Sunday, December 19, 2010

Pemaju mesti patuhi garis panduan pembangunan cerun

KUALA LUMPUR 19 Dis. – Semua pemaju perumahan di Kuala Lumpur yang merancang membina projek mewah di cerun bukit mesti mematuhi garis panduan yang baru dikuatkuasakan pada Oktober lepas.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, Garis Panduan Perancangan Pembangunan Di Kawasan Bukit dan Cerun Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Tahun 2010 menetapkan syarat-syarat lebih ketat.

"Garis panduan ini menekankan aspek penyelesaian kejuruteraan dalam mempertimbangkan kelulusan sesuatu perancangan pembangunan dengan menetapkan syarat-syarat yang lebih ketat dan komprehensif,” katanya.

Beliau berkata, garis panduan itu turut menerapkan amalan pengurusan dan kejuruteraan terbaik dalam memastikan keselamatan keselamatan orang awam dan harta benda serta kepentingan alam sekitar dipelihara sepanjang masa.

Ahmad Phesal berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak projek perumahan di kawasan lereng bukit di Jalan Setiabistari, Bukit Damansara yang dirancang dibangunkan dengan 16 unit banglo mewah oleh syarikat pembinaan Tetuan SDB Damansara Sdn Bhd. – Bernama

Malaysia rancang bina 2 loji kuasa nuklear 2021, 2022

KUALA LUMPUR 19 Dis. – Malaysia merancang untuk membina dua loji kuasa nuklear yang masing-masing akan menjana 1,000 megawat sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk mengimbangi bekalan tenaga.

Loji pertama akan siap dan mula beroperasi pada 2021 manakala loji kedua, setahun kemudian.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin berkata, kerajaan akan mengambil perunding antarabangsa untuk menilai lokasi dan keperluan membina loji berkenaan.

Sementara itu, lebih banyak program kesedaran dan pendidikan akan dijalankan bagi memaklumkan kepada rakyat tentang keperluan sedemikian.

"Diharapkan, menjelang 2013 atau 2014, kami akan dapat menyiapkan penilaian ini. Tentang penawaran tender, kami berharap ia dapat dilakukan menjelang 2016," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara.

Beliau berkata, Malaysia amat bergantung kepada gas dan arang batu bagi bekalan elektriknya kerana memang menjadi dasar kerajaan untuk mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil. – Bernama

Saturday, December 18, 2010

Negara penuhi sasaran basmi kemiskinan - TPM

PAGOH 18 Dis. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata, negara sudah memenuhi sasaran membasmi miskin tegar tahun ini berlandaskan tindakan proaktif yang dibuat kerajaan bagi membantu golongan yang terlibat.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, berdasarkan laporan terakhir yang diterima menerusi Program Transformasi Kerajaan bagi mengurangi kemiskinan, pencapaian berkenaan cukup membanggakan.

"Walaupun kita tahu dalam soal ini kumpulan miskin tegar ini boleh dikatakan dinamik, tidak statik, kalau hari ini kosong, mungkin esok ada satu dua yang masuk dalam senarai golongan itu disebabkan uzur dan sebagainya.

"Tetapi, dalam ukuran sebenar hakiki, kita sudah memenuhi sasaran itu dan ini cukup membanggakan," katanya selepas menghadiri majlis gempur NKRA 1Azam (Akhiri Zaman Kemiskinan) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Peringkat Daerah Muar, di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, walaupun kemiskinan dapat dibasmi, namun agenda kerajaan untuk terus membasminya secara relatif masih berterusan dengan memperbanyakkan pelbagai bidang latihan dan bimbingan yang bersesuaian bagi meningkatkan pendapatan golongan miskin.

Katanya, kerajaan antara lain turut berharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan mikro di kalangan wanita di negara ini yang kini dianggarkan kira-kira 4,000 orang di seluruh negara. - Bernama

Saturday, December 11, 2010

Kecemerlangan akademik, kokurikulum perlu seimbang - PM

PEKAN 11 Dis. — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pencapaian cemerlang akademik pelajar perlu diseimbang dengan penyertaan mereka dalam aktiviti kokurikulum bagi melahirkan kepimpinan masa depan yang lebih berkualiti.

Beliau berkata, melalui pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum dengan berbekalkan akhlak yang baik, ia akan melahirkan barisan kepimpinan masa depan negara yang lebih berkualiti.

"Pelajar perlu cemerlang secara holistik, dari segi akademik dan cergas dalam kokurikulum, barulah dapat bangunkan pimpinan di hari muka,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 bagi kawasan Parlimen Pekan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ibu bapa selain guru-guru dan pelajar itu sendiri, adalah tonggak utama untuk menjayakan misi melahirkan kepimpinan masa depan negara yang berkualiti.

Seramai 451 pelajar sekolah di kawasan parlimen Pekan memperolehi keputusan 5A pada peperiksaan UPSR 2010.

Najib berkata, kerajaan menyediakan peruntukan yang besar dalam setiap pembentangan bajet negara dalam usaha memberikan peluang pendidikan yang lebih luas kepada rakyat.

"Tidak ada bidang lain sebesar (yang dibelanjakan) bidang pendidikan, dan di (kawasan Parlimen) Pekan misalnya, kerajaan wujudkan semua peringkat pendidikan dari peringkat sekolah rendah sehingga institusi pendidikan tinggi dalam usaha memberi peluang pendidikan yang luas kepada semua pihak,” katanya.

Sementara itu Najib berkata, sebuah kolej Vokasional-Teknikal (Voctech) akan dibina di Pekan tidak lama lagi.

"Kolej Voctech Pekan merupakan salah sebuah daripada lima kolej Voctech yang akan dibina kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-10. Kolej ini akan menawarkan tiga bidang kemahiran iaitu automotif, gas dan petroleum serta mekanik kapal terbang,” katanya.

Beliau berkata kolej Voctech itu akan menyediakan pendidikan alternatif kepada mereka yang sederhana dan lemah dalam bidang pendidikan. - Bernama

Program rasionalisasi subsidi kerajaan dapat pujian

KEPALA BATAS 11 Dis. - Program rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan kerajaan turut mendapat pujian daripada Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak yang melawat Malaysia selama dua hari mulai Khamis lalu.

"Ia (rasionalisasi subsidi) bukan sesuatu perkara yang senang untuk dilaksanakan. Kerajaan harus memastikan negara kuat dan tindakan tersebut telah mendapat pujian daripada Presiden Korea Selatan dalam lawatan beliau ke Malaysia baru-baru ini.

"Myung-bak berpendapat bahawa apa yang kerajaan Malaysia buat adalah satu perkara yang bijak. Kita tahu menjaga subsidi, pada masa yang sama kita juga menjaga kedudukan kewangan, tidak boros serta berbelanja dengan berhemat," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan telah meneliti kepentingan rakyat dan membuat kajian rapi untuk jangka masa yang panjang sebelum bertindak untuk merasionalisasi subsidi. - Bernama

Followers

TENTANG DIRI SAYA

My photo
GURU AKADEMIK TINGKATAN ENAM SMK KHIR JOHARI, TG.MALIM. PENDIDIKAN; SK TOK KHALIFAH, PT.13 (1972-1977); SAMR SG. HJ. DORANI (1978-1980); SAMT SSAAS, BT. 38 (1981-1984); UNIV MALAYA (1985-1988); MPKTBR (1990); IPSI (1997); UPSI (2000-2005); UPSI (2008-?)

ALAMAT EMAIL

abdmaleks@yahoo.com
abdmaleks@gmail.com
Sejak 12 September 2009
Documents

ANDA BERMINAT?

KOMENTAR TERAKTIF

Widget by Blogger Widgets

KEMASAN TWEETER

Twitter Updates

    follow me on Twitter
     
    PENGAJIAN AM 900. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.