah pula ditangkap beberapa hari kemudian.

Ketiga-tiganya didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan dikenakan sebatan.

Hakim Irwan Suainbon menetapkan 10 April depan bagi sebutan semula kes untuk tertuduh melantik peguam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Hamizah Ghazali.

Terdahulu, beliau memohon agar jaminan tidak diberikan kerana tertuduh menghadapi pertuduhan yang amat serius.

“Mangsa adalah seorang warga emas bagaimanapun ketiga-tiga tertuduh tetap merompaknya dengan membawa senjata,’’ jelasnya. – Utusan

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN


Foto: Sekadar hiasan

Martabatkan bahasa Melayu peringkat global

KUALA LUMPUR 7 Mac - Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2011 merupakan landasan terbaik untuk memartabatkan bahasa rasmi negara ke peringkat antarabangsa.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penganjuran PABM 2011 membolehkan negara di luar nusantara mengenali dan menguasai bahasa Melayu yang dituturkan di kebanyakan negara Asia Tenggara.

Beliau berkata, pendedahan melalui pertandingan pidato itu dapat menarik minat bangsa lain untuk lebih mendalami keunikan dan keindahan bahasa Melayu serta budaya yang diamalkan penuturnya.

"Pertandingan kali ini juga sebagai satu bentuk kesedaran dan perang psikologi kepada rakyat Malaysia yang menganggap kerajaan meminggirkan bahasa Melayu.

"Penganjuran PABM 2011 mampu menutup mulut para pengkritik dasar kerajaan mengenai bahasa kebangsaan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Malam Resepsi PABM 2011, di sini hari ini.

Oleh HAKIMI ISMAIL

Waspada kapsul gelatin

KUALA LUMPUR 7 Mac - Hanya 20 syarikat pengeluar produk makanan kesihatan tambahan dan 14 pengeluar ubat tradisional di negara ini mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, banyak pengeluar produk kesihatan yang terdapat di pasaran masih belum mengemukakan permohonan sijil halal kepada Jakim mahupun Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna Islam supaya menyemak dahulu tanda halal bagi produk-produk berkenaan dengan Jakim atau Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan sebelum menggunakannya.

"Selain itu, mereka juga perlu berwaspada terhadap produk kesihatan yang menggunakan kapsul gelatin kerana dibimbangi mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi," katanya pada sidang akhbar berkaitan isu pensijilan halal terhadap gelatin di sini hari ini.

Laporan akhbar Khamis lalu menyatakan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mendapati tiga daripada 15 sampel produk farmaseutikal tempatan menggunakan kapsul gelatin mengandungi DNA babi.

Kehadiran DNA itu dikesan menggunakan kit diagnosis yang dibangunkan sebuah syarikat multinasional tempatan menerusi projek perintis bersama kementerian itu baru-baru ini dalam usaha membangunkan produk standard halal di Malaysia.

Menurut Jamil Khir, Jakim dan JAIN hanya akan memberikan sijil halal kepada produk yang dipastikan menggunakan bahan sumber yang halal.

Kata beliau, Jakim hanya mengeluarkan sijil halal bagi kategori makanan, produk gunaan, premis makanan, makanan kesihatan tambahan, ubat tradisional, produk kosmetik dan dandanan diri.

Jelas Jamil Khir, bagi produk farmaseutikal dan ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi doktor tidak termasuk dalam skop pensijilan tersebut.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan produk yang mendapat pengesahan halal boleh melayari laman web Bahagian Hab Halal Jakim di alamatwww.halal.gov.my.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin ketika dihubungi berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan pada Rabu ini bagi membuat semakan terhadap produk farmaseutikal tempatan yang didapati mengandungi DNA babi.

Oleh SITI NURAZLINA JAMALUDINpengarang@utusan.com.my

Followers

TENTANG DIRI SAYA

My photo
GURU AKADEMIK TINGKATAN ENAM SMK KHIR JOHARI, TG.MALIM. PENDIDIKAN; SK TOK KHALIFAH, PT.13 (1972-1977); SAMR SG. HJ. DORANI (1978-1980); SAMT SSAAS, BT. 38 (1981-1984); UNIV MALAYA (1985-1988); MPKTBR (1990); IPSI (1997); UPSI (2000-2005); UPSI (2008-?)

ALAMAT EMAIL

abdmaleks@yahoo.com
abdmaleks@gmail.com
Sejak 12 September 2009
Documents

ANDA BERMINAT?

KOMENTAR TERAKTIF

Widget by Blogger Widgets

KEMASAN TWEETER

Twitter Updates

    follow me on Twitter
     
    PENGAJIAN AM 900. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.